Terima kasih kepada kawan atas cadangan tajuk entri kali ini.
Pada awal pagi Jumaat, sedang aku serabut menghadap kerja, sempat juga melayan Twitter bersama seorang kawanku. Kalau dibaca tweeting, memang nampak macam bergaduh tetapi tidak. Salah satu proses yang aku rasakan untuk difahami. Aku sebagai kawan mereka, menghargai apa yang lakukan. Mereka adalah antara kawan-kawanku yang ajar aku supaya belajar kenali diri secara secara mendalam. Terima kasih. Semoga Tuhan memberi kita semua kebaikan untuk jadi insan yang lebih berguna.
Semua orang ada cita-cita. Mustahil hidup tiada tujuan, tanpa asas. Malah masa di sekolah rendah dulu, kita diminta isi 3 tempat kosong cita-cita dalam fail peribadi murid-murid. Aku isilah cita-cita aku untuk menjadi arkitek, polis trafik dan doktor. Pengaruh sekeliling menjadi faktor pilihan untuk cita-cita tersebut.
Abah sebagai pendorong utama
Memandang abah bekerja sebagai Penolong Pegawai Perancang, sekali sekala dia bawa aku pergi ke pejabatnya. Melihatkan biliknya yang ada drafting table dan perkakas melukis seperti pen teknikal, memang menarik perhatian aku. Abah bagi peluang kepada aku untuk guna perkakas yang ada. Sejak dari saat itu memang cita-cita hendak kerja seperti dia walaupun masih samar dengan bidang yang diceburinya.
Selain itu aku terpikat dengan keindahan senibina masjid yang ada di Malaysia. Secara serius masa itu aku tahu dan kenal semua masjid negeri yang terdapat di negara kita. Rekabentuk cantik dan menarik membuatkan aku senang mengingati satu per satu.
Ada sekali pada masa itu, abah cuba sambung belajar di UTM. Setiap kali hujung minggu, dia akan balik jenguk kami di kampung. Masa itu aku sudah masuk tadika. Pensil dengan buku memang bersepah. Sekali aku tertidur dengan perkakas aku. Bila tersedar, ada lakaran tangan serta kereta mitsubishi galant milik abah atas buku aku.
Mula saat itu, kerja aku menconteng selagi ada stok kertas. Cuba tiru cara lakaran seperti dia. Yang jadi haru birunya - bilik aku bersepah dengan kertas-kertas yang aku lukis conteng. Orang, Ultraman, Raja, kereta dan Jambatan Pulau Pinang, itulah antara subjek kegemaran ketika melukis. Dapat set geometri seperti jangka lukis @ kompas, lagi ligat tangan aku dan otak aku hendak melukis.
Pengaruh media massa
Zaman tiada lagi akses internet sepenuhnya. Hanya mengharapkan TV yang ada beberapa saluran serta suratkhabar untuk hiburan dan maklumat. Kira-kira 15 tahun yang lalu, cerita tentang Roda-Roda Kotaraya lakonan Mustafa Kamal membuat aku rasa mahu jadi macam dia juga - seorang polis trafik. Aku tengok hebat bila mereka menunggang laju motorsikal Honda CBX750. Hari-hari asyik menconteng seorang polis lengkap berhelmet kerjanya aku masa itu.
Yang muncul cita-cita mahu jadi doktor bila tengok surat khabar. Tambah pula masa darjah 4, baru diperkenalkan subjek Sains. Jadi tambah bersemangatlah aku jawabnya. Artikel di bahagian kesihatan yang selalu terpampang di Mingguan Malaysia dipotong dan dilekatkan dalam buku.
Yang kekal dan berubah
Masuk sekolah menengah, cita-cita aku macam jadi samar seketika. Cita-cita menjadi doktor hampir aku tinggalkan. Muncul pula cita-cita mahu jadi seorang jurutera. Zaman tersebut, memang galakkan pelajar memilih aliran Sains berbanding Sastera. Siap ada program lagi.
Alhamdulillah, keputusan PMR aku tidak mengecewakan. Aku cenderung untuk pergi ke bidang teknikal malah melihat Biologi sebagai subjek memeningkan. Dengan kenyataan skeptikal, aku cakap silap haribulan satu boleh nyawa boleh hilang kalau tidak pandai Biologi dan mahu jadi doktor. Malangnya abah aku tidak benarkan aku berpindah ke Sekolah Menengah Teknik. Tinggallah aku bersama kawan-kawan di PFS ber'bulan madu' sehingga SPM. Aku hanya pilih Fizik, Kimia dan Lukisan Kejuruteraan sebagai subjek elektif aku.
Masa itu, memang lukisan kejuruteraan subjek kesukaan aku. Orang lain masih teragak-agak hendak lukis tangen atau pandangan isometri, aku sudah faham untuk lukisnya. Cuma aku bukan jenis yang cermat dan kemas, kerja yang hantar mesti jarang dapat gred yang baik sebab lukisan yang dibuat comot penuh dengan bekas-bekas garisan yang dipadam.
Lepas SPM, aku letakkan diri aku di persimpangan. Tinggal dua pilihan. Jurusan senibina atau kejuruteraan. Takdir Allah mengatasi segalanya. Aku menceburi bidang senibina landskap. Atas dorongan abah aku, aku pilih jurusan ini. Dia tahu di mana tahap aku yang sebenarnya. Aku rasa tidak pernah silap dan menyesal atas pilihan ini.
Kini dan Masa Depan
Syukur aku masih berada dalam bidang ini. Walaupun indah khabar, tidak semestinya yang hakikatnya adalah sama. Aku masih berjuang dan berusaha dalam bidang ini untuk menjadi seorang Arkitek Landskap. Biarpun aku tidak menjadi seorang Arkitek yang merekabentuk bangunan, aku pernah menjadi Pembantu Arkitek Landskap dan Perekabentuk Landskap.
Bunyinya kadang terasa cabarannya agak kurang berbanding Arkitek. Walaupun agak lari sedikit dari cita-cita asal untuk jadi seorang Arkitek, minat yang mendalam terhadap melukis dan suka melihat rekaan binaan manusia membuatkan cita-cita aku masih belum tersasar. Aku masih dalam bidang Alam Bina dan sentiasa bekerjasama dengan arkitek bangunan dan jurutera dalam sesuatu projek. Ini secara tidak langsung aku berpeluang belajar cara arkitek dan jurutera bekerja.
Pengalaman menyertai pasukan beruniform seperti sukarelawan polis sudah cukup bagi aku untuk merasa serba sedikit tentang dunia kepolisan. Memang hasrat aku untuk 'berehat' dari bidang itu bila aku sudah tamat latihan walaupun hanya berpangkat Inspektor Sukarelawan. Aku puas biarpun cabaran yang dirasai hanya secebis daripada hakiki kerja sebenar polis.
Kerja seperti abah - sebagai Pegawai Perancang pun aku dapat rasai ketika 3 tahun bekerja sebagai Pembantu Arkitek Landskap. Bekerja dan menaip laporan setebal 6 inci untuk memenuhi kehendak dan piawaian bikin aku rasa tidak cari lagi perunding sebegitu untuk jadi majikan. Lagi penat perah otak untuk buat ayat atau frasa teknikal jika dibandingkan merekabentuk. Kerja dengan orang yang banyak komen tidak tentu hala membuatkan aku rasa mereka ini mengada-ada atau terlampau double standard.
Sebolehnya aku ingin kekal dalam Senibina Landskap sebagai karier utama aku. Impian aku bukan sahaja menjadi seorang yang kompeten dan professional sebaliknya memastikan masyarakat kita Malaysia kenal faham bahawasanya kerja bidang Senibina Landskap bukan tanam pokok dan bunga semata-mata serta kami merekabentuk dengan alam sekitar demi pembangunan yang mampan.
Kalau tiada orang seperti kami @ Arkitek Landskap, mungkin juga tiada rekabentuk sebegini |
Secara dasarnya, pengaruh persekitaran mencorak perjalanan hidup kita. Adakalanya di rancang, adakalanya secara kebetulan. Kita tidak semestinya terus redha, bulat-bulat serah kepada Allah. Usaha dahulu sehabis baik disulami tawakal dan doa. InsyaAllah akan dipermudahkan.
Inilah cerita cita-cita dalam karier aku.
Cita-cita aku dalam kehidupan sebenar? Mungkin lain masa aku kongsikan bila sudah bersedia.
1 comment:
bangga aku dgr cter ang....biar aku teruskan niat aku nak ambik civil....hope oneday kita ada family firm....
(abah idola kita.)
Post a Comment