Sunday, May 6, 2012

Lupakah kita pada prinsip kelima Rukunegara?

Terlebih dahulu hendak beritahu awal-awal yang aku ini adalah liberal dalam politik. Tidak menyebelahi mana-mana pihak. Aku gunakan masa yang ada untuk berkongsi pasal apa yang telah terjadi dalam hujung minggu.

Di kesempatan hujung minggu ini, aku sempat tengok beberapa video yang berkaitan dengan perhimpunan Bersih. Dan aku tengok video antara pihak yang pro dan anti. Secara mudah aku simpulkan, kedua-dua pihak yang terlibat dalam perhimpunan itu lupa pada prinsip kelima pada Rukunegara - Kesopanan dan Kesusilaan. Tidak kira samada yang sokong BERSIH belasah polis, yang polis pun tumpang hentam orang awam sekali, semua hendak tunjuk hebat. Akta ke mana, S.O.P ke mana. Ada yang jadi lebih haiwan daripada manusia. Aku pasti akan ada provokasi yang akhirnya mewujudkan manipulasi antara satu sama lain. Kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang ?

Tinggalkan cerita BERSIH yang kotor. Aku hendak cerita pasal pihak media yang main kotor juga. Aku kecewa dengan akhbar UTUSAN dan KOSMO pada 2 Mei 2012. 

Aku masih teringat saat pagi 2 Mei 2012. Ketika turun beli makanan di bawah pejabat, aku menjengah di kedai runcit mamak untuk menatap apa berita sensasi yang ingin dikongsi dalam akhbar.

Kalau siapa hendak download, silalah. Mana tahu satu hari gambar ini dah tiada.

Aku terus kecewa sebab selama 8 tahun aku menetap di Lembah Klang, dari aku jadi siswa, masuk alam bekerja dan sambung belajar semula, akhbar KOSMO dianggap kontemporari serta memenuhi keperluan warga kota metropolitan. Malangnya KOSMO pun mula jadi lidah pengarang kepada pihak parti kerajaan.

Akhbar Utusan tidak payah hendak ceritalah. Dari sekolah rendah memang aku sudah baca. Dulu lapan kupang saja. Sekarang, aku pun tidak tahu berapa harga sekarang. Memang sudah lama tidak beli sendiri.

Sambil-sambil menjenguk, ada seorang apek Cina menyampuk sama aku. Dia pun cakap ada ke patut Utusan buat macam ini (sanggup tayang gambar di atas). Dia sendiri cakap buat malu orang Islam saja. Aku tidak tahu sejauh mana dalam pengetahuan dia tentang agama Islam tetapi bila dia cakap macam mesti tahu serba sedikit pasal agama.

Memang serius, akhbar Utusan dan KOSMO pun sudah lupa tentang prinsip kelima dalam Rukunegara - Kesopanan dan Kesusilaan. Kalau benarlah mereka menyokong kebebasan media sekalipun, dimana letaknya etika dan rasa hormat kepada seseorang? Dia pun manusia juga. Takkanlah cerita peribadi dan moral orang hendak dikorek sampai ke lubang cacing. Kalau teruk sekalipun orang itu, takkan dibongkar habis-habisan? 

Aku bukan hendak bela orang atau mangsa yang ada dalam gambar tersebut tetapi hendak mempersoalkan sejauh mana kebebasan media dari belenggu politik? Aku hendak mempersoalkan integriti pihak Kementerian Dalam Negeri dalam isu ini? Aku pun pelik wujud 'double-standard' dalam media komunikasi sekarang. 

Mereka sanggup paparkan benda macam ini dalam akhbar. Kemudian yang tukang baca pula bukan orang dewasa sahaja bahkan budak-budak sekolah. Siapa yang tidak pening kepala kalau budak-budak itu tengok dan bertanya. Yang teruk lagi, ada yang meniru gaya aksi seperti ditunjukkan di atas.

Sejak terpapar berita tersebut, sehingga hari ini (6 Mei 2012) aku tidak buka lagi akhbar Utusan dan KOSMO. Laman web Utusan pun aku tidak singgah. Aku boikot mereka kerana etika dalam bidang kewartawanan sudah hilang. Palsu atau benar, bersih atau kotor semua mereka sapu kerana mahu pastikan fikiran rakyat dapat dipengaruhi oleh sebelah pihak sahaja.

Lebih baik layan twitter sebab dalam sepuluh berita yang pantas sampai, mungkin ada satu yang betul dan boleh dipakai.

Kepada Kementerian Dalam Negeri, jangan jadi 'DOUBLE STANDARD'. Utusan dan Kosmo ini pesan aku - Jangan lupa kepada KESOPANAN dan KESUSILAAN. Jangan lupa tengok sekali tentang kedudukan Islam dalam Perlembagaan Negara kita.  





No comments: