Bayangkan kalau ada RM30 di tapak tangan anda sekarang. Apakah yang anda lakukan dengan wang sejumlah itu? Bagi aku yang tiada pendapatan tetap seperti dulu, RM30 cukup untuk menanggung perbelanjaan 2-3 hari dalam seminggu. Lagi berbaloi untuk isi minyak kereta dan motor dari menghabiskan wang semata-mata daripada pergi ke stadium. Atau pergi tengok wayang kalau mahu cari hiburan. Ini yang aku cuba kongsi pendapat dan suarakan apa yang dibincangkan dengan kawan aku. RM30 untuk satu perlawanan bola sepak - berbaloi atau tidak?
Selama ini aku pergi tengok perlawanan bola bila dapat tiket percuma. Tidak tahu berapa harga sebenar tiket tersebut. Maka bertanya aku kepada kawan berapa harga tiket masuk ke stadium. Jawab dia RM30. Memang merungutlah. Kalau aku pun memang merungut pasal harga tiket yang agak mahal. Seolah-olah status perlawanan diadakan bertaraf benua pula.
Atas nama semangat patriotisme,
Perkara ini aku bangkit.
Selalu orang ungkit.
Ramai yang bersungut tapi mereka masih melangut.
Abaikan yang merungut asal untung terpungut.
Aku kurang bersetuju dengan pasal harga yang tidak berbaloi untuk dibayar. Memang perlawanan yang berlangsung bertaraf antarabangsa tetapi tidak semua mampu membelinya. Sepatutnya mereka yang ingin menggalakkan rakyat datang memenuhi ke stadium untuk beri sokongan perlu fikir strategi yang bijak untuk menarik orang lebih perhatian. Penyediaan harga tiket yang murah dan munasabah dapat menarik lebih penyokong memenuhi stadium.
Sekiranya diambilkira kos keseluruhan yang diperlukan untuk seorang penyokong bola sepak yang tinggal di kawasan Lembah Klang, mereka perlu membelanjakan kira-kira RM50-RM100 untuk hari perlawanan. Ini termasuklah duit tol, minyak kenderaan, makan minum, tambang LRT, tempat letak kereta dan beberapa perkara lagi yang tidak dapat disenaraikan disini. Itu tidak kira yang membawa keluarga atau teman. Sudah pasti, kos tersebut jadi berganda.
Tidak semuanya orang hidup mewah. Cukup-cukup makan semata-mata ada di kalangan mereka. Ada yang terpaksa menahan lapar dan dahaga kerana duit perbelanjaan mereka sepatutnya digunakan untuk makan minum diperuntukkan untuk kos seperti yang aku telah nyatakan diatas. Kerana semangat cintakan sukan negara, ada yang sanggup sedemikian. Aku hormati dan kasihankan mereka.
Tapi Pak Menteri, VIP dan tetamu jemputan juga yang untung. Sudahlah masuk percuma, datangnya mereka bila mereka suka sahaja. Masa final baru nampak muka, tonjol diri. Tidak nampak dimana sebenar patriotisme mereka. Kalau betul-betul seorang yang patriotik dan cintakan sukan, patut mereka turunkan harga tiket. Pasti penonton akan seronok. Sah-sah stadium dipenuhi segenap lapisan masyarakat.
Aku bukan minta benda sebegini disubsidi. Cuma ini salah satu insiatif untuk menarik ramai orang menonton di stadium. Kalau tidak, sampai bila-bila orang tengok perlawanan bola menerusi TV dan internet sahaja. Baru pasukan lawan terasa gerun dengan kehadiran 'pemain kedua belas'.
Kalau kita mahu adaptasi cara pengurusan stadium dan keselamatan di Eropah, janganlah melibatkan hal berkaitan harga tiket. Kelab luar negara terpaksa lakukan sedemikian kerana jumlah penyokong mereka ramai dan pelosok dunia. Kapisiti stadium yang tidak dapat memuat kesemua penyokong menyebabkan mereka terpaksa mengawal jumlahnya. Penjualan harga tiket yang mahal atau bermusim merupakan langkah yang diambil untuk mengatasi isu ini.
Jangan fikirkan untung cepat, harga tiket lambung tinggi. Sepatutnya mereka FAM dan menteri yang berkaitan perlu fikir kaedah terbaik untuk perkara sebegini. Memang harga tiket antara penyumbang kepada kantung kewangan badan induk bola sepak ini tetapi bukankah semakin ramai menyokong semakin besar habuan yang mereka dapat?
No comments:
Post a Comment