Hujan turun lebat di Kuala Lumpur malam ini. Aku bersama rakan sepejabat keluar makan malam di Johan Seafood, Kampung Bahru. Kali terakhir aku datang makan situ kira-kira 5minggu yang lalu ketika abah aku datang sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia. Tapi malam ini, tiada bunyi menderam kucing yang bergaduh macam nak rak sebaliknya tiupan angin kuat dan kilat menjadi selingan santapan kami.
Semalam, genaplah 2 tahun aku bekerja di pejabat aku. Tiada sambutan istimewa ulangtahun melainkan harapan satu hari lagi kewujudan serta keupayaan aku lebih dihargai. Aku mengharapkan sesuatu peningkatan seiring kemajuan ke hadapan. Aku tidak ingin dipinggirkan untuk merasai kepuasan hasil usaha semua pihak selama ini. Bukan semua orang memiliki kebolehan yang orang lain tiada. Hargailah dengan balasan yang setimpal serta mensyukuri apa yang dikurniakan olehNYA.
Di dalam bilik ini, sambil menaip blog ini, dalam kepala aku terfikir dan menghitung apa yang aku lakukan untuk tahun 2010. Tahun 2009 yang penuh suka duka akan aku tinggalkan kurang dua minggu lagi. Tidak perlu pasang azam tapi sebaliknya teruskan dengan apa yang aku rancang. Berikut adalah senarai peristiwa yang telah berlaku sepanjang tahun ini. Aku simpulkan dan kongsikan untuk kita semua.
JANUARI
Beli Canon EOS1000D, Makan Angin ke Jakarta, Bogor dan Bandung
FEBRUARI
Tiada apa yang istimewa. Balik kampung masa Thaipusam. Masrul dapat tempat kerja baru.
MAC
Bulan terakhir ke Padang Merbok, lepas itu menyepi dari bermain ragbi. Aku dapat bangunkan satu set desktop untuk kegunaan peribadi.
APRIL
Pertama kali ke Pulau Kapas. Balik ke KL, Gelombang aku kena curi. Sukar terasa bergerak tanpanya di KL. Rasa terkejut dan simpati kerana 2 minggu sebelum kejadian, kami keluar bersama-sama makan sate di pekan Banting. Kalah sate Kajang.
MEI
Sepupu aku kahwin. Aku terasa keluarga aku dipinggirkan bila mak abah aku tidak dijemput naik ke pelamin untuk tepung tawar. Ada beberapa perkara yang tidak berpuas hati dengan dia. Adik Mattin pula kembali ke Rahmatullah akibat kemalangan.
JUN
Tiada istimewa dalam bulan ini.
JULAI
Maroon aku pula meragam, piping berkarat. Nasib baik tidak overheat. Akibatnya hampir sebulan aku naik bas ke pejabat gara-gara tidak cukup wang untuk bayar upah baikpulih kereta aku. Fina menamatkan zaman anak dara dengan seorang Cikgu. Beruntung orang macam Fina, dah kerja pun PTD suami pun nampak stabil. Tidak perlu membina kehidupan satu per satu. Semua sudah tersedia cuma tiada suri untuk menyeri rumahtangga.
OGOS
Kawan sekolah aku Mudzakir pula berkahwin. Memang membuka mata kami semua terutama yang bujang belaka. Perancangan yang senyap dan teratur hanya diketahui bila dijemput menghadiri majlisnya. Seminggu kita berpuasa aku dengan sepupu aku terlibat dalam kemalangan semasa perjalanan pulang ke Alor Setar bagi menziarahi Tok Su aku yang meninggal dunia kerana kanser lidah. Sila rujuk post yang laiu untuk kisah selanjutnya.
SEPTEMBER
Mudzakir mengalami pneumothorax. Kita berhari raya. Hampir sepuluh hari aku di kampong halaman. Abah aku beli 2 ekor anak kucing Parsi. Tok Mami jiran rumah meninggal dunia. Ligamen aku mengalami kejutan setelah sudah lama tidak bersukan. Kesannya terasa sampai hari ini.
OKTOBER
Kereta aku meletup di Little India Klang. Terbatal rancangan aku untuk beraya di rumah saudara setelah 2 minggu memerah di pejabat menyiapkan Pelan Induk. Nasib baik kerana giliran aku terima duit kutu. Hidup kurang sesak selepas raya. Teman tersayang selamat mendapat ijazah sarjana muda. Aku bertemu dengan selebriti terkenal, Faizal Ismail dan Farouk Husein di Majlis Makan Malam OFA.
NOVEMBER
Aku ke JB lagi. Hantar surat ke Nusajaya. Balik kampong raya haji, belum sempat masuk rumah ada kemalangan berlaku. Aksi lagak menukar penunggang motosikal menjadi aksi mengelupur kesakitan seperti nyawa-nyawa ikan. Tiada helmet di kepala memburukkan lagi keadaan.
DISEMBER
Aku secara rasminya bergelar ketua baru untuk rumah sewa bujang. Faizal keluar bersama perkakas miliknya ke rumah yang baru disewa. Perjumpaan bersama tuan rumah menghampakan beliau kerana tidak dapat merealisasikan konsep ‘Tiada Rumah untuk Orang Bujang’. Maka, terpaksa aku menyediakan segala perkakas rumah untuk meneruskan hidup sebagai perantau bujang di ibukota.
Aku tidak menyangka tahun 2009 bakal berlalu tidak lama lagi. Ambangnya mula terasa pada lusa ini kita juga turut menyambut Maal Hijrah 1430. Dua kali tahun baru. Bagi aku, tiada azam baru sebaliknya meneruskan perancangan sediaada dan melaksanakan. Bosan aku mendengar perkataan azam baru setiap kali menjelang tahun baru. Terasa macam di PBB, keluarlah macam-macam resolusi tapi tiada satu hasil yang membanggakan seperti isu Palestin.
3 comments:
aku pon nak buat jugakla diary cm ko ni jat.hee.
yeah
yeah
aku pun nk copy jugak
buat bende sama
haha
=D
tp ak xtau pulak gelombang da hilang
alahai
ak pun ada memori ngan gelombang jgk
hoho
banyak memori......motor runner sana sini
Post a Comment