Monday, April 26, 2010
Adamaya Vs Bila Musang Berjanggut
Kalau ikutkan, aku sudah terlepas berbelas episod. Maklumlah, kekadang balik lewat kekadang terus masuk bilik. Tapi hari ini punya episod memang bagi idea untuk aku taip dalam blog.
Walaupun cuma lakonan, seolah-olah perkara itu memang terjadi. Bila si Maya meninggalkan Adam dan anaknya, aku rasa macam Adam itu tidak ambil kisah sangat. Kesabaran Adam menghadapi kerenah Maya buatkan dia layak menerima anugerah 'Suami Mithali'. Bila Maya tinggalkan suaminya pun aku rasa Adam cuba bagi Maya peluang menenangkan fikiran dek kerenah urusan hal rumahtangga. Sifat 'protective' Adam yang agak moderate ketika si Dani datang mencari Maya di rumahnya menunjukkan kebertanggungjawaban si suami terhadap isteri biarpun seolah-olah bertepuk sebelah tangan.
Realitinya, kejadian macam ini selalu terjadi dalam kehidupan kita. Ada suatu ketika dulu, rakan sepejabat pernah bercerita pasal si suami ditinggalkan si isteri. Melarat juga sampai jatuh sakit. Malahan, yang lagi teruknya ada yang sanggup tinggalkan anak-anak sekali. Bila tinggalkan anak, jawabnya si bapalah yang kena menjaganya. Ditambah pula kemiskinan yang menghimpit keluarga. Kalau sudah terjadi macam itu, bagaimana hendak si suami mencari rezeki sedang anak-anak ditinggalkan tanpa jagaan. Kesian aku rasa bila baca berita pasal perkara itu. Kerana ingin kesenangan, sanggup ikut rakan-rakan dan abaikan keluarga. Aku berdoa agar dijauhi segala perkara macam ini bila sudah berkahwin nanti.
Aku sambung menonton TV lepas tengok berita. Sambil menyidai kain yang aku sudah basuh, terpasanglah pula cerita Bila Musang Berjanggut.
Diinspirasikan dari filem Musang Berjanggut arahan Tan Sri P.Ramlee, cerita ini mengingatkan tentang kesetiaan isteri kepada suami. Biarpun jauh di mata, isteri tidak pernah berlaku curang.
Tapi setakat ini, jarang aku dengar sangat pasal si isteri main kayu tiga. Yang selalu sampai di telinga dan mata aku, cerita sang isteri simpan anak ikan. Baru-baru ini pun aku ada dengar yang kahwin anak satu pun gedik nakal mengalahkan anak dara padahal suami baik budi orangnya.
Di sini, sekali lagi aku berdoa seandainya berkahwin suatu hari nanti, biarlah suri peneman hidup aku itu pandai jaga diri, keluarga, maruah dan kehormatan. Janganlah kesenangan hidup diabaikan segala sumpah janji yang diikat dan dimeterai. Biarlah pepatah 'U jump, I jump' bukan hanya omong kosong semata-mata.
Sunday, April 25, 2010
Ketagihan Yang Tegar
Kalau orang bertanya game apa yang aku suka main, jawabnya FIFA. Dari zaman habis sekolah sampai sudah bekerja dan mahu sambung belajar lagi pun tidak pernah berubah minat aku kepada game ini. Bagilah pada aku game Need for Speed atau Counter Strike, game FIFA tetap jadi nombor satu.
Yang best sekali, PC Tuntung pun aku tumpang layan main game FIFA.
Masa aku habis diploma kemudian sambung kerja, malam hujung minggu tidak pernah aku lekat di rumah. Kalau nak cari aku, cukup senang - CC. Dari pukul 12tengah malam sampai Subuh aku melekat main FIFA. Dari FIFA 05 sampai FIFA 10, aku main. Yang bestnya, ada 2 orang apek (kerja sebagai pemandu teksi) datang bertenggek menyaksikan kelincahan aku beraksi dalam permainan FIFA. Mereka akan jadi penonton setia aku.
Sekarang ini, aku tiada penyokong setia lagi sebab sudah setahun lebih aku tidak main di CC. Ketagihan masih ada lagi, cuma aku sekarang banyak beraksi di dalam rumah sahaja. Menghadap PC sendiri sambil main FIFA.
p/s: Mungkin aku ni kaki bangku, sebab itu aku cuma tahu main bola sepak dalam PC. Selain itu, aku tahu main ragbi sahaja.
Pasir Salak
Lepas temuduga aku cadang dekat Zul pasal hendak singgah ke Pasir Salak. Bagi Zul, tiada masalah jadi kami teruskan perjalanan kami. Singgah sekejap beli air di Bota Kanan, kami teruskan perjalanan ke Pasir Salak. Sembang orang bujang menghilangkan kebosanan dalam perjalanan. Kahwin, rumah, kamera dan politik. Sambil mata aku menumpu pada jalan, sekali sekala terjeling aku memandang rumah Melayu yang gagah berdiri di tepian jalan sepanjang ke Kampung Gajah. Rasa macam hendak menetap dalam suasana sebegitu satu masa nanti. Walaupun aku dibesarkan dalam persekitaran kampung tapi aku tinggal dalam rumah batu. Aku kini mula meminati senibina berasaskan kayu serta ukiran tradisional.
Lewat tengahari sampai di Pasir Salak. Agak ke dalam juga dari Pekan Kampung Gajah. Sampai di sana, terkejut aku tengok suasana kawasan kompleks. Sunyi dan sepi biarpun hujung minggu. Bilangan pengunjung tidak sampai 20 orang dalam sejam. Yang ada pun cuma pelancong Eropah dan Cina. Aku anggap mungkin lokasi kawasan Pasir Salak menyebabkan kurangnya pengunjung singgah untuk menghayati sejarah perjuangan menentang penjajah.
Sepanjang merayau, aku jadi macam seorang yang baru pertama kali tengok rumah Melayu. Yang menarik perhatian aku adalah bahagian rumah selang. Menjadi penghubung antara rumah ibu dengan rumah dapur, fungsi rumah selang bukan sekadar itu sahaja. Ruang yang bersifat semi open turut menjadi akses bukan formal untuk masuk kedalam rumah. Secara kesimpulan yang aku hendak kata di sini - walaupun bahan atau material digunakan bersifat tradisional tetapi idea, fungsi, komposisi ruang serta rekabentuk yang menitikberatkan alam sekitar diambilkira serta kerelevananya boleh diterima pakai sehingga sekarang.
Kita abaikan dulu cerita pasal 'Senibina Melayu'. Balik pada cerita aku. Lepas jalan-jalan tengok luar kawasan, aku masuk ke dalam Bangunan Terowong Sejarah Pasir Salak. Yang mengejutkan aku, tiket masuk berharga RM4 untuk masuk ke dalam bangunan itu sahaja. Fuh, sepanjang lawatan ke muzium dan tempat bersejarah yang ada dalam Malaysia, aku rasa Kompleks Sejarah Pasir Salak mengenakan harga paling tinggi untuk masuk melihat apa yang ada dalam bangunan tersebut. Jika hendak dibandingkan, ada muzium yang tidak mengenakan bayaran dan koleksi mereka lebih banyak daripada Kompleks Sejarah. Bagi aku, harga RM 4 cukup berbaloi untuk bayaran masuk ke Istana Abu Bakar, Johor Bahru pasal kawasan tersebut masih lagi digunakan untuk istiadat dan acara rasmi serta menyimpan koleksi Di-Raja yang bernilai tinggi. Aku harap lepas ini, harga masuk disemak semula sebab kalau sekadar ada diorama tetapi mengenakan bayaran yang tinggi memang tidak berbaloi untuk menarik pengunjung datang ke kawasan bersejarah ini. Memang tidak kena gaya dan tidak padan jika ingin menggalakkan orang ramai mengenali dan menghayati sejarah tempatan.
Bila tengok diorama tu, agak terperinci jika hendak diceritakan pasal sejarah yang berkaitan Perak dan Pasir Salak. Ada juga kisah pasal penjajahan, kemerdekaan dan macam-macam lagi. Semua ikut urutan dan berkronologi. Tapi yang menarik untuk aku kaji adalah pasal Wan Malini, Wan Empok, beras emas, daun perak dan batang suasa. Dulu aku pernah baca pasal Sejarah Melayu tetapi tidak pernah hayatinya secara dalam. Lepas ini, jika ada peluang aku nak baca serta fahami sebab versi yang aku baca dulu menggunakan bahasa Melayu klasik. Tapi bukan aku nak jadi antropologist atau sejarawan, cukuplah sekadar untuk pemahaman aku. Sekurang-kurangnya aku dapat cerita ikut pemahaman aku kalau ada orang bertanya. Tidak mahu aku jadi buta sejarah kerana apa yang terjadi lepas mungkin berlaku lagi pada masa hadapan. Macam lagu New Boyz pula - Sejarah Mungkin Berulang.....
Friday, April 9, 2010
MLM
Kalau diikutkan, cerita politik ini tidak akan habis sampai kiamat. Dari sekelumit isu sampai sebesar masalah, ada saja yang timbul tenggelam atau tampak lenyap. Ada yang suka memanipulasi (manipulator) bagi merumitkan yang remeh. Itu tidak termasuk lagi yang jenis suka ambil kesempatan (opportunist) atas permasalahan berlaku. Bukan menjernihkan lagi membersihkan sebaliknya mengeruhkan lagi memburukkan keadaan. Tindakan secara emosional yang berlebihan bukan dilihat sebagai perang saraf yang efektif malah mendorong sesetengah pihak berjuang secara fizikal. Jika ingin melihat liberalisasi sebagai satu matlamat sekalipun, semua pihak harus ingat dan sedar masing-masing ada hak yang dituntut tapi jangan sampai berlebihan. Cukuplah sekadar dapat menampung dan menanggung diri sendiri, keluarga dan masyarakat tanpa menindas hak orang lain. Bukankah agama mengajak kita menghayati kesederhanaan?
Bila disebut tentang kesederhanaan, aku hendak tinggalkan perenggan yang diatas tentang politik. Tapi ada cerita menarik pasal kesederhanaan. Bagi sesiapa yang membaca dan terasa sebahagian daripada cerita yang bakal aku kongsikan, minta maaf terlebih dahulu. Niat aku bukan hendak menolak tetapi pendapat aku sebagai seorang yang berada di luar kelompok tersebut. Pada asalnya aku rasa ingin menjadi sebahagian kelompok tersebut. Setelah aku menilai kemampuan, lupakan sahaja hasrat tersebut sebaliknya mencari jalan sendiri berpandukan apa yang dimiliki. Begitulah juga yang membacanya, kalau tidak suka terima kasih dan anda boleh tinggalkan posting ini.
Kelompok yang aku maksudkan adalah Multi Level Marketing. Macam-macam jenis produk, syarikat dan agensi yang menawarkan perniagaan tersebut.Tidak perlulah aku sebut di sini secara spesifik tapi yang pasti aku ingin pekakkan telinga, butakan mata tapi celikkan hati, bukakan minda agar aku tidak semudah itu menyertai MLM. Walaupun serba tidak mencukupi dalam aspek keperluan seperti perbelanjaan seharian, aku tidak sanggup korbankan persahabatan, wang ringgit dan masa yang ada untuk memberi komitmen terhadap MLM. Silap haribulan ada kawan aku yang tarik muka dan mula menyisihkan serta meminggirkan gara-gara MLM.
Aku ada beberapa kawan yang menyertai MLM. Ada yang Berjaya, ada yang gagal dan ada yang sekerat jalan sahaja. Malah, orang tuaku pun menyertainya. Aku berkali-kali terperangkap dengan taktik ABCD mereka (Ajak, Bawa, Cerita, Dengar). Sekali sekala jerat tidak mengena. Bila mereka mendedahkan apa yang mereka miliki, tempat mereka pergi terasa seolah-olah kita turut terpukau dengan keadaan mereka. Bila mereka sudah baca dan dapat mengetahui tentang keinginan kita, di situ bermula segalanya untuk mengajak kita menjadi kelompok mereka.
Aku rasakan mereka seolah-olah dirasuk, disetkan serta diprogramkan dalam minda mereka tentang MLM. Mulalah mereka menjadi seperti Agent Smith filem The Matrix, mengejar Neo dan Trinity ke mana sahaja. Pusinglah macamana sekalipun dan mereka putarkan segalanya untuk ajak aku menyertai kelompok mereka. Cakaplah kita sibuk macamana sekalipun, mereka akan kata ada yang lagi sibuk. Sebutlah susah hendak cari orang bawah atau downline, mereka akan ungkap ikan di laut tidak akan habis di lautan sebanyak mana sekalipun ditangkap. Kalau cerita pasal kerja sekarang membataskan segala aktiviti, mulalah mereka akan kata pensyarah, ustaz, professor dan doktor pun ada dalam kelompok mereka.
Yang aku puji pasal MLM cuma tentang positif mereka. Macam tagline TM, Merintis Kemungkinan. Ingat kita tengah berpijak di bumi yang nyata. Tapi Aku tidak suka pasal MLM adalah mereka ini seolah-olah terdesak untuk mengajak aku menyertainya. Terdesaknya mereka kerana ingin mencapai status tahap agar dapat menerima komisyen atau bayaran yang lebih banyak dan seterusnya tidak perlu bersusah payah lagi untuk mencari orang baru.
Tuesday, April 6, 2010
Semoga Allah Bagi Petunjuk kepada HambaNya
Tidak sampai seminggu pemergiannya, ada insan yang buta hatinya sanggup melemparkan kata-kata sebegini.
Memang tidak makan saman
Sunday, April 4, 2010
Satu, lapan, tujuh, kosong ..........
Dalam tempoh dua bulan yang lepas, tiada peristiwa yang berbekas sangat dalam minda aku. Cuma yang aku rasa untuk kongsi, sebuah jentera baru sebagai pengganti Gelombang yang pergi menghilangkan diri. Memang rajuk tak terpujuk. Alhamdulillah, hampir 10bulan aku menghadapi saat-saat yang rumit kini terasa kelegaan dan lapang dada serta minda. Tidak perlu kelam kabut pergi kerja terlampau awal, tidak perlu tempuhi kesesakan deretan kereta lagi dan tidak payah pening kepala untuk cekah duit isi perut minyak kereta.
Sudah sebulan lebih khidmat jentera baru ini bersama aku. Ke sana ke mari meluncur laju. Menyusuri jalan, meneroka lorong, merantau dan merayau ke setiap sudut ibukota. Aku gelarkan jentera baru dengan nama Gelora Biru. Model Wave100 tidak pernah kecewakan aku biarpun impian untuk memiliki jentera FZ150i Yamaha tinggal kenangan. Teringat pesan kawan aku, alang-alang hendak pakai motor macam superbike, baik kumpul duit dan rembat sebiji. Harap dapatlah suatu hari bukan sekadar bertenggek lagak tapi memilikinya. Yang penting sekarang, selesaikan urusan bayaran bulanan dan rancang untuk sasaran seterusnya.
Masa pandang pertama terhadap jentera baru, tidak aku sangka yang nombor pendaftaran menyerupai angka-angka pengenalan Gelombang aku. Orang tua aku pun terkejut. Mungkin secara kebetulan atau hikmah. Tetapi kita jangan terlampau taksub sampai menyimpang. Jatuh syirik nanti jadinya.
Ini mengingatkan yang rumah tok aku pun macam itu juga, ada digit 1, 5 dan 6 pada alamat rumah, nombor plat motor kapcai serta nombor telefon. Bagi aku, mungkin itu pilihan Tok Lid aku, pasal angka tersebut merujuk kepada nombor lot tanah milik beliau. Aku anggap ini akan memudahkan orang mengingati dan mengenali tapi pada masa yang sama membuatkan orang akan tersilap mendail telefon, alamat rumah tidak betul dek kombinasi tiga angka tersebut.
Aku pun tidak teragak untuk melakukan sebegitu sekiranya pada suatu hari nanti. Jika perlu melakukan sesuatu pendaftaran yang melibatkan kombinasi nombor, aku akan gunakan angka-angka tersebut sebagai langkah untuk mudah mengingati dan sebagai 'trademark' aku.
Balik kepada cerita jentera, kami telah memulakan penjelajahan bersama pada 16hb Februari yang lalu. Berkonsepkan Save Money through Safe Ride, aku merancang perjalanan dari Butterworth ke Gombak. Malangnya keupayaan jentera baru yang harus bergerak secara purata 60km/j kerana masih berpantang menyebabkan jadual perjalanan berubah. Tidak aku sangka masa perjalanan yang diambil termasuk waktu rehat adalah kira-kira 10jam. Memang pecah rekod kerana selama ini perjalanan menggunakan motorsikal berkapasiti 100-110cc cuma mengambil masa kira-kira 7-8jam. Tetapi kepuasan bagi aku kerana dapat singgah dan lalu banyak kawasan dan pekan.
Sepanjang perjalanan, aku singgah Padang Rengas dan Tanjung Malim untuk mengisi minyak. Berhenti dan minum pagi di kawasan sekitar Bukit Chandan, Kuala Kangsar serta merayau untuk melihat keindahan bangunan Masjid Ubudiah, Istana Kenangan dan Galeri Sultan Azlan Shah. Kemudian berhenti di Gopeng, Bidor dan Serendah untuk melepaskan penat lelah akibat terikan panas suria. Memang memenatkan tapi menyeronokkan. Teringat cerita 'Wild Hogs' yang melakukan 'Journey to the Pacific'.
Mungkin pada sesetengah orang akan anggap benda ini merepek tapi jiwa mereka yang suka tentang penjelajahan serta motorsikal, inilah satu-satu benda yang mereka akan lakukan untuk tinggalkan segala kesibukan urusan di bandar. Impian aku satu hari nanti, memiliki jentera beroda dua berkapasiti 250cc ke atas serta mengaum menyusuri jalanraya.