Saturday, October 2, 2010

10 Alasan mengapa aku jarang berblogging.........

  1. Banyak berfikir untuk assignment (padahal banyak topik berkisar study boleh dipostkan)
  2. Tiada nafsu untuk menulis (jemu sebab banyak menaip assignment)
  3. Perkhidmatan internet yang kekadang membuatkan sakit hati (connection that killed the mood)
  4. Sejam untuk tidur lebih berharga dari berblogging (recharge and retreat)
  5. Kawan-kawan tumpang untuk guna komputer
  6. Permainan video dapat memberi kelegaan cepat berbanding blog untuk mengatasi tekanan.
  7. Tiada komputer di rumah
  8. Laman sosial seperti Facebook lebih mendapat tempat untuk mencari perhatian.
  9. Tiada desakan dari rakan-rakan blog lain untuk mengeluarkan post.
  10. Pengalaman menuntut diri menurunkan ilmu kepada yang memerlukan.

Biskut Mayat.........



Pada keheningan ini, aku cuba meluahkan sesuatu. Menghilangkan kebosanan adalah satu tujuan manakala menghilangkan mengantuk adalah sasarannya. Macam hendak buat konsep dan tema pula untuk design pula.

Diiringi irama muzik kugiran mp3 yang diperdengarkan oleh Kugiran D'Tepi Pantai menerusi perisian Winamp, aku cuba untuk melakukan seberapa banyak tugas yang perlu dilangsaikan. Semakin dekat untuk berlabuh, semakin sibuk untuk bersiap serba-serbi. Tapi, terima kasih aku ucapkan kepada pengalaman kerana membuatkan sang tekanan tidak datang menimpa secara bertubi-tubi. Biarpun banyak harus dilakukan namun atas nama segulung ijazah, aku cuba menetapkan diri ini untuk berada pada landasan yang betul untuk berjaya.

Syawal semakin hampir untuk meninggalkan kita. Tinggal seminggu lagi untuk beraya. Bagi diri ini, mood atau suasana raya sudah menutup tirai. Habisnya kuih-kuih raya yang selama ini penuh di dalam bekas kini berganti dengan biskut kering atau cakap orang utara - roti empat segi. Sungguh nikmat bila dapat gigit biskut kering macam ini.

Besar peranan biskut kering ini sebenarnya pada kita. Adakalanya kita memandang biskut ini macam makanan 'low class' dan seolah di pandang hina kerana selalu dihidangkan oleh yang tidak berkemampuan. Kerana murah, begitulah juga persepi sesetengah orang yang terlampau mampu untuk membeli makanan segera hampir setiap masa.

Dulu aku pun pernah terasa cemuih (jemu) dengan biskut kering ini. Masa kecil-kecil agak pemilih dan cerewet pasal bab makan. Bila masuk asrama, baru tahu peranan biskut kering ini. Walaupun tidak mengenyangkan namun dapat mengalas perut sudah memadai sementara menunggu waktu makan malam atau masuk tidur.

Zaman pejabat aku, biskut kering main peranan besar ketika waktu bekerja. Tidak seperti bekerja di jabatan kerajaan yang boleh curi-curi keluar untuk minum seketika, suasana dan peraturan di perunding swasta agak berbeza dengan tuntutan kerja yang tidak pernah surut. Malah, masa rehat yang diperuntukkan kekadang terpaksa dikorbankan semata-mata untuk persiapan ke mesyuarat atau jika terdapat submission. Dan balang biskut kering ini menjadi sasaran sekali lagi untuk alas perut yang lapar.

Aku teringat pernah suatu ketika tiada wang poket untuk beli makanan. Aku pergi ke pantri dan mencari apa yang boleh ditelan. Malangnya tiada apa yang tinggal. Cuma yang ada, seghedak (serbuk@sisa) biskut yang tinggal. Akibat kebuluran yang melampau, digagau jari mengutip seghedak dalam balang demi perut yang lapar.

Kini, aku tidak lagi bekerja tapi budaya pejabat yang sudah sebati dengan diri diterapkan dalam dunia siswa. Aku cuba mengurangkan perbelanjaan dan berjimat dengan menyediakan balang biskut kering serta minuman coklat di workstation sendiri. Sekurangnya, purata RM10-20 dapat dijimatkan untuk seminggu. Malah, tidak perlu buang masa 30-1jam untuk makan. Sambil mengunyah, kita dapat melakukan kerja yang sepatutnya.

Jadi, janganlah kita pandang remeh terhadap makanan yang murah ini semata-mata. Biarpun pelbagai nama diberikan tetapi cukup besar peranan jenis biskut ini. Kerana yang murah inilah telah banyak menyelamatkan ribuan nyawa dan jiwa dari kebuluran akibat bencana dan peperangan yang menimpa. Bersyukurlah kita seadanya dengan nikmat yang dikurniakan oleh Tuhan. Mana tahu, suatu masa kita terpaksa menempuhi sama seperti mereka yang tertindas dan hanya bergantung hidup kepada biskut kering semata-mata.