Saturday, July 9, 2011

Antara Kesenangan, Ketenangan dan Kemenangan.

Dalam hal politik, aku lebih suka letakkan diri aku sebagai liberal. Tidak mahu sebelahi mana-mana parti. Buktinya aku baca akhbarnya arus perdana yang pro-kerajaan dan pada masa sama melayari laman web atau blog yang pro-pembangkang.

Dengan apa insiden yang terjadi pada hari ini, banyak benda yang aku perlu ambil iktibar. Tidak semua orang suka dengan berdemonstrasi atau tunjuk perasaan. Semua orang mahukan ketenangan dan kesenangan. Namun tidak semua orang dapat kesenangan dan ketenangan yang diidamkan. Secara halusnya, hak kita dinafikan dan disekat. Memang mungkin tidak dapat lihat di mata tapi dapat kita rasai.

Yang secara halus dinafikan kesenangan dan ketenangan adalah bila kita merasa keperitan, kepayahan dan kesusahan bukan secara fizikal atau luaran semata-mata, sebaliknya melibatkan mental dan psikologi. Dalam memenuhi semua aspek keperluan, kita kadang-kadang terpaksa mengorbankan kesenangan dan ketenangan yang sedia ada demi masa depan yang tidak tahu cerah gelapnya.

Bukan semua orang tidak berusaha untuk mengecapi kesenangan dan ketenangan. Diperah keringat, tenaga dan masa untuk mencapainya. Sayangnya, terasa makin dikejar makin jauh ditinggalkan. Yang kaya makin mewah, yang miskin makin daif. Kapitalis.

Ada kalangan daripada kita bukan mengidam sangat hidup bermewah. Cukuplah dapat memenuhi keperluan dari bermegah-megah dengan kekayaan. Hidup kesederhanaan yang dituntut. Itulah kesenangan dan ketenangan yang dicari.

Yang dikendong tercicir, yang dikejar tak dapat.
Yang dikandung gelincir, yang disasar tak sempat.

Bila disuarakan oleh yang memerlukan, jadilah seperti anjing menyalak bukit. Dipekak, dibuta dan dibisu. Bila orang kita bangkit bertindak dituduh tidak kenang budi, diperalatkan dan macam-macam lagi. Sebenarnya yang menuduh sebegitu kadang-kadang lebih teruk dari yang tindas. Bukan tidak kenang budi sahaja sebalik lupa daratan.

Diberi mandat bukan untuk membela rakyat dahulu tapi membela mulut dan perut sendiri dan kerabat dengan keenakan. Dibayar bukan mengarah secara langsung sebalik untuk bekerja bersama-sama untuk kesenangan semua pihak.

Inilah kesenangan dan ketenangan yang diragut demi keselesaan yang melampau. Dijadikan rakyat umpama hamba, kuli dan kuda tunggangan.

Tapi aku disini ingin mengingatkan bahawa tidak semua akan selalu berada di atas. Lambat laun akan tetap turun ke bawah. Silap-silap yang dijulang hormat tinggi bertukar menjadi terperosok dengan kehinaan. Fahamilah maksud 'Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah'.

Janganlah kerana idaman diri mahu dicapai impian rakyat jadi terkapai. Silap haribulan yang digapai hancur bersepai.

Disini bukan aku mahu berdalih atau merungut.
Tidak sampai memilih atau bersungut.
Ada relevan bersuara dari terus berpura.
Tidak ingin yang lara bertukar mejadi bara.
Bukan seperti kura-kura atau kera.

Pesan aku satu sahaja, jika inginkan kemenangan sama-sama kongsi ketenangan dan kesenangan.

No comments: