Sunday, April 25, 2010

Pasir Salak

Mula-mula aku nak cerita pasal temuduga aku di Seri Iskandar. Macam meleret sangat baik aku tulis pasal jalan-jalan lepas temuduga lagi menarik.

Lepas temuduga aku cadang dekat Zul pasal hendak singgah ke Pasir Salak. Bagi Zul, tiada masalah jadi kami teruskan perjalanan kami. Singgah sekejap beli air di Bota Kanan, kami teruskan perjalanan ke Pasir Salak. Sembang orang bujang menghilangkan kebosanan dalam perjalanan. Kahwin, rumah, kamera dan politik. Sambil mata aku menumpu pada jalan, sekali sekala terjeling aku memandang rumah Melayu yang gagah berdiri di tepian jalan sepanjang ke Kampung Gajah. Rasa macam hendak menetap dalam suasana sebegitu satu masa nanti. Walaupun aku dibesarkan dalam persekitaran kampung tapi aku tinggal dalam rumah batu. Aku kini mula meminati senibina berasaskan kayu serta ukiran tradisional.

Lewat tengahari sampai di Pasir Salak. Agak ke dalam juga dari Pekan Kampung Gajah. Sampai di sana, terkejut aku tengok suasana kawasan kompleks. Sunyi dan sepi biarpun hujung minggu. Bilangan pengunjung tidak sampai 20 orang dalam sejam. Yang ada pun cuma pelancong Eropah dan Cina. Aku anggap mungkin lokasi kawasan Pasir Salak menyebabkan kurangnya pengunjung singgah untuk menghayati sejarah perjuangan menentang penjajah.

Sepanjang merayau, aku jadi macam seorang yang baru pertama kali tengok rumah Melayu. Yang menarik perhatian aku adalah bahagian rumah selang. Menjadi penghubung antara rumah ibu dengan rumah dapur, fungsi rumah selang bukan sekadar itu sahaja. Ruang yang bersifat semi open turut menjadi akses bukan formal untuk masuk kedalam rumah. Secara kesimpulan yang aku hendak kata di sini - walaupun bahan atau material digunakan bersifat tradisional tetapi idea, fungsi, komposisi ruang serta rekabentuk yang menitikberatkan alam sekitar diambilkira serta kerelevananya boleh diterima pakai sehingga sekarang.

Kita abaikan dulu cerita pasal 'Senibina Melayu'. Balik pada cerita aku. Lepas jalan-jalan tengok luar kawasan, aku masuk ke dalam Bangunan Terowong Sejarah Pasir Salak. Yang mengejutkan aku, tiket masuk berharga RM4 untuk masuk ke dalam bangunan itu sahaja. Fuh, sepanjang lawatan ke muzium dan tempat bersejarah yang ada dalam Malaysia, aku rasa Kompleks Sejarah Pasir Salak mengenakan harga paling tinggi untuk masuk melihat apa yang ada dalam bangunan tersebut. Jika hendak dibandingkan, ada muzium yang tidak mengenakan bayaran dan koleksi mereka lebih banyak daripada Kompleks Sejarah. Bagi aku, harga RM 4 cukup berbaloi untuk bayaran masuk ke Istana Abu Bakar, Johor Bahru pasal kawasan tersebut masih lagi digunakan untuk istiadat dan acara rasmi serta menyimpan koleksi Di-Raja yang bernilai tinggi. Aku harap lepas ini, harga masuk disemak semula sebab kalau sekadar ada diorama tetapi mengenakan bayaran yang tinggi memang tidak berbaloi untuk menarik pengunjung datang ke kawasan bersejarah ini. Memang tidak kena gaya dan tidak padan jika ingin menggalakkan orang ramai mengenali dan menghayati sejarah tempatan.

Bila tengok diorama tu, agak terperinci jika hendak diceritakan pasal sejarah yang berkaitan Perak dan Pasir Salak. Ada juga kisah pasal penjajahan, kemerdekaan dan macam-macam lagi. Semua ikut urutan dan berkronologi. Tapi yang menarik untuk aku kaji adalah pasal Wan Malini, Wan Empok, beras emas, daun perak dan batang suasa. Dulu aku pernah baca pasal Sejarah Melayu tetapi tidak pernah hayatinya secara dalam. Lepas ini, jika ada peluang aku nak baca serta fahami sebab versi yang aku baca dulu menggunakan bahasa Melayu klasik. Tapi bukan aku nak jadi antropologist atau sejarawan, cukuplah sekadar untuk pemahaman aku. Sekurang-kurangnya aku dapat cerita ikut pemahaman aku kalau ada orang bertanya. Tidak mahu aku jadi buta sejarah kerana apa yang terjadi lepas mungkin berlaku lagi pada masa hadapan. Macam lagu New Boyz pula - Sejarah Mungkin Berulang.....









No comments: