Wednesday, August 24, 2011

Dikala Anda Masih Lena Bermimpi....

Di kala masih anda masih lena bermimpi, aku sudah terjaga. Aku bersyukur dapat bangun sekali dan berpeluang untuk bersahur. Alhamdulillah, serba ringkas tapi memuaskan. Sambil menunggu menjamah makanan dan minum, aku belek Twitter dan membaca blog yang aku ikut satu per satu. Aku cuba mencari ilham dan idea untuk mencoret seawal pagi ini.

Jika diikutkan entri pada pagi ini, ini posting yang keempat puluh satu. Mengatasi bilangan posting semasa tahun 2009. Mungkin disebabkan cuti semester yang panjang serta menyahaktifkan akaun Facebook sementara waktu, boleh dikatakan aku meluahkan apa yang ada dalam minda serta hati menerusi blog ini mahupun Twitter. 
Kepada mereka yang tercari-cari ke mana pergi akaun Gelora Biru di Facebook, minta maaf. Mungkin banyak benda yang aku tidak dapat ikuti dan ketinggalan dari sudut informasi terkini, tetapi aku anggap ini sedikit sebanyak menenangkan hatiku.

Tidak bermaksud aku hendak lari dari menghadapi sesuatu. Sebaliknya aku mahu cari sesuatu yang belum pasti pertemuannya. Cukuplah sekadar hanya segelintir sahaja mengetahuinya. Selebihnya biarlah urusan itu rahsia aku  dan Allah sahaja mengetahui. 

Rasanya tidak sabar aku untuk pulang berhari raya untuk tahun ini. Tinggal beberapa hari lagi untuk aku meninggalkan sementara waktu bumi Shah Alam ini. Aku ingin nikmati cuti raya ini sebaik mungkin setelah 3 bulan lebih bertungkus lumus bekerja demi survival di tanah yang penuh cabaran. Aku rindu mak, abah dan adik-adikku. Tidak cukup sekadar perhubungan menerusi telefon. Aku ingin kongsi dan luahkan apa yang terbuku dalam hati kepada mereka. Mana tahu, mereka jadi titik penyelesaian pada diriku ini.

Aku berazam supaya momentum yang aku dapat sepanjang Ramadan dapat diteruskan. Kekadang aku malu pada diri sendiri pada orang lain bahawasanya kurang ibadah yang sepatut aku kerjakan. Melihat pada mereka yang sekeliling berusaha untuk beribadah mengingatkan kita ada pegangan tersendiri iaitu ISLAM.

Selepas aku selesai solat Tarawikh malam tadi, aku berdoa dalam hati supaya diberi peluang untuk bertemu malam keesokannya (malam ini) dan seterusnya. Aku berdoa hari ini supaya aku jadi lebih ikhlas, amanah, tidak riak dan takbur. Aku mahu jadi orang lebih baik daripada sebelumnya. Aku mahu letakkan diri pada tempat yang sepatutnya. Semoga Allah mengabulkan permintaan aku ini. 

Masa untuk pergi bekerja. Selamat berpuasa.

Monday, August 22, 2011

45 minit untuk menulis

Hari pertama dan minggu terakhir untuk aku bekerja. Datang kerja dengan Monday Blues yang masih menyelebungi aku. Tapi sindrom itu terus hilang lepas pakat-pakat lepak di bilik mesyuarat. Kerja lipat plan yang bertimbun untuk kontrak. 

Tidak sangka 4 bulan aku bercuti sambil berkerja. Tidak rasa masa itu cepat berlalu. Wang ringgit yang dapat seolah macam air mengalir lalu. Masuk kembung keluar kempis. Tidak banyak aku simpan. Tapi cukup untuk aku tampung hidup selama cuti semester ini. Alhamdulillah. Sewa rumah, makan minum dan minyak tol semua ditanggung sendiri setakat ini. Duit pinjaman janganlah dimimpi. Kalau ada pun, elok sangat simpan bila kelas sudah bermula. Silap haribulan hujung semester pening kepala dibuatnya.

Serba sedikit pengalaman aku dapat masa cuti ini. Aku rasa sejak zaman merdeka sampai sekarang, ini baru kali pertama ada cuti sebegitu panjang tempohnya. Masa diploma aku, paling lama aku merasa cuti adalah 3 bulan. Buka semester semula, tangan pakat keras. Kalau buat sketches, mesti tidak menjadi. 

Aku ada juga kerja secara freelance. Selain itu ada dua tiga projek yang aku ambil dan buat, semuanya sangkut di tengah jalan. Semuanya kes mahu jimat, untung lebih. Aku bukan jenis orang yang ingin ambil untung atas angin. Mengambilkira kos, tenaga kerja dan idea yang dijana, harga yang dikenakan masih terlalu jauh lebih murah berbanding harga yang ditawarkan oleh professional. Sebolehnya aku tidak mahu berkompromi berkenaan benda ini kerana kerja yang dihasilkan selalunya mengikut kehendak serta mempunyai kualiti yang tersendiri. Pendek kata, kalau klien berkompromi dengan kualiti, apakah jadi satu kesalahan freelancer untuk berkompromi pasal harga? Sebenarnya freelancer bukan hendak menekan mereka yang ingin perkhidmatan yang diperlukan. Mereka cuma tuntut hak mereka. Oleh yang demikian, situasi menang-menang diperlukan untuk memastikan pelanggan dapat yang apa diinginkan dan freelancer mendapat habuan masing-masing. Mungkin penyelesaian secara berhemah dapat memberikan jalan terbaik kepada semua pihak. Jangan tamak. 



Kepada mereka yang ingin khidmat freelancer, jangan anggap golongan seperti tidak professional dan tiada etika. Sepatutnya golongan ini perlu dihargai sebaik mungkin kerana kemahiran, kemampuan dan pengetahuan yang dimiliki adalah melalui pengetahuan, self taught dan self learn. Pengalaman yang mereka ada sekurang-kurang sudah dapat membantu menyelesaikan masalah anda seperti yang ditawarkan oleh golongan yang lebih professional.  Jangan terkejut seandainya sesetengah golongan professional ini tidak mampu lakukan kerja yang lebih berkualiti berbanding golongan freelancer. Ada sebahagian dari golongan kononnya pro ini hanya mampu menjanjikan sahaja daripada menyediakan dan melaksanakan. Mereka itu sebenarnya membawa kerosakan, keburukan dan menjatuhkan reputasi dan bidang yang diceburi.

Aku sendiri mengaku masih terdapat kelemahan yang perlu diatasi. Kualiti kerja, pengurusan masa dan komunikasi - 3 perkara yang aku ingin pertingkatkan supaya hal ini ini tidak bertembung dengan masa peribadi aku. Aku harap apa yang aku usaha sedikit demi sedikit membuahkan hasil. 

Selamat Berpuasa.


Saturday, August 20, 2011

Cita - cita dan Masa Kini

Terima kasih kepada kawan atas cadangan tajuk entri kali ini.

Pada awal pagi Jumaat, sedang aku serabut menghadap kerja, sempat juga melayan Twitter bersama seorang kawanku. Kalau dibaca tweeting, memang nampak macam bergaduh tetapi tidak. Salah satu proses yang aku rasakan untuk difahami. Aku sebagai kawan mereka, menghargai apa yang lakukan. Mereka adalah antara kawan-kawanku yang ajar aku supaya belajar kenali diri secara secara mendalam. Terima kasih. Semoga Tuhan memberi kita semua kebaikan untuk jadi insan yang lebih berguna.

Semua orang ada cita-cita. Mustahil hidup tiada tujuan, tanpa asas. Malah masa di sekolah rendah dulu, kita diminta isi 3 tempat kosong cita-cita dalam fail peribadi murid-murid. Aku isilah cita-cita aku untuk menjadi arkitek, polis trafik dan doktor. Pengaruh sekeliling menjadi faktor pilihan untuk cita-cita tersebut.

Abah sebagai pendorong utama



Memandang abah bekerja sebagai Penolong Pegawai Perancang, sekali sekala dia bawa aku pergi ke pejabatnya. Melihatkan biliknya yang ada drafting table dan perkakas melukis seperti pen teknikal, memang menarik perhatian aku. Abah bagi peluang kepada aku untuk guna perkakas yang ada. Sejak dari saat itu memang cita-cita hendak kerja seperti dia walaupun masih samar dengan bidang yang diceburinya.

Selain itu aku terpikat dengan keindahan senibina masjid yang ada di Malaysia. Secara serius masa itu aku tahu dan kenal semua masjid negeri yang terdapat di negara kita. Rekabentuk cantik dan menarik membuatkan aku senang mengingati satu per satu.

Ada sekali pada masa itu, abah cuba sambung belajar di UTM. Setiap kali hujung minggu, dia akan balik jenguk kami di kampung. Masa itu aku sudah masuk tadika. Pensil dengan buku memang bersepah. Sekali aku tertidur dengan perkakas aku. Bila tersedar, ada lakaran tangan serta kereta mitsubishi galant milik abah atas buku aku.

Mula saat itu, kerja aku menconteng selagi ada stok kertas. Cuba tiru cara lakaran seperti dia. Yang jadi haru birunya - bilik aku bersepah dengan kertas-kertas yang aku lukis conteng. Orang, Ultraman, Raja, kereta dan Jambatan Pulau Pinang, itulah antara subjek kegemaran ketika melukis. Dapat set geometri seperti jangka lukis @ kompas, lagi ligat tangan aku dan otak aku hendak melukis.

Pengaruh media massa
Zaman tiada lagi akses internet sepenuhnya. Hanya mengharapkan TV yang ada beberapa saluran serta suratkhabar untuk hiburan dan maklumat. Kira-kira 15 tahun yang lalu, cerita tentang Roda-Roda Kotaraya lakonan Mustafa Kamal membuat aku rasa mahu jadi macam dia juga - seorang polis trafik. Aku tengok hebat bila mereka menunggang laju motorsikal Honda CBX750. Hari-hari asyik menconteng seorang polis lengkap berhelmet kerjanya aku masa itu. 



Yang muncul cita-cita mahu jadi doktor bila tengok surat khabar. Tambah pula masa darjah 4, baru diperkenalkan subjek Sains. Jadi tambah bersemangatlah aku jawabnya. Artikel di bahagian kesihatan yang selalu terpampang di Mingguan Malaysia dipotong dan dilekatkan dalam buku.

Yang kekal dan berubah
Masuk sekolah menengah, cita-cita aku macam jadi samar seketika. Cita-cita menjadi doktor hampir aku tinggalkan. Muncul pula cita-cita mahu jadi seorang jurutera. Zaman tersebut, memang galakkan pelajar memilih aliran Sains berbanding Sastera. Siap ada program lagi. 

Alhamdulillah, keputusan PMR aku tidak mengecewakan. Aku cenderung untuk pergi ke bidang teknikal malah melihat Biologi sebagai subjek memeningkan. Dengan kenyataan skeptikal, aku cakap silap haribulan satu boleh nyawa boleh hilang kalau tidak pandai Biologi dan mahu jadi doktor. Malangnya abah aku tidak benarkan aku berpindah ke Sekolah Menengah Teknik. Tinggallah aku bersama kawan-kawan di PFS ber'bulan madu' sehingga SPM. Aku hanya pilih Fizik, Kimia dan Lukisan Kejuruteraan sebagai subjek elektif aku.



Masa itu, memang lukisan kejuruteraan subjek kesukaan aku. Orang lain masih teragak-agak hendak lukis tangen atau pandangan isometri, aku sudah faham untuk lukisnya. Cuma aku bukan jenis yang cermat dan kemas, kerja yang hantar mesti jarang dapat gred yang baik sebab lukisan yang dibuat comot penuh dengan bekas-bekas garisan yang dipadam. 

Lepas SPM, aku letakkan diri aku di persimpangan. Tinggal dua pilihan. Jurusan senibina atau kejuruteraan. Takdir Allah mengatasi segalanya. Aku menceburi bidang senibina landskap. Atas dorongan abah aku, aku pilih jurusan ini. Dia tahu di mana tahap aku yang sebenarnya. Aku rasa tidak pernah silap dan menyesal atas pilihan ini.

Kini dan Masa Depan 
Syukur aku masih berada dalam bidang ini. Walaupun indah khabar, tidak semestinya yang hakikatnya adalah sama. Aku masih berjuang dan berusaha dalam bidang ini untuk menjadi seorang Arkitek Landskap. Biarpun aku tidak menjadi seorang Arkitek yang merekabentuk bangunan, aku pernah menjadi Pembantu Arkitek Landskap dan Perekabentuk Landskap.


Bunyinya kadang terasa cabarannya agak kurang berbanding Arkitek. Walaupun agak lari sedikit dari cita-cita asal untuk jadi seorang Arkitek, minat yang mendalam terhadap melukis dan suka melihat rekaan binaan manusia membuatkan cita-cita aku masih belum tersasar. Aku masih dalam bidang Alam Bina dan sentiasa bekerjasama dengan arkitek bangunan dan jurutera dalam sesuatu projek. Ini secara tidak langsung aku berpeluang belajar cara arkitek dan jurutera bekerja.

Pengalaman menyertai pasukan beruniform seperti sukarelawan polis sudah cukup bagi aku untuk merasa serba sedikit tentang dunia kepolisan. Memang hasrat aku untuk 'berehat' dari bidang itu bila aku sudah tamat latihan walaupun hanya berpangkat Inspektor Sukarelawan. Aku puas biarpun cabaran yang dirasai hanya secebis daripada hakiki kerja sebenar polis. 

Kerja seperti abah - sebagai Pegawai Perancang pun aku dapat rasai ketika 3 tahun bekerja sebagai Pembantu Arkitek Landskap. Bekerja dan menaip laporan setebal 6 inci untuk memenuhi kehendak dan piawaian bikin aku rasa tidak cari lagi perunding sebegitu untuk jadi majikan. Lagi penat perah otak untuk buat ayat atau frasa teknikal jika dibandingkan merekabentuk. Kerja dengan orang yang banyak komen tidak tentu hala membuatkan aku rasa mereka ini mengada-ada atau terlampau double standard.

Sebolehnya aku ingin kekal dalam Senibina Landskap sebagai karier utama aku. Impian aku bukan sahaja menjadi seorang yang kompeten dan professional sebaliknya memastikan masyarakat kita Malaysia kenal faham bahawasanya kerja bidang Senibina Landskap bukan tanam pokok dan bunga semata-mata serta kami merekabentuk dengan alam sekitar demi pembangunan yang mampan.

Kalau tiada orang seperti kami @ Arkitek Landskap, mungkin juga tiada rekabentuk sebegini
Secara dasarnya, pengaruh persekitaran mencorak perjalanan hidup kita. Adakalanya di rancang, adakalanya secara kebetulan. Kita tidak semestinya terus redha, bulat-bulat serah kepada Allah. Usaha dahulu sehabis  baik disulami tawakal dan doa. InsyaAllah akan dipermudahkan.

Inilah cerita cita-cita dalam karier aku.

Cita-cita aku dalam kehidupan sebenar? Mungkin lain masa aku kongsikan bila sudah bersedia.




Pertemuan Pertama dan Terakhir

Aku mulakan entri hujung minggu dengan satu berita sedih. Agak lewat aku mengetahui berita ini serta tidak disangka itulah pertemuan yang pertama dan terakhir.

Apa yang aku hendak kongsikan adalah pertemuan dengan Tengku Ismail Su. Seorang kerabat di raja Terengganu dan merupakan dua pupu kepada Yang Pertuan Agong kita, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Semasa lawatan batch kami ke Terengganu pada Mac lalu, kami berkesempatan untuk bertemu dan bertandang di kediaman beliau di Pura Tanjung Sabtu.

Gerbang penyambut kedatangan kami. Perjalanan menerusi sungai sungguh unik.
Lambaian rumput lalang mengiringi ke Pura Tanjung Sabtu
Kediaman miliknya agak unik sekali. Menggunakan bahan-bahan dari istana lama yang terdapat di kawasan Istana Maziah. Istana yang didirikan atas tanah wakaf milik keluarganya yang terletak di pinggir Sungai Terengganu membuatkan aku terasa kembali ke zaman Kesultanan Melayu dahulu. Tidak perlu pagar dan gerbang yang gah, lambaian pinang dan lalang setinggi-tingginya mengiringi kunjungan kami ke puranya.

Nampak seperti sebuah muzium. Tapi hakikatnya inilah sebuah pura@kediaman
Lantai tinggi, tebar layar serta bumbung atap Singgora. Identiti senibina Melayu Terengganu dan Pantai Timur.
Beliau seorang yang peramah dan sederhana. Walaupun salah seorang kerabat diraja, itu tidak jadi penghalang untuk kami bermesra. Walaupun fasih berbahasa Inggeris, kecek dan pelat Terengganu masih sebati dengan dirinya. Tidak seperti sesetengah kerabat diraja yang penting darjat dan kedudukan.
Aku dan bersama Allahyarham Tengku Ismail Su.
Sebahagian daripada batch aku. Pensyarah mengapit kiri dan kanan Pak Engku.

Semua ruang yang ada, agak terbuka dan boleh dilawati sesiapa pun. Kayu papan yang dijadikan sebagai dinding atau lantai masih utuh berdiri walau sudah berusia beratus tahun.
Ideanya untuk memelihara senibina dan budaya tercetus daripada Istana Katsura Jepun. Biarpun sudah beratus tahun didirikan ditambah pula negara Jepun yang sering dilanda gempa bumi, istana tersebut tetap teguh berdiri sehingga kini.


No barrier no border. 

Sebagai penggiat dan pencinta songket, Ayat Kursi digunakan sebagai corak tenunan. 
Ruangan santai yang terbuka
Kawasan rumah selang

Pandangan ke arah sebahagian tanah wakaf milik keluarga
Sayangnya dasar pemuliharaan dan pemeliharaan negara kita tidak setanding Jepun. Peruntukkan yang terhad, kerenah birokrasi pihak kerajaan dan ekploitasi untuk tujuan komersial menjadikan usaha untuk mengekalkan warisan Melayu ini seolah dipandang sepi. Pak Engku sendiri menyatakan kekecewaannya dan penat kerana pihak bertanggungjawab tiada usaha untuk bersama-sama memelihara khazanah ini. Hanya bergantung kepada wang kutipan hasil lawatan dan penginapan yang bermalam di Puranya menjadi penyambung survival Istana Melayu Terengganu.



Semoga usaha-usaha yang dilakukan oleh Pak Engku diteruskan oleh generasi kita yang akan datang. Diharapkan pihak kerajaan mengambil langkah terbaik untuk memastikan senibina dan budaya Melayu tidak telan dimakan zaman.
Kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Tengku Ismail Su. Semoga roh beliau ditempatkan bersama para orang yang beriman dan beramal soleh.

Posted by Picasa

Tuesday, August 16, 2011

Samsung Galaxy Mini S 5570

Peringatan : Ulasan ini berdasarkan pengalaman sendiri menggunakan Samsung Galaxy Mini S5570. Sebahagian maklumat yang disampaikan mungkin tidak sesuai digunakan sebagai rujukan pembaca. Anda digalakkan merujuk kepada pengeluar dan pembekal untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut dan terkini berkenaan telefon ini. Penulis tidak akan bertanggungjawab seandainya berlaku sebarang kegagalan, kecuaian dan kesilapan yang dilakukan oleh pemilik telefon bimbit tersebut. Sekiranya ada sebarang pendapat dan cadangan, sila tinggalkan komen untuk dikongsi bersama. Terima kasih.


Dengan dunia informasi tanpa sempadan, kita juga tidak terlepas untuk mengikuti peredaran zaman ini. Kemajuan teknologi yang ada memudahkan kita mencapai sesuatu yang diperlukan dengan menggunakan hujung jari untuk berhubung satu sama lain. 

Malangnya tidak semua memiliki perkakas yang lebih canggih. Harga pasaran yang tinggi menyebabkan hanya segelintir sahaja dapat memiliki teknologi tersebut. Namun Samsung merintis jalan untuk menyediakan kemudahan ini dengan kos yang amat rendah tapi tinggi kualitinya. Hasilnya lahirlah Samsung Galaxy Mini S5570. Mula di pasaran seawal 2011, telefon ini mempunyai kelas tersendiri untuk mereka yang inginkan penjimatan tapi mementingkan perhubungan dan komunikasi.

Menggunakan perisian Android 2.2 (Froyo), sudah pasti tidak mengecewakan. Boleh dinaiktaraf kepada Android 2.3 (Gingerbread), Galaxy mini buatkan aku rasa cukup untuk setakat ini memiliki sebuah telefon pintar. Walaupun aku tidak pernah memiliki telefon pintar lain seperti I-Phone, perisian dan aplikasi yang ada memang cukup menarik dan mudah untuk dimiliki serta dimuat turun.

Rekabentuknya agak ringkas serta saiz skrin besar. Memang sesuai untuk orang yang mempunyai jari sederhana besar. Jangan risau pasal papan kekunci QWERTY jika belum bersedia untuk menggunakan. Pilihan untuk menggunakan papan kekunci 3 X 4 seperti yang terdapat pada telefon biasa juga disediakan.

Kualiti gambar juga memuaskan walaupun hanya 3.2 megapixel. Sudah memadai untuk kita hantar MMS, IM dan bersosial. Walaupun saiz memori yang diberikan hanya 180MB, kad memori berkapasiti 2GB juga diberikan untuk penyimpanan data yang lebih besar.

Disini aku ingin ringkaskan ulasan berkenaan Samsung Galaxy Mini S5570

Kelebihan
Saiz yang skrin besar (3.14 inci)
Harga yang murah (RM499-RM599 - beruntung siapa dapat cari harga serendah RM500 + original set, cuba semak di website Mudah.com.my)
Boleh di'upgrade' ke Android 2.3 (Gingerbread)
Penggunaan skrin sentuh (touch screen) sepenuhnya
Internal memori (180MB)
Sesuai untuk jari besar
Kemudahan GPS
Integrasi social network - Gmail, Facebook, Twitter, IM dan WhatApps.

Kekurangan
Sesetengah Apps tidak compatible seperti GARMIN
Jangka hayat bateri - Kurang dari 24 jam
RAM yang terhad - Apps yang tidak gunapakai terpaksa 'dibunuh' untuk mengelakkan kelembapan processor. Tidak boleh buka dan guna banyak Apps dalam satu masa.
Radio hanya berfungsi bila dipasang dengan audiojack
Tiada kemudahan untuk panggilan 3G. (Aku tidak kisah sangat sebab benda itu tidak jadi keperluan buat masa ini).

Bagaimana aku boleh dapat harga semurah itu?
Aku mencari melalui laman web Mudah - http://www.mudah.my/
Tidak menjadikan telefon sebagai platform hiburan. Itulah prinsip@pegangan aku dalam mencari sebuah telefon baru. Cukuplah sekadar MP3, Apps seperti Opera Mini, Wiki, Twitter, Blogger-droid dan Winamp untuk menghilangkan rasa bosan. Oleh yang demikian, aplikasi permainan tidak diperlukan oleh aku. Tidak berbaloi untuk aku habiskan berpuluh ringgit untuk minta penjual install apps yang mungkin tidak diperlukan. Jangan mimpi untuk dapat telefon semurah ini kalau fikir hendak sumbat macam-macam apps yang kadang-kadang agak sia-sia saja. Kalau mahu pakai apps yang diperlukan, cari sahaja dalam Android Market atau internet. Berlambak kita boleh cari sendiri.

Hiburan bukan matlamat utama, komunikasi dan perhubungan lebih penting. 
Secara serius aku tekankan, kepuasan menggunakan telefon ini adalah bila kita manafaatkan sebaik untuk perhubungan. Meletakan keperluan di atas keinginan menjadikan Samsung Galaxy Mini yang aku miliki sudah cukup untuk berhubung dan berkomunikasi. Tidak perlu yang lebih canggih dan hebat kalau kita tidak gunakan sebaik mungkin. Tidak perlu menunjuk siapa lebih canggih, cantik dan lebih mahal.

Lagipun aku lebih selesa bermain game seperti FIFA di komputer. Puas dan menyeronokkan. Bukannya aku kaki gamers yang minat main di telefon.

Pesanan ringkas: Janganlah kita jadi Hamba kepada Teknologi, jadilah kita Pengguna yang Bijak.


Sunday, August 14, 2011

Alhamdulillah, lepas dua hari menggunakan android aku baru cuba hantar posting terkini menggunakan smartphone aku.

Insyaallah dalam masa terdekat, aku cuba hantar posting berkenaan Samsung Galaxy Mini S5570 yang baru aku miliki.

Apa apa pun aku mahu ucapkan selamat berbula puasa kepada pembaca blog Berita Dari Rantau.

Terima kasih.

Friday, August 5, 2011

Dengan Manusia Kita Takut, Depan Tuhan Kita Berani?

Mungkin ayat aku pakai ini bunyinya tidak sopan. Tapi sebagai manusia, aku ada hak untuk bersuara. Menegur, berpesan dan mengajar yang baik menjadi tuntutan dalam agama. Jadi dalam kesempatan yang ada ini, pada hari yang dimuliakan, elok sangat kita sama-sama ambil iktibar daripada apa yang aku hendak luahkan. Apa yang aku hendak tuliskan bukan seronok suka-suka tapi sebahagian ibadah. Aku harapkan ganjaran Allah dan dipermudahkan urusan dunia serta amalan yang dilaksanakan.

Kalau sebut ponteng jumaat, mungkin aku pernah buat juga. Dosa dan pahala, urusan aku dengan Tuhan. Aku sedar kesalahan yang dilakukan tapi yang aku mahu taipkan adalah pasal Adab, Tertib dan Sunnah pada ketika Solat Jumaat. Secara seriusnya, dalam dunia sibuk dengan pekerjaan dunia, kita lupa sebenarnya Hari Jumaat adalah perayaan mingguan untuk Islam. Penghulu segala hari diangkat sebagai hari kebesaran. Memang bagus macam negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu menjadikan hari Jumaat sebagai hari cuti. Malangnya hari Jumaat sebagai hari kerja, perkara yang patut kita buat untuk solat Jumaat, kita abaikan dan ambil ringan.

Alhamdulillah, aku diberikan peluang untuk dengar satu kuliah Maghrib pada beberapa minggu lepas. Kuliah tentang Solat Jumaat. Ada output yang aku dapat dari kuliah itu. Cuma aku mahu tekan beberapa perkara yang rasa kita semua sedia maklum, bising bersembang, lelap mata dan main handphone ketika Sembahyang Jumaat. Benda ini memang jadi lumrah tapi satu keburukan. Jelas lagi terang umat kita amat lemah. Lagi terang bila tengah siaran langsung, TV rakam kita lentok terpejam menunduk ke lantai. Macam kalah perang.  Sedangkan Solat Jumaat lambang kekuatan dan perpaduan Islam. 

Bayangkan kalau situasi ini kita buat ketika dengar syarahan atau dalam kelas. Tidur, sembang gosip dan main sms dengan orang lain. Sah-sah kena denda, ketuk atau kena bahan dengan guru atau pensyarah kalau terkantoi. Ataupun bila kita masuk tengok wayang. Cuba buat perangai buruk sebegitu, sah-sah kena halau dengan guard atau staf. Dengan undang-undang manusia sebegitu kita takut mahu buat kesalahan tapi kenapa kita berani buat benda macam itu depan Allah Taala? Sudahlah tidak tahu bertimbun mana dosa pahala kita, perkara sebegini kita ambil ringan? 

Oleh yang demikian kita kena buat persediaan sebelum pergi Sembahyang Jumaat. Kepala otak mula set dan rancangkan apa patut kita buat pada hari itu. Jangan jadikan waktu Sembahyang Jumaat sebagai melepaskan penat semata-mata atau gangguan. Aku tahu semua penat bekerja tapi janganlah biar jadi waktu itu sebagai untuk lelapkan mata. Tumpukan masa untuk ambil iktibar apa yang Khatib katakan. Mana tahu jadi pengajaran kita semua. Kita hendaklah jadi Solat Jumaat sebagai tempat menguatkan rohani memantapkan akal.

Aku pernah alami situasi yang mungkin memalukan diri sendiri. Aku lelap semasa waktu khutbah. Lelap sampai kaki aku kebas. Bila semua mula mahu sembahyang, aku terpinga-pinga bila kaki tidak boleh gerak sebab terlampau kebas. Mungkin sejak dari itu memang aku tidak akan lelap lagi walaupun mengantuk.

Alhamdulillah, mungkin berkat tunjuk ajar yang aku terima dari dulu sampai sekarang, aku berani berkata begini. Masa kecil abah aku bawa pergi ke masjid bila sembahyang Jumaat.Kalau aku bercakap, dengan spontan isyarat telunjuk dia letak di mulut. Kalau degil, balik rumah siap kena rotan. Bila masuk sekolah rendah, tok siak masjid arwah Pak Awang tegur awal sebelum khutbah bermula. Bayangkan rotan panjang penyapu, memang bahana kalau kena. Syukur aku pernah tidak kena. Masuk asrama pula, lagi 'hardcore' dendanya dengan senior walaupun mereka sendiri ada yang tidak betul. Kena half stand atau turun motor kalau dapat tahu siapa tidur masa khutbah. Yang lagi teruk, ada kena sepak terajang dan 'starlight' dengan berus gigi atau jari yang pakai cincin. Merah dahi sampai berbekas.

Sebenarnya ini salah silap kita sendiri. Fikirkan amal ibadat sendiri sampai anak-anak, adik-adik kita terabai. Penyelesaian ada macam-macam tapi pelaksanaan seolah pandang sepi. Melepas batuk di Ibubapa sekarang sepatutnya tidak letak bebanan pada AJK masjid semata-mata. Anak-anak perlu dididik dan diberikan hukuman setimpal. Jangan marah kalau orang lain menegur bila anak buat salah. Jangan jadi teruk sampai siap merakam dan kata orang yang menghukum itu zalim dan tidak berperikemanusiaan. Jangan diaibkan orang yang berbuat baik, Tuhan ada kuasa untuk buka aib salah silap kita. Jangan dimanjakan sangat anak-anak, adik-adik kita. Naik lemak jadinya nanti.

Organisasi masjid pula kena ada orang atau AJK yang macam arwah Pak Awang. Tok Siak yang tegas dan garang mungkin dapat atasi masalah macam ini. Usung rotan macam pengetua keliling pusing sekolah. Sekurang-kurangnya bila tengok rotan, pakat semua senyap takut kena balun sebab buat bising. Ustaz-ustazah di sekolah perlu ambil bahagian untuk pastikan anak murid-murid jadi beradab bila berada di masjid. Aku cadangkan apa yang Khatib katakan dijadikan sebahagian daripada kerja sekolah mereka. Catat dan buat ringkasan serta ulasan supaya mereka memanafaatkan sedikit sebanyak dari khutbah yang disampaikan.


Lagi satu perkara yang aku mahu tekankan bila Sembahyang Jumaat adalah penggunaan telefon bimbit di masjid. Banyak sangat papan tanda - Tiada Panggilan Sepenting Seruan Illahi. Mungkin ayat itu sudah lapuk kerana dengan kemajuan teknologi, telefon boleh tukar mod senyap. Masih ada hubungan lagi dan orang masih berkomunikasi. Tagline kena tukar kepada 'TIADA KOMUNIKASI SEPENTING HUBUNGAN ILLAHI'. Tuhan tidak kisah segala teknologi yang kita ada tapi kita diperintahkan untuk mempersiapkan bekalan yang kita punya untuk menghadap Dia. Adakah I-Phone, Android dan segala macam jenis telefon yang muncul sekarang dapat tolong kita berdepan Tuhan kelak? Bolehkah teknologi di hujung jari itu boleh bawa masuk kubur? Adakah Twitter, Facebook boleh bantu kita jawab, komen dan bantu balas jawab pertanyaan Malaikat nanti? 

Ambillah kesempatan untuk Sembahyang Jumaat, tinggalkanlah segala urusan dunia seketika untuk menghadap Tuhan Yang Maha Esa. Berkomunikasi secara terus dengan Allah tanpa menggunakan sebarang teknologi. Tidak rugi kemana pun. Kena ingat bahawasanya kita ini adalah hamba Tuhan dan bukan hamba Teknologi. Manafaatkan teknologi sebaik mungkin untuk memudahkan kita bukan membebankan kita. Tidak ada guna kalau kita tweet atau posting ajak orang pergi sembahyang Jumaat sedangkan khatib berdiri atas mimbar berkhutbah kita abaikan. Jadikanlah solat Jumaat sebagai tempat kita mencari kekuatan rohani dan jasmani untuk hadapi cabaran mendatang. Bukannya platform untuk sembang kosong dan menunjuk-nunjuk tapi  ruang untuk kita mengadu nasib dan cari keredhaanNya. InsyaAllah.






Kisah di sebalik talam.....

Budaya makan dalam talam? Kolot ke? 

Zaman budak-budak dulu, bulan Ramadan memang ditunggu-tunggu. Masa mula-mula puasa memanglah rasa penat tapi bila sudah biasa, puasa itu menyeronokkan. Yang tambah seronok, buka puasa di masjid. Kalau bab pasal makan, budak-budak memang juaralah. Kecoh mengalahkan suara imam berwirid lepas sembahyang maghrib. Kali ini aku mahu tumpukan cerita berbuka. Disebalik cerita berbuka di masjid, banyak benda kita dapat manafaatkan bersama.

Di masjid kampung aku tinggal, selalu berselang seli hidangan juadahnya. Contohnya kalau hari ini tarikh ganjil, orang masjid akan masak kanji @ bubur lambuk. Kalau hari genap, mungkin ada rezeki untuk makan dalam talam. Selalunya nasi putih, lauk besamah daging, kerabu tomato dan gulai daging. Bagi aku yang hidup di kampung masa itu, cukup bertuah dapat makan lauk sebegitu. Bukan keluarga aku tidak mampu, aku rasa lauk seolah jarang jumpa selalu. Kalau mahu makan lauk macam itu, jawabnya tunggu kenduri kahwin. Kalau sekarang pun mungkin susah jumpa lauk sebegitu bila ada kenduri. Banyak yang guna khidmat katering, jadi lebih banyak pilihan untuk hidangan para tetamu. 

Zaman buka puasa 15 tahun dulu, minuman kena bawa sendiri dari rumah. Kalau tidak, hirup kopi atau teh dengan serbuk sekali. Tiada tempat simpan ais, maka minuman panas sahaja disediakan. Ais pula tidak senang dapat seperti dulu. Kalau mahu juga, pergi minta pada jiran depan rumah. Mak aku jenis tidak suka kami minum ais terlampau banyak. Jadi memang tidak buat ais dalam peti sejuk rumah aku. Kalau hendak betul-betul sejuk, aku bancuh air siap-siap lepas balik sekolah dan simpan air dalam peti sejuk. 

Masa berubah, pemikiran pun beralih. Aku dulu seorang budak yang fikir makan sedap di masjid, kini cuba ambil iktibar dan hikmah di sebalik budaya makan dalam talam. 

Disebalik budaya ini tersembunyi sifat-sifat yang boleh aku nilai sendiri. Kesederhanaan, kesyukuran, muafakat, keberkatan dan kesopanan - antara elemen yang aku dapat rasai dalam budaya ini.

Kesederhanaan mengajar aku supaya tidak berlebih-lebihan dalam menghadapi bulan puasa. Dari tahun ke tahun, aku mula memahami bahawa Ramadan bukan bulan untuk mengejar juadah yang enak. Melainkan ada jemputan, mahu atau sebaliknya aku tidak boleh menolak. Apa pun secara keseluruhannya, janganlah jadikan puasa untuk kita berlumba memenuhi nafsu perut semata-mata kerana apa yang dicari selama ini pasti ada pada 11 bulan selain Ramadan. Ayam percik, kuih muih dan macam-macam lagi boleh kita jumpa pada pasar malam mingguan.

Dalam kesederhanaan yang cuba dipupuk, secara tidak langsung melahirkan kesyukuran. Syukur itu penting dalam hidup kita semua. Kita tidak boleh pertikaikan dan menafikan rezeki yang ditetapkan oleh Allah. Malah Tuhan dalam firmannya menyatakan barangsiapa yang bersyukur maka ditambahkan rezeki untuknya. Walau lauk yang dihidang tidak semewah makanan di hotel, aku cukup bersyukur kerana Tuhan bagi peluang untuk rasa rezeki yang Dia limpahkan. Aku kena belajar bersyukur sebaik sebab ada orang lagi teruk dan menderita masih tidak ada peluang untuk makan dan minum sebaiknya.

Kemuafakatan ini juga boleh kita rasa dan lihat dalam budaya ini. Dalam satu talam yang kita makan, aku boleh mengenali antara satu sama lain. Bukan jaga tepi kain orang lain, sekadar patut ambil tahu apa yang dikerjakannya. Misalnya kita memerlukan sesuatu khidmat dan takdir Allah menemukan kita dengan insan yang sediakan perkhidmatan tersebut ketika makan bersama. Alangkah untungnya. Tapi pastinya aku tidak menjurus kepada itu. Urusan dunia sebaiknya tinggal ketepi di luar masjid. Lebih penting muafakat yang aku cari adalah toleransi dan tolak ansur. Jangan kerana lauk yang sedap, melantak sampai lupa diri. Kalau rasa hebat dan ingin disisihkan secara halus, cubalah buat perangai macam itu.

Kesopanan antara aspek yang mencakupi kesemua di atas. Gopoh, gelojoh dan tamak antara perkara yang kita elakkan. Memang perut lapar tapi janganlah sampai nampak macam kebulur pula. Yang peliknya ada sekelompok berlumba siapa makan paling banyak atau siapa habis dulu. Ini adalah sunnah Nabi, sebolehnya kita terapkan adab makan yang elok. Kalau cara makan kita tidak betul dan tiada tertibnya, silap-silap terus hilang selera orang lain yang makan bersama. Seeloknya kurangkan bercakap ketika makan. Tahan apa yang mahu dikatakan, takut-takut makanan yang ditelan tersembur keluar balik.

Alhamdulillah, sampai hari ini aku diberi peluang untuk merasai budaya ini. Aku harap dapat merasai budaya ini sampai penghujung Ramadan. Kalau satu hari nanti sudah berkahwin, aku cuba terapkan budaya ini dalam rumah sendiri. Isteri dan anak duduk makan bersama dalam sebuah talam. Kemesraan pun boleh terjalin. Suami suapkan isteri, isterikan suapkan anak. Secara saintifik, jemari kita ada enzim yang baik untuk penghadaman. Takdir Allah kalau dapat serap enzim yang baik, InsyaAllah akan jadi baik juga orang yang merasanya. Budak-budak jadi lagi taat pada orang tua. Selain itu, budaya ini adalah mendorong kita berjimat dan tidak membazir. Tidak perlu buang tenaga dan masa untuk basuh pinggan bertingkat. Cuci sebersih mungkin dan simpan. Tidak perlu banyak rak tinggi untuk kita simpan. Lebih praktikal.



Semoga apa yang dapat rasa ketika ini menjadikan aku orang yang lebih baik dan tidak menjadikan diri ini seperti pepatah Melayu - Talam Dua Muka. Banyak lagi kita boleh rungkai di sebalik budaya makan dalam talam.

Pakat-pakat makan satu talam satu kampung
Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak. Selamat Berpuasa.