Saturday, May 12, 2012

Berbaloikah?

Aku dapat respons dari satu akaun Twitter @DunKotaAnggerik pasal Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau. Benda  ini bagi aku agak sensitif juga terutamanya kepada pengguna laluan Lebuhraya Persekutuan. Tambahan dekat PRU ini.

Selama aku duduk di Shah Alam dan Kuala Lumpur ini, paling leceh sekali bila hendak cukupkan sekupang dan bayar tol RM1.10 di Tol Batu Tiga. Jenuh aku korek dan selongkar cari dalam slot simpanan duit. 

Bila timbul isunya minta Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau dimansuhkan sebenarnya PRO dan KONTRA yang tersendiri. Dan perkara itu aku nyatakan dalam akaun Twitter pada 10 May . 


Dan ini respons yang aku dapat daripada @DunKota Anggerik 


Baiklah, ini pendapat aku pasal isu tersebut. Sebenarnya, daripada pemahaman aku, TOL ini dikutip untuk membayar balik kos yang ditanggung oleh pihak kerajaan semasa pembinaan sesebuah lebuhraya untuk suatu tempoh yang ditetapkan. Setelah tempoh pembayaran selesai dibuat, TOL terus dikenakan supaya untuk menampung kos penyelenggaraan dan operasi yang lain termasuklah gaji-gaji kakitangan yang berkhidmat di setiap lebuhraya yang ada. 

Dan aku melihat dari aspek perancangan jalanraya dan pengangkutan (Road and Transportation Planning) , mewujudkan TOL di lebuhraya adalah salah satu cara untuk mengawal kenderaan untuk keluar masuk ke dalam bandar. Kita patut beruntung samada sebab di sesetengah negara luar kadar TOL yang dikenakan bergantung kepada jumlah penumpang yang berada dalam kenderaan. Kalau 1-2 orang dalam kenderaan, maknanya lagi mahallah bayaran TOL itu. Negara kita, naik seorang ke, naik ramai, harga TOL sama sahaja. Itu tidak termasuk lagi sistem bayaran dan aksesibiliti berdasarkan warna nombor plat kenderaan. Kalau negara kita mengenakan sistem situ, maknanya naik LRT atau baslah jawabnya.

Berbalik kepada 'Takkan nak bayar tol utk kesesakan?', siapa pun tidak mahu perkara ini. Aku jamin kalaulah mansuhnya TOL, lagi teruklah kesesakan di Lebuhraya Persekutuan. Kalau sekarang pun, pada waktu pagi mula sesak teruk dari Plaza Tol Batu Tiga, bayangkan pula kalau TOL dimansuhkan? Bayangkan kalau berlakunya pelbagai kecemasan yang tidak diingini, tempoh masa untuk pihak ambulans, bomba mahupun polis sampai ke tempat kejadian akan bertambah. Pada siapa hendak kita tuding jari bila nasi sudah menjadi bubur?

Memansuhkan sepenuhnya TOL bukan cara yang baik membantu rakyat yang terbeban. Secara serius, keburukan lebih banyak daripada kebanyakan yang sedikit pencapaiannya. Yang mendesak haruslah fikir cara lain untuk memastikan lain supaya rakyat merasakan TOL yang mereka keluarkan berbaloi. Cari strategi lain selain minta TOL dimansuhkan. Jangan kerana hendak menangkan hati rakyat, seronok menjaja cerita kejayaan yang dikecapi, terus angkuh dan lupa akan bakal masalah yang dihadapi. Kalau betullah hendak tolong rakyat, desak pihak berkaitan untuk menggunakan keuntungan yang ada untuk mengatasi masalah ini. 

Apa yang aku risaukan pada masa depan, bila pemansuhan TOL berlaku, kesesakan terus bertambah. Dan rakyat terus terjejas dan seterusnya pihak pemerintahan akan mengambil kesempatan atas apa yang dihadapi. Kerajaan secara halus akan menekan rakyat menerusi pelaksanaan projek untuk mengatasi kesesakan yang dihadapi. Akhirnya TOL dikenakan dan mungkin lebih mahal dari kadar asal sebelumnya. Alasannya - untuk menanggung kos-kos menaiktaraf lebuhraya. Sanggupkah kita melalui keadaan itu?

Kepada mereka yang jadi pendesak, ini persoalan yang aku tinggalkan untuk dijawab

Selain memansuhkan TOL, apakah strategi lain untuk mengatasi masalah beban rakyat yang menggunakan Lebuhraya Persekutuan?

Apakah jaminan pada pihak yang mendesak untuk memansuhkan TOL ini terhadap kebajikan para kakitangan melicinkan operasi pengurusan dan penyelenggaraan di lebuhraya ini? 

Sanggupkah pihak  pendesak menyediakan tempat pekerjaan untuk mereka yang menerima kesan daripada pemansuhan TOL? Mereka itu rakyat juga seperti kita juga.

Adakah pelan alternatif untuk mengatasi masalah kesesakan di Lebuhraya Persekutuan?

Dari berfikir untuk mansuhkan TOL, lebih baik fikir macamana hendak selesaikan masalah banjir  yang menenggelamkan laluan motorsikal di kawasan Sungai Damansara dan tempat-tempat yang mudah dinaiki air. 

Kalau tidak sanggup bayar TOL untuk kesesakan, sila guna alternatif lain untuk sampai ke destinasi yang ditujui. 

No comments: