Friday, April 9, 2010

MLM




Kalau diikutkan, cerita politik ini tidak akan habis sampai kiamat. Dari sekelumit isu sampai sebesar masalah, ada saja yang timbul tenggelam atau tampak lenyap. Ada yang suka memanipulasi (manipulator) bagi merumitkan yang remeh. Itu tidak termasuk lagi yang jenis suka ambil kesempatan (opportunist) atas permasalahan berlaku. Bukan menjernihkan lagi membersihkan sebaliknya mengeruhkan lagi memburukkan keadaan. Tindakan secara emosional yang berlebihan bukan dilihat sebagai perang saraf yang efektif malah mendorong sesetengah pihak berjuang secara fizikal. Jika ingin melihat liberalisasi sebagai satu matlamat sekalipun, semua pihak harus ingat dan sedar masing-masing ada hak yang dituntut tapi jangan sampai berlebihan. Cukuplah sekadar dapat menampung dan menanggung diri sendiri, keluarga dan masyarakat tanpa menindas hak orang lain. Bukankah agama mengajak kita menghayati kesederhanaan?

Bila disebut tentang kesederhanaan, aku hendak tinggalkan perenggan yang diatas tentang politik. Tapi ada cerita menarik pasal kesederhanaan. Bagi sesiapa yang membaca dan terasa sebahagian daripada cerita yang bakal aku kongsikan, minta maaf terlebih dahulu. Niat aku bukan hendak menolak tetapi pendapat aku sebagai seorang yang berada di luar kelompok tersebut. Pada asalnya aku rasa ingin menjadi sebahagian kelompok tersebut. Setelah aku menilai kemampuan, lupakan sahaja hasrat tersebut sebaliknya mencari jalan sendiri berpandukan apa yang dimiliki. Begitulah juga yang membacanya, kalau tidak suka terima kasih dan anda boleh tinggalkan posting ini.

Kelompok yang aku maksudkan adalah Multi Level Marketing. Macam-macam jenis produk, syarikat dan agensi yang menawarkan perniagaan tersebut.Tidak perlulah aku sebut di sini secara spesifik tapi yang pasti aku ingin pekakkan telinga, butakan mata tapi celikkan hati, bukakan minda agar aku tidak semudah itu menyertai MLM. Walaupun serba tidak mencukupi dalam aspek keperluan seperti perbelanjaan seharian, aku tidak sanggup korbankan persahabatan, wang ringgit dan masa yang ada untuk memberi komitmen terhadap MLM. Silap haribulan ada kawan aku yang tarik muka dan mula menyisihkan serta meminggirkan gara-gara MLM.

Aku ada beberapa kawan yang menyertai MLM. Ada yang Berjaya, ada yang gagal dan ada yang sekerat jalan sahaja. Malah, orang tuaku pun menyertainya. Aku berkali-kali terperangkap dengan taktik ABCD mereka (Ajak, Bawa, Cerita, Dengar). Sekali sekala jerat tidak mengena. Bila mereka mendedahkan apa yang mereka miliki, tempat mereka pergi terasa seolah-olah kita turut terpukau dengan keadaan mereka. Bila mereka sudah baca dan dapat mengetahui tentang keinginan kita, di situ bermula segalanya untuk mengajak kita menjadi kelompok mereka.

Aku rasakan mereka seolah-olah dirasuk, disetkan serta diprogramkan dalam minda mereka tentang MLM. Mulalah mereka menjadi seperti Agent Smith filem The Matrix, mengejar Neo dan Trinity ke mana sahaja. Pusinglah macamana sekalipun dan mereka putarkan segalanya untuk ajak aku menyertai kelompok mereka. Cakaplah kita sibuk macamana sekalipun, mereka akan kata ada yang lagi sibuk. Sebutlah susah hendak cari orang bawah atau downline, mereka akan ungkap ikan di laut tidak akan habis di lautan sebanyak mana sekalipun ditangkap. Kalau cerita pasal kerja sekarang membataskan segala aktiviti, mulalah mereka akan kata pensyarah, ustaz, professor dan doktor pun ada dalam kelompok mereka.

Yang aku puji pasal MLM cuma tentang positif mereka. Macam tagline TM, Merintis Kemungkinan. Ingat kita tengah berpijak di bumi yang nyata. Tapi Aku tidak suka pasal MLM adalah mereka ini seolah-olah terdesak untuk mengajak aku menyertainya. Terdesaknya mereka kerana ingin mencapai status tahap agar dapat menerima komisyen atau bayaran yang lebih banyak dan seterusnya tidak perlu bersusah payah lagi untuk mencari orang baru.

2 comments:

Mohammad Al-Aiman said...

aku suka entri ang kali ni
pasal ang kaitkan dgn matrix tu mmg umphh abis la
haha
mmg MLM ni ada yg bagus nya
tp bg aku ada sebahagian yg buat dia jd xbagus
elok kalau ang xjoin la
sbb aku dlu penah jgk p masuk tgk cara depa buat kerja camana suma kan?
aku rasa lebih yg xbagus dr yg bagus
last-last yg atas jgk yg kaut suma profit
which is bullshit!
mcm makcik aku sendiri pernah kena tipu hidup hidup
ish ish
pandai pandai la kita menilai mana betul atau salah

Saya Orang Natoi said...

bisnes jelas banyak tapi kenapa pilih yang samar-samar?Ada 2 sebab.

1.takut amik risiko.
2.bodo tanak belajar tp nak kaya cepat.