Wednesday, August 24, 2011

Dikala Anda Masih Lena Bermimpi....

Di kala masih anda masih lena bermimpi, aku sudah terjaga. Aku bersyukur dapat bangun sekali dan berpeluang untuk bersahur. Alhamdulillah, serba ringkas tapi memuaskan. Sambil menunggu menjamah makanan dan minum, aku belek Twitter dan membaca blog yang aku ikut satu per satu. Aku cuba mencari ilham dan idea untuk mencoret seawal pagi ini.

Jika diikutkan entri pada pagi ini, ini posting yang keempat puluh satu. Mengatasi bilangan posting semasa tahun 2009. Mungkin disebabkan cuti semester yang panjang serta menyahaktifkan akaun Facebook sementara waktu, boleh dikatakan aku meluahkan apa yang ada dalam minda serta hati menerusi blog ini mahupun Twitter. 
Kepada mereka yang tercari-cari ke mana pergi akaun Gelora Biru di Facebook, minta maaf. Mungkin banyak benda yang aku tidak dapat ikuti dan ketinggalan dari sudut informasi terkini, tetapi aku anggap ini sedikit sebanyak menenangkan hatiku.

Tidak bermaksud aku hendak lari dari menghadapi sesuatu. Sebaliknya aku mahu cari sesuatu yang belum pasti pertemuannya. Cukuplah sekadar hanya segelintir sahaja mengetahuinya. Selebihnya biarlah urusan itu rahsia aku  dan Allah sahaja mengetahui. 

Rasanya tidak sabar aku untuk pulang berhari raya untuk tahun ini. Tinggal beberapa hari lagi untuk aku meninggalkan sementara waktu bumi Shah Alam ini. Aku ingin nikmati cuti raya ini sebaik mungkin setelah 3 bulan lebih bertungkus lumus bekerja demi survival di tanah yang penuh cabaran. Aku rindu mak, abah dan adik-adikku. Tidak cukup sekadar perhubungan menerusi telefon. Aku ingin kongsi dan luahkan apa yang terbuku dalam hati kepada mereka. Mana tahu, mereka jadi titik penyelesaian pada diriku ini.

Aku berazam supaya momentum yang aku dapat sepanjang Ramadan dapat diteruskan. Kekadang aku malu pada diri sendiri pada orang lain bahawasanya kurang ibadah yang sepatut aku kerjakan. Melihat pada mereka yang sekeliling berusaha untuk beribadah mengingatkan kita ada pegangan tersendiri iaitu ISLAM.

Selepas aku selesai solat Tarawikh malam tadi, aku berdoa dalam hati supaya diberi peluang untuk bertemu malam keesokannya (malam ini) dan seterusnya. Aku berdoa hari ini supaya aku jadi lebih ikhlas, amanah, tidak riak dan takbur. Aku mahu jadi orang lebih baik daripada sebelumnya. Aku mahu letakkan diri pada tempat yang sepatutnya. Semoga Allah mengabulkan permintaan aku ini. 

Masa untuk pergi bekerja. Selamat berpuasa.

2 comments:

Reeani Annur said...

selamat berpuasa dan selamat hari raya..

mataku coklat said...

SELAMAT BERPUASA JAT....