Friday, December 18, 2009

Sepuluh ringgit, kalender dan gel gamat

Hari Awal Muharram ini merupakan cuti kelepasan am seluruh negara. Tetapi tidak bagi seorang budak perempuan ini. Merayau-rayau di kawasan stesyen minyak memohon sumbangan derma bagi Pusat Tahfiz Amal.

Maaf, kali ini aku tidak menghulurkan wang untuk mereka kerana aku berasa curiga dengan aktiviti. Aku terpaksa memulaukan mereka yang berselindung di sebalik anak-anak ini. Berkali-kali aku jumpa mereka seperti ini. Sebut sahaja R&R, hypermarket, stesyen minyak, bank dan lain-lain tempat lagi mesti ada kelibat mereka. Sudahlah mereka ini ada yang anak yatim, tidak berayah atau beribu disuruh mereka pula melakukan aktiviti sebegini. Lebih-lebih lagi pada musim cuti persekolahan. Yang lain seronok bergembira, mereka memerah keringat untuk tujuan sebegini.

Bayangkan ini adalah adik-adik kita, anak-anak kita atau saudara kita. Tergamakkah kita menyuruh mereka untuk melakukan akitviti sedemikian. Kalau pun hendak mengajar mereka berdikari, bagi aku ini bukan caranya. Cara ini menanam sifat kebencian dan lama-kelamaan akan membuatkan diri mereka memberontak.

Di sini timbul persoalan yang perlu dirungkaikan semua pihak bersama :

1. Andainya ini adalah sebuah Pusat Tahfiz Amal, bilakah masa anak-anak ini mengulangkaji pelajaran serta menghafaz Al-Quran? Sedangkan ada tahfiz mengambil masa serta berulangkali menghafaz Al-Quran serta memahaminya. Tidak mungkin anak-anak ini sambil meminta derma, mereka menghafaz Al-Quran. Wallahualam.

2. Pusat Tahfiz Amal katanya beralamat di Kedah dan anak-anak ini berada hampir setiap tempat di Semenanjung khusus Pantai Barat. Bila waktu pula anak-anak ini pergi ke sekolah? Bayangkan pukul 7pagi sampai pukul 2petang adalah waktu persekolahan. Andainya kegiatan ini mereka lakukan di sekitar Lembah Klang, mestilah ada yang kena tuang sekolah. Lebih teruk atau dalam istilah Bahasa Inggeris - insane, mereka menempuh perjalanan hampir 5jam kemudian mengutip derma selama beberapa jam dan kemudian kembali semula ke tempat asal dengan perjalanan 5jam. Jadi bila masa mereka hendak berehat secukupnya serta mengulangkaji pelajaran? Mesin pun akan rosak juga jika terlampau lama digunakan.

3. Kalau pun terpaksa sangat, mengapa mereka tidak menjalankan perniagaan yang sebenarnya? Dari menjinjing kalendar, gel gamat dan VCD, lebih baik mereka mewujudkan entiti yang sah dari segi undang-undang.

Disini saranan aku untuk mengatasi masalah ini adalah dengan memupuk sifat-sifat keusahawanan dalam jiwa anak-anak itu. Mereka perlu diajar dan diasah dengan sesuatu kemahiran yang berguna. Banyak benda yang boleh dilakukan dan dimanafaatkan oleh mereka.

Antara kemahiran yang sesuai untuk mereka adalah

- Pertanian: Antaranya mengusahakan hasil sayur-sayuran dan penternakan. Malah Nabi SAW pun pernah mengembala kambing semasa mudanya. Hasilnya dapat dijual dan menampung perbelanjaan mereka.

- Perniagaan: Sebagai contoh Pondok Pulau Pisang, Tunjang, Kedah. Mereka menjalankan perniagaan menjual murtabak terutamanya pada bulan Ramadhan. Bukankah 9/10 rezeki itu datang dari perniagaan.

- Kesenian: Bermacam-macam jenis seni yang ada, tidak kira tradisional ataupun kontemporari. Anak-anak itu boleh diajar seperti bermain kompang, nasyid, berzanji dan marhaban. Dapat memenuhi jemputan dan undangan sesuatu acara. Mereka boleh menjadi penyambung warisan kita yang semakin dilupakan. Malah dalam Islam pun dibenarkan hiburan asalkan tidak melalaikan dan memesongkan akidah.

- Hasil kraftangan: Antara yang praktikal adalah penulisan khat. Hasilnya boleh dijual kepada orang ramai. Selain itu kemahiran kerja-kerja ukiran kayu dapat menjana nilai yang tinggi. Busana Muslim dan Muslimah dapat dihasilkan oleh anak-anak yang berkemahiran dalam bidang jahitan.

- Kemahiran lain: Membaiki peralatan asas elektrik, komputer dan lain-lain.

Sebenarnya, apa yang disaran diatas bukanlah hendak menafikan konsep sedekah kerana ini adalah fardu kifayah kita. Ini lebih bersifat mengasihani antara satu sama lain. Disini kita bukan sahaja mewujudkan satu muamalat yang baru tetapi cuba menjana pendapatan mereka dari hanya sekadar bergantung harap kepada sedekah orang ramai yang akhirnya dieksploitasi oleh sesetengah pihak yang berkepentingan.

Janganlah kita biarkan keadaan jadi lebih teruk seperti yang terdapat dalam filem 'Slumpdog Millionaire' dimana si budak dibutakan matanya agar meraih simpati orang ramai sebaliknya ambil iktibar seperti filem 'Nacho Libre' lakonan Jack Black, yang berusaha untuk memperbaiki taraf hidup mereka.

Koleksi artikel berkaitan, sila klik di link berikut

http://nahdah.wordpress.com/2008/09/08/misteri-pusat-tahfiz-amal-kuala-kedah/

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0108&pub=utusan_malaysia&sec=dalam_negeri&pg=dn_10.htm&arc=hive

http://mohdazri.blogspot.com/2009/10/pusat-tahfiz-amal.html

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2007&dt=0101&pub=utusan_malaysia&sec=muka_hadapan&pg=mh_10.htm&arc=hive

3 comments:

zulzahar zailan said...

Ya..mmg satu aktiviti eksploitasi budak2..

Anonymous said...

nice one :)

KINAS said...

isu yang meletakkan ramai orang dalam dilema