Saturday, March 24, 2012

Tanpa Tajuk

Sudah masuk tiga minggu praktikal. Macam biasa kerja dalam pejabat konsultan, buat 3D, buat design, dan macam-macam yang patut. Benda yang aku buat berterusan sampai bulan Julai. Alhamdulillah setakat ini tiada masalah yang ku hadapi. Cuma harapkan aku dapat selesaikan praktikal dengan baik serta penuh jaya. 

Aku bersyukur kerana tempat yang aku sertai memang sedia maklum dengan cara kerjaku. Setakat ini pun, aku selesa dengan cara kerja, suasana dan mereka yang bekerja di situ. Tiada punch card yang perlu dikejar, waktu makan yang agak berbeza dengan tempat yang lain dan hospitaliti yang diberikan. Aku menghargai penerimaan mereka. Moga aku dapat berikan yang terbaik serta memenuhi kehendak dan keperluan mereka yang sepatutnya. 

Cuma kekadang aku agak terkilan apa yang dihadapi oleh rakan sepelajar yang lain. Ada yang sebahagian daripada mereka mengalahkan orang yang bekerja tetap. Keluar rumah pukul 8, pulang tengah malam. Kalau seminggu, tidak mengapa. Tetapi berminggu-minggu bikin aku tertanya-tanya adakah bos mereka sengaja mahu ambil kesempatan atau eksploitasi kehadiran pelajar praktikal?

Sebenarnya banyak kekurangan lagi yang perlu kita semua kaji untuk memberi pengalaman kerja kepada bakal-bakal graduan L.A.. Sepatutnya aku tidak perlu menimbulkan hal ini kerana sedikit sebanyak pengaruh terhadap semester akhir aku kelak. Secara hakikatnya, pihak pentadbir harus sedar tentang perkara ini demi memastikan hasil graduan adalah berkualiti dan menepati keperluan pasaran.

Aku tinggalkan cerita dunia L.A. dahulu. 

Dalam blog ini, jarang aku bercerita tentang hal hati. Aku dalam keterbukaan yang ada, masih ada yang terpendam dan belum terbongkar. Hinggakan aku terasa sendiri dan tertanya perlukah berkongsi kisah hati yang sebenar. Manusia kekadang ini umpama sesumpah. Kadang-kadang baik, kadang-kadang buruk. Aku sendiri pun belum cukup baik. Secara serius aku kata biarlah sebahagian tentang cerita hati perasaan ini tersemat rapi dalam diri. 

Sejak kewujudan di atas muka bumi, kawan yang aku punya sentiasa ada dan silih berganti. Macam-macam perangai aku sudah jumpa. Ada yang aku rapat, ada yang aku 'gitu-gitu' sahaja. Ada masa aku lebih suka bersendirian bilamana ingin melakukan sesuatu yang orang lain  mungkin tidak suka. Sebaik mana sekalipun kita baik dengan seseorang, tidak semestinya akan menjadi sekepala. Tuhan jadikan manusia pelbagai ragam, sifat, perangai dan rupa supaya kita dapat kenali dan pelajari antara satu sama lain. 

Pesanku - Walaupun lengkap tidak semestinya sempurna dan walaupun sempurna tidak semestinya lengkap. Yang punya kedua-keduanya hanyalah Tuhan Yang Esa.