Dalam hal-hal berkait dengan Islam, aku masih terasa ada kekosongan yang belum terisi dalam hati, minda dan jiwa ini. Cuma apa yang aku hendak kongsikan pengalaman yang aku alami pada hari ini. Aku hendak kongsikan benda ini untuk jadikan renungan dan pengajaran untuk diriku dan semua yang membacanya pada masa depan. Kepada siapa hendak kita tudingkan kesalahan itu, wallahualam. Tepuk dada tanya selera iman.
Pengalaman tadi terjadi semasa aku singgah bersolat Maghrib di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah @ Masjid Shah Alam. Semasa aku sampai berlangsungnya bacaan Surah Yassin dan tahlil. Tambahan pula ini malam Jumaat, maka disedekahkan pahala tersebut kepada arwah-arwah yang sudah tiada. Innalillah.
Aku tidak mengikut serta kerana ada temujanji dengan kawan. Selesai solat dan hendak keluar dari masjid, datang seorang hamba Allah yang terpinga-pinga memanggil aku. Lalu, aku pergi mendekatinya.
Penampilannya amat 'ringkas' sekali. Pakai 'body shirt' yang ketat nampak lengan, berseluar 'thigh' sendat dan bertudung shawl untuk menutup kepala dan rambutnya. Memang 'sopan'lah jawabnya kalau datang ke masjid sebegitu. Kemudian bermula perbualan ringkas antara aku dengan si wanita ini.
"Encik, boleh minta tolong tak ? Sebab saya sekarang tengah datang bulan," tanya wanita itu.
"Minta tolong apa?" Tanya balas daripada aku.
"Saya nak minta encik hantar botol-botol air untuk dibuat sebagai air Yasin," jawab wanita itu.
"Laa...cik. Orang kat atas sana dah selesai baca Yasin. Macamana cik tahu kat sini ada majlis bacaan Yasin?"
"Saya tahu sebab ada orang announce nama-nama orang tadi," rujuknya kepada arwah-arwah yang disebut pada awal bacaan tadi.
Sambungnya lagi, "Boleh encik tolong tinggalkan untuk saya? Esok hari saya datang ambillah."
Aku membalas, "Kalau saya tinggalkan kat sini, nanti siapa yang nak tolong awak ambilkan? Saya pun tidak pernah datang baca Yasin di sini."
"Apa kata, awak cuba tanya orang lain atau awak cari surau yang berdekatan. Mungkin dapat menolong,"tambah aku lagi.
Sampai situ, aku berpisah dengan wanita itu sebab ada temujanji dengan orang lain. Serba salah aku melihat dia juga. Lalu semasa berlalu, banyak persoalan yang bermain di dalam kepala aku ini :
Adakah dia tahu adab-adab berpakaian ketika berada di kawasan masjid walaupun dalam keadaan datang bulan @ haid?
Jika dirinya sendiri tidak suci, kenapa tidak minta tolong dari saudara lelaki atau kawan lelaki untuk bawakan botol-botol air tersebut ke masjid?
Jika dirinya tidak suci, kenapakah tidak mahu minta orang yang terdekat samada kawan atau saudara bacakan bersama surah Yasin?
Adakah dengan pergi ke masjid serta minta tolong dibuatkan air Yasin akan selesai hal?
Adakah usaha itu mencukupi dengan sekadar mengharap bantuan orang lain tanpa melibatkan diri sendiri?
Aku tidak tahulah persoalan yang ditimbulkan relevan atau sebaliknya. Tapi apa yang aku lalui tadi mungkin secebis saja.
Sebenarnya tidak disangka masih ada manusia yang cetek, jahil tentang hal dalam agama Islam walaupun sudah besar panjang malah memiliki segulung ijazah. Sesetengah mereka hanya tahu hukum hakam agama bila hal berkaitan nikah kahwin, cerai berai dan kematian. Nama artis atau politikus lebih dikenali berbanding nama-nama Nabi.
Adakah ini ujian yang Tuhan turunkan untuk kita tanpa siapa sedari?
Aku risau juga satu hari nanti bila ibu bapa meninggal nanti, siapa yang mensolatkan mereka? Atau bagaimana kita dijemput nanti siapa pula yang akan menyembahyangkan kita? Kekadang itu tidak jadi persoalan siapa yang akan jadi imam kelak. Tapi ini persoalan yang kita sama-sama fikir :
Adakah kita melaksanakan pesanan ibu bapa supaya melakukan apa yang disuruh agama terutamanya solat?
Adakah kita sudah bersedia dari aspek dunia dan akhirat dalam mendidik anak-anak yang bakal dilahirkan kelak?
Kekadang aku sendiri terabai untuk melaksanakannya.
Memang hebat kalau diri ini punya segala kemahiran dan kepandaian dalam ilmu duniawi. Tapi apalah gunanya ilmu tersebut kalau sebagai seorang Muslim andainya terdapat batu pemisah antara ilmu-ilmu Islam.
Fikirkan dan renungkan.
Sempena hari yang baik, mari sama-sama kita berdoa memohon agar dilembutkan hati, diberi rahmat dan keampunan dari-Nya. Aku memohon dijauhkan dari segala perasaan riak, takbur dan kufur semasa cerita ini ditaip. Apa yang aku usahakan bukanlah untuk mengaibkan sesiapa sebaliknya sekadar berkongsi apa yang dialami.
Salam Jumaat Untuk Semua