Tuesday, July 3, 2012

Lapan Tahun Yang Lalu

Tiga haribulan Julai tahun Dua Ribu Dua Belas.

Tarikh di atas merupakan tanggal ulangtahun kedua aku sebagai seorang siswa di UiTM. Terasa cepat masa berlalu, seolah-olah posting Julai Yang Lalu baru ditulis semalam. Seandainya pada tahun lepas tiada cuti semester selama 4 bulan, sudah pasti aku sedang siap siaga untuk menempuh semester akhir tahun akhir pengajian Ijazah Sarjana Muda aku. 

Banyak yang tidak berubah. Cuma semakin dekat menghampiri penamat, semakin getir cabaran yang dihadapi. Persaingan antara rakan-rakan seangkatan yang ramai untuk menyelia tesis masing-masing seolah-olah merebut peluang keemasan. Kalau ikutkan hatik kecil aku, malas untuk berebut-rebut dengan mereka. Cuma keadaan yang memaksa berbuat demikian. Pening kepala dibuatnya. Ahh. Malas aku hendak cerita benda ini sekarang. 

Dari alam sekolah ke dunia siswa seterusnya bidang kerjaya dan kembali kepada siswa, semua ini telah memakan masa 8 tahun. Bermula tahun 2004, bulan Julai juga aku jadi warga siswa UiTM serta Shah Alam secara tidak langsung. Aku masih ingat lagi, pada suatu pagi Jumaat ketika hendak pergi ke kelas BEL, aku dengan Udenkt naik bas bersama-sama. Tidak sangka bas itu keluar kawasan Seksyen 2 dan berhenti depan Kolej Jati. Agak gelabah jugalah. Masa dalam bas itu jugalah pertama kali aku mendengar radio Sinar FM berkumandang mendendangkan lagu-lagu retro. 

Aku teringat lagi pasal Udenkt, Timothy Tony Mikat, Matzaini dan Khairil. Depa merupakan roomate semasa duduk di Kolej Perindu 3. Menghadap Padang Perindu yang gelanggang ragbi Intekma Lions, mungkin rindu pada sukan ragbi terubat seketika. Malangnya, kesibukan dengan kerja-kerja studio menjadikan aku semakin jauh dengan permainan yang diminati. 

Kali pertama aku berjumpa Udenkt, memang nampak dia betul-betul dari Kelantan. Itu first impression aku pada dia. Rambut panjang, gaya pakai ala2 Mat Mod/Ska itulah penampilan dia masa pertama kali berjumpa. Kali pertama tegur, memang aku kecek Klate dengan dia. Nah, sekali dia sendiri lancar cakap KL. Rupanya dia pernah belajar di Sekolah Alam Shah. Jadi, memang tak jadi masalah untuk aku berkomunikasi dengan dia. Cuma aku pula yang kena tune lidah supaya boleh cakap KL. 

Aku masih ingat lagi suasana seksyen 7 pada 8 tahun lepas. Tiada lagi pusat komersial, JAKEL, KFC, ESSO, SHELL, Petronas dan I-City. Semuanya kawasan ladang kepala sawit dan semak samun seperti kata orang - Tempat Jin Bertendang. Antara kawasan yang ada di situ kawasan rumah kedai Restoran Hakim Lama. Aku masih teringat masa hendak ke kawasan itu terpaksa naik teksi semata-mata hendak beli barang alatan studio di Designer's Stop. Pergi kedai itu, beli barang banyak sikit boleh minta cop. Tapi sekarang kedai itu tiada lagi. Bila pusat komersial yang ada sekarang semakin pesat, kawasan Hakim Lama makin sunyi. CC yang dulunya sentiasa penuh dengan student surfing, mencari info mungkin ada yang sudah tidak wujud lagi. 

Masa aku masuk, semua bebudak studio part 01 ditempatkan di galeri. Ketika itu, studio sedang dalam proses menaiktaraf. Hampir sebulan juga belajar di galeri. Bila waktu studio grafik, ada yang baring sebab masa itu galeri berlantaikan karpet. 

Memandangkan aku masuk lewat sebulan bersama Udenkt, Wawan, Fit, Khairil, Hanisah, Ira, Akhmar, Eti dan Yan, aku boleh ingat sebab semua no matrik bermula 200468****. Ada benda lagi yang aku ingat pasal  studio diploma aku. Mattin masa itu nampak berisi dan suka pakai jersi ragbi abang dia. Akhmar berkawan dengan Eti. Jerawat penuh muka lagi dan tak pakai tudung lagi. Garang serta jual mahal habis bila sesiapa tegur. 

Chak sentiasa berpakaian kemas dengan tali leher sebab dia masuk ROTU. Sepertimana kita tengok Ali dengan Akmal, macam itulah mereka dari dulu lagi. Kalau masuk Ibrahim, jadi tiga serangkai. Aiman yang berambut panjang ke tepi, Faridrul yang gayanya rambut ala2 Beatles dan Remy yang suka dengar lagu Ska antara tiga seangkatan yang suka pakai baju kotak2 dan boxer dalam bilik kolej. Manakala Shah a.k.a Aur masa itu masih bawa skuter MZ Moskito dan dibonceng Aboy. Bila aku tengok Farid Lo yang rambut cacaknya dengan t-shirt Crocodilenya, ingatkan dia lagi tua rupanya sebaya. 

Lapan tahun. Aku cuba kenangkan kembali apa yang teringat diminda. Datang dari Utara, kehidupan sebagai siswa menjanjikan aku sebuah kejutan budaya. Masa di PFS, lihat kiri dan kanan semua lelaki tapi bila masuk UiTM, jadi kekok bila ada budak perempuan. Bayangkan 5 tahun bersekolah yang semuanya sejenis. Masuk studio, tengok pelik ada budak perempuan free hair dan tak pakai tudung. Memang jadi macam rusa masuk kampung. 

Aku teringat lagi siapa Pak Rep dengan Mak Rep. Fadh dengan Ieka. Aku teringat Ika masa tu agak kasar jugalah. Pernah gaduh dengan Fadh sampai terkeluar cakap loghat Perak. Ramzi yang aku tengok dulu lagi gila, kasut kotak-kotak, seluar jeans ketat merambu ramba macam sapu jalan dan pakai baju Melayu. Aku ingatkan siapalah dia. Rupa-rupanya, budak kelas aku juga. Antara budak perempuan yang pertama yang tegur aku adalah Afni. Masa tu masih bolat lagi, pakai T-Shirt oren FSPU dan bertudung putih. Dikutuknya kambing. Aku tak berapa ingat kenapa. 

Dia datang tanya aku macamana hendak buat lukis perspektif. Akmal pun pernah bertanya pada aku kenapa tidak pilih Architecture? Dan aku jawab sebab ini saranan dan hasrat orang tua aku. Rambut Naha masih sikat dari tengah dan dia antara orang yang tiada handphone satu ketika dulu.

Ya, kalau ditaipkan satu persatu memang satu malam takkan habis. Ramai nama lagi aku tidak sebutkan. Aroi, Rizal, Kak Una, Kak Jihan, Are-a, Mimi, Mutiara, Sabrina, Rodziah, Noraini, K.Anne, Ain, Moon, Zaza, Sya, Azliza, Paan, Abang Long - mereka juga seangkatan dengan aku semasa semester persatu. Sekalipun sudah lapan tahun berlalu, seolah cerita ini berlaku kelmarin lepas. Alhamdulillah, masih sempat mengingati sebahagiannya. Yang hilang, mungkin sudah ditiup angin yang lalu. 

Kini, masing-masing sudah dengan haluan sendiri. Sudah berkeluarga dan berkerjaya samada dalam bidang Senibina Landskap. Tinggal aku dengan Aiman sahaja yang bakal menghabiskan fasa terakhir ini. Kekadang aku rasa hendak cerita ini dengan korang semua. Terima kasih kepada korang semua yang pernah hadir dalam hidupku pada lapan tahun yang lalu.

Lapan Tahun Yang Lalu..... 


Sunday, June 24, 2012

Fasa Demi Fasa

Fasa terakhir semakin dekat. Aku pun tidak tahu samada diri ini bersedia melangkah ke semester akhir. Tinggal dua minggu lagi untuk praktikal, rasa macam seram hendak hadapinya. Pengalaman menghadapi semester akhir diploma dahulu cukup menjadi igauan diriku hingga aku dengan berani memutuskan untuk cari pengalaman kerja dahulu berbanding sambung belajar ke peringkat degree.

Sepanjang praktikal dan berada di bawah perunding ini, aku rasa cukup bahagia sangat bekerjasama bersama mereka. Berbanding majikan aku terdahulu, disini terasa cukup beruntung sekalipun tidak semewah sewaktu buat kerja 'part-time' bersama mereka. Bagi aku, kewujudan staf yang berpengalaman dan berkemahiran membuatkan aku kurang rasa terbeban dengan kerja. Mungkin timbul juga, sifat negatif atau skeptikal terhadap sesetengah daripada mereka tapi aku anggap itu lumrah kepada yang bernama insan.

Cuma bos aku sendiri menyedari perubahan tentang diri aku. Bukan dari segi fizikal tapi prestasi aku. Di bawah pencapaian. Itu tidak boleh dibanggakan. Titik. Tidak panjang lebar cerita pasal benda ini. 

Memandangkan aku ini tengah praktikal, memang jadi  betul-betul macam orang bekerja. Siang pergi kerja, malam melekat di rumah. Macam itu jugalah hujung minggu aku. Ada mood, layan Hindustanlah, Majalah 3, Melodi dan filem-filem lama di TV3. Kalau bosan, sambung buat design khat Kufi yang ditempah oleh klien atau untuk portfolio sendiri. Buku log? Memang jarang sangat aku pegang walau sentiasa dikemaskini dalam MS Excel. Itulah serba sedikit pasal kehidupan aku sekarang ini. 

Buat masa ini, aku terpaksa mengehadkan pergerakan untuk keluar berjalan-jalan. Kekadang aku sendiri rasa ralat bilamana tidak ada peluang menjenguk adik bongsu yang bersekolah di Muar. Member-member ajak lepak makan, pun ada masanya aku tolak. Cukup-cukup makan sahaja aku di sini. Sememangnya aku rindu saat bekerja suatu ketika dahulu sekalipun majikan yang menggajikan aku kekadang tidak menggembirakan. Banyak pengorbanan harus dilakukan bila aku ambil langkah untuk berhenti kerja dan sambung belajar. Sampai satu tahap, rasa hendak tarik diri pun ada dari dunia siswa siswi ini. 

Tapi, syukur Alhamdulillah. Aku masih bertahan lagi. Tidak sabar rasanya hendak melangkah keluar dari alam siswa siswi ini. Menempuh cabaran dan menghadapi fasa hidup baru. Rasa macam hendak jadi macam merpati keluar sangkar dan bebas terbang. 


Saturday, May 12, 2012

Berbaloikah?

Aku dapat respons dari satu akaun Twitter @DunKotaAnggerik pasal Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau. Benda  ini bagi aku agak sensitif juga terutamanya kepada pengguna laluan Lebuhraya Persekutuan. Tambahan dekat PRU ini.

Selama aku duduk di Shah Alam dan Kuala Lumpur ini, paling leceh sekali bila hendak cukupkan sekupang dan bayar tol RM1.10 di Tol Batu Tiga. Jenuh aku korek dan selongkar cari dalam slot simpanan duit. 

Bila timbul isunya minta Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau dimansuhkan sebenarnya PRO dan KONTRA yang tersendiri. Dan perkara itu aku nyatakan dalam akaun Twitter pada 10 May . 


Dan ini respons yang aku dapat daripada @DunKota Anggerik 


Baiklah, ini pendapat aku pasal isu tersebut. Sebenarnya, daripada pemahaman aku, TOL ini dikutip untuk membayar balik kos yang ditanggung oleh pihak kerajaan semasa pembinaan sesebuah lebuhraya untuk suatu tempoh yang ditetapkan. Setelah tempoh pembayaran selesai dibuat, TOL terus dikenakan supaya untuk menampung kos penyelenggaraan dan operasi yang lain termasuklah gaji-gaji kakitangan yang berkhidmat di setiap lebuhraya yang ada. 

Dan aku melihat dari aspek perancangan jalanraya dan pengangkutan (Road and Transportation Planning) , mewujudkan TOL di lebuhraya adalah salah satu cara untuk mengawal kenderaan untuk keluar masuk ke dalam bandar. Kita patut beruntung samada sebab di sesetengah negara luar kadar TOL yang dikenakan bergantung kepada jumlah penumpang yang berada dalam kenderaan. Kalau 1-2 orang dalam kenderaan, maknanya lagi mahallah bayaran TOL itu. Negara kita, naik seorang ke, naik ramai, harga TOL sama sahaja. Itu tidak termasuk lagi sistem bayaran dan aksesibiliti berdasarkan warna nombor plat kenderaan. Kalau negara kita mengenakan sistem situ, maknanya naik LRT atau baslah jawabnya.

Berbalik kepada 'Takkan nak bayar tol utk kesesakan?', siapa pun tidak mahu perkara ini. Aku jamin kalaulah mansuhnya TOL, lagi teruklah kesesakan di Lebuhraya Persekutuan. Kalau sekarang pun, pada waktu pagi mula sesak teruk dari Plaza Tol Batu Tiga, bayangkan pula kalau TOL dimansuhkan? Bayangkan kalau berlakunya pelbagai kecemasan yang tidak diingini, tempoh masa untuk pihak ambulans, bomba mahupun polis sampai ke tempat kejadian akan bertambah. Pada siapa hendak kita tuding jari bila nasi sudah menjadi bubur?

Memansuhkan sepenuhnya TOL bukan cara yang baik membantu rakyat yang terbeban. Secara serius, keburukan lebih banyak daripada kebanyakan yang sedikit pencapaiannya. Yang mendesak haruslah fikir cara lain untuk memastikan lain supaya rakyat merasakan TOL yang mereka keluarkan berbaloi. Cari strategi lain selain minta TOL dimansuhkan. Jangan kerana hendak menangkan hati rakyat, seronok menjaja cerita kejayaan yang dikecapi, terus angkuh dan lupa akan bakal masalah yang dihadapi. Kalau betullah hendak tolong rakyat, desak pihak berkaitan untuk menggunakan keuntungan yang ada untuk mengatasi masalah ini. 

Apa yang aku risaukan pada masa depan, bila pemansuhan TOL berlaku, kesesakan terus bertambah. Dan rakyat terus terjejas dan seterusnya pihak pemerintahan akan mengambil kesempatan atas apa yang dihadapi. Kerajaan secara halus akan menekan rakyat menerusi pelaksanaan projek untuk mengatasi kesesakan yang dihadapi. Akhirnya TOL dikenakan dan mungkin lebih mahal dari kadar asal sebelumnya. Alasannya - untuk menanggung kos-kos menaiktaraf lebuhraya. Sanggupkah kita melalui keadaan itu?

Kepada mereka yang jadi pendesak, ini persoalan yang aku tinggalkan untuk dijawab

Selain memansuhkan TOL, apakah strategi lain untuk mengatasi masalah beban rakyat yang menggunakan Lebuhraya Persekutuan?

Apakah jaminan pada pihak yang mendesak untuk memansuhkan TOL ini terhadap kebajikan para kakitangan melicinkan operasi pengurusan dan penyelenggaraan di lebuhraya ini? 

Sanggupkah pihak  pendesak menyediakan tempat pekerjaan untuk mereka yang menerima kesan daripada pemansuhan TOL? Mereka itu rakyat juga seperti kita juga.

Adakah pelan alternatif untuk mengatasi masalah kesesakan di Lebuhraya Persekutuan?

Dari berfikir untuk mansuhkan TOL, lebih baik fikir macamana hendak selesaikan masalah banjir  yang menenggelamkan laluan motorsikal di kawasan Sungai Damansara dan tempat-tempat yang mudah dinaiki air. 

Kalau tidak sanggup bayar TOL untuk kesesakan, sila guna alternatif lain untuk sampai ke destinasi yang ditujui. 

Sunday, May 6, 2012

Lupakah kita pada prinsip kelima Rukunegara?

Terlebih dahulu hendak beritahu awal-awal yang aku ini adalah liberal dalam politik. Tidak menyebelahi mana-mana pihak. Aku gunakan masa yang ada untuk berkongsi pasal apa yang telah terjadi dalam hujung minggu.

Di kesempatan hujung minggu ini, aku sempat tengok beberapa video yang berkaitan dengan perhimpunan Bersih. Dan aku tengok video antara pihak yang pro dan anti. Secara mudah aku simpulkan, kedua-dua pihak yang terlibat dalam perhimpunan itu lupa pada prinsip kelima pada Rukunegara - Kesopanan dan Kesusilaan. Tidak kira samada yang sokong BERSIH belasah polis, yang polis pun tumpang hentam orang awam sekali, semua hendak tunjuk hebat. Akta ke mana, S.O.P ke mana. Ada yang jadi lebih haiwan daripada manusia. Aku pasti akan ada provokasi yang akhirnya mewujudkan manipulasi antara satu sama lain. Kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang ?

Tinggalkan cerita BERSIH yang kotor. Aku hendak cerita pasal pihak media yang main kotor juga. Aku kecewa dengan akhbar UTUSAN dan KOSMO pada 2 Mei 2012. 

Aku masih teringat saat pagi 2 Mei 2012. Ketika turun beli makanan di bawah pejabat, aku menjengah di kedai runcit mamak untuk menatap apa berita sensasi yang ingin dikongsi dalam akhbar.

Kalau siapa hendak download, silalah. Mana tahu satu hari gambar ini dah tiada.

Aku terus kecewa sebab selama 8 tahun aku menetap di Lembah Klang, dari aku jadi siswa, masuk alam bekerja dan sambung belajar semula, akhbar KOSMO dianggap kontemporari serta memenuhi keperluan warga kota metropolitan. Malangnya KOSMO pun mula jadi lidah pengarang kepada pihak parti kerajaan.

Akhbar Utusan tidak payah hendak ceritalah. Dari sekolah rendah memang aku sudah baca. Dulu lapan kupang saja. Sekarang, aku pun tidak tahu berapa harga sekarang. Memang sudah lama tidak beli sendiri.

Sambil-sambil menjenguk, ada seorang apek Cina menyampuk sama aku. Dia pun cakap ada ke patut Utusan buat macam ini (sanggup tayang gambar di atas). Dia sendiri cakap buat malu orang Islam saja. Aku tidak tahu sejauh mana dalam pengetahuan dia tentang agama Islam tetapi bila dia cakap macam mesti tahu serba sedikit pasal agama.

Memang serius, akhbar Utusan dan KOSMO pun sudah lupa tentang prinsip kelima dalam Rukunegara - Kesopanan dan Kesusilaan. Kalau benarlah mereka menyokong kebebasan media sekalipun, dimana letaknya etika dan rasa hormat kepada seseorang? Dia pun manusia juga. Takkanlah cerita peribadi dan moral orang hendak dikorek sampai ke lubang cacing. Kalau teruk sekalipun orang itu, takkan dibongkar habis-habisan? 

Aku bukan hendak bela orang atau mangsa yang ada dalam gambar tersebut tetapi hendak mempersoalkan sejauh mana kebebasan media dari belenggu politik? Aku hendak mempersoalkan integriti pihak Kementerian Dalam Negeri dalam isu ini? Aku pun pelik wujud 'double-standard' dalam media komunikasi sekarang. 

Mereka sanggup paparkan benda macam ini dalam akhbar. Kemudian yang tukang baca pula bukan orang dewasa sahaja bahkan budak-budak sekolah. Siapa yang tidak pening kepala kalau budak-budak itu tengok dan bertanya. Yang teruk lagi, ada yang meniru gaya aksi seperti ditunjukkan di atas.

Sejak terpapar berita tersebut, sehingga hari ini (6 Mei 2012) aku tidak buka lagi akhbar Utusan dan KOSMO. Laman web Utusan pun aku tidak singgah. Aku boikot mereka kerana etika dalam bidang kewartawanan sudah hilang. Palsu atau benar, bersih atau kotor semua mereka sapu kerana mahu pastikan fikiran rakyat dapat dipengaruhi oleh sebelah pihak sahaja.

Lebih baik layan twitter sebab dalam sepuluh berita yang pantas sampai, mungkin ada satu yang betul dan boleh dipakai.

Kepada Kementerian Dalam Negeri, jangan jadi 'DOUBLE STANDARD'. Utusan dan Kosmo ini pesan aku - Jangan lupa kepada KESOPANAN dan KESUSILAAN. Jangan lupa tengok sekali tentang kedudukan Islam dalam Perlembagaan Negara kita.  





Sunday, April 29, 2012

Sumpah!!! Aku meluat dengan Bersih .

Hari ini, memang diluar aku nampak macam relaks sahaja. Tapi dalam hati, aku rasa marah sangat. Marah aku pasal ada asas. Marah pasal perhimpunan BERSIH 3.0. Kecewa, marah dan terkilan pun ada. Yang polis pukul orang biasalah aku dengar. Tapi aku nak petik baca artikel pasal wartawan kena pukul semasa hendak selamatkan seorang anggota Polis. 


Tapi aku tidak tahu samada cerita ini betul ataupun tidak. Macam-macam versi aku baca. Ada yang cakap kereta polis itu langgar peserta sampai mati dan pelbagai lagi. Banyak persoalan yang timbul dari apa yang terjadi.

Kenapa wartawan itu turut sama dipukul sedangkan dia sedang menyelamatkan seorang yang seagama, sebangsa dan sewarganegara? 

Kenapa marah sangat dengan anggota Polis sedangkan kita ada undang-undang? Adakah mereka lupa tentang hukum Tuhan?

Ada tak tertulis dalam undang-undang untuk orang awam dibenarkan memukul orang yang telah melakukan kesalahan atau jenayah?

Seandainya anggota Polis yang kena pukul meninggal dunia mempunyai tanggungan atau keluarga yang perlu dijaga, siapakah yang akan membantu dan menampung kehidupan keluarga beliau? 

Seandainya anggota polis dan petugas yang kena pukul tiba-tiba hilang keupayaan atau jadi cacat, puas hatikah para demostran atau peserta tengok orang tersebut menderita? 

Banyak persoalan yang bakal timbul dalam benak hati dan minda aku. Aku kecewa bila ada kawan aku sendiri yang pergi dan terlibat buat benda yang kononnya satu perjuangan. Kalau dia tengah baca sekarang, minta maaf sebab aku terpaksa luahkan dekat sini. Bagi aku, tidak payah bangga kalau dapat sertai benda bodoh macam ini. Kau mungkin mengecewakan orang lain. 

Bagi aku, kalau dia tidak mahu kawan dengan aku pun tidak mengapa pasal sebab yang dikatakan adalah pendirian peribadi aku. 

Kita kena ingatlah anggota polis dan petugas media itupun manusia juga dan hamba Allah. Memanglah mereka bekerja dengan kerajaan tapi perlukah dilayan dan dilanyak macam binatang? Mereka sendiri tertakluk hak asasi manusia.


Banyak cara lagi hendak tunjukkan ketidakpuasanhati kepada sistem yang ada sekarang. Cuma kesabaran dan ketabahan sahaja yang jadi penguat diri kita. 

Sedangkan Nabi SAW pun ambil masa bertahun-bertahun untuk berdakwah dengan cara diplomatik, mahabbah dan penuh kesabaran. 

Memang benar, ada masa Nabi berdakwah melalui jihad perang tapi tidaklah kita sendiri hendak gunakan cara kekerasan ke atas saudara seagama dan sebangsa?

Adakah ini ujian Allah keatas bangsa kita? Adakah kita sebagai umatnya mampu hadapi dugaan yang diberikan olehNya?


Banyak-banyaklah baca surah Al-Asr. Fahamilah dan ketahuilah di sebalik surah itu. 

Pesan : Jangan marah dan pukul aku. Aku liberal dalam hal politik. Tidak menyebelah mana-mana pihak. Jauh sekali hendak taksub kepada parti mana-mana.  Apa yang terjadi diluar, akan mempengaruhi undi aku yang satu nanti. Tentukanlah cara sendiri untuk tarik undi aku.