Pagi-pagi buta ini, aku hendak menaip. Cerita sepanjang satu hari Jumaat lepas. Hari ini hantar kerja kelas Introduction to Architecture kemudian ada makan-makan. Maklumlah hari ini merupakan kelas terakhir bersama pensyarah. Beliau akan bersara tidak lama lagi. Aku rasa terhutang budi dengan dia sebab mungkin tidak kerana dia, sudah pasti aku kena repeat studio final diploma di Seri Iskandar. Dapatlah merasa kek lobak ala-ala Secret Recipe begitu.
Petang tadi memang tidak kemana. Melepak dalam bilik sahaja. Tiba-tiba aku buka Youtube, tengok siaran langsung perkahwinan Putera William dan Kate Middleton. Layan sahajalah. Sudah macam cerita dongeng si Putera Kacak dengan si Gadis Jelita. Memang jadi sejarah sebab kali pertama perkahwinan diraja dapat liputan meluas seluruh dunia. Siap dalam online lagi. Yang hebatnya seolah tidak ada kelibat kamera dalam siaran tersebut.
Agak berprestij juga majlis tersebut. Maklumlah, bakal pewaris takhta. Dahulunya pernah menjajah bumi kita sehingga legasi mereka abadi berdiri di sini. Bukan hendak mengagungkan tetapi sebagai manusia biasa sebaik-baiknya hendaklah kita beringat untuk bersederhana dalam melakukan setiap perkara. Jangan cuba untuk melakukan apa yang lebih dari kemampuan kita. Akibatnya silap haribulan, lambat laun akan bukan menyulitkan diri sendiri tetapi menyusahkan orang lain.
Malam tadi main futsal dan aku rasa memang macam sudah tidak mahu bermain lagi. Rasa hendak gantung sarung tangan keeper. Tidak kisah kena jerit, sound ke apa kebenda. Cuma aku kesian sebab kesilapan aku, ada yang tidak bermain dengan futsal sepuas-puasnya. Maklumlah, bayar samarata tapi main tidak sampai 15 minit sudah kena keluar. Lepas menunggu tercanguk ternganga berjam-jam lamanya. Aku tidak kisah pakai format menang tunggu atau tidak, tetapi kalau ada orang lain berpenat bersusah, aku jadi 'perosak' baik tidak payah main. Tidak pasal2 aku kena label gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut atau sekam dalam api.
Senang cerita aku tidak mahu main futsal buat sementara waktu. Carilah pengganti kalau rasa mahu main sepuas hati.
Sebentar tadi sempat aku bersembang dan lepak bersama kawan. Bersembang pasal macam-macam. Dari bab belajar sampai kawan mawan. Dari si anu sehingga si polan. Dari tikam belakang sampai kaki cucuk jarum. Apa yang aku fikir dunia kita tinggal tidak kejam, tetapi kita kena terima hakikat takdir bahawa wujudnya sang manusia yang pelbagai sifat perangainya untuk kita kenali, diuji dan mengujinya. Mungkin mereka menang dalam sesuatu perkara tetapi seandai kita tahu langkah jejak yang perlu diambil nescaya tidaklah mudah untuk dikawal.
Aku bukanlah hebat sangat tetapi aku tidak mahu tenggelam mahupun terhimpit. Bukan aku inginkan perhatian sepanjang masa, cukuplah sekadar untuk dikenali dan mengenali antara satu sama lain. Niat tidak ingin menguasai tetapi cukup sekadar untuk mengawal daripada melebihi yang sepatutnya.