Thursday, July 2, 2015

15 Ramadan 1436H


Kalau ikutkan hari ini, dah 8 tahun aku dah bekerja. Tapi sebetulnya, 5 tahun aku bekerja penuh dalam bidang senibina Landskap. Dalam blog ini, aku tak pernah cerita hari-hari penting dalam hidup aku. Bila aku terima skrol ijazah sarjana Muda aku, masa aku bertunang bila dan hari apa aku menikah serta naik pelamin. 

Hampir 18tahun aku tak pernah kena tahan dalam wad selama 3 hari sampai habis MC, pun aku tak beritahu dalam blog ini. Semua singgah dalam kepala otak aku dan berlalu pergi tanpa sebarang catatan. 

Dulu 7-8tahun lepas boleh katakan, aku masih menerima apa yang kerajaan BN buat. Sekarang aku agak kritikal dengan BN. Dengan GST, harga minyak naik dengan nilai ringgit jatuh benda ni buat aku sebagai rakyat terasa bebannya juga. Jadi, apa guna nak sokong kerajaan yang makin lama makin auta dengan kita. 

Semak kepala cerita pasal politik.

Kenapa aku menaip posting ini setelah lama meninggalkan dunia blogging?



Hati aku terdetik nak menaik balik. Biarlah orang tak baca, tapi kita dapat luahkan apa yang terpendam dalam kepala otak aku. Dulu aku suka taip biar orang baca serta komen. Tapi bila populariti Facebook meningkat, sikit demi sedikit blogging aku abaikan. Aku mula cari perhatian orang dalam FB. Sampai satu tahap, aku fikir best sangat ke jadi public attention? 

Lama-lama, aku slow downkan sikit sharing dalam Facebook. Walaupun banyak benda nak cerita, elok tak payah kongsi semua. Selagi tak dapat banyak share, selagi itu kita melangut depan Facebook.

Angan-angan nak terbitkan buku sendiri.

Makin banyak orang publish sekarang. Buku yang ditulis hasil pengalaman sendiri. Koleksi penulisan dalam Facebook, travelog dan macam-macam lagi. Aku pun ada angan-angan sama tentang perkara ini. Aku pun berkeinginan nak kongsikan sesuatu. Angan-angan atau kenyataan? Wallahualam.





Sunday, January 19, 2014

Dua.Ribu.Empat.Belas

Lama aku tidak kemaskini blog ini. Dekat setahun juga aku tinggalkannya. Aku pilih untuk isi sebahagian rencah hidup aku dalam diari. Tapi kemana hilangnya diari aku, pun tak pasti. Aku sedari sejak berpindah ke Johor Bahru.

Sudah masuk bulan ke empat aku menetap di Hujung Tanah. Mencari rezeki dan menimba pengalaman di sini. Alhamdulillah, kehidupan lebih seronok di sini. Walau tidak sehebat Lembah Klang, bagi aku sudah cukup anak rantau di kota metropolitan itu. 9 tahun aku berada di situ. Dari aku masuk belajar, kerja dan sambung belajar semula.  Aku cabar diri sendiri menetap di selatan Semenanjung. Aku ucapkan terima kasih kepada Tulang kawanku kerana beri peluang kepada mencuba nasib.

Banyak beza bila berhijrah ke tempat baru. Aku tahu aku meninggalkan banyak segala impian di ibu kota. Peluang pekerjaan, perniagaan untuk dikembangkan termasuk bilangan rakan teman taulan yang ramai. Tapi itu tidak menjadi masalah bagi aku. Sejauh mana mereka mampu membantu kita? Selebihnya berbalik pada diri kita sendiri. Yakin pada diri sendiri , berusaha dan berserah kepada takdir itu lebih baik sebenarnya.

Bila aku duduk sini, aku kembali hidup cara yang lebih ringkas. Tiada kereta. Cuma motor aku sebagai kenderaan utama aku untuk ke sana sini. Kawan-kawan pun tak berapa ramai seperti di Shah Alam. Kurang dari 20 orang. Semua kenalan semasa aku belajar dan bekerja di sana dahulu. Walau syurga makanannya tak sehebat sana, tapi macam-macam aku dah rasa di sini. Pendek kata, kehidupan sini lebih sederhana. Kos hidup amat rendah sedikit jika hendak dibandingkan dengan KL atau Shah Alam. Bergantung kepada tempat yang nak kita menyewa. Di Skudai, kami bernasib baik dapat rumah sewa dalam kawasan perkampungan. Sewa rumah amat murah sekali. RM350. Berbanding di kawasan yang menghampiri pusat bandaraya. Satu bilik mencecah RM450. Dan aku sendiri tidak sanggup menghabis wang sebegitu banyak sekali.

Jarak rumah aku ke tempat kerja adalah 20km. 30minit perjalanan jikalau menaiki motosikal. Jarak tersebut sudah menjadi kebiasaan pada aku. Rumah yang aku duduki sekarang agak selesa. Hendak bawa mak abah dan lain lagi datang sini pun boleh. Alhamdulillah, mak abah dah sampai rumah 2 kali sejak aku berpindah ke Johor Bahru. Tak perlu lagi mereka menyewa hotel atau homestay bila datang dari jauh. Pada tahun ini aku cuba lengkapi rumah dengan perabot dan peralatan elektrik. Peti sejuk dah ada. Tinggal lagi TV, perabot, almari, sofa, set meja makan. Aku nak adakan benda sebegitu sebelum berkahwin. Bila kahwin tak perlu pening sangat bila dah ada benda sebegitu. Bagi cukup sekadar apa yang ada supaya beban lepas kahwin tak berat nak ditanggung.

Tahun 2014 boleh dikatakan agar mencabar untuk dihadapi berbanding tahun sebelumnya. Lepas PRU13, macam-macam benda naik harga. Minyak, tol, elektrik, air dan makanan semua terkesan. Kerajaan lupa diri bila dapat mandat semula untuk memerintah. Aku percaya sokongan terhadap parti kerajaan sekarang semakin berkurangan suatu hari nanti. Sesetengah yang menyokong kerajaan sekarang adalah golongan baby boomers dan generasi X. Bila mereka semakin lama semakin berkurangan dan bakal diganti generasi Y seperti aku pada masa sekarang. Sudah pasti generasi Y mahu suatu perubahan dan memiliki apa seperti generasi terdahulu. Kediaman yang selesa, kenderaan yang baik dan kerjaya yang elok untuk survival hidup di atas muka bumi.

Aku malas merungut panjang-panjang benda ini. Sejauh mana rungutan kita akan didengari sedangkan tindakan untuk berubah berada lebih dekat pada kita. Kita sendiri menggerakkan perubahan itu. Kita cuba kejar zon selesa tapi selalu tak pernah puas. Cubalah kita kawal dan belajar untuk hidup bawah kemampuan. Benda ini aku banyak pelajari daripada buku-buku yang dibaca. Nyata, aku mampu membeli sebuah smartphone yang baru tapi aku tahan nafsu dari memilikinya walaupun sudah bekerja hampir 4 bulan. Aku cuba melihat aspek keperluan dari melayani keinginan. Sasaran aku adalah untuk mengumpul sejumlah aset sepanjang tahun ini.




Sunday, January 27, 2013

Buku tentang Syed Mokhtar Albukhary

Aku beli buku biografi Syed Mokhtar Albukhary (SMAB) siang tadi masa merayap di Setia City Mall. Dekat setengah jam dalam MPH aku belek cari buku untuk dibeli tapi tiada yang menarik hati. Bila kaki hampir melangkah keluar, terus terpandang buku ini dan Zul (kawan aku) tolong bayarkan guna kad kredit dia. Tidak mahal. RM20.00.

Baru sekejap tadi aku baru habis membaca. Mula baca dari tengahari, nyata sekali tidak membosankan. Banyak perkara jugalah aku dapat tahu bila baca buku ini. Antaranya kisah DEB dan dunia korporat Malaysia.

Selama ini aku faham konsep Ali Baba macam cerita Ali Baba Bujang Lapok yang mana Ali Baba yang kaya buat derma kebajikan kepada yang tidak bernasib baik. Tapi konsep Ali Baba yang diceritakan dalam buku ini berkaitan kelemahan DEB. Ali (Melayu) yang tidak berkemampuan mendapat kontrak kerajaan untuk diagihkan kepada Baba (Cina) yang kita sedia maklum menguasai ekonomi negara kita sendiri. Akibat 'khianat' daripada anak bangsa sendiri penyebab peratusan @ kuota Bumiputera dalam bidang ekonomi menyebabkan capai sasaran. Memang pendedahan terbaik yang aku baca dalam biografi ini.

Ada banyak cerita lagi yang kita boleh ketahui. Buku ini melihat kejayaan seseorang jauh dari kerangka politik walaupun SMAB mengenali tokoh-tokoh politik.

Aku malas nak ulas panjang tapi buku ini bermanafaat untuk dibaca. Markah untuk buku ini 4/5 disebabkan jalan cerita yang menarik dan saiz font tulisan yang memuaskan.

Monday, January 21, 2013

SketchUp + Photoshop

Nampak macam gaya stroke aku tapi sebenarnya ini menggunakan teknik yang mengimport image dari SketchUp dan memanipulasikannya dalam Adobe Photoshop.

Aku masih mempelajari dan memperbaikinya lagi.

Sunday, January 20, 2013

Dua tahun setengah terperuk dalam laci.

Hari ini aku sambung kemas barang aku lagi. Semalam aku dapat cari lagi kotak. Owh banyak lagi barang tidak disusun...

Sedang mengemas, tiba-tiba aku terjumpa semula sketches yang buat masa studio urban design dulu. Kes kajian di bandar klang. Syok sendiri bila tengok stroke aku.

Timbul pelbagai persoalan dalam minda aku sekarang...