Mungkin ayat aku pakai ini bunyinya tidak sopan. Tapi sebagai manusia, aku ada hak untuk bersuara. Menegur, berpesan dan mengajar yang baik menjadi tuntutan dalam agama. Jadi dalam kesempatan yang ada ini, pada hari yang dimuliakan, elok sangat kita sama-sama ambil iktibar daripada apa yang aku hendak luahkan. Apa yang aku hendak tuliskan bukan seronok suka-suka tapi sebahagian ibadah. Aku harapkan ganjaran Allah dan dipermudahkan urusan dunia serta amalan yang dilaksanakan.
Kalau sebut ponteng jumaat, mungkin aku pernah buat juga. Dosa dan pahala, urusan aku dengan Tuhan. Aku sedar kesalahan yang dilakukan tapi yang aku mahu taipkan adalah pasal Adab, Tertib dan Sunnah pada ketika Solat Jumaat. Secara seriusnya, dalam dunia sibuk dengan pekerjaan dunia, kita lupa sebenarnya Hari Jumaat adalah perayaan mingguan untuk Islam. Penghulu segala hari diangkat sebagai hari kebesaran. Memang bagus macam negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu menjadikan hari Jumaat sebagai hari cuti. Malangnya hari Jumaat sebagai hari kerja, perkara yang patut kita buat untuk solat Jumaat, kita abaikan dan ambil ringan.
Alhamdulillah, aku diberikan peluang untuk dengar satu kuliah Maghrib pada beberapa minggu lepas. Kuliah tentang Solat Jumaat. Ada output yang aku dapat dari kuliah itu. Cuma aku mahu tekan beberapa perkara yang rasa kita semua sedia maklum, bising bersembang, lelap mata dan main handphone ketika Sembahyang Jumaat. Benda ini memang jadi lumrah tapi satu keburukan. Jelas lagi terang umat kita amat lemah. Lagi terang bila tengah siaran langsung, TV rakam kita lentok terpejam menunduk ke lantai. Macam kalah perang. Sedangkan Solat Jumaat lambang kekuatan dan perpaduan Islam.
Bayangkan kalau situasi ini kita buat ketika dengar syarahan atau dalam kelas. Tidur, sembang gosip dan main sms dengan orang lain. Sah-sah kena denda, ketuk atau kena bahan dengan guru atau pensyarah kalau terkantoi. Ataupun bila kita masuk tengok wayang. Cuba buat perangai buruk sebegitu, sah-sah kena halau dengan guard atau staf. Dengan undang-undang manusia sebegitu kita takut mahu buat kesalahan tapi kenapa kita berani buat benda macam itu depan Allah Taala? Sudahlah tidak tahu bertimbun mana dosa pahala kita, perkara sebegini kita ambil ringan?
Oleh yang demikian kita kena buat persediaan sebelum pergi Sembahyang Jumaat. Kepala otak mula set dan rancangkan apa patut kita buat pada hari itu. Jangan jadikan waktu Sembahyang Jumaat sebagai melepaskan penat semata-mata atau gangguan. Aku tahu semua penat bekerja tapi janganlah biar jadi waktu itu sebagai untuk lelapkan mata. Tumpukan masa untuk ambil iktibar apa yang Khatib katakan. Mana tahu jadi pengajaran kita semua. Kita hendaklah jadi Solat Jumaat sebagai tempat menguatkan rohani memantapkan akal.
Aku pernah alami situasi yang mungkin memalukan diri sendiri. Aku lelap semasa waktu khutbah. Lelap sampai kaki aku kebas. Bila semua mula mahu sembahyang, aku terpinga-pinga bila kaki tidak boleh gerak sebab terlampau kebas. Mungkin sejak dari itu memang aku tidak akan lelap lagi walaupun mengantuk.
Alhamdulillah, mungkin berkat tunjuk ajar yang aku terima dari dulu sampai sekarang, aku berani berkata begini. Masa kecil abah aku bawa pergi ke masjid bila sembahyang Jumaat.Kalau aku bercakap, dengan spontan isyarat telunjuk dia letak di mulut. Kalau degil, balik rumah siap kena rotan. Bila masuk sekolah rendah, tok siak masjid arwah Pak Awang tegur awal sebelum khutbah bermula. Bayangkan rotan panjang penyapu, memang bahana kalau kena. Syukur aku pernah tidak kena. Masuk asrama pula, lagi 'hardcore' dendanya dengan senior walaupun mereka sendiri ada yang tidak betul. Kena half stand atau turun motor kalau dapat tahu siapa tidur masa khutbah. Yang lagi teruk, ada kena sepak terajang dan 'starlight' dengan berus gigi atau jari yang pakai cincin. Merah dahi sampai berbekas.
Sebenarnya ini salah silap kita sendiri. Fikirkan amal ibadat sendiri sampai anak-anak, adik-adik kita terabai. Penyelesaian ada macam-macam tapi pelaksanaan seolah pandang sepi. Melepas batuk di Ibubapa sekarang sepatutnya tidak letak bebanan pada AJK masjid semata-mata. Anak-anak perlu dididik dan diberikan hukuman setimpal. Jangan marah kalau orang lain menegur bila anak buat salah. Jangan jadi teruk sampai siap merakam dan kata orang yang menghukum itu zalim dan tidak berperikemanusiaan. Jangan diaibkan orang yang berbuat baik, Tuhan ada kuasa untuk buka aib salah silap kita. Jangan dimanjakan sangat anak-anak, adik-adik kita. Naik lemak jadinya nanti.
Organisasi masjid pula kena ada orang atau AJK yang macam arwah Pak Awang. Tok Siak yang tegas dan garang mungkin dapat atasi masalah macam ini. Usung rotan macam pengetua keliling pusing sekolah. Sekurang-kurangnya bila tengok rotan, pakat semua senyap takut kena balun sebab buat bising. Ustaz-ustazah di sekolah perlu ambil bahagian untuk pastikan anak murid-murid jadi beradab bila berada di masjid. Aku cadangkan apa yang Khatib katakan dijadikan sebahagian daripada kerja sekolah mereka. Catat dan buat ringkasan serta ulasan supaya mereka memanafaatkan sedikit sebanyak dari khutbah yang disampaikan.
Lagi satu perkara yang aku mahu tekankan bila Sembahyang Jumaat adalah penggunaan telefon bimbit di masjid. Banyak sangat papan tanda - Tiada Panggilan Sepenting Seruan Illahi. Mungkin ayat itu sudah lapuk kerana dengan kemajuan teknologi, telefon boleh tukar mod senyap. Masih ada hubungan lagi dan orang masih berkomunikasi. Tagline kena tukar kepada 'TIADA KOMUNIKASI SEPENTING HUBUNGAN ILLAHI'. Tuhan tidak kisah segala teknologi yang kita ada tapi kita diperintahkan untuk mempersiapkan bekalan yang kita punya untuk menghadap Dia. Adakah I-Phone, Android dan segala macam jenis telefon yang muncul sekarang dapat tolong kita berdepan Tuhan kelak? Bolehkah teknologi di hujung jari itu boleh bawa masuk kubur? Adakah Twitter, Facebook boleh bantu kita jawab, komen dan bantu balas jawab pertanyaan Malaikat nanti?
Ambillah kesempatan untuk Sembahyang Jumaat, tinggalkanlah segala urusan dunia seketika untuk menghadap Tuhan Yang Maha Esa. Berkomunikasi secara terus dengan Allah tanpa menggunakan sebarang teknologi. Tidak rugi kemana pun. Kena ingat bahawasanya kita ini adalah hamba Tuhan dan bukan hamba Teknologi. Manafaatkan teknologi sebaik mungkin untuk memudahkan kita bukan membebankan kita. Tidak ada guna kalau kita tweet atau posting ajak orang pergi sembahyang Jumaat sedangkan khatib berdiri atas mimbar berkhutbah kita abaikan. Jadikanlah solat Jumaat sebagai tempat kita mencari kekuatan rohani dan jasmani untuk hadapi cabaran mendatang. Bukannya platform untuk sembang kosong dan menunjuk-nunjuk tapi ruang untuk kita mengadu nasib dan cari keredhaanNya. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment