Monday, May 17, 2010

Rendang Ayam Katik, Rebung, Daun Limau Purut, Nangka dan Road Tax.......


Tiga bulan tidak balik kampung membuat aku rindu sangat sama keluarga aku. Dalam otak aku, selalu fikir Mak, Abah, Nana, Amir Hamzah, Dikwan dan Nuha. Alhamdulillah, ada peluang aku hendak balik sana hujung bulan ini pasal ada jemputan kahwin dari kawan sekolah aku, Emy. Ada orang panggil dia Lik Lau pasal dia asal dari Balik Pulau. Sekali sekala kami panggil dia 'Repek' pasal dialah pembekal utama kerepek segala jenis ke sekolah. Yang syoknya pasal dia, kalau Tahun Baru saja mesti bagi cuti kepada semua orang sempena hari jadi dia.

Hari Jumaat lepas, aku dapat panggilan dari abah. Mungkin sebab dua minggu aku tidak telefon mereka tapi meleset jangkaan aku. Rupa-rupanya, abah hendak turun sini. Katanya ada mesyuarat di Kuala Lumpur. Terus aku terbayangkan rumah dan bilik yang kurang kemas. Tapi nasib baik cakap yang dia akan menginap di hotel. Kalau tidak, operasi besar-besaran hujung minggu semalam.

Malam tadi, bila Abah sudah sampai sini terus aku ke Chow Kit. Hujan memang tidak berhenti turun dari Maghrib. Lewat tengah baru kami jumpa. Banyak juga lauk Mak kirimkan kepada aku. Aku rasa boleh jadi stok sampai hujung bulan. Rendang ayam katik, rendang daging, rebung, daun limau purut serta isi nangka. Aku tidak terus balik tapi pergi lepak minum di kedai sebelah hotel.

Kalau sembang dengan abah, aku sudah dapat agak topik yang diperkatakan. Semuanya lebih berkisarkan tentang masa depan aku. Memang topik utama. Bagi aku yang ada depan dia, lebih baik bersifat defensif biarpun apa yang dibuat mengikut perancangan sendiri. Maklumlah, setiap individu punya perancangan tersendiri. Cuma terpulang kepada yang lain samada untuk menerima atau tidak. Aku lebih berdiam diri, banyak mendengar serta menguatkan hati agar dapat kawal emosi masa itu. Mungkin perancangan aku tidak selari dengan kehendaknya. Jadi aku pasrah sajalah.

Sebenarnya abah aku tidak marahkan bila sebut pasal hendak sambung belajar tapi dia mahu aku mengikut pengajian separuh masa supaya tidak perlu berhenti kerja. Ada orang juga menyarankan langkah sebegitu dan terima kasih atas saranan anda. Yang jelas, aku ada perancangan masa depan. Janji aku bila selesai pengajian diploma dulu yang masih dipegang sampai sekarang, aku akan sambung mengaji bila sudah cukup tempoh tiga tahun. Apa yang aku hendak pastikan sekarang 'I want everything on the track'. Mungkin aspek kewangan akan menjadi beban tapi aku harap perkara itu akan berada nombor 2 atau 3. Penting sekarang, ku mahu ada segulung ijazah, aku mahu capai impian seperti mana orang lain dapat lakukan. Apa yang aku harapkan benda ni bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Perbincangan kami anak - beranak berakhir hampir jam satu pagi. Kadang-kadang aku terasa macam tiada titik noktah dan penghujungnya. Selagi aku tidak selesai pengajian, selama itu benda ini akan berulang. Melainkan ada tawaran yang mungkin dapat menarik nafas lega abah. Sebelum aku balik, abah tanya aku samada ada duit poket atau tidak. Dengan berdalih aku cakap masih ada lagi padahal tinggal beberapa ringgit saja lagi. Lalu, sambil menghulurkan sedikit wang kepada aku, abah cakap antara aku dengan dia, jangan hendak malu minta selagi mampu. Segan aku hendak meminta sebenarnya pada masa itu kerana sepatutnya yang kena hulurkan adalah aku sebagai anak. Aku bergerak pergi meninggalkan kawasan Chow Kit dengan harapan dipermudahkan segala urusan untuk menghadapi hari-hari mendatang.




2 comments:

AkubukanSofiaJane said...

balikla nek gelora.haha.

AkubukanSofiaJane said...
This comment has been removed by a blog administrator.