Bukan aku tiada kerja hendak dibuat tapi memang dasar pemalas. Fokus terhadap kerja tiada, entah apa yang aku fikirkan pun tidak aku pasti. Balik kampung, rumah sewa, bil sana sini pelbagai, membuatkan benda selain kerja lebih menguasai minda aku.
Aku baru selesai pulang dari sembahyang Jumaat. Cadangnya hendak ke Masjid Negara tapi memandangkan tangki minyak Gelora aku hampir kering, bertukar tempat ke sebuah masjid dekat Tasik Titiwangsa. Mesti ada orang tidak sedar yang kawasan sebegitu ada sebuah masjid. Benar, memang ada masjid cuma lokasinya kira-kira 200m dari kawasan tasik dan agak terpencil. Jadi, lain kali kalau aku cakap yang pergi sembahyang dekat Titiwangsa, jangan ingat aku melencong atau memonteng sahaja. Kalau tidak percaya cuba buka Google Map dan taip Surau Titiwangsa, pasti terpapar lokasi masjid tersebut.
Khutbah hari ini agak menarik. Tentang guru. Maklumlah esokkan Hari Guru. Baru lewat tadi aku dedikasikan ucapan Hari Guru kepada cikgu-cikgu aku yang ada Facebook. Sebut pasal cikgu ini, banyak kisah yang aku dengar dan renungkan. Malah, sekali sekala jadi topik bualan aku dengan orang yang aku jumpa. Bangga, marah, kecewa, simpati dan macam emosi aku luahkan bila menyentuh kaitan pasal guru.
Yang membuatkan aku rasa bangga tentang cikgu adalah keikhlasan mereka mengajar kita. Ikhlas mereka mengajar dan menjaga itu tuhan saja yang tahu. Disini, aku berterus terang masa mengaji di PFS, memang geng budak hostel kuat tidur masa kelas. Tapi ada setengah cikgu, dengan selamba dan lemah lembut gerakkan kami untuk pergi basuh muka. Itu di sekolah, kalau asrama pun lebih kurang juga. Kalau subuh, bunyi hon motorsikal pusing satu asrama. Tidak cukup dengan hon, siap naik atas lagi. Ada yang bawa besi penyangkut dan ketuk katil semata-mata untuk pastikan semua bangun dan siap untuk ke Surau. Walaupun mereka pun ada komitmen lain, tetapi atas nama tanggungjawab mereka lakukan sebaik mungkin.
Yang aku rasa kecewa sangat pasal guru adalah khususnya sekelompok graduan Universiti mempunyai lulusan professional dan memilih kerjaya pendidikan sebagai jalan terakhir setelah pekerjaan yang sesuai tidak dapat dikecapi. Bertungkus lumus hampir 4-5 tahun dalam bidang professional misalnya kejuruteraan, perakaunan dan macam-macam lagi, akhirnya minta jadi cikgu. Secara serius aku katakan, anda telah merugikan masa depan anda yang bertahun-tahun. Jangan fikir kerana kesenangan kemudahan yang ditawarkan, ada yang sesetengah memperjudikan nasib anak bangsa. Aku tahu rezeki masing-masing Tuhan sudah tentukan tapi sikap sesetengah cikgu lulusan Universiti tersebut membuatkan kononnya mereka lebih hebat dari cikgu keluaran Maktab (sekarang sudah tukar jadi Institut Pendidikan Perguruan). Kecewa kalau dengar kelompok sebegini jadi PST (Professor Serba Tahu) dan berlagak dengan cikgu-cikgu dari maktab. Saranan aku kepada lepasan SPM dan STPM, kalau mahu jadi cikgu fikirlah betul sebelum ambil jalan yang sesuai.
Rasa simpati aku tengok cikgu-cikgu yang mengajar di pedalaman serta pulau-pulau. Naik bot, sampan, meredah jambatan gantung, tiada infrastruktur secukupnya dan lain-lain cabaran semata-mata tugas yang diamanahkan membuatkan aku terasa merekalah pendidik yang unggul. Sepatutnya cikgu sebegini perlu diberi intensif yang lebih tinggi kerana sanggup berkorban dan kadang kadang mempertaruhkan nyawa untuk memberi didikan kepada anak-anak desa dengan harapan mereka tidak tercicir pada masa depan kelak. Aku menyokong sangat langkah kerajaan untuk menempatkan siswazah perguruan yang telah tamat kursus di kawasan sebegini. Mungkin dengan cara ini, dapat membentuk serta menjadikan mereka sebagai pendidik yang sebenar.
Itulah rasa luahan aku sempena Hari Guru esok. Apapun ragam, disini aku nak ucapkan Selamat Hari Guru kepada cikgu-cikgu tidak kira mana sahaja kita berada. Kalau ada yang kurang senang dengan penulisan, minta maaf kerana ini bukan hendak mengaibkan serta menjatuhkan profession ini. Apa yang ditulis adalah sebahagian pemerhatian aku dan banyak lagi tidak perkatakan kerana ini bidangku yang sebenar. Tapi kena ingat bahawa 'learning & teaching' bukan digalas oleh guru malah melibatkan semua pihak samada tanpa mengira latarbelakang dan asal-usul.
1 comment:
seamat hari guru, jat.ko sbnrnye cikgu aku gak jat.ko org prtama yg ajar aku buat sketches kt studio dl smp nana buat gosip aku minat ko.memgle minat, admiring keje2 design ko.hehe.t dtg konvo eh =) tq for everything.
Post a Comment