Saturday, July 23, 2011

Yossi Benayoun - Persona Non Grata di Malaysia


Kepada penyokong-penyokong Chelsea, jangan marah kalau apa yang aku tulis buat panas telinga. Aku pun minat sukan. Aku sendiri bermain ragbi dan futsal sebagai suatu riadah. Sukan memang sukan juga tapi kita ada maruah dan nama. Jangan kerana hendak mendukung liberalisasi atau kesamarataan, kita letak tepi segala kesengsaraan dan keperitan orang lain. 

Sepanjang umur aku hidup, ini pertama kali aku dengar pemain Chelsea dari Israel yang namanya Yossi Benayoun masuk Malaysia. Kira pecah rekodlah si mamat tersebut. Tidak pernah ada orang Israel yang jejak kaki lagi ke tanahair. 

Aku ada baca pasal orang tweeting Benayoun ini kena ejek semasa perlawanan menentang Malaysia malam tadi.  Elok sangatlah dia kena macam itu. Tidak kira jersi apa samada Chelsea atau Liverpool dipakai, dirinya sendiri sedia maklum berasal dari negara haram Yahudi. Aku anggap bila semua orang boo sama dia, itu sebagai simbolik bahawasanya dirinya adalah Persona Non Grata dan tidak disenangi oleh sesetengah pihak khususnya umat Islam. 

Perlukah kita dilabel sebagai racist bila insiden ini terjadi? Bagi aku tidak. Memang patut dia kena sebegitu. Biar dia sendiri tahu ekspresi orang kita tentang apa negara haram asalnya telah lakukan ke atas Palestin. Walau dia datang sebagai wakil kelab, sah-sah dia dalam jiwa masih ada semangat Zionisme negaranya. Kalau tiada nasionalisme dan patriotisme, mustahil dia tidak terpilih untuk mewakili pasukan kebangsaannya di perlawanan antarabangsa. 

Kalau FIFA mahu bertindak ke atas insiden, jangan melulu dan kena kaji selidik dulu. Mereka sepatutnya kena ambil kira hal dari pelbagai aspek. Jangan fikirkan sukan semata-mata, tapi mengabaikan perkara yang melibatkan isu sensitiviti dan diplomatik antarabangsa. Mereka seharusnya kena merangka peraturan berkaitan pemain atau pegawai yang dilarang memasuki sesebuah negara. FIFA mesti kena hormat pada dasar atau polisi sesebuah negara. Seandainya kalau ada apa-apa yang terjadi pada si Benayoun, jangan menekan negara kita untuk dipertanggungjawabkan kerana secara rasminya MALAYSIA TIADA HUBUNGAN DIPLOMATIK DENGAN NEGARA ISRAEL. Hormat dan toleransi secara menyeluruh dapat meningkatkan tahap kredibiliti badan induk sukan bola sepak ini.

Disini aku hendak menegur kepada pihak kerajaan. Jangan jadi talam dua muka. Kerana ingin memenuhi kehendak sesetengah pihak, dasar dan polisi kerajaan ditolak ketepi. Mudahnya kita lupa suatu masa orang berdemonstrasi kerana tidak bersetuju dengan kedatangan pasukan kriket dari negara Yahudi. Orang kita beremosi bila Avram Grant yang juga asalnya dari Israel mungkin datang semasa jelajah mereka pada tahun 2008. Tapi semua menarik nafas lega apabila yang datang adalah Felippe Scolari dari Brazil yang menggantikan Avram Grant sebagai pengurus baru Chelsea. 

Kepada pihak kerajaan, jangan kerana mahu seronok sangat, jiwa-jiwa mereka yang berjuang untuk Palestin dikecewakan. Sepatutnya sebelum mereka memasuki negara kita, kerajaan khususnya melalui menteri berkenaan supaya duduk berbincang dengan pengurusan Chelsea. Kerajaan harus menerangkan situasi, dasar-dasar dan kedudukan diplomatik negara secara jelas kepada sesiapa yang ingin berkunjung ke negara terlebih dahulu. Kalau pihak Israel boleh halau mereka yang dianggap sebagai ancaman, kita juga boleh lakukan perkara sedemikian kepada sesiapa yang punya kaitan secara langsung dengan Israel walau tiada ancaman. Anggaplah ini sebagai cara kita mengutuk perbuatan kejam yang dilakukan Zionis

Kita punya ramai penduduk beragama Islam. Dunia sedang melihat kekejaman Israel ke Palestin. Dunia juga memerhatikan Malaysia antara negara yang lantang menentang kezaliman yang dilakukan negara Yahudi tersebut. Rekod negara kita sedikit tercalar kerana insiden. Walaupun kita tidak dapat membendung secara keseluruhan kehadiran produk-produk yang ada kaitan Yahudi tapi janganlah sampai orangnya pula khususnya daripada Israel juga kita benarkan masuk. 

Tiada apa yang hendak dimalukan seandainya pemain yang bernama Yossi Benayoun diejek oleh penonton kita.  Sepatutnya kita patut malu bila pihak kerajaan 'melepaskan' dia untuk memasuki negara ini semata-mata atas nama semangat kesukanan. Pesan aku - jangan pandang sebelah mata dan jadi talam dua muka. 

Hormati dan hargai mereka yang bertungkus lumus, bergolok gadai masa, tenaga dan nyawa berjuang untuk Gaza dengan tidak membiarkan insiden ini berulang lagi pada masa hadapan. Sia-sia sahaja pemergian dan perjuangan mereka kalau pihak pemerintahan kita sendiri merelakan kedatangan 'tetamu' yang diundang.

No comments: