Sunday, September 6, 2009

Sabtu yang cerah

Pagi tadi aku cuba melayari internet tapi sudah kena block. Tidak mengapa, hari ini aku hendak keluar untuk selesaikan beberapa perkara. Kalau diikutkan, malam tadi aku nak pergi ke ofis tetapi entah bagaimana aku tertidur sampai alarm clock sudah berbunyi. Rupa-rupanya sudah pukul 8 pagi. Aku terlepas hendak bersahur dan keluar ambil barang di ofis.

Sebenarnya aku malas hendak ke ofis pagi tadi. Bos aku mesti datang menjengah. Tambahan pula, dia ada perbincangan dan mahu buat semakan ke atas kerja-kerja yang tertangguh. Maklumlah, cuba kejar payment klien. Tapi aku dapat tahu, sempena Hari Raya akan datang semua staf akan dapat gaji setengah bulan. Itu sudah kira bagus, pasal gaji yang ada sekarang kalau diikutkan tidak mencukupi untuk sambut raya. Kalau bos bagi duit raya banyak tahun ini, ini sudah kira bonus. Maklumlah sudah 7 bulan tidak merasa bonus. Mungkin pengurusan memutuskan lawatan kami ke Bandung dan Jakarta pada awal tahun yang lalu sebagai bonus. Hmm.....apa-apalah sahaja asalkan dapat menggembirakan kami yang bertungkus lumus.

Semalam aku bercadang hendak pergi ke Low Yat. Tapi memandangkan kak Linda sahaja tinggal untuk buat printing, maka aku ringan tangan tolong dia. Sembang dengan suami dia pasal SPACE UTM, itu ini sampai aku abaikan perancangan hendak ke Low Yat. Terus aku telefon Pali dan dia ajak aku buka puasa di rumahnya.

Sambil menempuh kesesakan jalan raya macam-macam topik buka. Dari kisah keyboard Logitech yang baru dibeli sampai komen tentang blog aku. Dia cakap blog aku ada unsur-unsur macam penulisan berita dan dokumentari tapi terselit humor-humor. Pandangannya aku terima sebab kemahiran penulisan dia pun aku tidak pertikaikan. Penulisan dalam Bahasa Inggeris pun bagus. Seperti pepatah Melayu- Takkan ke mana kuah tumpah melainkan ke nasi* . Ada ciri-ciri yang mengalir dan diperturunkan dari si bapa ke si anak. Maklumlah bapa dia kerja di Metro Ahad jadi tidak hairan sangatlah bila jumpa orang macam Pali. Aku pun mewarisi sebahagian daripada abah.

Bila semalam aku singgah blog akubukansofeajane, terbuka mata tentang topik yang sesuai orang yang minda terbuka. Berani sungguh kawan aku seorang ini berbicara di alam yang bebas bersuara. Topik pasal kesucian seorang perempuan atau istilah dalam Bahasa Inggeris – virginity. Tidak mahu banyak yang ingin aku ulas pasal topik ini tapi menarik juga. Ada yang cakap virginity perlu dalam martabat seorang perempuan masih tidak bersuami dan sebagai hadiah kepada sang arjuna dari sang dewi yang dicintai. Ada yang kata tidak kisah pasal virginity asalkan tuanpunya badan disayangi dan menyayangi antara satu sama lain. Apapun, jodoh semuanya Tuhan yang tentukan. Kita sekadar dapat merancang. Macam macam orang kita jumpa sekarang. Ada yang ’bertopeng’ dan tidak kurang jadi seperti boneka.

Aku tinggalkan sementara blog akubukansofeajane yang sedikit berkontroversi. Sambil menaip, aku sedang fikir apa yang lagi hendak disumbat dalam blog ini. Aku cuba meluahkan ekspresi, fikiran dan inspirasi agar dapat mematangkan diriku. Sebolehnya aku cuba diam-diam berisi dan seperti resmi padi – Semakin tunduk semakin berisi. Aku cuba melayari dan menyusuri blog-blog yang lain agar satu hari nanti jati diri aku kuat ibarat tinggi tinggi kelapa bali walaupun tinggi kental diri**.
Dalam posting akan datang, aku cuba luahkan dalam Bahasa Inggeris pula. Aku hendak memperbaiki Bahasa Inggeris aku yang semakin hari semakin hura hara dan lintang-pukang. Akhir kata, Selamat Berpuasa dan Salam Sejahtera.

Takkan ke mana kuah tumpah melainkan ke nasi* - betul ke tidak susunan pepatah ini, sila maklumkan.

Ibarat tinggi tinggi kelapa bali walaupun tinggi kental diri**.

1 comment:

tuahfarhanz said...

sebenarnya 'ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi'