Sunday, April 4, 2010

Satu, lapan, tujuh, kosong ..........

Beginilah aku, mula-mula bersemangat. Lama-lama sejuk, sepi dan terus senyap. Sebenarnya ada beberapa buah post yang dah aku tulis tapi fikir-fikir kekadang rasanya tidak molek untuk aku paparkan buat masa ini. Aku fikir nanti kena batang hidung aku balik, jadi aku biarkan sahaja dalam hard disk PC.

Dalam tempoh dua bulan yang lepas, tiada peristiwa yang berbekas sangat dalam minda aku. Cuma yang aku rasa untuk kongsi, sebuah jentera baru sebagai pengganti Gelombang yang pergi menghilangkan diri. Memang rajuk tak terpujuk. Alhamdulillah, hampir 10bulan aku menghadapi saat-saat yang rumit kini terasa kelegaan dan lapang dada serta minda. Tidak perlu kelam kabut pergi kerja terlampau awal, tidak perlu tempuhi kesesakan deretan kereta lagi dan tidak payah pening kepala untuk cekah duit isi perut minyak kereta.

Sudah sebulan lebih khidmat jentera baru ini bersama aku. Ke sana ke mari meluncur laju. Menyusuri jalan, meneroka lorong, merantau dan merayau ke setiap sudut ibukota. Aku gelarkan jentera baru dengan nama Gelora Biru. Model Wave100 tidak pernah kecewakan aku biarpun impian untuk memiliki jentera FZ150i Yamaha tinggal kenangan. Teringat pesan kawan aku, alang-alang hendak pakai motor macam superbike, baik kumpul duit dan rembat sebiji. Harap dapatlah suatu hari bukan sekadar bertenggek lagak tapi memilikinya. Yang penting sekarang, selesaikan urusan bayaran bulanan dan rancang untuk sasaran seterusnya.

Masa pandang pertama terhadap jentera baru, tidak aku sangka yang nombor pendaftaran menyerupai angka-angka pengenalan Gelombang aku. Orang tua aku pun terkejut. Mungkin secara kebetulan atau hikmah. Tetapi kita jangan terlampau taksub sampai menyimpang. Jatuh syirik nanti jadinya.

Ini mengingatkan yang rumah tok aku pun macam itu juga, ada digit 1, 5 dan 6 pada alamat rumah, nombor plat motor kapcai serta nombor telefon. Bagi aku, mungkin itu pilihan Tok Lid aku, pasal angka tersebut merujuk kepada nombor lot tanah milik beliau. Aku anggap ini akan memudahkan orang mengingati dan mengenali tapi pada masa yang sama membuatkan orang akan tersilap mendail telefon, alamat rumah tidak betul dek kombinasi tiga angka tersebut.

Aku pun tidak teragak untuk melakukan sebegitu sekiranya pada suatu hari nanti. Jika perlu melakukan sesuatu pendaftaran yang melibatkan kombinasi nombor, aku akan gunakan angka-angka tersebut sebagai langkah untuk mudah mengingati dan sebagai 'trademark' aku.

Balik kepada cerita jentera, kami telah memulakan penjelajahan bersama pada 16hb Februari yang lalu. Berkonsepkan Save Money through Safe Ride, aku merancang perjalanan dari Butterworth ke Gombak. Malangnya keupayaan jentera baru yang harus bergerak secara purata 60km/j kerana masih berpantang menyebabkan jadual perjalanan berubah. Tidak aku sangka masa perjalanan yang diambil termasuk waktu rehat adalah kira-kira 10jam. Memang pecah rekod kerana selama ini perjalanan menggunakan motorsikal berkapasiti 100-110cc cuma mengambil masa kira-kira 7-8jam. Tetapi kepuasan bagi aku kerana dapat singgah dan lalu banyak kawasan dan pekan.

Sepanjang perjalanan, aku singgah Padang Rengas dan Tanjung Malim untuk mengisi minyak. Berhenti dan minum pagi di kawasan sekitar Bukit Chandan, Kuala Kangsar serta merayau untuk melihat keindahan bangunan Masjid Ubudiah, Istana Kenangan dan Galeri Sultan Azlan Shah. Kemudian berhenti di Gopeng, Bidor dan Serendah untuk melepaskan penat lelah akibat terikan panas suria. Memang memenatkan tapi menyeronokkan. Teringat cerita 'Wild Hogs' yang melakukan 'Journey to the Pacific'.



Mungkin pada sesetengah orang akan anggap benda ini merepek tapi jiwa mereka yang suka tentang penjelajahan serta motorsikal, inilah satu-satu benda yang mereka akan lakukan untuk tinggalkan segala kesibukan urusan di bandar. Impian aku satu hari nanti, memiliki jentera beroda dua berkapasiti 250cc ke atas serta mengaum menyusuri jalanraya.

Ini mungkin jentera yang sesuai dengan aku andainya membesar dengan sihat ATAU


pilihan idaman hatiku untuk nampak muda,yang mana satu sesuai untuk aku


Bookmark and Share



2 comments:

syuhada farhany said...

tujuh satu lapan kosong

Mohammad Al-Aiman said...

wah
wah
gelora biru sudah menjadi pengganti gelombang
boleh aku tumpang ride skali kan?
=D

p/s : jom trip around semenanjung jom?