Saturday, March 26, 2011

Thursday, March 17, 2011


Sebelum aku mulakan membuat kerja sekolah, sukacitanya ingin berkongsi pasal pengalaman aku pergi menonton filem keluaran adik beradik KRU yang terbaru - Merong Mahawangsa. Akhirnya setelah seminggu berada di pawagam, dapat juga aku pergi menontonnya. Hendak ajak orang lain, malaslah pula. Takut tidak layan baik aku pergi seorang diri. Sumber kewangan yang terhad membuatkan aku rasa bergerak solo lebih senang. Silap-silap aku yang kena keluar duit.

Malam tadi sepatutnya aku pergi menonton bersama Faizat, tapi aku ada kerja mahu dibuat terpaksalah menolak pelawaannya. Tiba-tiba pula kelas pada petang ini dibatalkan, apalagi masa untuk bersantai pun bermula. Balik rumah, buka internet terus cari waktu tayangan. Mula-mula ingat mahu pergi dekat Bukit Raja tapi takut risau penuh ramai dengan orang pula terus pergi Summit USJ.

Sudah lama aku tidak menjejak kaki ke pawagam. Rasanya 3 bulan. Cerita terakhir aku tonton adalah Hantu Kak Limah Balik Rumah. Kadang-kadang aku ajak si Aiman untuk layan wayang tapi dia malas. Apa boleh buat, orang tidak sudi. Hehehe.

Lepas beli tiket, merayau sebentar sementara tinggal lagi 30minit. Tiba-tiba nampak karaoke. Bubuh dua lagu pun jadilah. Insan Terpilih - Arrow dan Semua Jadi Kenangan - A.Rahman Hassan. Oklah pasal mahu lepaskan geram.

Selesai nyanyi, terus masuk panggung. Ada juga yang bukan Melayu datang menonton cerita ini. Kira hebatlah cerita ini dapat menarik penonton pelbagai kaum untuk melihat sendiri hasil kerja anak tempatan.

Secara amnya, kira boleh berpuas hati dengan persembahannya. Penggunaan CGI seolah adegan tersebut dijalankan di lokasi sebenar. Prop yang menonjolkan zaman dahulu agak sebati dengan filem ini.

Tapi sayangnya aku terasa ada masa jalan ceritanya aku tidak dapat aku hayatinya. Seolah hilang tumpuan. Namun, 'flow' jalan cerita agak tersusun. Andainya ada banyak flashback yang sesuai dan menarik, mungkin tumpuan aku terhadap cerita ini tidak hilang.

Filem epik ini boleh dikatakan sama hebat dengan filem 'Queens of Langkasuka'.

Apapun, 3.5/5 bintang untuk cerita ini. Cerita ini sesuai untuk semua orang kerana Hikayat Merong Mahawangsa adalah sebahagian daripada warisan negara serta bermulanya asal usul Kesultanan Kedah. Kesultanan Melayu Kedah boleh dikatakan antara kerajaan yang tertua di dunia yang masih wujud sehingga kini.

Semoga filem yang berkaitan dengan sejarah dapat dihasilkan lebih banyak lagi serta mengangkat martabat industri perfileman negara.

Wednesday, March 16, 2011

Berasap

Banyak hari aku tidak turun padang. Akhirnya dapat juga keluar peluh kaw-kaw malam ini. Hendak main waktu petang, cuaca tidak mengizinkan. Hujan lebat beserta kilat sabung menyabung membasahi bumi Shah Alam selama dua petang berturut-turut. Semalam cuaca agak buruk. Banyak ranting dahan pokok patah jatuh ke tanah. Harap-harap tiada yang menghempap kereta dan orang.

Kalau ikutkan, pukul satu sebentar lagi patutnya kena bermain lagi. Memandangkan perut aku sudah terisi, terpaksa lupakan saja untuk bermain. Penat dan berasap. Walau tidak menjadi penjaga gol, bermain sebagai pertahanan sudah cukup untuk membuatkan aku penat. Kalau boleh, aku tidak mahu 'overtrain'. Nanti yang tanggung sakit diri sendiri. Memang seronok kalau bersukan. Tapi kalau terlampau suka, akhirnya membawa duka. Jadi, haruslah kita beringat dan berwaspada. Demi kesihatan yang baik, janganlah kita cari penyakit tidak tentu pasal.

Tapi yang menjejaskan mood dan semangat kami adalah larangan memakai but 'berpaku' di padang. Tidak tahulah kepada siapa ingin aku persalahkan - kami atau PBT? Kami sebolehnya mencari lokasi yang sesuai untuk bersukan pada waktu malam. Cuma hanya padang terbuka di hadapan Masjid Negeri merupakan tempat yang ada untuk kami bermain. Menyewa di gelanggang? Cukuplah seminggu sekali untuk menyewanya.

Sebenarnya apa yang cuba utarakan perkara di atas adalah isu yang lama dan tidak pernah surut. Kekurangan kawasan rekreasi, lapang dan hijau. Kekadang rasa kecewa memang ada dengan PBT. Seolah-olah mereka cakap macam tin kosong. Aku tidak berniat menyalahkan semua pihak tapi cuba untuk biar sesetengah pihak seperti decision maker dan policy maker supaya buka mata, pasang telinga. Jangan memikirkan pembangunan lain lebih penting maka penyediaan tempat lapang untuk pengguna bersukan dan rekreasi diabaikan. Jangan kerana wujudnya gelanggang futsal yang tumbuh seperti cendawan lepas hujan dijadikan alasan untuk lari dari menyediakan keperluan kemudahan padang permainan yang secukupnya. Ini kerana ada yang tidak mampu menyewa gelanggang setiap hari serta ada juga yang suka melakukan aktiviti di kawasan yang terbuka.

Mahu cerita pasal padang memang tidak habis sampai ke subuh nanti. Nanti ada masa aku mahu luahkan kisah padang ini. Aku sudah penat dan mengantuk.


Monday, March 14, 2011

Seragam Biru.....




Dulu masa diploma, hendak cakap aktif tidak, pasif pun tidak. Aku pernah menyertai Kor SUKSIS. Kami merupakan pasukan @ siri ke 2 yang ditubuhkan pada tahun 2004. Macam-macam cerita ada sepanjang penyertaan aku ke pasukan ini.

Tapi bila aku keluar kerja, cadang-cadang mahu sertai pasukan sukarelawan polis. Bertanyalah orang sana sini cara hendak menyertai. Tapi, tidak menjadi. Mungkin niat aku hendak 'berehat' dari bidang ini Tuhan makbulkan. Aku sendiri cakap yang mahu berehat seterusnya beri penumpuan terhadap bidang senibina landskap. Bagi aku biarlah orang lain yang lebih sesuai, berkarisma serta bertanggungjawab untuk menyarung seragam biru ini.

Kadang-kadang, tumpang seronok melihat kawan-kawan lain menyarung seragam tidak kira polis dan tentera. Aku anggap inilah pengorbanan yang mereka lakukan untuk mempertahankan negara dari musuh durjana. Hanya Tuhan sahaja yang dapat membalas segala perbuatan yang mereka lakukan.

Ada rakan sepasukan pernah mengajak menyertai semula pasukan ini. Tapi aku rasa mungkin sudah tidak layak untuk memimpin. Zaman aku mungkin sudah berlalu. Ada orang lebih layak untuk menjadi penasihat serta pembimbing pada pelapis akan datang.

Sebolehnya, aku ingin cuba lakukan sesuatu yang lain pula. Mana tahu, ada benda dapat dikongsi pada suatu masa nanti.

Wednesday, March 9, 2011

Alahai.....


Pagi buta macam sekarang, otak aku rasa masih segar lagi walaupun badan aku cakap mahu tidur. Lepas tengok Liga Juara-Juara, lepas ini aku akan mengikuti perkembangan pasukan Barcelona pula. Barcelona merupakan pasukan yang aku minati selepas Arsenal. Faktor yang aku suka pasukan Barcelona sebab dahulu adanya Thierry Henry dan Ronaldinho. Kemudian munculnya Lionel Messi, minat aku pada Barcelona tidak setakat itu sahaja.

Tapi kekalahan Arsenal pada pagi ini, agak mengecewakan aku. Walaupun permainan di kuasai oleh Barca, aku lihat si Almunia menunjukkan prestasinya yang agak baik. Banyak cubaan di setiap penjuru dapat dikekang dengan kemas. Yang menjadi masalah sekarang adalah barisan pertahanan yang agak lemah dan masih kurang pengalaman. Aku lihat Koscielny (betul ke aku eja namanya?) adalah lubuk untuk para pemain lawan membolosi dengan mudah ke gawang gol.

Selain itu, di sayap pertahanan kiri aku rasakan itu kawasan yang agak longgar. Kerana kebanyakan pemain bertumpu di hadapan kotak penalti, kekadang ramai yang tidak sedar ada ruang untuk serangnya. Akibatnya mudah bagi Barca untuk membawa sehingga ke hadapan gawang gol.

Permainan di tengah padang tidak menjadi pada perlawanan ini. Memang benar, terdapat counter attack yang dilakukan tetapi sayangnya tiada penghabisan yang menarik. Di sini kredit harus diberikan kepada Samir Nasri yang banyak kali peluang menyerang dari bahagian sayap kanan. Berbanding Rosicky, kehadiran sebagai pengganti Theo Walcott tidak memberi impak kepada pasukan. Pendek kata tidak berfungsi. Begitu juga dengan Fabergas yang tidak menjadi penghubung yang baik antara pertahanan dan serangan. Mungkin disebabkan baru pulih dari kecederaan, maka sedikit sebanyak rentak permainannya agak terjejas.

Pada mulanya aku rasa seronok bila Van Persie dapat diturunkan pada pagi ini. Tapi malangnya tuah tidak menyebelahi dirinya. Beliau cuba bekerja keras untuk mencari peluang. Bertindak sebagai penyerang tunggal amat sukar untuk menyempurnakan gol. Malang untuk dirinya kerana dikenakan kad merah gara-gara menyepak selepas wisel offside ditiup. Perbuatan tidak sengaja bukan salah V.Persie. Bunyi riuh Nou Camp menenggelamkan tiupan pengadil.

Kini, perjuangan Arsenal hanyalah perebutan takhta BPL serta piala FA. Arsene Wenger harus berbuat sesuatu untuk mengakhiri kemarau ini. Memang bagus jika ingin menggunakan produk sendiri (akademi) untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap. Seharusnya Wenger harus memperkuatkan jentera pertahanan dan serangan dengan membeli pemain-pemain yang terbaik supaya Arsenal tidak ketandusan pengganti dalam menghadapi sesuatu perlawanan yang besar dan penting.

Inilah pendapat orang luar macam aku dalam permainan bola sepak.

Tuesday, March 8, 2011

Terengganu


Empat hari di luar Shah Alam, dan makan angin di Terengganu. Memang menyeronokkan. Sudah lama aku tidak merasa percutian sebegini. Kalau dulu outstation pun semuanya atas urusan kerja. Bawa report tebal naik bas, pusing ronda dalam bandar sebentar kemudian cabut balik ke KL bila sudah hantar ke pejabat yang ingin dituju. Kerap juga aku ke Terengganu tapi kali ini lebih menarik dan menyeronokkan.

Tempat yang kami lawati agak menarik juga. Misalnya Terra Puri, Muzium Negeri, Pura Tanjung Sabtu dan Taman Tamadun Islam. Mungkin inilah peluang yang sebaiknya untuk melihat secara dekat apa yang ada disebaliknya. Kerana sesetengah tempat yang dilawati adalah kawasan persendirian dan tidak mampu untuk orang macam aku menikmati keindahannya pasal harga yang amat berpatutan.

Secara kasarnya, identiti dan budaya negeri Terengganu memang terserlah dan kuat. Sebut sahaja pasal Terengganu, pasti boleh terbayang keropok lekor, ikan, sotong CT, songket, bumbung tebar layar, laut, perahu dan macam-macam lagi yang boleh disenaraikan. Perkara-perkara sebegini perlu dipelihara sebaik mungkin. Walaupun perlunya pembangunan, seharusnya keseimbangan dan kemampanan harus diambilkira supaya dapat identiti yang ada sekarang tidak di telan arus kemodenan.

Mahu cerita pasal makan angin memang tidak akan habis. Bukalah Facebook aku. Banyak gambar sudah di'upload'. Semoga satu hari nanti, kenangan dan pengalaman di sana menjadi memori terindah. Kerana apa yang ada pada waktu sekarang tidak mungkin akan sama pada 10 tahun akan datang.