Saturday, July 23, 2011

Dari Siswa kepada Siswa....

Baru balik dari Sri Andalas, Klang. Berjumpa Angah aku di rumah dia. Lama juga aku tidak pergi menjenguknya. Jadi aku ambil peluang sementara ada kesempatan. Langkah kanan aku hari ini.

Sebelum aku layan tulis entri malam ini, tersingkap entri artikel pasal 500 orang yang pelajar dipercayai mahasiswa IPTA disenaraikan menyertai perhimpunan Bersih 2.0 tempoh hari. Aku kekadang rasa simpati pun ada, mahu marah pun ada. Nasib baiklah cuti semester 4 bulan. Kalaulah tengah dalam semester, 1000 orang mesti ada yang ikut serta demo tersebut. Kita semua maklum bahawa ada sebahagian hak kita dinafikan atau terhad. Tapi ada cara tersendiri untuk nyatakan kemahuan kita - menerusi pilihanraya. Apa yang susahnya, samada telus atau kotor pergi daftar jadi pengundi. Sampai masa pangkah yang mana disukai dan disenangi. Pilihlah yang mana amanah dan boleh buat kerja.

Apa yang aku mahu ulas pasal mahasiswa yang satu jenis. Yang aku paling kecewa sekali ada yang masuk ke menara gading bukan hendak belajar. Sesetengah ada yang lebih minat cenderung ke arah aktiviti luar akademik. Ada yang bersemangat hendak menunjuk hebat kepimpinan masing-masing. Tapi hampehnya setiap semester mesti ada kantoi subjek. Hebat sangatkah kalau pandai bersuara tetapi belajar tidak ke mana? Silap haribulan diri sendiri yang rugi kalau asyik orang lain yang lulus 'pergi' di atas perjuangan yang kadang-kadang tidak relevan. Untung atas angin?

Dalam entri kali ini, aku tidak boleh sesuka hentam samada pihak mahasiswa atau IPTA. Memandang aku ini masih terikat dengan pengajian, maknanya ada undang-undang yang harus ikut walau tidak sepenuhnya aku patuhi. Dalam situasi sebegini, berkecuali dalam sesetengah perkara merupakan langkah terbaik daripada menyesali di kemudian hari. Anggaplah ini salah satu cara menghormati mereka yang bertungkus lumus untuk menyediakan dan menjadikan kita insan yang boleh berguna pada masa depan terutamanya pensyarah.

Kepada yang taksub kepada politik samada luar atau dalam kampus, hentikanlah untuk menjadi terlampau fanatik sangat untuk memperjuangkan itu ini. Memang kekadang terasa macam masuk sekolah sebab tiada kebebasan serba serbi. Itu tidak dikira beban dan kos yang kena ditanggung. Tapi kita kena ingat IPTA bukan medan politik. IPTA adalah gedung ilmu untuk kita hayati, pelajari dan kaji. Sebelum mahu buat benda di luar batasan, fikirkan mak abah kita, orang yang tiada peluang sambung belajar dan duit PTPTN yang ribu riban kita pinjam. Sudahlah tinggi kadar bayaran balik, kalau kena buang siapa yang hendak tolong bayarkan? Adakah pemimpin yang diagung dan disanjung selama ini akan langsaikan? Jawabnya pandai guna pandai gantilah.

Macam macam lagi kita boleh ketengahkan apa yang diperjuangkan. Kalau rasa tidak puas hati juga, elok juga isi borang berhenti belajar. Jadilah ahli politik diluar sana, juangkan apa kekurangan dan kelemahan sana sini tapi jangan kacau ganggu mereka yang ingin menuntut ilmu. Biarlah yang ingin belajar berjaya terlebih dahulu sebelum mereka semua itu dapat memimpin kita semua ke arah dunia aman dan makmur.

Ajarlah diri kita semua untuk rasa bersyukur dan bersederhana. Bertuahnya kita dapati nikmati keselesaan berbanding mahasiswa zaman dahulu. Mereka lebih cekal dan tabah kerana tidak semua yang ada sekarang disediakan pada masa dahulu. Tanyalah mereka yang pernah mengaji di menara gading. Manafaatkan sebaik mungkin pengalaman mereka supaya dapat menjadi panduan dan pedoman pada kita semua.


No comments: