Monday, August 22, 2011

45 minit untuk menulis

Hari pertama dan minggu terakhir untuk aku bekerja. Datang kerja dengan Monday Blues yang masih menyelebungi aku. Tapi sindrom itu terus hilang lepas pakat-pakat lepak di bilik mesyuarat. Kerja lipat plan yang bertimbun untuk kontrak. 

Tidak sangka 4 bulan aku bercuti sambil berkerja. Tidak rasa masa itu cepat berlalu. Wang ringgit yang dapat seolah macam air mengalir lalu. Masuk kembung keluar kempis. Tidak banyak aku simpan. Tapi cukup untuk aku tampung hidup selama cuti semester ini. Alhamdulillah. Sewa rumah, makan minum dan minyak tol semua ditanggung sendiri setakat ini. Duit pinjaman janganlah dimimpi. Kalau ada pun, elok sangat simpan bila kelas sudah bermula. Silap haribulan hujung semester pening kepala dibuatnya.

Serba sedikit pengalaman aku dapat masa cuti ini. Aku rasa sejak zaman merdeka sampai sekarang, ini baru kali pertama ada cuti sebegitu panjang tempohnya. Masa diploma aku, paling lama aku merasa cuti adalah 3 bulan. Buka semester semula, tangan pakat keras. Kalau buat sketches, mesti tidak menjadi. 

Aku ada juga kerja secara freelance. Selain itu ada dua tiga projek yang aku ambil dan buat, semuanya sangkut di tengah jalan. Semuanya kes mahu jimat, untung lebih. Aku bukan jenis orang yang ingin ambil untung atas angin. Mengambilkira kos, tenaga kerja dan idea yang dijana, harga yang dikenakan masih terlalu jauh lebih murah berbanding harga yang ditawarkan oleh professional. Sebolehnya aku tidak mahu berkompromi berkenaan benda ini kerana kerja yang dihasilkan selalunya mengikut kehendak serta mempunyai kualiti yang tersendiri. Pendek kata, kalau klien berkompromi dengan kualiti, apakah jadi satu kesalahan freelancer untuk berkompromi pasal harga? Sebenarnya freelancer bukan hendak menekan mereka yang ingin perkhidmatan yang diperlukan. Mereka cuma tuntut hak mereka. Oleh yang demikian, situasi menang-menang diperlukan untuk memastikan pelanggan dapat yang apa diinginkan dan freelancer mendapat habuan masing-masing. Mungkin penyelesaian secara berhemah dapat memberikan jalan terbaik kepada semua pihak. Jangan tamak. 



Kepada mereka yang ingin khidmat freelancer, jangan anggap golongan seperti tidak professional dan tiada etika. Sepatutnya golongan ini perlu dihargai sebaik mungkin kerana kemahiran, kemampuan dan pengetahuan yang dimiliki adalah melalui pengetahuan, self taught dan self learn. Pengalaman yang mereka ada sekurang-kurang sudah dapat membantu menyelesaikan masalah anda seperti yang ditawarkan oleh golongan yang lebih professional.  Jangan terkejut seandainya sesetengah golongan professional ini tidak mampu lakukan kerja yang lebih berkualiti berbanding golongan freelancer. Ada sebahagian dari golongan kononnya pro ini hanya mampu menjanjikan sahaja daripada menyediakan dan melaksanakan. Mereka itu sebenarnya membawa kerosakan, keburukan dan menjatuhkan reputasi dan bidang yang diceburi.

Aku sendiri mengaku masih terdapat kelemahan yang perlu diatasi. Kualiti kerja, pengurusan masa dan komunikasi - 3 perkara yang aku ingin pertingkatkan supaya hal ini ini tidak bertembung dengan masa peribadi aku. Aku harap apa yang aku usaha sedikit demi sedikit membuahkan hasil. 

Selamat Berpuasa.


No comments: