Sunday, October 8, 2017

Deactivate Facebook & Instagram


Jarang juga aku berblogging. Tapi ini post pertama aku dalam tahun 2017. 

Hari ini dah masuk 8hb Oktober. Tinggal lagi dua bulan nak habis tahun 2017. Cepat juga masa berlalu. 



Aku dah kerja di tempat lain. Hampir 10 bulan juga. Aku mula kerja dari 2 Januari lepas. Tempat kerja ok walau gaji tak semewah masa dekat company dulu. Tapi, dekat dengan rumah, rakan sepejabat yang 'crazy-go-lucky' dan macam-macam lagi. Kerja banyak? Itu sudah pasti. Yang pasti, tak perlu punch card, thumb print untuk monitor keluar masuk pejabat. 

24 Ogos 2017 lepas, wife aku bagitahu dia positive Pregnancy Test. Alhamdulillah, lepas 3 tahun berkahwin ada rezeki nak timang anak. Aku dapat detect isteri tak period lebih sebulan. Jadi, aku cakap pada dia suruh check. 

Kalau ikutkan hari ini dah masuk minggu ke 13 dia mengandung. 

Buat masa sekarang, aku deactivate akaun Facebook dan Instagram. Nak rehatkan minda dari dunia media sosial. Cuma akaun Twitter saja masih aktif. Hampir 4 minggu tanpa FB dan IG. Hari terakhir aku dengan FB dan IG masa hari kemangkatan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim. Kadang-kadang penat dengan media sosial. Tengok macam-macam pe'el orang. Walaupun jadi macam orang terputus hubungan dengan dunia luar, sekurang-kurangnya tak membebankan otak. Kalau tak sikit-sikit nak post, sikit-sikit nak share. Bila tak dapat banyak share, kita jadi rasa kecewa sebab ingatkan post benda-benda yang best. Last-last jadi syok sendiri.

Bila kita deactivate Facebook dengan IG, kita akan sedar berapa ramai yang ambil tahu pasal diri kita. Sebenarnya hampir tiada yang ambil kisah hidup yang dikongsikan dalam media sosial melainkan ahli keluarga dan saudara-mara saja yang nak tahu. Jangan harap semua orang dalam Facebook akan ambil tahu pasal diri kita kerana masing-masing pun ada kehidupan yang perlu dijaga.

Ok la untuk post kali ni. Kalau ada mood nak post, aku akan taip dalam blog lagi.

Thursday, December 15, 2016

MUHASABAH DIRI

Bayangkan kita pergi temuduga untuk kerja.

Kemudian penemuduga bukan tanya hal kerja kita, tapi perihal ibadah kita.

Bila kali terakhir baca Al-Quran?
Apakah surah terakhir yang di baca?
Bila kali dalam seminggu solat berjemaah?
Bila kali terakhir solat berjemaah?
Bila kali terakhir solat Subuh berjemaah?

Kalau diri sendiri yang kena, mungkin tak mampu bagi jawapan dengan baik. Saya sendiri gagal memenuhi tuntutan tersebut sebaik mungkin.

Kalau berani cakap itu hal ibadah masing-masing, awal-awal lagi kena reject.

Penemuduga ada perkara tersendiri bila tanya macam tu.

Kita mungkin boleh rasa selesa dan bersyukur sebab mustahil nak jumpa penemuduga macam tu. Sekali jumpa, kita pasti akan fikir panjang dan sedalam-dalamnya.

Tuesday, December 13, 2016

Seorang sahabat dari perspektif ku....

Aku benci bila letak gambar dalam blog kemudian lama-lama hilang dalam posting.


Beberapa hari lepas, dalam whatsapp group diploma aku, Chaq maklumkan bahawa kawanku masa diploma tengah sambung PhD. Memang hebat sungguh. Tahniah aku ucapkan. 

Namanya Ab Mughni Ab Rahim. Tapi kami panggilnya Udenkt. 

Masa aku mula-mula masuk UiTM, Udenktlah orang yang pertama aku kenali. Bila tanya asal mana, dia jawab dari Kelantan. Masa aku agak skeptikal, kalau jumpa orang luar misalnya Kelantan mesti kena cakap ikut loghat negeri masing-masing. Tapi bila dapat tahu dia pernah belajar Sekolah Alam Shah, Putrajaya, takda masalah untuk cakap slang KL (masa itu lidah aku masih pekat dengan loghat Utagha lagi).

Cerita aku dengan Udenkt memang banyak kenangan. Bapa Udenkt dulu kerja BPR Selangor, pejabatnya di Kompleks PKNS Shah Alam. Sebab itu kawan pertama yang aku kenal di UiTM, awal permulaan memang akan bergerak bersama ke sana ke mari. Kami juga sama-sama terjebak ikut serta Kor SUKSIS. 

Sebelum aku bawa motor Honda WAVE PFU7180 ke Shah Alam, Udenkt antara orang terawal yang bawa motor masa tu. Dia pakai motor HONDA C70. Yang bestnya, motor tu kami bawa pergi pusing Putrajaya, pergi KL. Naik semester 4, dia beli HONDA WAVE 100 macam aku. Plat nombor BJA 4913.

Masa duduk Kolej Perindu, kami duduk sebilik masa Semester 1. Kemudian masuk semester 2, pun sebilik masa pindah ke Kolej Teratai. Masuk Kor SUKSIS, kami dapat kemudahan penginapan. 

Udenkt memang ada bakat melukis dan mewarna. Dia lukis Burung Raja Udang, memang cantik.

Dia punya final project Diploma, dia buat proposed landscape design untuk Taman Selatan. Taman Selatan merupakan kawasan perkuburan di Putrajaya. Memang lain dari yang lain. 

Aku tak sambung Degree terus lepas graduate Diploma. Udenkt sambung degree tapi sangkut di semester 04. Dia merayu untuk sambung kembali tapi sayangnya gagal untuk habiskan pengajian.

Lama juga aku tak jumpa dengan dia lepas itu. Lepas dia sangkut, dia pernah bekerja dengan member senior yang buka perniagaan menjual makanan.

Aku terjumpa dengan dia kembali masa tahun Julai 2010. Kami berjumpa di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam. Masa tu Udenkt mengiringi jenazah Allahyarham Sarjan Mejar Yunus, salah seorang jurulatih Kor SUKSIS. Sebelum berpindah ke Kor SUKSIS, arwah bertugas di Bahagian Tatatertib IPK Selangor. Udenkt merupakan orang yang terakhir berjumpa arwah di pejabat. Ketika itu, mereka sedang bersembang di dalam bilik SM Yunus. Tiba-tiba, arwah terus tidak sedarkan diri. Udenkt cuba mengejutkan arwah tapi tiada respons.

Pada malam pengebumian arwah, aku hanya sempat bersalaman dan bersembang panjang kerana Udenkt mengiringi balu SM Yunus bersama kembali ke rumah.

Banyak lagi cerita aku dengan Udenkt sebenarnya. Masa nak pergi Putrajaya dengan dia, kereta Kancil aku overheat. Sebulan lebih aku takde kereta untuk pergi ke mana-mana. Ketika itu aku masih menetap di Kampung Lembah Melewar KL. 

Masa aku sambung degree balik tahun 2010, kami berjumpa kembali. Masa tu dia dah sambung degree. Kalau tak salah dia ambil Sarjana Muda Pengurusan Pejabat. Kami berjumpa semula sebab Al-Aiman panggil dia untuk main futsal dengan bebudak studio degree aku. Alhamdulillah, tak salah aku, Udenkt dah graduate tahun 2014. Tahniah.

Aku rasa Udenkt boleh jadi contoh orang yang pernah gagal dan bangkit kembali. Sekali dia bangkit, dia lebih baik daripada orang yang lain. Dah ada Master sekarang tengah sambung PhD. Tabik hormat sama dia. 

Ada orang pernah dapat Anugerah Dekan berkali-kali tapi lain halatuju setelah tamat pengajian.

Aku pernah terdengar pesan seorang pensyarah aku. Ada ijazah yang kita gapai tak semestinya akan kerja dengan kelulusan yang kita dapat.

Biarlah cerita aku dengan dia tersemat di sini. Biar satu masa nanti, kalau ada orang Google nama Ab Mughni Ab Rahim orang akan tahu ada manusia hebat pernah wujud depan seperti dia dalam kehidupan aku.



Thursday, December 8, 2016

Screwed Up

1. Hari ini sudah masuk tiga kali aku skip dari masuk meeting. Memang hati aku dah takde untuk buat-buat kerja. Seolah-olah jasad aku saja yang ada dekat office. Even bos aku whatsapp dalam group pun, aku buat bodoh sahaja.

2. Aku offkan handphone aku. Aku avoid orang contact aku. Aku balik rumah terus membutakan diri. Doing nothing. Rasa hilang arah tuju hidup.

3. Pagi tadi, aku dapat offer kerja. Tapi gaji pun boleh aku kata cukup-cukup makan. Aku submit dulu CV just in case.

4. Memang rasa screwed up pun ada sekarang. Tak tahu nak buat apa.

5. Memang jadi ignorant sangat masa ini. Mungkin sebab banyak sangat benda aku pendam dalam hati. Bila pendam dalam hati, memang makan diri sendiri.

Wednesday, December 7, 2016

Berblogging dari tablet kali pertama

1. Pukul 12.10pagi. Aku masih belum tidur lagi. Baru install blogger apps pada tablet aku.

2. Setakat ok lagi.

3. Dalam kepala, ada macam-macam nak diceritakan tapi lain kali sajalah.

4. Nak aktif berblogging semula macam dulu.

Tuesday, November 29, 2016

Keluar Dari Dunia Kubikel (Cubicle)



1. Semalam aku dah berjumpa bos. Aku beritahu untuk resign dari company yang dah bekerja dekat 3 tahun. Aku tak berapa nak gembira dengan keadaan di tempat kerja aku sekarang. Jadi aku terpaksa 'move on'. 

2. Aku dah terlibat dengan satu projek hampir 3 tahun. Alih-alih, top management panggil konsultan luar untuk ambil alih projek ini. Bertahun-tahun bertungkus lumus untuk memenuhi kehendak klien, tiba-tiba tak dapat nak tengok benda tu naik depan mata. Jadi give up. 

3. Kecewa mesti ada. Tapi tak mengapa sebab ada beberapa projek yang aku sendiri design dah nampak hasilnya. Adakah aku membuang masa selama 9 tahun? Tiada jawapan konkrit yang aku boleh beri sekarang. Yang penting sekarang aku mahu teruskan apa yang telah diimpikan untuk jadi realiti. 

4. Sehingga setakat ini, wife aku pun tak tahu lagi pasal resignation ini. Aku tunggu masa yang sesuai beritahu pada dia. Sambil-sambil untuk tunggu sampai hari terakhir, aku tengah buat serba-sedikit persediaan sebelum berhenti kerja. Aku pun tak pasti apa akan terjadi nanti walaupun ada perancangan yang telah dibuat. 

5. Tak dapat nak gambarkan perasaan sebenar bila nak keluar dari dunia kubikel dalam keadaan ekonomi serba tak menentu. Ada dua tiga member sarankan supaya aku tangguhkan dulu hasrat nak resign ini serba situasi sekarang. Memang dilemma jugalah.

6. Tapi yang buatkan aku terus hantar surat berhenti kerja adalah aku sendiri yang menentukan macamana nak hadapi situasi sekarang. Umur aku dah masuk 30 tahun. Aku masuk dalam tandas, tengok cermin dan pandang yang uban putih mula tumbuh di kepala.

7. Aku tanya dalam benak hati sendiri. Sampai bila aku nak kena hadap benda macam ni? Takkan aku nak end up dengan pergi balik kerja duduk menghadap kubikel sampai ke tua? Adakah aku datang pejabat sekadar berlakon buat-buat kerja sambil layan internet.

8. Masuk umur 30tahun, aku mula rasa menghargai kehidupan. Kadang-kadang balik rumah, sampai depan pagar selalu terbayang yang van jenazah akan datang menjemput nanti. Tidak pasti siapa yang akan pergi dulu. 

9. Bila cecah umur 30an, aku mula terasa kekosongan, buat-buat gembira walaupun dalaman rasa sebaliknya.

10. Ini mukaddimah pertama aku setelah lama tidak berblogging. Kenapa aku balik kepada berblogging, sebab ini cara terbaik untuk sharing. Yang betul-betul concern, dia akan ambil tahu pasal aku. Aku cuba elakkan untuk cerita semua benda dalam media sosial. 

Thursday, July 2, 2015

15 Ramadan 1436H


Kalau ikutkan hari ini, dah 8 tahun aku dah bekerja. Tapi sebetulnya, 5 tahun aku bekerja penuh dalam bidang senibina Landskap. Dalam blog ini, aku tak pernah cerita hari-hari penting dalam hidup aku. Bila aku terima skrol ijazah sarjana Muda aku, masa aku bertunang bila dan hari apa aku menikah serta naik pelamin. 

Hampir 18tahun aku tak pernah kena tahan dalam wad selama 3 hari sampai habis MC, pun aku tak beritahu dalam blog ini. Semua singgah dalam kepala otak aku dan berlalu pergi tanpa sebarang catatan. 

Dulu 7-8tahun lepas boleh katakan, aku masih menerima apa yang kerajaan BN buat. Sekarang aku agak kritikal dengan BN. Dengan GST, harga minyak naik dengan nilai ringgit jatuh benda ni buat aku sebagai rakyat terasa bebannya juga. Jadi, apa guna nak sokong kerajaan yang makin lama makin auta dengan kita. 

Semak kepala cerita pasal politik.

Kenapa aku menaip posting ini setelah lama meninggalkan dunia blogging?



Hati aku terdetik nak menaik balik. Biarlah orang tak baca, tapi kita dapat luahkan apa yang terpendam dalam kepala otak aku. Dulu aku suka taip biar orang baca serta komen. Tapi bila populariti Facebook meningkat, sikit demi sedikit blogging aku abaikan. Aku mula cari perhatian orang dalam FB. Sampai satu tahap, aku fikir best sangat ke jadi public attention? 

Lama-lama, aku slow downkan sikit sharing dalam Facebook. Walaupun banyak benda nak cerita, elok tak payah kongsi semua. Selagi tak dapat banyak share, selagi itu kita melangut depan Facebook.

Angan-angan nak terbitkan buku sendiri.

Makin banyak orang publish sekarang. Buku yang ditulis hasil pengalaman sendiri. Koleksi penulisan dalam Facebook, travelog dan macam-macam lagi. Aku pun ada angan-angan sama tentang perkara ini. Aku pun berkeinginan nak kongsikan sesuatu. Angan-angan atau kenyataan? Wallahualam.





Sunday, January 19, 2014

Dua.Ribu.Empat.Belas

Lama aku tidak kemaskini blog ini. Dekat setahun juga aku tinggalkannya. Aku pilih untuk isi sebahagian rencah hidup aku dalam diari. Tapi kemana hilangnya diari aku, pun tak pasti. Aku sedari sejak berpindah ke Johor Bahru.

Sudah masuk bulan ke empat aku menetap di Hujung Tanah. Mencari rezeki dan menimba pengalaman di sini. Alhamdulillah, kehidupan lebih seronok di sini. Walau tidak sehebat Lembah Klang, bagi aku sudah cukup anak rantau di kota metropolitan itu. 9 tahun aku berada di situ. Dari aku masuk belajar, kerja dan sambung belajar semula.  Aku cabar diri sendiri menetap di selatan Semenanjung. Aku ucapkan terima kasih kepada Tulang kawanku kerana beri peluang kepada mencuba nasib.

Banyak beza bila berhijrah ke tempat baru. Aku tahu aku meninggalkan banyak segala impian di ibu kota. Peluang pekerjaan, perniagaan untuk dikembangkan termasuk bilangan rakan teman taulan yang ramai. Tapi itu tidak menjadi masalah bagi aku. Sejauh mana mereka mampu membantu kita? Selebihnya berbalik pada diri kita sendiri. Yakin pada diri sendiri , berusaha dan berserah kepada takdir itu lebih baik sebenarnya.

Bila aku duduk sini, aku kembali hidup cara yang lebih ringkas. Tiada kereta. Cuma motor aku sebagai kenderaan utama aku untuk ke sana sini. Kawan-kawan pun tak berapa ramai seperti di Shah Alam. Kurang dari 20 orang. Semua kenalan semasa aku belajar dan bekerja di sana dahulu. Walau syurga makanannya tak sehebat sana, tapi macam-macam aku dah rasa di sini. Pendek kata, kehidupan sini lebih sederhana. Kos hidup amat rendah sedikit jika hendak dibandingkan dengan KL atau Shah Alam. Bergantung kepada tempat yang nak kita menyewa. Di Skudai, kami bernasib baik dapat rumah sewa dalam kawasan perkampungan. Sewa rumah amat murah sekali. RM350. Berbanding di kawasan yang menghampiri pusat bandaraya. Satu bilik mencecah RM450. Dan aku sendiri tidak sanggup menghabis wang sebegitu banyak sekali.

Jarak rumah aku ke tempat kerja adalah 20km. 30minit perjalanan jikalau menaiki motosikal. Jarak tersebut sudah menjadi kebiasaan pada aku. Rumah yang aku duduki sekarang agak selesa. Hendak bawa mak abah dan lain lagi datang sini pun boleh. Alhamdulillah, mak abah dah sampai rumah 2 kali sejak aku berpindah ke Johor Bahru. Tak perlu lagi mereka menyewa hotel atau homestay bila datang dari jauh. Pada tahun ini aku cuba lengkapi rumah dengan perabot dan peralatan elektrik. Peti sejuk dah ada. Tinggal lagi TV, perabot, almari, sofa, set meja makan. Aku nak adakan benda sebegitu sebelum berkahwin. Bila kahwin tak perlu pening sangat bila dah ada benda sebegitu. Bagi cukup sekadar apa yang ada supaya beban lepas kahwin tak berat nak ditanggung.

Tahun 2014 boleh dikatakan agar mencabar untuk dihadapi berbanding tahun sebelumnya. Lepas PRU13, macam-macam benda naik harga. Minyak, tol, elektrik, air dan makanan semua terkesan. Kerajaan lupa diri bila dapat mandat semula untuk memerintah. Aku percaya sokongan terhadap parti kerajaan sekarang semakin berkurangan suatu hari nanti. Sesetengah yang menyokong kerajaan sekarang adalah golongan baby boomers dan generasi X. Bila mereka semakin lama semakin berkurangan dan bakal diganti generasi Y seperti aku pada masa sekarang. Sudah pasti generasi Y mahu suatu perubahan dan memiliki apa seperti generasi terdahulu. Kediaman yang selesa, kenderaan yang baik dan kerjaya yang elok untuk survival hidup di atas muka bumi.

Aku malas merungut panjang-panjang benda ini. Sejauh mana rungutan kita akan didengari sedangkan tindakan untuk berubah berada lebih dekat pada kita. Kita sendiri menggerakkan perubahan itu. Kita cuba kejar zon selesa tapi selalu tak pernah puas. Cubalah kita kawal dan belajar untuk hidup bawah kemampuan. Benda ini aku banyak pelajari daripada buku-buku yang dibaca. Nyata, aku mampu membeli sebuah smartphone yang baru tapi aku tahan nafsu dari memilikinya walaupun sudah bekerja hampir 4 bulan. Aku cuba melihat aspek keperluan dari melayani keinginan. Sasaran aku adalah untuk mengumpul sejumlah aset sepanjang tahun ini.




Sunday, January 27, 2013

Buku tentang Syed Mokhtar Albukhary

Aku beli buku biografi Syed Mokhtar Albukhary (SMAB) siang tadi masa merayap di Setia City Mall. Dekat setengah jam dalam MPH aku belek cari buku untuk dibeli tapi tiada yang menarik hati. Bila kaki hampir melangkah keluar, terus terpandang buku ini dan Zul (kawan aku) tolong bayarkan guna kad kredit dia. Tidak mahal. RM20.00.

Baru sekejap tadi aku baru habis membaca. Mula baca dari tengahari, nyata sekali tidak membosankan. Banyak perkara jugalah aku dapat tahu bila baca buku ini. Antaranya kisah DEB dan dunia korporat Malaysia.

Selama ini aku faham konsep Ali Baba macam cerita Ali Baba Bujang Lapok yang mana Ali Baba yang kaya buat derma kebajikan kepada yang tidak bernasib baik. Tapi konsep Ali Baba yang diceritakan dalam buku ini berkaitan kelemahan DEB. Ali (Melayu) yang tidak berkemampuan mendapat kontrak kerajaan untuk diagihkan kepada Baba (Cina) yang kita sedia maklum menguasai ekonomi negara kita sendiri. Akibat 'khianat' daripada anak bangsa sendiri penyebab peratusan @ kuota Bumiputera dalam bidang ekonomi menyebabkan capai sasaran. Memang pendedahan terbaik yang aku baca dalam biografi ini.

Ada banyak cerita lagi yang kita boleh ketahui. Buku ini melihat kejayaan seseorang jauh dari kerangka politik walaupun SMAB mengenali tokoh-tokoh politik.

Aku malas nak ulas panjang tapi buku ini bermanafaat untuk dibaca. Markah untuk buku ini 4/5 disebabkan jalan cerita yang menarik dan saiz font tulisan yang memuaskan.

Monday, January 21, 2013

SketchUp + Photoshop

Nampak macam gaya stroke aku tapi sebenarnya ini menggunakan teknik yang mengimport image dari SketchUp dan memanipulasikannya dalam Adobe Photoshop.

Aku masih mempelajari dan memperbaikinya lagi.

Sunday, January 20, 2013

Dua tahun setengah terperuk dalam laci.

Hari ini aku sambung kemas barang aku lagi. Semalam aku dapat cari lagi kotak. Owh banyak lagi barang tidak disusun...

Sedang mengemas, tiba-tiba aku terjumpa semula sketches yang buat masa studio urban design dulu. Kes kajian di bandar klang. Syok sendiri bila tengok stroke aku.

Timbul pelbagai persoalan dalam minda aku sekarang...

Thursday, January 17, 2013

Junk item

Aku lupakan seketika perihal studio dan tesis. Malas hendak fikir. Tutup buku untuk semester ini. Aku mengemas barang sikit sikit. Rumah sewa yang aku duduk dekat 2 tahun setengah hendak dikosongkan lepas seorang teman rumah a.k.a. kepala dapat tawaran kerja kerajaan di Ipoh. Hendak kena pindah rumah.

Nasib aku sekarang macam gantung tak bertali. Tapi apa pun sekarang, aku buat apa yang termampu dulu.

Banyak juga junk item aku terkumpul sejak jadi anak rantau di Lembah Klang. Ada yang dari zaman aku duduk Kolej masa diploma dulu.

Aku tidak tahu siapa yang akan menggeledahnya semula satu hari nanti. Aku? Mak abah? Isteri? Adik adik? Anak-anak? Yang pastinya macam-macam khazanah dan koleksi terkumpul dalam kotak kasut yang diguna semula.

Friday, August 17, 2012

Takkan mati kalau sehari pun tidak berpolitik.



Aku masih berada di Shah Alam. Belum lagi nak balik kampung. Tapi apa yang aku hendak taipkan di sini memang akan menjadi topik bualan bila hari raya ini. Tapi apa yang elok harap dapat dimanafaatkan untuk kita semua. InsyaAllah. 

Berdasarkan pengalaman aku pada hari raya di kampung, mesti tidak rasa selesa bila ada orang yang kita tidak suka datang bertandang. Aku spesifikkan lagi manusia yang jenis politik sepanjang masa, tidak kira tempat. Kalau boleh, masa hari raya itu juga hendak bersembang bab politik dan isu semasa. Bila aku tengok macam itu, hidupnya macam itu juga. Tiada kemajuan dan macam tin kosong. Yang teruknya sebut cara Islam tidak kira dalam aspek pemerintahan mahupun tapi diri sendiri tidak tunjuk cara hidup tersebut. Ditambah pula perangai mengalahkan tuan rumah, hisap rokok dan kedekut bila budak-budak minta duit raya. 

Sebagai peringatan kepada diri sendiri dan semua tanpa apa-apa puak sekalipun, jangan jadikan hari raya sebagai peluang untuk cakap rencana politik semua itu. Letakkan tepi segala ideologi politik sebaliknya eratkan silaturrahim antara satu sama lain. Takkan mati kalau sehari pun tidak berpolitik. Banyak benda lagi boleh dibual - kerjaya, keluarga dan kongsi pengalaman yang berkaitan kita di tempat orang. Mungkin setahun sekali dapat baru dapat berjumpa dan banyak benda kita boleh cerita dalam tempoh tersebut. Lebih elok kita tegur menegur benda baik daripada berbalah bercanggah kata. 

Kalau jumpa orang macam itu masa raya nanti, ni atas tips aku :
  • Jangan cuba biarkan puak tu mula buka topik.
  • Elakkan bersembang dengan puak2 tu. Buat-buat sibuk tolong di dapur.
  • Kalau kena layan juga - Tolak dan tegur elok-elok. Cuba smash kalau dapat bola tanggung. 
  • Kalau sanggup hadapi orang tu gunakan what, why, where, when dan how? Lancarkan soalan bertubi2 dia sampai hilang modal untuk benda cakap. 
Apapun aku dan Berita Dari Rantau hendak mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Aku memohon maaf sekiranya ada salah dan silap. 

Tuesday, July 3, 2012

Lapan Tahun Yang Lalu

Tiga haribulan Julai tahun Dua Ribu Dua Belas.

Tarikh di atas merupakan tanggal ulangtahun kedua aku sebagai seorang siswa di UiTM. Terasa cepat masa berlalu, seolah-olah posting Julai Yang Lalu baru ditulis semalam. Seandainya pada tahun lepas tiada cuti semester selama 4 bulan, sudah pasti aku sedang siap siaga untuk menempuh semester akhir tahun akhir pengajian Ijazah Sarjana Muda aku. 

Banyak yang tidak berubah. Cuma semakin dekat menghampiri penamat, semakin getir cabaran yang dihadapi. Persaingan antara rakan-rakan seangkatan yang ramai untuk menyelia tesis masing-masing seolah-olah merebut peluang keemasan. Kalau ikutkan hatik kecil aku, malas untuk berebut-rebut dengan mereka. Cuma keadaan yang memaksa berbuat demikian. Pening kepala dibuatnya. Ahh. Malas aku hendak cerita benda ini sekarang. 

Dari alam sekolah ke dunia siswa seterusnya bidang kerjaya dan kembali kepada siswa, semua ini telah memakan masa 8 tahun. Bermula tahun 2004, bulan Julai juga aku jadi warga siswa UiTM serta Shah Alam secara tidak langsung. Aku masih ingat lagi, pada suatu pagi Jumaat ketika hendak pergi ke kelas BEL, aku dengan Udenkt naik bas bersama-sama. Tidak sangka bas itu keluar kawasan Seksyen 2 dan berhenti depan Kolej Jati. Agak gelabah jugalah. Masa dalam bas itu jugalah pertama kali aku mendengar radio Sinar FM berkumandang mendendangkan lagu-lagu retro. 

Aku teringat lagi pasal Udenkt, Timothy Tony Mikat, Matzaini dan Khairil. Depa merupakan roomate semasa duduk di Kolej Perindu 3. Menghadap Padang Perindu yang gelanggang ragbi Intekma Lions, mungkin rindu pada sukan ragbi terubat seketika. Malangnya, kesibukan dengan kerja-kerja studio menjadikan aku semakin jauh dengan permainan yang diminati. 

Kali pertama aku berjumpa Udenkt, memang nampak dia betul-betul dari Kelantan. Itu first impression aku pada dia. Rambut panjang, gaya pakai ala2 Mat Mod/Ska itulah penampilan dia masa pertama kali berjumpa. Kali pertama tegur, memang aku kecek Klate dengan dia. Nah, sekali dia sendiri lancar cakap KL. Rupanya dia pernah belajar di Sekolah Alam Shah. Jadi, memang tak jadi masalah untuk aku berkomunikasi dengan dia. Cuma aku pula yang kena tune lidah supaya boleh cakap KL. 

Aku masih ingat lagi suasana seksyen 7 pada 8 tahun lepas. Tiada lagi pusat komersial, JAKEL, KFC, ESSO, SHELL, Petronas dan I-City. Semuanya kawasan ladang kepala sawit dan semak samun seperti kata orang - Tempat Jin Bertendang. Antara kawasan yang ada di situ kawasan rumah kedai Restoran Hakim Lama. Aku masih teringat masa hendak ke kawasan itu terpaksa naik teksi semata-mata hendak beli barang alatan studio di Designer's Stop. Pergi kedai itu, beli barang banyak sikit boleh minta cop. Tapi sekarang kedai itu tiada lagi. Bila pusat komersial yang ada sekarang semakin pesat, kawasan Hakim Lama makin sunyi. CC yang dulunya sentiasa penuh dengan student surfing, mencari info mungkin ada yang sudah tidak wujud lagi. 

Masa aku masuk, semua bebudak studio part 01 ditempatkan di galeri. Ketika itu, studio sedang dalam proses menaiktaraf. Hampir sebulan juga belajar di galeri. Bila waktu studio grafik, ada yang baring sebab masa itu galeri berlantaikan karpet. 

Memandangkan aku masuk lewat sebulan bersama Udenkt, Wawan, Fit, Khairil, Hanisah, Ira, Akhmar, Eti dan Yan, aku boleh ingat sebab semua no matrik bermula 200468****. Ada benda lagi yang aku ingat pasal  studio diploma aku. Mattin masa itu nampak berisi dan suka pakai jersi ragbi abang dia. Akhmar berkawan dengan Eti. Jerawat penuh muka lagi dan tak pakai tudung lagi. Garang serta jual mahal habis bila sesiapa tegur. 

Chak sentiasa berpakaian kemas dengan tali leher sebab dia masuk ROTU. Sepertimana kita tengok Ali dengan Akmal, macam itulah mereka dari dulu lagi. Kalau masuk Ibrahim, jadi tiga serangkai. Aiman yang berambut panjang ke tepi, Faridrul yang gayanya rambut ala2 Beatles dan Remy yang suka dengar lagu Ska antara tiga seangkatan yang suka pakai baju kotak2 dan boxer dalam bilik kolej. Manakala Shah a.k.a Aur masa itu masih bawa skuter MZ Moskito dan dibonceng Aboy. Bila aku tengok Farid Lo yang rambut cacaknya dengan t-shirt Crocodilenya, ingatkan dia lagi tua rupanya sebaya. 

Lapan tahun. Aku cuba kenangkan kembali apa yang teringat diminda. Datang dari Utara, kehidupan sebagai siswa menjanjikan aku sebuah kejutan budaya. Masa di PFS, lihat kiri dan kanan semua lelaki tapi bila masuk UiTM, jadi kekok bila ada budak perempuan. Bayangkan 5 tahun bersekolah yang semuanya sejenis. Masuk studio, tengok pelik ada budak perempuan free hair dan tak pakai tudung. Memang jadi macam rusa masuk kampung. 

Aku teringat lagi siapa Pak Rep dengan Mak Rep. Fadh dengan Ieka. Aku teringat Ika masa tu agak kasar jugalah. Pernah gaduh dengan Fadh sampai terkeluar cakap loghat Perak. Ramzi yang aku tengok dulu lagi gila, kasut kotak-kotak, seluar jeans ketat merambu ramba macam sapu jalan dan pakai baju Melayu. Aku ingatkan siapalah dia. Rupa-rupanya, budak kelas aku juga. Antara budak perempuan yang pertama yang tegur aku adalah Afni. Masa tu masih bolat lagi, pakai T-Shirt oren FSPU dan bertudung putih. Dikutuknya kambing. Aku tak berapa ingat kenapa. 

Dia datang tanya aku macamana hendak buat lukis perspektif. Akmal pun pernah bertanya pada aku kenapa tidak pilih Architecture? Dan aku jawab sebab ini saranan dan hasrat orang tua aku. Rambut Naha masih sikat dari tengah dan dia antara orang yang tiada handphone satu ketika dulu.

Ya, kalau ditaipkan satu persatu memang satu malam takkan habis. Ramai nama lagi aku tidak sebutkan. Aroi, Rizal, Kak Una, Kak Jihan, Are-a, Mimi, Mutiara, Sabrina, Rodziah, Noraini, K.Anne, Ain, Moon, Zaza, Sya, Azliza, Paan, Abang Long - mereka juga seangkatan dengan aku semasa semester persatu. Sekalipun sudah lapan tahun berlalu, seolah cerita ini berlaku kelmarin lepas. Alhamdulillah, masih sempat mengingati sebahagiannya. Yang hilang, mungkin sudah ditiup angin yang lalu. 

Kini, masing-masing sudah dengan haluan sendiri. Sudah berkeluarga dan berkerjaya samada dalam bidang Senibina Landskap. Tinggal aku dengan Aiman sahaja yang bakal menghabiskan fasa terakhir ini. Kekadang aku rasa hendak cerita ini dengan korang semua. Terima kasih kepada korang semua yang pernah hadir dalam hidupku pada lapan tahun yang lalu.

Lapan Tahun Yang Lalu..... 


Sunday, June 24, 2012

Fasa Demi Fasa

Fasa terakhir semakin dekat. Aku pun tidak tahu samada diri ini bersedia melangkah ke semester akhir. Tinggal dua minggu lagi untuk praktikal, rasa macam seram hendak hadapinya. Pengalaman menghadapi semester akhir diploma dahulu cukup menjadi igauan diriku hingga aku dengan berani memutuskan untuk cari pengalaman kerja dahulu berbanding sambung belajar ke peringkat degree.

Sepanjang praktikal dan berada di bawah perunding ini, aku rasa cukup bahagia sangat bekerjasama bersama mereka. Berbanding majikan aku terdahulu, disini terasa cukup beruntung sekalipun tidak semewah sewaktu buat kerja 'part-time' bersama mereka. Bagi aku, kewujudan staf yang berpengalaman dan berkemahiran membuatkan aku kurang rasa terbeban dengan kerja. Mungkin timbul juga, sifat negatif atau skeptikal terhadap sesetengah daripada mereka tapi aku anggap itu lumrah kepada yang bernama insan.

Cuma bos aku sendiri menyedari perubahan tentang diri aku. Bukan dari segi fizikal tapi prestasi aku. Di bawah pencapaian. Itu tidak boleh dibanggakan. Titik. Tidak panjang lebar cerita pasal benda ini. 

Memandangkan aku ini tengah praktikal, memang jadi  betul-betul macam orang bekerja. Siang pergi kerja, malam melekat di rumah. Macam itu jugalah hujung minggu aku. Ada mood, layan Hindustanlah, Majalah 3, Melodi dan filem-filem lama di TV3. Kalau bosan, sambung buat design khat Kufi yang ditempah oleh klien atau untuk portfolio sendiri. Buku log? Memang jarang sangat aku pegang walau sentiasa dikemaskini dalam MS Excel. Itulah serba sedikit pasal kehidupan aku sekarang ini. 

Buat masa ini, aku terpaksa mengehadkan pergerakan untuk keluar berjalan-jalan. Kekadang aku sendiri rasa ralat bilamana tidak ada peluang menjenguk adik bongsu yang bersekolah di Muar. Member-member ajak lepak makan, pun ada masanya aku tolak. Cukup-cukup makan sahaja aku di sini. Sememangnya aku rindu saat bekerja suatu ketika dahulu sekalipun majikan yang menggajikan aku kekadang tidak menggembirakan. Banyak pengorbanan harus dilakukan bila aku ambil langkah untuk berhenti kerja dan sambung belajar. Sampai satu tahap, rasa hendak tarik diri pun ada dari dunia siswa siswi ini. 

Tapi, syukur Alhamdulillah. Aku masih bertahan lagi. Tidak sabar rasanya hendak melangkah keluar dari alam siswa siswi ini. Menempuh cabaran dan menghadapi fasa hidup baru. Rasa macam hendak jadi macam merpati keluar sangkar dan bebas terbang. 


Saturday, May 12, 2012

Berbaloikah?

Aku dapat respons dari satu akaun Twitter @DunKotaAnggerik pasal Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau. Benda  ini bagi aku agak sensitif juga terutamanya kepada pengguna laluan Lebuhraya Persekutuan. Tambahan dekat PRU ini.

Selama aku duduk di Shah Alam dan Kuala Lumpur ini, paling leceh sekali bila hendak cukupkan sekupang dan bayar tol RM1.10 di Tol Batu Tiga. Jenuh aku korek dan selongkar cari dalam slot simpanan duit. 

Bila timbul isunya minta Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau dimansuhkan sebenarnya PRO dan KONTRA yang tersendiri. Dan perkara itu aku nyatakan dalam akaun Twitter pada 10 May . 


Dan ini respons yang aku dapat daripada @DunKota Anggerik 


Baiklah, ini pendapat aku pasal isu tersebut. Sebenarnya, daripada pemahaman aku, TOL ini dikutip untuk membayar balik kos yang ditanggung oleh pihak kerajaan semasa pembinaan sesebuah lebuhraya untuk suatu tempoh yang ditetapkan. Setelah tempoh pembayaran selesai dibuat, TOL terus dikenakan supaya untuk menampung kos penyelenggaraan dan operasi yang lain termasuklah gaji-gaji kakitangan yang berkhidmat di setiap lebuhraya yang ada. 

Dan aku melihat dari aspek perancangan jalanraya dan pengangkutan (Road and Transportation Planning) , mewujudkan TOL di lebuhraya adalah salah satu cara untuk mengawal kenderaan untuk keluar masuk ke dalam bandar. Kita patut beruntung samada sebab di sesetengah negara luar kadar TOL yang dikenakan bergantung kepada jumlah penumpang yang berada dalam kenderaan. Kalau 1-2 orang dalam kenderaan, maknanya lagi mahallah bayaran TOL itu. Negara kita, naik seorang ke, naik ramai, harga TOL sama sahaja. Itu tidak termasuk lagi sistem bayaran dan aksesibiliti berdasarkan warna nombor plat kenderaan. Kalau negara kita mengenakan sistem situ, maknanya naik LRT atau baslah jawabnya.

Berbalik kepada 'Takkan nak bayar tol utk kesesakan?', siapa pun tidak mahu perkara ini. Aku jamin kalaulah mansuhnya TOL, lagi teruklah kesesakan di Lebuhraya Persekutuan. Kalau sekarang pun, pada waktu pagi mula sesak teruk dari Plaza Tol Batu Tiga, bayangkan pula kalau TOL dimansuhkan? Bayangkan kalau berlakunya pelbagai kecemasan yang tidak diingini, tempoh masa untuk pihak ambulans, bomba mahupun polis sampai ke tempat kejadian akan bertambah. Pada siapa hendak kita tuding jari bila nasi sudah menjadi bubur?

Memansuhkan sepenuhnya TOL bukan cara yang baik membantu rakyat yang terbeban. Secara serius, keburukan lebih banyak daripada kebanyakan yang sedikit pencapaiannya. Yang mendesak haruslah fikir cara lain untuk memastikan lain supaya rakyat merasakan TOL yang mereka keluarkan berbaloi. Cari strategi lain selain minta TOL dimansuhkan. Jangan kerana hendak menangkan hati rakyat, seronok menjaja cerita kejayaan yang dikecapi, terus angkuh dan lupa akan bakal masalah yang dihadapi. Kalau betullah hendak tolong rakyat, desak pihak berkaitan untuk menggunakan keuntungan yang ada untuk mengatasi masalah ini. 

Apa yang aku risaukan pada masa depan, bila pemansuhan TOL berlaku, kesesakan terus bertambah. Dan rakyat terus terjejas dan seterusnya pihak pemerintahan akan mengambil kesempatan atas apa yang dihadapi. Kerajaan secara halus akan menekan rakyat menerusi pelaksanaan projek untuk mengatasi kesesakan yang dihadapi. Akhirnya TOL dikenakan dan mungkin lebih mahal dari kadar asal sebelumnya. Alasannya - untuk menanggung kos-kos menaiktaraf lebuhraya. Sanggupkah kita melalui keadaan itu?

Kepada mereka yang jadi pendesak, ini persoalan yang aku tinggalkan untuk dijawab

Selain memansuhkan TOL, apakah strategi lain untuk mengatasi masalah beban rakyat yang menggunakan Lebuhraya Persekutuan?

Apakah jaminan pada pihak yang mendesak untuk memansuhkan TOL ini terhadap kebajikan para kakitangan melicinkan operasi pengurusan dan penyelenggaraan di lebuhraya ini? 

Sanggupkah pihak  pendesak menyediakan tempat pekerjaan untuk mereka yang menerima kesan daripada pemansuhan TOL? Mereka itu rakyat juga seperti kita juga.

Adakah pelan alternatif untuk mengatasi masalah kesesakan di Lebuhraya Persekutuan?

Dari berfikir untuk mansuhkan TOL, lebih baik fikir macamana hendak selesaikan masalah banjir  yang menenggelamkan laluan motorsikal di kawasan Sungai Damansara dan tempat-tempat yang mudah dinaiki air. 

Kalau tidak sanggup bayar TOL untuk kesesakan, sila guna alternatif lain untuk sampai ke destinasi yang ditujui. 

Sunday, May 6, 2012

Lupakah kita pada prinsip kelima Rukunegara?

Terlebih dahulu hendak beritahu awal-awal yang aku ini adalah liberal dalam politik. Tidak menyebelahi mana-mana pihak. Aku gunakan masa yang ada untuk berkongsi pasal apa yang telah terjadi dalam hujung minggu.

Di kesempatan hujung minggu ini, aku sempat tengok beberapa video yang berkaitan dengan perhimpunan Bersih. Dan aku tengok video antara pihak yang pro dan anti. Secara mudah aku simpulkan, kedua-dua pihak yang terlibat dalam perhimpunan itu lupa pada prinsip kelima pada Rukunegara - Kesopanan dan Kesusilaan. Tidak kira samada yang sokong BERSIH belasah polis, yang polis pun tumpang hentam orang awam sekali, semua hendak tunjuk hebat. Akta ke mana, S.O.P ke mana. Ada yang jadi lebih haiwan daripada manusia. Aku pasti akan ada provokasi yang akhirnya mewujudkan manipulasi antara satu sama lain. Kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang ?

Tinggalkan cerita BERSIH yang kotor. Aku hendak cerita pasal pihak media yang main kotor juga. Aku kecewa dengan akhbar UTUSAN dan KOSMO pada 2 Mei 2012. 

Aku masih teringat saat pagi 2 Mei 2012. Ketika turun beli makanan di bawah pejabat, aku menjengah di kedai runcit mamak untuk menatap apa berita sensasi yang ingin dikongsi dalam akhbar.

Kalau siapa hendak download, silalah. Mana tahu satu hari gambar ini dah tiada.

Aku terus kecewa sebab selama 8 tahun aku menetap di Lembah Klang, dari aku jadi siswa, masuk alam bekerja dan sambung belajar semula, akhbar KOSMO dianggap kontemporari serta memenuhi keperluan warga kota metropolitan. Malangnya KOSMO pun mula jadi lidah pengarang kepada pihak parti kerajaan.

Akhbar Utusan tidak payah hendak ceritalah. Dari sekolah rendah memang aku sudah baca. Dulu lapan kupang saja. Sekarang, aku pun tidak tahu berapa harga sekarang. Memang sudah lama tidak beli sendiri.

Sambil-sambil menjenguk, ada seorang apek Cina menyampuk sama aku. Dia pun cakap ada ke patut Utusan buat macam ini (sanggup tayang gambar di atas). Dia sendiri cakap buat malu orang Islam saja. Aku tidak tahu sejauh mana dalam pengetahuan dia tentang agama Islam tetapi bila dia cakap macam mesti tahu serba sedikit pasal agama.

Memang serius, akhbar Utusan dan KOSMO pun sudah lupa tentang prinsip kelima dalam Rukunegara - Kesopanan dan Kesusilaan. Kalau benarlah mereka menyokong kebebasan media sekalipun, dimana letaknya etika dan rasa hormat kepada seseorang? Dia pun manusia juga. Takkanlah cerita peribadi dan moral orang hendak dikorek sampai ke lubang cacing. Kalau teruk sekalipun orang itu, takkan dibongkar habis-habisan? 

Aku bukan hendak bela orang atau mangsa yang ada dalam gambar tersebut tetapi hendak mempersoalkan sejauh mana kebebasan media dari belenggu politik? Aku hendak mempersoalkan integriti pihak Kementerian Dalam Negeri dalam isu ini? Aku pun pelik wujud 'double-standard' dalam media komunikasi sekarang. 

Mereka sanggup paparkan benda macam ini dalam akhbar. Kemudian yang tukang baca pula bukan orang dewasa sahaja bahkan budak-budak sekolah. Siapa yang tidak pening kepala kalau budak-budak itu tengok dan bertanya. Yang teruk lagi, ada yang meniru gaya aksi seperti ditunjukkan di atas.

Sejak terpapar berita tersebut, sehingga hari ini (6 Mei 2012) aku tidak buka lagi akhbar Utusan dan KOSMO. Laman web Utusan pun aku tidak singgah. Aku boikot mereka kerana etika dalam bidang kewartawanan sudah hilang. Palsu atau benar, bersih atau kotor semua mereka sapu kerana mahu pastikan fikiran rakyat dapat dipengaruhi oleh sebelah pihak sahaja.

Lebih baik layan twitter sebab dalam sepuluh berita yang pantas sampai, mungkin ada satu yang betul dan boleh dipakai.

Kepada Kementerian Dalam Negeri, jangan jadi 'DOUBLE STANDARD'. Utusan dan Kosmo ini pesan aku - Jangan lupa kepada KESOPANAN dan KESUSILAAN. Jangan lupa tengok sekali tentang kedudukan Islam dalam Perlembagaan Negara kita.  





Sunday, April 29, 2012

Sumpah!!! Aku meluat dengan Bersih .

Hari ini, memang diluar aku nampak macam relaks sahaja. Tapi dalam hati, aku rasa marah sangat. Marah aku pasal ada asas. Marah pasal perhimpunan BERSIH 3.0. Kecewa, marah dan terkilan pun ada. Yang polis pukul orang biasalah aku dengar. Tapi aku nak petik baca artikel pasal wartawan kena pukul semasa hendak selamatkan seorang anggota Polis. 


Tapi aku tidak tahu samada cerita ini betul ataupun tidak. Macam-macam versi aku baca. Ada yang cakap kereta polis itu langgar peserta sampai mati dan pelbagai lagi. Banyak persoalan yang timbul dari apa yang terjadi.

Kenapa wartawan itu turut sama dipukul sedangkan dia sedang menyelamatkan seorang yang seagama, sebangsa dan sewarganegara? 

Kenapa marah sangat dengan anggota Polis sedangkan kita ada undang-undang? Adakah mereka lupa tentang hukum Tuhan?

Ada tak tertulis dalam undang-undang untuk orang awam dibenarkan memukul orang yang telah melakukan kesalahan atau jenayah?

Seandainya anggota Polis yang kena pukul meninggal dunia mempunyai tanggungan atau keluarga yang perlu dijaga, siapakah yang akan membantu dan menampung kehidupan keluarga beliau? 

Seandainya anggota polis dan petugas yang kena pukul tiba-tiba hilang keupayaan atau jadi cacat, puas hatikah para demostran atau peserta tengok orang tersebut menderita? 

Banyak persoalan yang bakal timbul dalam benak hati dan minda aku. Aku kecewa bila ada kawan aku sendiri yang pergi dan terlibat buat benda yang kononnya satu perjuangan. Kalau dia tengah baca sekarang, minta maaf sebab aku terpaksa luahkan dekat sini. Bagi aku, tidak payah bangga kalau dapat sertai benda bodoh macam ini. Kau mungkin mengecewakan orang lain. 

Bagi aku, kalau dia tidak mahu kawan dengan aku pun tidak mengapa pasal sebab yang dikatakan adalah pendirian peribadi aku. 

Kita kena ingatlah anggota polis dan petugas media itupun manusia juga dan hamba Allah. Memanglah mereka bekerja dengan kerajaan tapi perlukah dilayan dan dilanyak macam binatang? Mereka sendiri tertakluk hak asasi manusia.


Banyak cara lagi hendak tunjukkan ketidakpuasanhati kepada sistem yang ada sekarang. Cuma kesabaran dan ketabahan sahaja yang jadi penguat diri kita. 

Sedangkan Nabi SAW pun ambil masa bertahun-bertahun untuk berdakwah dengan cara diplomatik, mahabbah dan penuh kesabaran. 

Memang benar, ada masa Nabi berdakwah melalui jihad perang tapi tidaklah kita sendiri hendak gunakan cara kekerasan ke atas saudara seagama dan sebangsa?

Adakah ini ujian Allah keatas bangsa kita? Adakah kita sebagai umatnya mampu hadapi dugaan yang diberikan olehNya?


Banyak-banyaklah baca surah Al-Asr. Fahamilah dan ketahuilah di sebalik surah itu. 

Pesan : Jangan marah dan pukul aku. Aku liberal dalam hal politik. Tidak menyebelah mana-mana pihak. Jauh sekali hendak taksub kepada parti mana-mana.  Apa yang terjadi diluar, akan mempengaruhi undi aku yang satu nanti. Tentukanlah cara sendiri untuk tarik undi aku.


Saturday, March 24, 2012

Tanpa Tajuk

Sudah masuk tiga minggu praktikal. Macam biasa kerja dalam pejabat konsultan, buat 3D, buat design, dan macam-macam yang patut. Benda yang aku buat berterusan sampai bulan Julai. Alhamdulillah setakat ini tiada masalah yang ku hadapi. Cuma harapkan aku dapat selesaikan praktikal dengan baik serta penuh jaya. 

Aku bersyukur kerana tempat yang aku sertai memang sedia maklum dengan cara kerjaku. Setakat ini pun, aku selesa dengan cara kerja, suasana dan mereka yang bekerja di situ. Tiada punch card yang perlu dikejar, waktu makan yang agak berbeza dengan tempat yang lain dan hospitaliti yang diberikan. Aku menghargai penerimaan mereka. Moga aku dapat berikan yang terbaik serta memenuhi kehendak dan keperluan mereka yang sepatutnya. 

Cuma kekadang aku agak terkilan apa yang dihadapi oleh rakan sepelajar yang lain. Ada yang sebahagian daripada mereka mengalahkan orang yang bekerja tetap. Keluar rumah pukul 8, pulang tengah malam. Kalau seminggu, tidak mengapa. Tetapi berminggu-minggu bikin aku tertanya-tanya adakah bos mereka sengaja mahu ambil kesempatan atau eksploitasi kehadiran pelajar praktikal?

Sebenarnya banyak kekurangan lagi yang perlu kita semua kaji untuk memberi pengalaman kerja kepada bakal-bakal graduan L.A.. Sepatutnya aku tidak perlu menimbulkan hal ini kerana sedikit sebanyak pengaruh terhadap semester akhir aku kelak. Secara hakikatnya, pihak pentadbir harus sedar tentang perkara ini demi memastikan hasil graduan adalah berkualiti dan menepati keperluan pasaran.

Aku tinggalkan cerita dunia L.A. dahulu. 

Dalam blog ini, jarang aku bercerita tentang hal hati. Aku dalam keterbukaan yang ada, masih ada yang terpendam dan belum terbongkar. Hinggakan aku terasa sendiri dan tertanya perlukah berkongsi kisah hati yang sebenar. Manusia kekadang ini umpama sesumpah. Kadang-kadang baik, kadang-kadang buruk. Aku sendiri pun belum cukup baik. Secara serius aku kata biarlah sebahagian tentang cerita hati perasaan ini tersemat rapi dalam diri. 

Sejak kewujudan di atas muka bumi, kawan yang aku punya sentiasa ada dan silih berganti. Macam-macam perangai aku sudah jumpa. Ada yang aku rapat, ada yang aku 'gitu-gitu' sahaja. Ada masa aku lebih suka bersendirian bilamana ingin melakukan sesuatu yang orang lain  mungkin tidak suka. Sebaik mana sekalipun kita baik dengan seseorang, tidak semestinya akan menjadi sekepala. Tuhan jadikan manusia pelbagai ragam, sifat, perangai dan rupa supaya kita dapat kenali dan pelajari antara satu sama lain. 

Pesanku - Walaupun lengkap tidak semestinya sempurna dan walaupun sempurna tidak semestinya lengkap. Yang punya kedua-keduanya hanyalah Tuhan Yang Esa.




Tuesday, February 21, 2012

Kesempurnaan (Perfectionism)

Aku bersembang dengan seorang kawan aku. Bercerita sana sini tentang hal masing-masing dan sekeliling. Tiba-tiba dia berkongsi tentang cerita dia bergaul yang dianggap sebagai golongan konon dianggap 'hebat' dan suka memperlekehkan orang lain. Golongan itu bukan sahaja begitu tapi kadang-kadang mempertikaikan usaha yang dilakukan orang lain tanpa memikirkan penat lelah jerih. Yang teruknya hanya mahu nama dijulang tanpa satu usahasama dan kerjasama dengan orang lain. Yang penting bagi golongan ini adalah kesempurnaan untuk mengejar kepuasan diri sendiri dan mengipas golongan-golongan tertentu. 

Disini aku hendak menghuraikan tentang kesempurnaan (perfectionism). Sebenarnya aku naik rimas dengan golongan yang 'perfectionist'. Yang lagi teruk, 'perfectionist' tidak bertempat. Pengalaman aku bekerja bertahun dahulu mengajar aku bahawasanya masih ada orang tidak boleh menerima realiti tentang erti kekurangan atau berpada-pada. Yang penting untuk dirinya - asalkan lepas bahagiaanya tanpa disedari bahawa sebenarnya perkara tersebut tidak perlu. 

Aku menganggap bahawa orang-orang yang semacam ini lebih takut melakukan kesilapan daripada golongan manusia yang berani gagal. Golongan ini juga kekadang dianggap kurang keyakinan terhadap diri sendiri dan orang lain. Aku berani cakap kerana benda-benda sebeginilah penyebab berlaku terlampau banyak birokrasi dan integriti diperjudikan dalam urustadbir negara. Akibatnya berleluasalah rasuah. 

Aku malas hendak melalut tapi elok sangatlah bersederhana dalam sesuatu perkara. Jangan terlampau menurut kehendak hati dan nafsu. Silap-silap yang dikejar tak dapat, yang dikendong tercicir, yang diikat terlerai, yang dihambat terlepas.....