Saturday, July 30, 2011

Makan Atas Tangga.....

'Kalau sedap kena habaq, kalau tidak kena sabaq' - itu adalah motto aku pasal bab makan. Disini bukan hendak menunjuk-nunjuk tapi mengulas secara ringkas. Jadi dengan kesempatan yang ada, aku hendak berkongsi serba sedikit tentang tempat makan aku pergi semalam. 

Mula-mula sekali, bos aku telah bawa kami satu pejabat belanja makan di Upstairs, Subang Jaya. Lokasinya dekat SJMC. Memang sudah rancang hendak pergi dari kelmarin lagi. Macam mahu makan di restoran lima bintang. Kena tempah pelbagai dahulu. Akhirnya, lepas sembahyang Jumaat pakat-pakat pergi bersama-sama.

Secara ringkasnya, restoran yang aku pergi menyajikan makanan Western berbanding restoran tingkat bawah, Kafe Bawang Merah. Kedua-dua tempat makan mempunyai hubungan antara satu sama lain. Kalau rasa macam mahu jadi orang kaya dan bergaya, pergilah situ. Mahu rasa suasana alfresco atau makan di rumah, terpulang. Yang pasti, pastikan dompet anda berisi minimum RM100 untuk satu kepala. Baki duit mungkin boleh guna bayar kompaun MPSJ sebab memang susah juga kalau hendak cari tempat letak kereta.

Promosi untuk pembeli botol. Memang aku tengah lapar dan berpeluh. 
Suasana hiasan dalaman yang agak ringkas dan kontemporari membuatkan sesuai untuk orang serabut dengan kerja menikmati hidangan tengahari. Kalau yang mahu ambil hati klien atau buah hati, mungkin sesuai juga tempat ini untuk urusan kerja atau peribadi. Yang menariknya, tukang masaknya semua orang Melayu kita, tiada masalah untuk jaminan di tanggung halal. Aku anggap mereka adalah berkelulusan dalam seni kulinari. Jadi kalau cik adik mahu tengok cik abang masak cara orang putih sediakan hidangan, bolehlah datang.

Memang jadi pelik bila semua pakat belek satu satu. Tidak tahu apa nak diminum. 
Macam-macam jenis perasa ada. Memang kembang perut dibuatnya.....
Masa pergi memang perut aku tengah lapar habis. Sampailah peluh satu badan. Berbaloilah juga datang perut yang sudah lapik roti canai sekeping. Memang makan puas-puas. Cara mereka hidangkan makanan pun terbaik. Tidak datang sekali jalan. Dapatlah merasa semua makanan. Mula datang roti panjang kemudian makan spageti. Kiranya sebagai apetizer atau pembuka selera. Kemudian datanglah hidangan utama, sizzling lamb with mashed potatoes. Ada yang minta rib with pasta. Dua-dua mantap. Kemudian lepas makan, kami jamu dessert seperti brownies, blueberry dan cheese cake.


Spageti untuk 6 orang makan. Cuma tidak ada meatball dengan mentarang.....
Rib and spageti. Macam blok batu cobblestone aku tengok....
Ini aku punya. Sizzling lamb with mashed potatoes. Mantap.
Aku tidak tahu berapa RM kami makan pada petang itu. Apapun aku ucap terima kasih bos aku kerana sudi bawa kami belanja kali ini. Memang aku balik rumah dengan perut yang 'cekang'. Alhamdulillah, semoga semua dimurahkan rezeki lagi.

Wajah-wajah disebalik kelaparan. Aku menghargai peranan mereka .
Pelbagai benda aku pelajari dengan mereka semua. Terima kasih.
Kesimpulan
Makanan/minuman - 5/5 
Kebersihan - 5/5
Keselesaan - 3.5/5 ( susun atur ringkas menarik tetapi kena ambilkira untuk pengunjung yang datang beramai macam kami dan penghawa dingin kena sejukkan lagi )
Layanan - 5/5 (Kalau hendak cari calon suami yang pandai masak dan ambil hati, boleh datang jenguk ke restoran ini)



Tuesday, July 26, 2011

Tidak semua kesenangan dapat memberi ketenangan

"Tidak semua kesenangan dapat memberi ketenangan"

Bunyinya macam ringkas dan mudah tapi maksudnya agak mendalam kalau kita fikir betul-betul. Bukan niat aku mahu 'tembak' sesuka hati tetapi memperingatkan diri kita dan siapa yang ambil tahu.

Dalam dunia ini, wujudnya dua perkataan ini - SENANG dan SUSAH. Sudah menjadi lumrah manusia, bila SUSAH mencari SENANG. Tidak pelik juga ada yang mencari SUSAH bila sudah SENANG. Itu kebiasaan manusia yang mempunyai pelbagai perangai dan sifat.

Ada hikmah bila SUSAH datang menimpa. Ini mengingatkan kita supaya bersabar, berusaha dan bertawakal kepada ALLAH.

Ada hikmah bila SENANG datang menjelma. Ini mengajar kita supaya bersyukur, gandakan amal kita dan jadi rendah diri.

Bak kata pepatah "Makin tunduk makin berisi"

Tapi sayang, berapa ramai di kalangan kita fikir apa yang aku katakan. Malah diri aku sendiri kadang-kadang mengaku lupa setiap hikmah kejadian yang berlaku.

Ada kalangan kita fikir:

Bila SUSAH datang menimpa, dia tidak fikir perkara itu datangnya dari kelemahan diri sendiri dan mengeluh - "Kenapalah jadi begini?"

Bila SENANG datang menjelma, dia cakap semua sendiri itu atas usahanya padahal kurniaan nikmat yang diberikan adalah rezeki Tuhan.

Berbalik kepada tajuk asal - Bila kita hendak jadi terlampau sempurna, maka perkara senang dijadikan susah. Cenderung untuk mendapatkan kepuasan, manusia selalu tewas dengan nafsu hasutan sekeliling.

Kita takut untuk terima kesusahan, kesilapan dan kekurangan.

Bila tidak cukup itu dan ini, maka jadilah manusia tidak senang.

Misalnya, jadi bila terlampau kaya sangat dengan harta sampai hati tidak tenteram.

Terpaksa fikir bagaimana hendak jadi lagi kaya, bagaimana hendak fikir cara elak dari orang lain ambil kesempatan dari kekayaan kita dan bagaimana hendak jaga standard, kedudukan dan taraf. Padahal banyak benda lain boleh difikirkan lagi malah boleh beri manafaat.

Jangan ambil mudah ungkapan "Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian". Silap haribulan "bersenang-senang pendahuluan, berhancur-hancur penghabisan"......





Monday, July 25, 2011

Tiga Puluh Ringgit.....


Bayangkan kalau ada RM30 di tapak tangan anda sekarang. Apakah yang anda lakukan dengan wang sejumlah itu? Bagi aku yang tiada pendapatan tetap seperti dulu, RM30 cukup untuk menanggung perbelanjaan 2-3 hari dalam seminggu. Lagi berbaloi untuk isi minyak kereta dan motor dari menghabiskan wang semata-mata daripada pergi ke stadium. Atau pergi tengok wayang kalau mahu cari hiburan. Ini yang aku cuba kongsi pendapat dan suarakan apa yang dibincangkan dengan kawan aku. RM30 untuk satu perlawanan bola sepak - berbaloi atau tidak?

Selama ini aku pergi tengok perlawanan bola bila dapat tiket percuma. Tidak tahu berapa harga sebenar tiket tersebut. Maka bertanya aku kepada kawan berapa harga tiket masuk ke stadium. Jawab dia RM30. Memang merungutlah. Kalau aku pun memang merungut pasal harga tiket yang agak mahal. Seolah-olah status perlawanan diadakan bertaraf benua pula. 

Atas nama semangat patriotisme,
Perkara ini aku bangkit. 
Selalu orang ungkit. 
Ramai yang bersungut tapi mereka masih melangut.
Abaikan yang merungut asal untung terpungut. 

Aku kurang bersetuju dengan pasal harga yang tidak berbaloi untuk dibayar. Memang perlawanan yang berlangsung bertaraf antarabangsa tetapi tidak semua mampu membelinya. Sepatutnya mereka yang ingin menggalakkan rakyat datang memenuhi ke stadium untuk beri sokongan perlu fikir strategi yang bijak untuk menarik orang lebih perhatian. Penyediaan harga tiket yang murah dan munasabah dapat menarik lebih penyokong memenuhi stadium. 

Sekiranya diambilkira kos keseluruhan yang diperlukan untuk seorang penyokong bola sepak yang tinggal di kawasan Lembah Klang, mereka perlu membelanjakan kira-kira RM50-RM100 untuk hari perlawanan. Ini termasuklah duit tol, minyak kenderaan, makan minum, tambang LRT, tempat letak kereta dan beberapa perkara lagi yang tidak dapat disenaraikan disini. Itu tidak kira yang membawa keluarga atau teman. Sudah pasti, kos tersebut jadi berganda.

Tidak semuanya orang hidup mewah. Cukup-cukup makan semata-mata ada di kalangan mereka. Ada yang terpaksa menahan lapar dan dahaga kerana duit perbelanjaan mereka sepatutnya digunakan untuk makan minum diperuntukkan untuk kos seperti yang aku telah nyatakan diatas. Kerana semangat cintakan sukan negara, ada yang sanggup sedemikian. Aku hormati dan kasihankan mereka. 

Tapi Pak Menteri, VIP dan tetamu jemputan juga yang untung. Sudahlah masuk percuma, datangnya mereka bila mereka suka sahaja. Masa final baru nampak muka, tonjol diri. Tidak nampak dimana sebenar patriotisme mereka. Kalau betul-betul seorang yang patriotik dan cintakan sukan, patut mereka turunkan harga tiket. Pasti penonton akan seronok. Sah-sah stadium dipenuhi segenap lapisan masyarakat.

Aku bukan minta benda sebegini disubsidi. Cuma ini salah satu insiatif untuk menarik ramai orang menonton di stadium. Kalau tidak, sampai bila-bila orang tengok perlawanan bola menerusi TV dan internet sahaja. Baru pasukan lawan terasa gerun dengan kehadiran 'pemain kedua belas'.

Kalau kita mahu adaptasi cara pengurusan stadium dan keselamatan di Eropah, janganlah melibatkan hal berkaitan harga tiket. Kelab luar negara terpaksa lakukan sedemikian kerana jumlah penyokong mereka ramai dan pelosok dunia. Kapisiti stadium yang tidak dapat memuat kesemua penyokong menyebabkan mereka terpaksa mengawal jumlahnya. Penjualan harga tiket yang mahal atau bermusim merupakan langkah yang diambil untuk mengatasi isu ini.

Jangan fikirkan untung cepat, harga tiket lambung tinggi. Sepatutnya mereka FAM dan menteri yang berkaitan  perlu fikir kaedah terbaik untuk perkara sebegini. Memang harga tiket antara penyumbang kepada kantung kewangan badan induk bola sepak ini tetapi bukankah semakin ramai menyokong semakin besar habuan yang  mereka dapat?




Saturday, July 23, 2011

Yossi Benayoun - Persona Non Grata di Malaysia


Kepada penyokong-penyokong Chelsea, jangan marah kalau apa yang aku tulis buat panas telinga. Aku pun minat sukan. Aku sendiri bermain ragbi dan futsal sebagai suatu riadah. Sukan memang sukan juga tapi kita ada maruah dan nama. Jangan kerana hendak mendukung liberalisasi atau kesamarataan, kita letak tepi segala kesengsaraan dan keperitan orang lain. 

Sepanjang umur aku hidup, ini pertama kali aku dengar pemain Chelsea dari Israel yang namanya Yossi Benayoun masuk Malaysia. Kira pecah rekodlah si mamat tersebut. Tidak pernah ada orang Israel yang jejak kaki lagi ke tanahair. 

Aku ada baca pasal orang tweeting Benayoun ini kena ejek semasa perlawanan menentang Malaysia malam tadi.  Elok sangatlah dia kena macam itu. Tidak kira jersi apa samada Chelsea atau Liverpool dipakai, dirinya sendiri sedia maklum berasal dari negara haram Yahudi. Aku anggap bila semua orang boo sama dia, itu sebagai simbolik bahawasanya dirinya adalah Persona Non Grata dan tidak disenangi oleh sesetengah pihak khususnya umat Islam. 

Perlukah kita dilabel sebagai racist bila insiden ini terjadi? Bagi aku tidak. Memang patut dia kena sebegitu. Biar dia sendiri tahu ekspresi orang kita tentang apa negara haram asalnya telah lakukan ke atas Palestin. Walau dia datang sebagai wakil kelab, sah-sah dia dalam jiwa masih ada semangat Zionisme negaranya. Kalau tiada nasionalisme dan patriotisme, mustahil dia tidak terpilih untuk mewakili pasukan kebangsaannya di perlawanan antarabangsa. 

Kalau FIFA mahu bertindak ke atas insiden, jangan melulu dan kena kaji selidik dulu. Mereka sepatutnya kena ambil kira hal dari pelbagai aspek. Jangan fikirkan sukan semata-mata, tapi mengabaikan perkara yang melibatkan isu sensitiviti dan diplomatik antarabangsa. Mereka seharusnya kena merangka peraturan berkaitan pemain atau pegawai yang dilarang memasuki sesebuah negara. FIFA mesti kena hormat pada dasar atau polisi sesebuah negara. Seandainya kalau ada apa-apa yang terjadi pada si Benayoun, jangan menekan negara kita untuk dipertanggungjawabkan kerana secara rasminya MALAYSIA TIADA HUBUNGAN DIPLOMATIK DENGAN NEGARA ISRAEL. Hormat dan toleransi secara menyeluruh dapat meningkatkan tahap kredibiliti badan induk sukan bola sepak ini.

Disini aku hendak menegur kepada pihak kerajaan. Jangan jadi talam dua muka. Kerana ingin memenuhi kehendak sesetengah pihak, dasar dan polisi kerajaan ditolak ketepi. Mudahnya kita lupa suatu masa orang berdemonstrasi kerana tidak bersetuju dengan kedatangan pasukan kriket dari negara Yahudi. Orang kita beremosi bila Avram Grant yang juga asalnya dari Israel mungkin datang semasa jelajah mereka pada tahun 2008. Tapi semua menarik nafas lega apabila yang datang adalah Felippe Scolari dari Brazil yang menggantikan Avram Grant sebagai pengurus baru Chelsea. 

Kepada pihak kerajaan, jangan kerana mahu seronok sangat, jiwa-jiwa mereka yang berjuang untuk Palestin dikecewakan. Sepatutnya sebelum mereka memasuki negara kita, kerajaan khususnya melalui menteri berkenaan supaya duduk berbincang dengan pengurusan Chelsea. Kerajaan harus menerangkan situasi, dasar-dasar dan kedudukan diplomatik negara secara jelas kepada sesiapa yang ingin berkunjung ke negara terlebih dahulu. Kalau pihak Israel boleh halau mereka yang dianggap sebagai ancaman, kita juga boleh lakukan perkara sedemikian kepada sesiapa yang punya kaitan secara langsung dengan Israel walau tiada ancaman. Anggaplah ini sebagai cara kita mengutuk perbuatan kejam yang dilakukan Zionis

Kita punya ramai penduduk beragama Islam. Dunia sedang melihat kekejaman Israel ke Palestin. Dunia juga memerhatikan Malaysia antara negara yang lantang menentang kezaliman yang dilakukan negara Yahudi tersebut. Rekod negara kita sedikit tercalar kerana insiden. Walaupun kita tidak dapat membendung secara keseluruhan kehadiran produk-produk yang ada kaitan Yahudi tapi janganlah sampai orangnya pula khususnya daripada Israel juga kita benarkan masuk. 

Tiada apa yang hendak dimalukan seandainya pemain yang bernama Yossi Benayoun diejek oleh penonton kita.  Sepatutnya kita patut malu bila pihak kerajaan 'melepaskan' dia untuk memasuki negara ini semata-mata atas nama semangat kesukanan. Pesan aku - jangan pandang sebelah mata dan jadi talam dua muka. 

Hormati dan hargai mereka yang bertungkus lumus, bergolok gadai masa, tenaga dan nyawa berjuang untuk Gaza dengan tidak membiarkan insiden ini berulang lagi pada masa hadapan. Sia-sia sahaja pemergian dan perjuangan mereka kalau pihak pemerintahan kita sendiri merelakan kedatangan 'tetamu' yang diundang.

Dari Siswa kepada Siswa....

Baru balik dari Sri Andalas, Klang. Berjumpa Angah aku di rumah dia. Lama juga aku tidak pergi menjenguknya. Jadi aku ambil peluang sementara ada kesempatan. Langkah kanan aku hari ini.

Sebelum aku layan tulis entri malam ini, tersingkap entri artikel pasal 500 orang yang pelajar dipercayai mahasiswa IPTA disenaraikan menyertai perhimpunan Bersih 2.0 tempoh hari. Aku kekadang rasa simpati pun ada, mahu marah pun ada. Nasib baiklah cuti semester 4 bulan. Kalaulah tengah dalam semester, 1000 orang mesti ada yang ikut serta demo tersebut. Kita semua maklum bahawa ada sebahagian hak kita dinafikan atau terhad. Tapi ada cara tersendiri untuk nyatakan kemahuan kita - menerusi pilihanraya. Apa yang susahnya, samada telus atau kotor pergi daftar jadi pengundi. Sampai masa pangkah yang mana disukai dan disenangi. Pilihlah yang mana amanah dan boleh buat kerja.

Apa yang aku mahu ulas pasal mahasiswa yang satu jenis. Yang aku paling kecewa sekali ada yang masuk ke menara gading bukan hendak belajar. Sesetengah ada yang lebih minat cenderung ke arah aktiviti luar akademik. Ada yang bersemangat hendak menunjuk hebat kepimpinan masing-masing. Tapi hampehnya setiap semester mesti ada kantoi subjek. Hebat sangatkah kalau pandai bersuara tetapi belajar tidak ke mana? Silap haribulan diri sendiri yang rugi kalau asyik orang lain yang lulus 'pergi' di atas perjuangan yang kadang-kadang tidak relevan. Untung atas angin?

Dalam entri kali ini, aku tidak boleh sesuka hentam samada pihak mahasiswa atau IPTA. Memandang aku ini masih terikat dengan pengajian, maknanya ada undang-undang yang harus ikut walau tidak sepenuhnya aku patuhi. Dalam situasi sebegini, berkecuali dalam sesetengah perkara merupakan langkah terbaik daripada menyesali di kemudian hari. Anggaplah ini salah satu cara menghormati mereka yang bertungkus lumus untuk menyediakan dan menjadikan kita insan yang boleh berguna pada masa depan terutamanya pensyarah.

Kepada yang taksub kepada politik samada luar atau dalam kampus, hentikanlah untuk menjadi terlampau fanatik sangat untuk memperjuangkan itu ini. Memang kekadang terasa macam masuk sekolah sebab tiada kebebasan serba serbi. Itu tidak dikira beban dan kos yang kena ditanggung. Tapi kita kena ingat IPTA bukan medan politik. IPTA adalah gedung ilmu untuk kita hayati, pelajari dan kaji. Sebelum mahu buat benda di luar batasan, fikirkan mak abah kita, orang yang tiada peluang sambung belajar dan duit PTPTN yang ribu riban kita pinjam. Sudahlah tinggi kadar bayaran balik, kalau kena buang siapa yang hendak tolong bayarkan? Adakah pemimpin yang diagung dan disanjung selama ini akan langsaikan? Jawabnya pandai guna pandai gantilah.

Macam macam lagi kita boleh ketengahkan apa yang diperjuangkan. Kalau rasa tidak puas hati juga, elok juga isi borang berhenti belajar. Jadilah ahli politik diluar sana, juangkan apa kekurangan dan kelemahan sana sini tapi jangan kacau ganggu mereka yang ingin menuntut ilmu. Biarlah yang ingin belajar berjaya terlebih dahulu sebelum mereka semua itu dapat memimpin kita semua ke arah dunia aman dan makmur.

Ajarlah diri kita semua untuk rasa bersyukur dan bersederhana. Bertuahnya kita dapati nikmati keselesaan berbanding mahasiswa zaman dahulu. Mereka lebih cekal dan tabah kerana tidak semua yang ada sekarang disediakan pada masa dahulu. Tanyalah mereka yang pernah mengaji di menara gading. Manafaatkan sebaik mungkin pengalaman mereka supaya dapat menjadi panduan dan pedoman pada kita semua.


Thursday, July 21, 2011

Quick sketch...



As a designer who always working for best solution, quick sketch always helps me in order to get some idea. Sketch is one type of visual communication to express our idea. This is very important for each designer especially who directly involve architectural field like myself.

You may produce plenty nice and good perspective. Imagine how if your client asking you within hour an quick illustration for their projects? Quick sketch is the answer. Although looks not so real but it has good interpretation from our mind to paper.

For those who still thinking his/her sketches are bad, get start to practice from right now. Practice makes perfect. But for me, perfection is not a point to be struggle for. It is well enough when we produce a good sketches and our client satisfied if their task is been fulfill comprehensively through our design.

Don't be shy and scare to be criticized from experienced person. Their opinions helps you to produce better in the future. Learn from them how to get done with. Don't too much depends on computer graphic generated. Honestly, I'm regularly using 3D software for illustration purpose and I'm not against about the recent application. It might look nice but sometime 'emptiness' or 'nothingness' may expressing to your design.

Less is more? Back to basic? Got any statement related with? Whatever it is, hand sketches can be enjoyable and fun when we understand about it. It represents about ourselves when we are not around.

Tiada yang bakar, masak tempoyak pun layan.....

Banyak hari aku peram gambar masa pergi ke Temerloh. Baru hari ini ada kesempatan hendak tulis pasal makan angin di sana. Walaupun tempoh ke sana agak singkat, tapi rasanya cukup setakat ini untuk melancong ke luar Lembah Klang. Biarlah dekat-dekat dulu. Tambahan pula, puasa dan raya makin dekat. Jadi kena jaga duit belanja dulu.

Mercu tanda TEMERLOH dari Kampung Seberang Temerloh

Aku pergi Ahad lepas. Lepas beberapa kali tangguh, alhamdulillah dapat juga aku ke sana. Ada orang yang mengajak aku berkunjung ke Temerloh. Tapi sayang, pukul 2 lebih baru sampai sana.
Kalau pergi awal, boleh juga jalan-jalan di Pasar@Pekan Sehari. Orang sana cakap antara pasar minggu terpanjang di negeri Pahang.

Sampai di sana, tidak sah kalau tidak mencari hidangan ikan patin. Sudah sinonim dengan Temerloh. Aku teringin makan ikan patin bakar. Banyak kali sudah rasa makan tempoyak ikan patin. Jadi hendak tukar selera. Malangnya tiada rezeki aku kali ini. Maka, aku ambil masak tempoyak ikan patin juga sebagai menu hidangan tengahari.

Nasi taruk kuah kari atas, ulam dengan sambal belacan & masak tempoyak ikan patin

Harganya kira berbaloi juga. Semua sekali tidak sampai RM20.oo. Isi yang aku dapat pun agak besar. Sedap di ratah lagi. Kedai yang aku makan agak ramai juga orang yang datang. Hinggakan masak tempoyak masih panas dalam periuk besar.

Besar betul isi ikan patin yang aku pesan. Sampai tidak muat dalam mangkuk

Lepas makan dan minum, kami pergi ronda dekat pesisir sungai Pahang. Teringat cerita kawan aku seorang ini. Dia cakap siapa yang minum dari Sungai Pahang, terus jadi orang situ sampai bila-bila. Tidak tahulah samada lagenda, mitos, kebetulan atau realiti. Apa pun dapat juga aku tengok Sungai Pahang tenang mengalir dari jarak dekat.

Jambatan gantung tidak buka. Seberang sana macam ada tempat makan

Apa yang aku perhatikan infrastruktur pesisir sungai situ kurang diselenggara. Elemen dan komponen yang disediakan agak kondusif tetapi seolah-olah terbiar. Lumpur penuh dalam ruang pejalan kaki. Kecewa betul bila projek ribu riban tidak jaga sebaik mungkin. Sudah jadi pembaziran dan hilang tarikan untuk orang berkunjung ke situ. Jangan tunggu sampai Sultan Pahang menegur baru hendak buat kerja.

Kami lepak-lepak di kawasan situ. Banyak benda juga aku sembang dengan kawan aku ini. Maklumlah berbeza profession, aku dalam bidang senibina dan mereka dari perguruan. Ada input dan output yang boleh dimanafaatkan.

Banyak juga cerita pasal perguruan yang aku dapat dengar dari orang yang berkecimpung secara langsung. Mereka rasakan pengajian selama 5 tahun di IPG@Maktab masih belum cukup lagi untuk mendidik anak bangsa secara menyeluruh. Walaupun mereka dalam jurusan Pendidikan Pra Sekolah, terasa masih ada kelemahan yang perlu diatasi dalam menjamin pendidikan yang baik serta berguna.

Aku pun tidak berapa tahu sangat pasal perguruan cuma yang pasti Pendidikan Pra Sekolah mungkin mempunyai cabaran yang paling besar. Bayangkan kanak-kanak yang dihantar ke sekolah seawal umur 5 tahun dan pelbagai ragam perangainya. Tambah kalau yang jenis hiperaktif. Kalau yang tiada asas pendidikan bermula dari rumah, tugas berat harus dipikul oleh seorang guru.

Selain itu kawan aku juga berkongsi tentang cerita cikgu-cikgu KPLI. Minta maaf sekiranya apa yang aku katakan disini boleh buat anda rasa tercabar atau tersinggung. Kawan-kawan aku cakap, kalau ada 10 orang cikgu lulusan KPLI hanya 1 saja yang boleh pakai. Aku pernah menaip perihal tentang guru-guru jenis ini. Memang terbukti sekali lagi apa yang diperkatakan orang lain selama ini. Yang terkejutnya baru aku tahu, cikgu KPLI belajar 8 bulan tentang pendidikan sahaja sebelum keluar mengajar.

Aku tidak mahu ulas lagi pasal perguruan. Balik kepada cerita pasal makan angin aku. Aku lepak-lepak di situ sampai pukul 5. Malas mahu tunggu lewat senja. Lagipun aku mahu guna jalan biasa untuk balik ke Kuala Lumpur. Sengaja tidak mahu gunakan LPT. Sekurang-kurangnya dapat juga tahu rupa wajah bandar Mentakab dan Pekan Karak.

Sepanjang dalam perjalanan aku pulang ke Kuala Lumpur, aku guna satu laluan yang dikatakan agar mencabar dan berbahaya. Dari Plaza Tol Bentong sehingga ke Batu 8, Jalan Gombak, laluan di situ agak bengkang bengkok. Kira-kira 9km dari Tol Bentong, ada rekreasi kolam air panas. Selain itu, ketika sampai di kawasan Bukit Tinggi, aku sempat jenguk laluan lebuhraya KL-Karak dari atas bukit yang tingginya lebih kurang 500m dari aras bawah. Setelah hampir 2jam setengah perjalanan, akhirnya aku sampai di Greenwood.


Gambar yang sempat aku ambil masa di laluan berbahaya. Jambatan atas adalah Lebuhraya Karak

Di Greenwood, aku singgah solat serta pergi melawat ke rumah sewa lama aku. Tidak sangka dalam setahun aku berpindah, ada benda yang berubah. Lawat rakan sepejabat lama, anak dia pun umur sudah masuk setahun lebih. Tidak sangka cepat masa berlalu.

Akhirnya pukul 11malam aku sampai ke rumah Shah Alam. Seronok dan penat. Habis. Apa-apa pun aku hendak ucapkan terima kasih kepada kawan aku - Cikgu Syida dan Cikgu Farhana atas layanan yang diberikan. Ada masa kita jumpa lagi. Insya Allah......


Monday, July 18, 2011

Sketches....

Firstly, I would like to say thank you Inche RestnRileks for his comment on previous posting. Well, I have keep in mind to publish some of my sketches in this blog. Previously, I've uploaded my sketches in my Facebook. But it seems that I closed the account recently, maybe it's time to upload the sketches here.

Actually this sketches is all about my previous semester. We need to accomplish study regarding Urban Design. Therefore, few sketches needed as supporting prove for the study. We had choose Klang Town as our site for this assignment.

Basically this is not real sketches that been produced. I traced back on butter paper with some editing using Adobe Photoshop. The sketches looks like 'sketchy' because of the stroke. Mostly my colleague knows my stroke when I doing sketch. Jagged line and shading rendering make it can be recognized by them.

Real sketches? Wait for me to unpack my scanner soon. There's a lot of my sketches not been scanned yet.

Please do not hesitate to leave any comment....










Sunday, July 17, 2011

Emosi Malam Minggu

Maafkan aku seandainya apa yang akan aku tulis pada awal pagi agak beremosi sikit. Mungkin ada kena mengenai kehidupan seseorang. Kadang-kadang kalau aku kongsikan dengan orang lain mungkin ada yang ambil kisah atau sebaliknya. Tapi betul pepatah ada kata - Teman gembira senang di cari, teman bersedih sukar di ganti.

Aku tidak minta simpati pada sesiapa yang baca posting aku kali ini. Aku cuma ingin luahkan apa yang terpendam dalam hati. Terpulang kepada sesiapa ingin bagi maklumbalas lepas baca posting ini. Terima kasih aku ucapkan. Aku hargai pendapat yang dikongsikan. Sedikit sebanyak diharapkan dapat menjadi pedoman pada diriku aku ini kelak.

Sunyi. Itu yang aku mahu uraikan. Terkurung dalam bilik seorang diri malam hujung buat timbul perasaan itu. Bukan aku mahu jadi kera sumbang atau hidung tinggi tapi fitrah manusia ingin rasa disayangi dan menyayangi. Memadai bagi aku kalau bergelak ketawa dengan rakan kawan sekali sekala. Tapi masing-masing ada komitmen lain yang perlu ditunaikan. Aku kena hormat hak dan masa mereka juga.

Semuanya rentetan daripada apa yang terjadi ke atas diriku. Pada satu malam, aku terima satu mesej daripada bekas awek aku. Dia cakap dia rindu sama aku sejak kali terakhir berjumpa. Pertemuan terakhir diputuskan tanpa sebarang apa kata. Sejak dari saat itu tambah lagi kuat aku teringat sama dia lagi.

Aku lebih banyak pendam dan diamkan diri dari dia sejak daripada itu. Bukan fikir pasal ego tapi aku malas sebarang konfrontasi dan provokasi. Buat tambah sakit hati. Cuma aku ada balas satu mesej dia kira-kira 4 bulan yang lalu. Selain daripada itu, memang aku tidak balas.

Bukan aku tidak berani atau bacul. Cuma aku malas merumitkan keadaan. Tapi payah juga mahu buang ingatan aku pada bekas awek aku. Tidak semudah memadam fail-fail dalam komputer apabila tidak digunakan lagi.

Mungkin salah silap aku biarkan diheret sebegini. Heret perasaan sampai terasa seolah mengganggu hidup sendiri. Mungkin silap aku terlebih berpura-pura seolah tiada apa-apa yang berlaku. Tiada niat ingin berpura-pura tapi aku tidak mahu benda ini jadi satu beban dan kelemahan pada diri sendiri dan orang lain. Aku tidak mahu orang ambil kesempatan ke atas apa yang telah aku lalui dan alami.

Adakah anda ingin berjumpa dengan aku yang selama ini agak bersemangat atau sudah putus harapan? Jadi aku minta sekiranya buat sesiapa yang terasa ini berpura-pura.

Aku kena cari sendiri pendekatan dan penyelesaian juga supaya hati dan perasaan tidak terbeban sangat lagi. Mahu atau tidak aku sendiri kena pergi berjumpa dengan bekas awek aku supaya ada penyelesaian dapat dicari.

Aku tunggu saat dan masa yang sesuai untuk berjumpa dengan perasaan yang tenang, tiada rasa dendam dan hasad dengki antara satu sama lain.

Susahnya hendak pisahkan rasa sayang pada seseorang itu jika sudah lama bersama.

Sekiranya si dia sedang membaca, aku mahu cakap minta maaf. Dalam hati aku ini masih ada ingat sama dia lagi.

Terima kasih kerana membaca posting aku kali ini. Sama-sama kita berdoa semoga dipermudahkan urusan kita, diterangkan hati, ditenangkan jiwa dan ditenteramkan perasaan. Aku harap semoga Allah ampun dosa kita semua. InsyaAllah.

Selamat malam.


Friday, July 15, 2011

Siapa tiru siapa?

Siapa tiru siapa?

atau

Aku tak tahu nak kata siapa tiru siapa...

Aku seorang yang berkerja dalam bidang grafik dan rekabentuk secara langsung.

Bila timbul benda macam ni...

Teringat babak cerita Tiga Abdul :

Eh di sana... bapak di sana tu penyamun, abang2 di sini tu penyangak, dah kena dah si penyamun jual si penyangak!

Kalaulah aku seorang juri yang tiada hati perut, mungkin aku akan tolak kedua-kedua idea ini walaupun secara kebetulan.....

Kalau aku seorang yang berperikemanusiaan, aku akan pakai 'prinsip first come first serve'....

Kalau aku seorang yang cerewet, idealist dan rasional, aku akan ambil idea mana yang kuat dari segi konsep, makna dan mesej yang disampaikan....

Memang benar orang cakap, seni itu subjektif dan pelbagai cabang dari segi pemahaman dan makna....

Kreativiti amat penting supaya tidak nampak sangat ciplak menciplak antara satu sama lain....

Kadang apa yang kita faham tidak semestinya orang lain faham......

Janganlah ajar diri meniru, ajarlah diri untuk belajar......

Nak tahu lagi?

Buka website


Saturday, July 9, 2011

Antara Kesenangan, Ketenangan dan Kemenangan.

Dalam hal politik, aku lebih suka letakkan diri aku sebagai liberal. Tidak mahu sebelahi mana-mana parti. Buktinya aku baca akhbarnya arus perdana yang pro-kerajaan dan pada masa sama melayari laman web atau blog yang pro-pembangkang.

Dengan apa insiden yang terjadi pada hari ini, banyak benda yang aku perlu ambil iktibar. Tidak semua orang suka dengan berdemonstrasi atau tunjuk perasaan. Semua orang mahukan ketenangan dan kesenangan. Namun tidak semua orang dapat kesenangan dan ketenangan yang diidamkan. Secara halusnya, hak kita dinafikan dan disekat. Memang mungkin tidak dapat lihat di mata tapi dapat kita rasai.

Yang secara halus dinafikan kesenangan dan ketenangan adalah bila kita merasa keperitan, kepayahan dan kesusahan bukan secara fizikal atau luaran semata-mata, sebaliknya melibatkan mental dan psikologi. Dalam memenuhi semua aspek keperluan, kita kadang-kadang terpaksa mengorbankan kesenangan dan ketenangan yang sedia ada demi masa depan yang tidak tahu cerah gelapnya.

Bukan semua orang tidak berusaha untuk mengecapi kesenangan dan ketenangan. Diperah keringat, tenaga dan masa untuk mencapainya. Sayangnya, terasa makin dikejar makin jauh ditinggalkan. Yang kaya makin mewah, yang miskin makin daif. Kapitalis.

Ada kalangan daripada kita bukan mengidam sangat hidup bermewah. Cukuplah dapat memenuhi keperluan dari bermegah-megah dengan kekayaan. Hidup kesederhanaan yang dituntut. Itulah kesenangan dan ketenangan yang dicari.

Yang dikendong tercicir, yang dikejar tak dapat.
Yang dikandung gelincir, yang disasar tak sempat.

Bila disuarakan oleh yang memerlukan, jadilah seperti anjing menyalak bukit. Dipekak, dibuta dan dibisu. Bila orang kita bangkit bertindak dituduh tidak kenang budi, diperalatkan dan macam-macam lagi. Sebenarnya yang menuduh sebegitu kadang-kadang lebih teruk dari yang tindas. Bukan tidak kenang budi sahaja sebalik lupa daratan.

Diberi mandat bukan untuk membela rakyat dahulu tapi membela mulut dan perut sendiri dan kerabat dengan keenakan. Dibayar bukan mengarah secara langsung sebalik untuk bekerja bersama-sama untuk kesenangan semua pihak.

Inilah kesenangan dan ketenangan yang diragut demi keselesaan yang melampau. Dijadikan rakyat umpama hamba, kuli dan kuda tunggangan.

Tapi aku disini ingin mengingatkan bahawa tidak semua akan selalu berada di atas. Lambat laun akan tetap turun ke bawah. Silap-silap yang dijulang hormat tinggi bertukar menjadi terperosok dengan kehinaan. Fahamilah maksud 'Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah'.

Janganlah kerana idaman diri mahu dicapai impian rakyat jadi terkapai. Silap haribulan yang digapai hancur bersepai.

Disini bukan aku mahu berdalih atau merungut.
Tidak sampai memilih atau bersungut.
Ada relevan bersuara dari terus berpura.
Tidak ingin yang lara bertukar mejadi bara.
Bukan seperti kura-kura atau kera.

Pesan aku satu sahaja, jika inginkan kemenangan sama-sama kongsi ketenangan dan kesenangan.

Percubaan Pertama

Alhamdulillah, siap lagi satu design khat kufi murabba aku malam ini. Aku pilih Surah Al Asr sebagai percubaan pertama. Agak mencabar untuk buat susunan huruf satu persatu. Banyak lagi perlu diperbaiki supaya ada peningkatan pada masa depan. InsyaAllah.

Friday, July 8, 2011

Bila Mambang Tanah Jumpa Jin Pakai Toncit Jadinya Huruf M.....


Jangan terkejut kalau tiba-tiba masuk blog aku dan nampak design macam ini. Akhirnya dapat juga aku belajar cara merekabentuk khat kufi murabba. Alhamdulillah. Masih dalam percubaan. Perkataan pertama yang aku reka adalah Berita Dari Rantau. Ini bersempena dengan blog. Aku cuba cari header baru untuk blog aku ini. Tiba-tiba timbul idea menggunakan jenis khat ini.

Di sini aku selitkan tentang kawan aku seorang ini. Cukuplah aku namakan dia sebagai Tulang. Nampak ranggi pada luaran tapi minat tulisan Khat mamat ini. Habis setiap nama kawan dia ditulis dengan tulisan khat. Pergi rumah sewa depa, bertempek di dinding kertas yang ditulis dengan khat. Kredit untuk dia. Mahu kenal ini kawan, boleh selak masuk dalam blog dia - GULA GULI.

Alhamdulillah, sampai hari ini aku masih mengenal huruf-huruf jawi. Biarpun tidak selancar dahulu, sekurang-kurangnya bila baca tulisan jawi aku faham apa yang ditulis. Ini kekuatan orang Melayu sebenarnya. Patutnya dipertingkatkan lagi penggunaan tulisan jawi di merata tempat.

Tetapi ada orang agak skeptikal dengan tulisan Jawi. Yang sedih lagi kecewa terutamanya bangsa kita sendiri kutuk penggunaan tulisan Jawi di papan tanda atau billboard seperti yang kita boleh di negeri Terengganu dan Kelantan. Ada yang kata ketinggalan zaman. Sepatutnya kita patut rasa bersyukur dan beruntung bahawa orang Melayu Islam ada kemajuan dan peradabannya sendiri. Biarpun asal daripada huruf Arab, kewujudan Jawi sudah bagi manafaat sendiri kepada masyarakat tempatan. Ini menunjukkan kepentingan menuntut ilmu. Orang dahulu amat inovatif dengan mengadaptasi huruf-huruf ini dengan pertuturan orang tempatan. Apabila sudah mengenali huruf-huruf ini, sudah pasti memudahkan orang kita membaca dan mempelajari isi Al-Quran.

Aku di sini menggalakkan dan menggalakkan kita belajar membaca dan menulis jawi. Sekurang-kurangnya bila suatu hari nanti orang bertanya tentang tulisan Jawi, dapat kita sampaikan apa yang ditulis kepada orang lain.

Seperkara lagi, kalau mahu perkasakan penggunaan Jawi elok sangat dijadikan syarat untuk menjadi seorang wakil rakyat. Tidak kira apa parti samada UMNO, Pas atau PKR, para yang ahli politik yang berketurunan Melayu serta beragama Islam mesti tahu membaca dan menulis Jawi. Bukankah Kepimpinan Melalui Tauladan? Kalau mereka tahu baca dan tulis, semestinya benda ini boleh jadikan contoh kepada pengikut masing-masing bahawasanya inilah sebenarnya kelebihan orang Melayu berbanding bangsa lain.

Jika orang India boleh baca menggunakan tulisan Tamil atau Hindi mahupun orang Cina bangga dengan kaligrafinya, tidak mustahil bagi orang Melayu untuk menghargai kewujudan tulisan Jawi sebagai wadah dan medium untuk kemajuan serta pembangunan bangsa.

Ambillah iktibar dari sedutan Filem Bujang Lapok, inginkah kita melihatnya perkara ini pada masa hadapan?


Thursday, July 7, 2011

Mana posting yang lain?

Sudah masuk dua bulan kami bercuti semester. Tinggal 3 minggu lagi hendak sambut bulan Ramadan Al Mubarak. Dua bulan kerja, macam sudah habis belajar pula. Putus hubungan, siapa pun tidak dihubungi terutamanya kawan-kawan satu studio. Tambahan pula, akaun Facebook aku tutup. Jadi mungkin sukar untuk mereka yang lain untuk hubungi aku. Pesan aku senang saja, kalau rasa mahu sembang dengan aku atau benda ingin aku sampaikan, ringan-ringankan jari untuk dail telefon aku. Jangan risau sebab telefon aku masih berfungsi dengan elok walau nampak luaran macam 10tahun pakai.

Malam ini lepas layan tengok cerita KL Gangster, aku jengah tengok blog-blog kawan yang lain. Ada yang kemaskini, ada yang bersawang, berhabuk dan macam-macam lagi. Mungkin masing-masing ada komitmen. Jadi tunggu sajalah untuk timbul. Aku akan cari dan baca blog lain. Mana yang menarik, aku layan.

Aku tidak mahu panjang bicara lagi malam ni. Cukup setakat ini dulu.


Wednesday, July 6, 2011

Insomnia......

Sejak kebelakangan ini, kalau tidur malam sahaja aku akan terjaga kira-kira pukul 3 pagi. Mungkin silap sendiri yang tidur lewat. Atau kekadang lupa baca doa atau basuh kaki. Boleh jadi kalau banyak fikir sangat. Astagafirullah. Harap-harap selalu dalam hati aku ini sebelum tidur serah bulat-bulat kepada Allah Taala. Mana tahu, kita terus lena selama-lamanya.

Aku tidak tahu ini adakah kesan sampingan akibat tabiat tidur lewat atau selalu berjaga malam? Faham-faham sajalah kalau nama pun budak studio-based, malam atau siang sama saja. Kalau mengantuk baru tidur. Setakat ini kalau masa di pejabat, kekadang terasa mengantuk juga. Kalau terasa sangat, aku bangun dari kerusi dan mundar mandir ke tempat orang lain. Tidak pun lepak di bilik mesyuarat, bancuh air sambil ligat otak fikir itu ini.

Sekarang aku harap dapat berjaga sampai azan subuh. Niat aku hari ini semoga Allah bagi peluang untuk berjemaah di surau. Jarang sangat dapat turun ke surau waktu subuh. Sasaran aku sebolehnya kerap pergi ke surau.

Semoga kita semua dimurahkan rezeki pada hari ini. InsyaAllah.

Aku fikir sendiri apa disebalik bangun awal murah rezeki. Siang tadi aku tweet seseorang dan tanyakan pukul berapa dia gerak ke tempat kerja. Dia jawab pukul 6.20pagi. Aku cakap sama dia moga-moga murah rezeki selalu. Ada maksud tersirat murah rezeki bila bangun awal.

Biar aku cakap dari perspektif zaman moden. Pada pandangan aku, dunia semakin lama, semakin maju. Makin maju makin cepatlah jawabnya. Kalau sebaliknya maknanya makin terbelakanglah jawabnya. Kalau mahu dikaitkan murah rezeki, aku ambil contoh mudah :

Kita bangun pagi, sembahyang subuh, siap untuk keluar pejabat. Andaikata tinggal luar KL misalnya Shah Alam atau Gombak, benda yang mesti selalu orang berfikir adalah mahu elak sangkut dalam kesesakan. Maka orang akan keluar awal, pasal tidak banyak lagi kereta atas jalan waktu tersebut. Sudah pastinya minyak kereta tidak bazirkan begitu sahaja. Tidak perlu banyak wang untuk dibelanja. Sebaliknya kalau sangkut, maknanya minyak mesti kena kerap isi selalu pasal sah-sah kereta dihidupkan lebih lama.

Balik pada cerita aku semula

Aku cuba latih diri ini supaya bangun awal macam dulu. Bukan tidak biasa, kerap juga tergelincir. Masa aku sekolah rendah, sudah diajar bangun awal setiap pagi. Masa cuti, ikut Tok aku pergi pasar untuk beli barangan dapur untuk kedai makan. Sekolah menengah pula, duduk asrama lagilah kena displin sikit. Kekadang cuti, balik tolong mak dengan abah bungkus kuih dengan nasi lemak untuk jual di pejabat.

Aku cuba usaha supaya diri ini tidak mahu tercicir lagi. Biar buat masa ini untung tidak seberapa tapi jangan rugi selalu. Harap sementara ada peluang untuk berubah, aku tidak mahu cakap kosong saja. Banyak sangat benda aku tertinggal. Semoga Allah terangkan hati aku dan tanamkan sifat-sifat yang baik dalam diri aku.

Tuesday, July 5, 2011

CPU baru....

Alhamdulillah, dapat juga balik awal sikit berbanding minggu-minggu lepas. Kalau tidak, balik nampak bulan dan bintang sajalah. Selalu lepas Isyak baru turun dari pejabat.

Kelmarin lewat juga aku pergi rumah Mak Long di Batu Belah. Hantar CPU dia. Dekat 2 bulan dia minta tolong. Akhirnya dapat juga diperbaiki. Tapi yang hampa, monitor dia buat perangai. Bahana beli LCD 2nd. Tapi kira oklah sebab dah pakai setahun lebih. Beli masa hari itu dengan harga RM150. Saiz 16 inci. CPU dia pun dah tua. Bayangkan masih pakai Pentium 4 sebagai processor. Teknologi 5 tahun. Tak rosak apa sangat pun. Cuma CMOS saja sudah gelong. Bayangkan kalau sesiapa yang serba kemaskini, update sana sini tapi masih guna teknologi lima tahun dahulu, sah-sah jadi tertekan dek lembapnya ia bekerja. Dengan kemunculan teknologi yang makin lama makin canggih, sudah pasti diri kita sendiri kekadang tidak terikut dengan perubahan kemajuan ini.

Sebut pasal CPU, aku rasa cemburu juga bila ada kawan sepejabat aku laburkan duit untuk CPU baru. Dia pasang dalam pejabat CPU baru petang semalam. Memang geram aku tengoklah jadi. Baru habiskan sampai RM1400. Rasa macam senang saja dia keluarkan duit sejumlah itu. Hahaha. Tapi bagi aku, mungkin berbaloi kalau sesiapa yang terlibat bidang teknikal dan rekabentuk membelanjakan sejumlah besar wang demi hasil kerja grafik yang menarik dan berkualiti. Memadailah kiranya kalau setakat lepas buat 3D, AutoCAD, superimposing guna Photoshop dan rendering. Kalau pelaburan RM3000 dan ke atas, itu sudah dianggap super professional. Kalau siapa yang kerjanya sampai mahu kena buat animation kemudian hasilkan produk macam cerita Transformers, elok sangat siap duit banyak untuk build up CPU yang 'high end' spesifikasinya.

Aku pun cadang mahu buat satu CPU baru. Set yang aku ada sekarang masih boleh guna lagi. Cuma aku mahu upgrade supaya memudahkan aku untuk buat kerja dengan cepat. Tambahan pula graphic card ATI2600XT yang aku warisi dari encik Pali sudah kurang cekap atau tidak efisien lagi. Asyik sangkut kalau tengah render atau main game. PC aku ni pun sudah berusia hampir 2 tahun. Boleh dianggap sudah masuk usia senja.

Tapi aku jadi dalam dilema pulak sekarang. Aku cerita benda ni sama Pali. Tiba-tiba dia nak tolak Dell Optiplex330 kepunyaannya. Ok juga harga yang dia tawarkan kepada aku. Jimat beratus dan boleh buat belanja makan steamboat. Dia kata CPU yang dia pakai sekarang tidak boleh masuk OS. Mula-mula aku macam mahu angkat tapi bila-bila tengok kawan punya CPU yang baru buat aku berubah fikiran.

Isk....nampaknya aku kena fikir dulu, bincang dengan yang expert-expert....

Sunday, July 3, 2011

Aku Menulis Bukan Kerana Nama...

Sudah lama aku berblogging. Penghujung 2007 aku sudah mula buat posting. Alhamdulillah, masih wujud lagi blog Berita Dari Rantau aku ini. Nama ini aku inspirasikan dari lagu Alleycats - Berita Dari Rantau. Memang sesuai dengan aku. Seorang manusia yang berada di perantauan bumi Tuhan. Sampai sekarang masih wujud lagi dan harap kekal sampai aku mati nanti.

Kewujudan blog ini lebih lama berbanding akaun Facebook dan Twitter aku. Sebelum ada 2 akaun itu, blog ini tempat aku berekspresi, berkongsi cerita dan perasaan secara alam maya. Mungkin ada bagus juga blog ini untuk orang seperti aku. Aku ini kurang berpetah bercakap. Dalam kepala otak aku, banyak aku suka berfikir, imaginasi dan berangan. Mungkin dengan posting yang ada, aku harap orang akan faham apa yang ingin aku sampaikan.

Yang pastinya aku tidak jadikan blog aku ini sebagai untuk menjana dan mencari wang. Untuk iklan buat masa ini pun jauh sekali. Blog aku sendiri amat ringkas. Biar orang yang lawat blog aku ini nampak tiada apa-apa tapi yang penting adalah apa yang ingin katakan. Back to basic.

Asal kata blog ada Weblog. Maknanya boleh di'google' dalam Wikipedia. Maka, aku anggap blog ini umpama sebuah diari atau logbook. Terpulang kepada cara masing-masing untuk hidupkan blog. Tapi aku cuba berpegang pada prinsip 'Menulis Bukan Kerana Nama'. Aku cuba memahami prinsip itu dan menterjemahkan dari perspektif aku sendiri.


Saturday, July 2, 2011

Julai yang lalu


Alhamdulillah, Tuhan bagi aku umur panjang lagi. Dapat kaki aku jejak atas bumi Shah Alam. Tenang dan damai. Itulah yang aku dapat cakap. Suasana macam ini, mungkin susah hendak dapat di tempat lain.

Sudah setahun aku tinggal di Shah Alam. Memang aku akui, kos hidup sini lebih mahal sikit berbanding di Kuala Lumpur. Kalau sini ada RM5, cukup-cukup dapat nasi, sayur atau ikan. Kalau KL, mungkin aku masih beruntung dan bernasib baik. Silap2 RM5 boleh dapat dengan air manis sekali. Barangkali baki lima kupang pun boleh dapat.

Tapi penghijrahan aku sebenarnya adalah untuk sambung belajar. Bagi aku bulan tujuh atau Julai agak signifikan dalam hidup aku ini. Tujuh tahun lalu, bermulalah saat aku hidup jauh dari keluarga. Mula babak aku jadi anak rantau. Aku dapat masuk belajar di UiTM Shah Alam. Masa itu orang lain sudah sebulan mendaftar dan belajar. Aku dapat tawaran lepas buat rayuan untuk minta masuk. Kalau tidak salah, bukan aku seorang sahaja. Ada beberapa kawan aku yang daftar lewat. Akhmar, ET, Fit, Wawan, Udenkt, Hanisah, Yan dan Ira. Yang paling pasti adalah siapa yang masuk lewat nombor matrix dia bermula dengan 200468xxxx.

Bulan Julai yang signifikan. Tiga tahun kemudian (2007), aku dapat kerja. Masa aku sudah tekad. Mahu berehat dari belajar. Aku lalui semester akhir diploma dengan penuh dramatik. Kawan diploma aku yang lain masuk belajar, aku masuk pejabat. Jadilah aku sebagai seorang Pembantu Teknikal Landskap. Kecil habis gaji aku masa mula-mula, RM800. Bayangkanlah macamana mahu hidup dengan pendapatan sekecil itu. Pernah sekali aku tunggang bawa dan terlanggar bumper kereta. Tidak pasal-pasal RM300 aku terbang. Duit yang patut jadi belanja raya bukan rezeki aku. Memang perit juga.

Setahun yang lalu, juga memang meninggalkan kenangan dalam hidup aku juga. Terjadi dalam bulan Julai juga. Setelah 3 tahun bekerja, memang dalam perancangan aku mahu sambung belajar. Nampak semuanya lancar tetapi Tuhan mahu uji aku. Mula-mula sekali, aku tidak ditawarkan ke UiTM, sebaliknya dapat tawaran UTM. Masa itu, rasa kecewa habis. Sebabnya dalam lapan-lapan pilihan, UiTM pilihan pertama dan UTM pilihan kelapan. Pelik jugalah sebab yang terakhir itu yang aku dapat. Dari situ, turun naik aku dari Kuala Lumpur ke Shah Alam. Cuti tapi gaji selama 3 hari.

Tidak cukup dengan itu, aku terpaksa ke Skudai gara-gara bantuan pihak UTM Jalan Semarak yang tidak seberapa. Memang betul-betul aku diuji. Naik keretapi tiba-tiba sangkut dekat Labis jam 4 pagi. Masa sangkut, aku ada rasa give up. Bayangkan 8 jam menunggu tren ke Johor Bahru. Sudahlah terbuang masa di Stesen Labis hampir 4jam.

Inilah Stesen Labis. Bayangkan jam pukul 4 pagi kalau sangkut di sini....

Akhirnya keretapi dapat bertolak dari Stesen Kluang jam 12.oo tengahari. Jam 2.oo petang 29hb Jun 2010, baru sampai stesen Johor Bahru setelah masa terbuang hampir 14jam gara-gara masalah keretapi.

Aku pergi ke Skudai bukan suka-suka. Tapi kerana hanya sekeping surat pengesahan penolakan tawaran ke UTM. Bukan aku tidak mahu ke UTM tapi banyak benda aku perlu ambilkira. Kalau aku kena pindah, barang-barang rumah mahu letak di mana? Kemudian dengan kewangan yang tidak mencukupi, sudah pasti aku tidak mampu tanggung kos semasa belajar di UTM.

Selesai urusan rayuan dibuat, aku serah bulat-bulat. Aku sudah berusaha sebaik mungkin. Maka aku masuk pejabat balik. Bos naik angin dengan aku. Marah pasal aku ambil cuti emergency tiga hari berterusan. Panas telinga jawabnya.

Masa itu aku ada fikir perancangan lain. Aku cadang mahu berhijrah ke selatan tanahair. Mahu cuba rasa hidup disana.

Pada satu malam pada hari Khamis (1 Julai 2010) di pejabat, tinggal aku dengan kawan pejabat. Dengan jiwa hati tidak stabil, kena buat overtime. Sambil-sambil sedang buat printing, tiba-tiba gatal tangan masuk website UPU. Mahu check result. Alhamdulillah, menjerit aku seorang diri. Aku gembira ditawarkan tempat ke UiTM. Memang semua orang aku mesej malam tu. Seronok habis malam itu.

Keesokan hari Jumaat, jadilah hari terakhir aku bekerja di RPLC. Kalau siapa yang pernah kerja situ, faham-faham sajalah. There is no happy ending at the beginning, so do I. Di'psycho'nya aku pasal mahu saman aku gara-gara tindakan yang aku buat - cuti kecemasan dan resignation. Tapi aku buat keras hati dan pekak telinga pasal sudah jadi lumrah bila staff mahu cabut. Aku serah surat letak jawatan aku.

Ada sebab aku tidak mahu beritahu bos aku. Aku tidak mahu dia masuk campur segala urusan peribadi aku. Memang mulut senang cakap tapi perbuatan dia kekadang tidak boleh orang terima.

Maka, pada 2 Julai 2010, itulah hari terakhir bekerja secara professional setelah tiga tahun menjadi Pembantu Arkitek Landskap.

Secara senyap tanpa pemberitahuan dalam Facebook, aku datang rumah Ali, Akmal, Khairil, Chak dan Lo di komersial Seksyen 7. Depa pun tidak sangka aku sambung masuk belajar di UiTM. Aku tumpang rumah depa sebelum pergi masuk mendaftar pada pagi 3 Julai 2010 hari Sabtu. Masa hari mendaftar, aku pergi bersama Aiman, Faridrul dengan Mazawarni.

Akhirnya setahun sudah berlalu. Semoga aku dapat berjumpa Julai yang akan datang. InsyaAllah. Tidak aku sangka kebanyakan bulan Julai yang aku rasai penuh debaran dan cerita.