Sebelum aku mulakan membuat kerja sekolah, sukacitanya ingin berkongsi pasal pengalaman aku pergi menonton filem keluaran adik beradik KRU yang terbaru - Merong Mahawangsa. Akhirnya setelah seminggu berada di pawagam, dapat juga aku pergi menontonnya. Hendak ajak orang lain, malaslah pula. Takut tidak layan baik aku pergi seorang diri. Sumber kewangan yang terhad membuatkan aku rasa bergerak solo lebih senang. Silap-silap aku yang kena keluar duit.
Malam tadi sepatutnya aku pergi menonton bersama Faizat, tapi aku ada kerja mahu dibuat terpaksalah menolak pelawaannya. Tiba-tiba pula kelas pada petang ini dibatalkan, apalagi masa untuk bersantai pun bermula. Balik rumah, buka internet terus cari waktu tayangan. Mula-mula ingat mahu pergi dekat Bukit Raja tapi takut risau penuh ramai dengan orang pula terus pergi Summit USJ.
Sudah lama aku tidak menjejak kaki ke pawagam. Rasanya 3 bulan. Cerita terakhir aku tonton adalah Hantu Kak Limah Balik Rumah. Kadang-kadang aku ajak si Aiman untuk layan wayang tapi dia malas. Apa boleh buat, orang tidak sudi. Hehehe.
Lepas beli tiket, merayau sebentar sementara tinggal lagi 30minit. Tiba-tiba nampak karaoke. Bubuh dua lagu pun jadilah. Insan Terpilih - Arrow dan Semua Jadi Kenangan - A.Rahman Hassan. Oklah pasal mahu lepaskan geram.
Selesai nyanyi, terus masuk panggung. Ada juga yang bukan Melayu datang menonton cerita ini. Kira hebatlah cerita ini dapat menarik penonton pelbagai kaum untuk melihat sendiri hasil kerja anak tempatan.
Secara amnya, kira boleh berpuas hati dengan persembahannya. Penggunaan CGI seolah adegan tersebut dijalankan di lokasi sebenar. Prop yang menonjolkan zaman dahulu agak sebati dengan filem ini.
Tapi sayangnya aku terasa ada masa jalan ceritanya aku tidak dapat aku hayatinya. Seolah hilang tumpuan. Namun, 'flow' jalan cerita agak tersusun. Andainya ada banyak flashback yang sesuai dan menarik, mungkin tumpuan aku terhadap cerita ini tidak hilang.
Filem epik ini boleh dikatakan sama hebat dengan filem 'Queens of Langkasuka'.
Apapun, 3.5/5 bintang untuk cerita ini. Cerita ini sesuai untuk semua orang kerana Hikayat Merong Mahawangsa adalah sebahagian daripada warisan negara serta bermulanya asal usul Kesultanan Kedah. Kesultanan Melayu Kedah boleh dikatakan antara kerajaan yang tertua di dunia yang masih wujud sehingga kini.
Semoga filem yang berkaitan dengan sejarah dapat dihasilkan lebih banyak lagi serta mengangkat martabat industri perfileman negara.
1 comment:
cerita ni da okey da
tapi bab pelakon tambahan tu paling hampeh n grafik pon kurang menyengat
pastu bab prop pon kureng
tp aper2 pon masih boleh dipuji lg
yeah!
Post a Comment