Aku mulakan entri hujung minggu dengan satu berita sedih. Agak lewat aku mengetahui berita ini serta tidak disangka itulah pertemuan yang pertama dan terakhir.
Apa yang aku hendak kongsikan adalah pertemuan dengan Tengku Ismail Su. Seorang kerabat di raja Terengganu dan merupakan dua pupu kepada Yang Pertuan Agong kita, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Semasa lawatan batch kami ke Terengganu pada Mac lalu, kami berkesempatan untuk bertemu dan bertandang di kediaman beliau di Pura Tanjung Sabtu.
Gerbang penyambut kedatangan kami. Perjalanan menerusi sungai sungguh unik. |
Lambaian rumput lalang mengiringi ke Pura Tanjung Sabtu |
Kediaman miliknya agak unik sekali. Menggunakan bahan-bahan dari istana lama yang terdapat di kawasan Istana Maziah. Istana yang didirikan atas tanah wakaf milik keluarganya yang terletak di pinggir Sungai Terengganu membuatkan aku terasa kembali ke zaman Kesultanan Melayu dahulu. Tidak perlu pagar dan gerbang yang gah, lambaian pinang dan lalang setinggi-tingginya mengiringi kunjungan kami ke puranya.
Lantai tinggi, tebar layar serta bumbung atap Singgora. Identiti senibina Melayu Terengganu dan Pantai Timur. |
Beliau seorang yang peramah dan sederhana. Walaupun salah seorang kerabat diraja, itu tidak jadi penghalang untuk kami bermesra. Walaupun fasih berbahasa Inggeris, kecek dan pelat Terengganu masih sebati dengan dirinya. Tidak seperti sesetengah kerabat diraja yang penting darjat dan kedudukan.
Aku dan bersama Allahyarham Tengku Ismail Su. |
Sebahagian daripada batch aku. Pensyarah mengapit kiri dan kanan Pak Engku. |
Semua ruang yang ada, agak terbuka dan boleh dilawati sesiapa pun. Kayu papan yang dijadikan sebagai dinding atau lantai masih utuh berdiri walau sudah berusia beratus tahun.
Ideanya untuk memelihara senibina dan budaya tercetus daripada Istana Katsura Jepun. Biarpun sudah beratus tahun didirikan ditambah pula negara Jepun yang sering dilanda gempa bumi, istana tersebut tetap teguh berdiri sehingga kini.
No barrier no border. |
Ruangan santai yang terbuka |
Sayangnya dasar pemuliharaan dan pemeliharaan negara kita tidak setanding Jepun. Peruntukkan yang terhad, kerenah birokrasi pihak kerajaan dan ekploitasi untuk tujuan komersial menjadikan usaha untuk mengekalkan warisan Melayu ini seolah dipandang sepi. Pak Engku sendiri menyatakan kekecewaannya dan penat kerana pihak bertanggungjawab tiada usaha untuk bersama-sama memelihara khazanah ini. Hanya bergantung kepada wang kutipan hasil lawatan dan penginapan yang bermalam di Puranya menjadi penyambung survival Istana Melayu Terengganu.
Kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Tengku Ismail Su. Semoga roh beliau ditempatkan bersama para orang yang beriman dan beramal soleh.
No comments:
Post a Comment