Friday, August 5, 2011

Kisah di sebalik talam.....

Budaya makan dalam talam? Kolot ke? 

Zaman budak-budak dulu, bulan Ramadan memang ditunggu-tunggu. Masa mula-mula puasa memanglah rasa penat tapi bila sudah biasa, puasa itu menyeronokkan. Yang tambah seronok, buka puasa di masjid. Kalau bab pasal makan, budak-budak memang juaralah. Kecoh mengalahkan suara imam berwirid lepas sembahyang maghrib. Kali ini aku mahu tumpukan cerita berbuka. Disebalik cerita berbuka di masjid, banyak benda kita dapat manafaatkan bersama.

Di masjid kampung aku tinggal, selalu berselang seli hidangan juadahnya. Contohnya kalau hari ini tarikh ganjil, orang masjid akan masak kanji @ bubur lambuk. Kalau hari genap, mungkin ada rezeki untuk makan dalam talam. Selalunya nasi putih, lauk besamah daging, kerabu tomato dan gulai daging. Bagi aku yang hidup di kampung masa itu, cukup bertuah dapat makan lauk sebegitu. Bukan keluarga aku tidak mampu, aku rasa lauk seolah jarang jumpa selalu. Kalau mahu makan lauk macam itu, jawabnya tunggu kenduri kahwin. Kalau sekarang pun mungkin susah jumpa lauk sebegitu bila ada kenduri. Banyak yang guna khidmat katering, jadi lebih banyak pilihan untuk hidangan para tetamu. 

Zaman buka puasa 15 tahun dulu, minuman kena bawa sendiri dari rumah. Kalau tidak, hirup kopi atau teh dengan serbuk sekali. Tiada tempat simpan ais, maka minuman panas sahaja disediakan. Ais pula tidak senang dapat seperti dulu. Kalau mahu juga, pergi minta pada jiran depan rumah. Mak aku jenis tidak suka kami minum ais terlampau banyak. Jadi memang tidak buat ais dalam peti sejuk rumah aku. Kalau hendak betul-betul sejuk, aku bancuh air siap-siap lepas balik sekolah dan simpan air dalam peti sejuk. 

Masa berubah, pemikiran pun beralih. Aku dulu seorang budak yang fikir makan sedap di masjid, kini cuba ambil iktibar dan hikmah di sebalik budaya makan dalam talam. 

Disebalik budaya ini tersembunyi sifat-sifat yang boleh aku nilai sendiri. Kesederhanaan, kesyukuran, muafakat, keberkatan dan kesopanan - antara elemen yang aku dapat rasai dalam budaya ini.

Kesederhanaan mengajar aku supaya tidak berlebih-lebihan dalam menghadapi bulan puasa. Dari tahun ke tahun, aku mula memahami bahawa Ramadan bukan bulan untuk mengejar juadah yang enak. Melainkan ada jemputan, mahu atau sebaliknya aku tidak boleh menolak. Apa pun secara keseluruhannya, janganlah jadikan puasa untuk kita berlumba memenuhi nafsu perut semata-mata kerana apa yang dicari selama ini pasti ada pada 11 bulan selain Ramadan. Ayam percik, kuih muih dan macam-macam lagi boleh kita jumpa pada pasar malam mingguan.

Dalam kesederhanaan yang cuba dipupuk, secara tidak langsung melahirkan kesyukuran. Syukur itu penting dalam hidup kita semua. Kita tidak boleh pertikaikan dan menafikan rezeki yang ditetapkan oleh Allah. Malah Tuhan dalam firmannya menyatakan barangsiapa yang bersyukur maka ditambahkan rezeki untuknya. Walau lauk yang dihidang tidak semewah makanan di hotel, aku cukup bersyukur kerana Tuhan bagi peluang untuk rasa rezeki yang Dia limpahkan. Aku kena belajar bersyukur sebaik sebab ada orang lagi teruk dan menderita masih tidak ada peluang untuk makan dan minum sebaiknya.

Kemuafakatan ini juga boleh kita rasa dan lihat dalam budaya ini. Dalam satu talam yang kita makan, aku boleh mengenali antara satu sama lain. Bukan jaga tepi kain orang lain, sekadar patut ambil tahu apa yang dikerjakannya. Misalnya kita memerlukan sesuatu khidmat dan takdir Allah menemukan kita dengan insan yang sediakan perkhidmatan tersebut ketika makan bersama. Alangkah untungnya. Tapi pastinya aku tidak menjurus kepada itu. Urusan dunia sebaiknya tinggal ketepi di luar masjid. Lebih penting muafakat yang aku cari adalah toleransi dan tolak ansur. Jangan kerana lauk yang sedap, melantak sampai lupa diri. Kalau rasa hebat dan ingin disisihkan secara halus, cubalah buat perangai macam itu.

Kesopanan antara aspek yang mencakupi kesemua di atas. Gopoh, gelojoh dan tamak antara perkara yang kita elakkan. Memang perut lapar tapi janganlah sampai nampak macam kebulur pula. Yang peliknya ada sekelompok berlumba siapa makan paling banyak atau siapa habis dulu. Ini adalah sunnah Nabi, sebolehnya kita terapkan adab makan yang elok. Kalau cara makan kita tidak betul dan tiada tertibnya, silap-silap terus hilang selera orang lain yang makan bersama. Seeloknya kurangkan bercakap ketika makan. Tahan apa yang mahu dikatakan, takut-takut makanan yang ditelan tersembur keluar balik.

Alhamdulillah, sampai hari ini aku diberi peluang untuk merasai budaya ini. Aku harap dapat merasai budaya ini sampai penghujung Ramadan. Kalau satu hari nanti sudah berkahwin, aku cuba terapkan budaya ini dalam rumah sendiri. Isteri dan anak duduk makan bersama dalam sebuah talam. Kemesraan pun boleh terjalin. Suami suapkan isteri, isterikan suapkan anak. Secara saintifik, jemari kita ada enzim yang baik untuk penghadaman. Takdir Allah kalau dapat serap enzim yang baik, InsyaAllah akan jadi baik juga orang yang merasanya. Budak-budak jadi lagi taat pada orang tua. Selain itu, budaya ini adalah mendorong kita berjimat dan tidak membazir. Tidak perlu buang tenaga dan masa untuk basuh pinggan bertingkat. Cuci sebersih mungkin dan simpan. Tidak perlu banyak rak tinggi untuk kita simpan. Lebih praktikal.



Semoga apa yang dapat rasa ketika ini menjadikan aku orang yang lebih baik dan tidak menjadikan diri ini seperti pepatah Melayu - Talam Dua Muka. Banyak lagi kita boleh rungkai di sebalik budaya makan dalam talam.

Pakat-pakat makan satu talam satu kampung
Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak. Selamat Berpuasa.


No comments: