Fasa terakhir semakin dekat. Aku pun tidak tahu samada diri ini bersedia melangkah ke semester akhir. Tinggal dua minggu lagi untuk praktikal, rasa macam seram hendak hadapinya. Pengalaman menghadapi semester akhir diploma dahulu cukup menjadi igauan diriku hingga aku dengan berani memutuskan untuk cari pengalaman kerja dahulu berbanding sambung belajar ke peringkat degree.
Sepanjang praktikal dan berada di bawah perunding ini, aku rasa cukup bahagia sangat bekerjasama bersama mereka. Berbanding majikan aku terdahulu, disini terasa cukup beruntung sekalipun tidak semewah sewaktu buat kerja 'part-time' bersama mereka. Bagi aku, kewujudan staf yang berpengalaman dan berkemahiran membuatkan aku kurang rasa terbeban dengan kerja. Mungkin timbul juga, sifat negatif atau skeptikal terhadap sesetengah daripada mereka tapi aku anggap itu lumrah kepada yang bernama insan.
Cuma bos aku sendiri menyedari perubahan tentang diri aku. Bukan dari segi fizikal tapi prestasi aku. Di bawah pencapaian. Itu tidak boleh dibanggakan. Titik. Tidak panjang lebar cerita pasal benda ini.
Memandangkan aku ini tengah praktikal, memang jadi betul-betul macam orang bekerja. Siang pergi kerja, malam melekat di rumah. Macam itu jugalah hujung minggu aku. Ada mood, layan Hindustanlah, Majalah 3, Melodi dan filem-filem lama di TV3. Kalau bosan, sambung buat design khat Kufi yang ditempah oleh klien atau untuk portfolio sendiri. Buku log? Memang jarang sangat aku pegang walau sentiasa dikemaskini dalam MS Excel. Itulah serba sedikit pasal kehidupan aku sekarang ini.
Buat masa ini, aku terpaksa mengehadkan pergerakan untuk keluar berjalan-jalan. Kekadang aku sendiri rasa ralat bilamana tidak ada peluang menjenguk adik bongsu yang bersekolah di Muar. Member-member ajak lepak makan, pun ada masanya aku tolak. Cukup-cukup makan sahaja aku di sini. Sememangnya aku rindu saat bekerja suatu ketika dahulu sekalipun majikan yang menggajikan aku kekadang tidak menggembirakan. Banyak pengorbanan harus dilakukan bila aku ambil langkah untuk berhenti kerja dan sambung belajar. Sampai satu tahap, rasa hendak tarik diri pun ada dari dunia siswa siswi ini.
Tapi, syukur Alhamdulillah. Aku masih bertahan lagi. Tidak sabar rasanya hendak melangkah keluar dari alam siswa siswi ini. Menempuh cabaran dan menghadapi fasa hidup baru. Rasa macam hendak jadi macam merpati keluar sangkar dan bebas terbang.