Bila aku singgah layan baca blog Datuk A. Kadir Jasin pasal Alain Robert berjaya sampai ke puncak KLCC,pelbagai perkara yang tersurat dan tersirat telah timbul dalam kepala otak aku. Perasaan aku bercampur baur memikirkan perkara yang telah terjadi ketika kita baru selesai menyambut ulangtahun kemerdekaan negara ke 52. Ada hikmah serta pengajaran yang boleh kita lihat dari beberapa perspektif. Mungkin hasil tulisan aku kurang berkesan dan melompat-lompat tetapi aku cuba mengetengahkan yang terbaik untuk bacaan semua. Ada idea, komen, cadangan dan pandangan sudilah kongsi bersama.Terima kasih.
Alain Robert – ‘pendakian dan penaklukannya’
Tidak dinafikan Spiderman dari Perancis telah mencipta rekod yang tersendiri. Dari bangunan Sydney Opera House di Australia hinggalah Sears Tower, USA pelbagai usaha gigih yang telah dilakukan beliau untuk menakluki puncak bangunan pencakar langit dunia. Pernah jatuh, koma dan hilang keseimbangan badan yang kekal (vertigo) tidak pernah mematahkan semangat beliau. Berbekalkan hanya serbuk putih untuk menyerap lembap, tali dilit ke pinggang serta ruang kecil di celah bangunan, itulah asas yang perlu ada dalam setiap pendakian beliau. Selain itu pendakiannya bukannya tujuan kosong malah untuk menyampaikan mesej-mesej pada kita semua di seluruh. Pemanasan global antara kempen pendakian beliau.
Apa yang tersirat di atas adalah semangat dan keazamannya yang tinggi mengatasi ketinggian pencakar langit dunia biarpun undang-undang serta aspek keselamatan seringkali menjadi halangan. Dari sini kita dapat ambil contoh bahawa kekurangan bukan satu alasan ke arah matlamat kita. Sebaliknya menggunakan peluang yang ada untuk mencapainya. Disini kita boleh lihat satu per satu metafora yang ada dalam perkara ini. Serbuk putih atau bedak yang biasa digunakan dalam acara sukan seperti angkat berat dan gimnastik. Tujuannya adalah menyerap peluh serta lembapan agar jemari para atlet dapat mengenggam kemas sesuatu alatan atau untuk mengelakkan tergelincir. Begitu jugalah kemakmuran, keharmonian dan perpaduan yang perlu meliputi setiap pelusuk rakyat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama. Celahan atau ruangan yang ada di setiap inci bangunan pula digambarkan sebagai peluang yang terbuka untuk dinikmati bersama. Satu jari tidak dapat menanggung beban diri kita yang sedang berpaut. Sekiranya satu pihak sahaja yang menikmati kesenangan, nescaya akan runtuh binasa seperti kata pepatah ‘ Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
KLCC – Kesempatan, Lamunan & Cita-cita
Ada relevannya untuk kita ucapkan terima kasih kepada Alain Robert kerana membuka semula mata dunia ke arah pencakar langit tertinggi Negara. Mungkin selepas ini bilangan pengunjung meningkat kembali dalam tempoh akan datang. Walau menghadapi era globalisasi seperti kegawatan, H1N1 serta ketidakstabilan politik, kita tidak seharusnya tenggelam dan merasa rendah diri dengan dunia luar. Biarpun saban tahun kita mendengar bangunan yang tertinggi di dunia bakal didirikan, itu bukanlah pengakhiran untuk kita. Biarlah Taipei 101(509.2 m) atau Burj Dubai (818 m) sudah mengatasi dari segi ketinggian tetapi sekurang-kurangnya cita-cita kita telah tercapai dan berkesempatan untuk melihat bangunan yang tertinggi di dunia megah berdiri di bumi tercinta.
Dalam tidak sedar, kita masih dalam lamunan sebenarnya. Siapa sangka, dalam lamunan itu kita dikejutkan bahawa seorang bangsa asing telah memenuhi cita-citanya – menawan puncak KLCC. Setelah dua kali cubaannya gagal, beliau telah menukar strategi – memanjat seawal pukul 6 pagi. Mungkin sebahagian daripada kita tidak kisah si Alain ingin berkongsi rasa ‘keghairahannya’ untuk menyambut Hari Kemerdekaan tetapi ini sebagai pengajaran kepada kita khususnya mengenai tahap kawalan keselamatan yang telah dipertikaikan. Kononnya kawalan ketat di setiap laluan masuk ke premis tetapi tidak disangka sudah ada insan sampai ke puncak tanpa disedari. Kita perlu ingat Alain Robert asalnya dari Perancis yang terkenal dengan sejarah penjajahan Napoleon Bonaportenya. Walau tidak memberi ancaman luar secaranya am, dalam senyap dan halus memberi ingatan kepada kita penjajahan bukan sekadar penaklukan wilayah semata-mata tetapi menerusi minda jugalah dapat meruntuhkan suatu bangsa. Penjajah sanggup melakukan apa sahaja strategi dalam memenuhi cita-cita mereka. Akhirnya akibat kealpaan kita, tergadai segalanya.
Seharusnya semua pihak perlu sedar dan bukan sekadar berpeluk tubuh membiarkan pihak yang tidak bertanggungjawab memanipulasi perkara ini. Bak kata pepatah – Sudah terhantuk baru hendak mengadah. Harus dingat bahawa kita punya satu Malaysia, tiada dua atau tiga sebagai bumi dipijak dan langit dijunjung.
3 comments:
nice post :) keep up the good work.
ps : tweak your blog.
selamat berpuasa
Betul kata amir tu, makbonda sokong. Sepatutnya bangunan penting spt menara berkembar petronas itu mesti ada kawalan ketat sepanjang masa...
inilah pentingnya sifat amanah dalam diri setiap manusia. Seperti kita org. Islam, harus sentiasa menjaga maruah diri dan agama kita walau di mana jua kita berada kerana kita yakin yang Allah itu berada di mana2.Jadi, jagalah amanah Allah ini dgn cara yang terbaik, agar orang bkn Islam tidak memandang rendah kepada kita, selamat berpuasa.
Post a Comment