Saturday, July 30, 2011

Makan Atas Tangga.....

'Kalau sedap kena habaq, kalau tidak kena sabaq' - itu adalah motto aku pasal bab makan. Disini bukan hendak menunjuk-nunjuk tapi mengulas secara ringkas. Jadi dengan kesempatan yang ada, aku hendak berkongsi serba sedikit tentang tempat makan aku pergi semalam. 

Mula-mula sekali, bos aku telah bawa kami satu pejabat belanja makan di Upstairs, Subang Jaya. Lokasinya dekat SJMC. Memang sudah rancang hendak pergi dari kelmarin lagi. Macam mahu makan di restoran lima bintang. Kena tempah pelbagai dahulu. Akhirnya, lepas sembahyang Jumaat pakat-pakat pergi bersama-sama.

Secara ringkasnya, restoran yang aku pergi menyajikan makanan Western berbanding restoran tingkat bawah, Kafe Bawang Merah. Kedua-dua tempat makan mempunyai hubungan antara satu sama lain. Kalau rasa macam mahu jadi orang kaya dan bergaya, pergilah situ. Mahu rasa suasana alfresco atau makan di rumah, terpulang. Yang pasti, pastikan dompet anda berisi minimum RM100 untuk satu kepala. Baki duit mungkin boleh guna bayar kompaun MPSJ sebab memang susah juga kalau hendak cari tempat letak kereta.

Promosi untuk pembeli botol. Memang aku tengah lapar dan berpeluh. 
Suasana hiasan dalaman yang agak ringkas dan kontemporari membuatkan sesuai untuk orang serabut dengan kerja menikmati hidangan tengahari. Kalau yang mahu ambil hati klien atau buah hati, mungkin sesuai juga tempat ini untuk urusan kerja atau peribadi. Yang menariknya, tukang masaknya semua orang Melayu kita, tiada masalah untuk jaminan di tanggung halal. Aku anggap mereka adalah berkelulusan dalam seni kulinari. Jadi kalau cik adik mahu tengok cik abang masak cara orang putih sediakan hidangan, bolehlah datang.

Memang jadi pelik bila semua pakat belek satu satu. Tidak tahu apa nak diminum. 
Macam-macam jenis perasa ada. Memang kembang perut dibuatnya.....
Masa pergi memang perut aku tengah lapar habis. Sampailah peluh satu badan. Berbaloilah juga datang perut yang sudah lapik roti canai sekeping. Memang makan puas-puas. Cara mereka hidangkan makanan pun terbaik. Tidak datang sekali jalan. Dapatlah merasa semua makanan. Mula datang roti panjang kemudian makan spageti. Kiranya sebagai apetizer atau pembuka selera. Kemudian datanglah hidangan utama, sizzling lamb with mashed potatoes. Ada yang minta rib with pasta. Dua-dua mantap. Kemudian lepas makan, kami jamu dessert seperti brownies, blueberry dan cheese cake.


Spageti untuk 6 orang makan. Cuma tidak ada meatball dengan mentarang.....
Rib and spageti. Macam blok batu cobblestone aku tengok....
Ini aku punya. Sizzling lamb with mashed potatoes. Mantap.
Aku tidak tahu berapa RM kami makan pada petang itu. Apapun aku ucap terima kasih bos aku kerana sudi bawa kami belanja kali ini. Memang aku balik rumah dengan perut yang 'cekang'. Alhamdulillah, semoga semua dimurahkan rezeki lagi.

Wajah-wajah disebalik kelaparan. Aku menghargai peranan mereka .
Pelbagai benda aku pelajari dengan mereka semua. Terima kasih.
Kesimpulan
Makanan/minuman - 5/5 
Kebersihan - 5/5
Keselesaan - 3.5/5 ( susun atur ringkas menarik tetapi kena ambilkira untuk pengunjung yang datang beramai macam kami dan penghawa dingin kena sejukkan lagi )
Layanan - 5/5 (Kalau hendak cari calon suami yang pandai masak dan ambil hati, boleh datang jenguk ke restoran ini)



Tuesday, July 26, 2011

Tidak semua kesenangan dapat memberi ketenangan

"Tidak semua kesenangan dapat memberi ketenangan"

Bunyinya macam ringkas dan mudah tapi maksudnya agak mendalam kalau kita fikir betul-betul. Bukan niat aku mahu 'tembak' sesuka hati tetapi memperingatkan diri kita dan siapa yang ambil tahu.

Dalam dunia ini, wujudnya dua perkataan ini - SENANG dan SUSAH. Sudah menjadi lumrah manusia, bila SUSAH mencari SENANG. Tidak pelik juga ada yang mencari SUSAH bila sudah SENANG. Itu kebiasaan manusia yang mempunyai pelbagai perangai dan sifat.

Ada hikmah bila SUSAH datang menimpa. Ini mengingatkan kita supaya bersabar, berusaha dan bertawakal kepada ALLAH.

Ada hikmah bila SENANG datang menjelma. Ini mengajar kita supaya bersyukur, gandakan amal kita dan jadi rendah diri.

Bak kata pepatah "Makin tunduk makin berisi"

Tapi sayang, berapa ramai di kalangan kita fikir apa yang aku katakan. Malah diri aku sendiri kadang-kadang mengaku lupa setiap hikmah kejadian yang berlaku.

Ada kalangan kita fikir:

Bila SUSAH datang menimpa, dia tidak fikir perkara itu datangnya dari kelemahan diri sendiri dan mengeluh - "Kenapalah jadi begini?"

Bila SENANG datang menjelma, dia cakap semua sendiri itu atas usahanya padahal kurniaan nikmat yang diberikan adalah rezeki Tuhan.

Berbalik kepada tajuk asal - Bila kita hendak jadi terlampau sempurna, maka perkara senang dijadikan susah. Cenderung untuk mendapatkan kepuasan, manusia selalu tewas dengan nafsu hasutan sekeliling.

Kita takut untuk terima kesusahan, kesilapan dan kekurangan.

Bila tidak cukup itu dan ini, maka jadilah manusia tidak senang.

Misalnya, jadi bila terlampau kaya sangat dengan harta sampai hati tidak tenteram.

Terpaksa fikir bagaimana hendak jadi lagi kaya, bagaimana hendak fikir cara elak dari orang lain ambil kesempatan dari kekayaan kita dan bagaimana hendak jaga standard, kedudukan dan taraf. Padahal banyak benda lain boleh difikirkan lagi malah boleh beri manafaat.

Jangan ambil mudah ungkapan "Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian". Silap haribulan "bersenang-senang pendahuluan, berhancur-hancur penghabisan"......





Monday, July 25, 2011

Tiga Puluh Ringgit.....


Bayangkan kalau ada RM30 di tapak tangan anda sekarang. Apakah yang anda lakukan dengan wang sejumlah itu? Bagi aku yang tiada pendapatan tetap seperti dulu, RM30 cukup untuk menanggung perbelanjaan 2-3 hari dalam seminggu. Lagi berbaloi untuk isi minyak kereta dan motor dari menghabiskan wang semata-mata daripada pergi ke stadium. Atau pergi tengok wayang kalau mahu cari hiburan. Ini yang aku cuba kongsi pendapat dan suarakan apa yang dibincangkan dengan kawan aku. RM30 untuk satu perlawanan bola sepak - berbaloi atau tidak?

Selama ini aku pergi tengok perlawanan bola bila dapat tiket percuma. Tidak tahu berapa harga sebenar tiket tersebut. Maka bertanya aku kepada kawan berapa harga tiket masuk ke stadium. Jawab dia RM30. Memang merungutlah. Kalau aku pun memang merungut pasal harga tiket yang agak mahal. Seolah-olah status perlawanan diadakan bertaraf benua pula. 

Atas nama semangat patriotisme,
Perkara ini aku bangkit. 
Selalu orang ungkit. 
Ramai yang bersungut tapi mereka masih melangut.
Abaikan yang merungut asal untung terpungut. 

Aku kurang bersetuju dengan pasal harga yang tidak berbaloi untuk dibayar. Memang perlawanan yang berlangsung bertaraf antarabangsa tetapi tidak semua mampu membelinya. Sepatutnya mereka yang ingin menggalakkan rakyat datang memenuhi ke stadium untuk beri sokongan perlu fikir strategi yang bijak untuk menarik orang lebih perhatian. Penyediaan harga tiket yang murah dan munasabah dapat menarik lebih penyokong memenuhi stadium. 

Sekiranya diambilkira kos keseluruhan yang diperlukan untuk seorang penyokong bola sepak yang tinggal di kawasan Lembah Klang, mereka perlu membelanjakan kira-kira RM50-RM100 untuk hari perlawanan. Ini termasuklah duit tol, minyak kenderaan, makan minum, tambang LRT, tempat letak kereta dan beberapa perkara lagi yang tidak dapat disenaraikan disini. Itu tidak kira yang membawa keluarga atau teman. Sudah pasti, kos tersebut jadi berganda.

Tidak semuanya orang hidup mewah. Cukup-cukup makan semata-mata ada di kalangan mereka. Ada yang terpaksa menahan lapar dan dahaga kerana duit perbelanjaan mereka sepatutnya digunakan untuk makan minum diperuntukkan untuk kos seperti yang aku telah nyatakan diatas. Kerana semangat cintakan sukan negara, ada yang sanggup sedemikian. Aku hormati dan kasihankan mereka. 

Tapi Pak Menteri, VIP dan tetamu jemputan juga yang untung. Sudahlah masuk percuma, datangnya mereka bila mereka suka sahaja. Masa final baru nampak muka, tonjol diri. Tidak nampak dimana sebenar patriotisme mereka. Kalau betul-betul seorang yang patriotik dan cintakan sukan, patut mereka turunkan harga tiket. Pasti penonton akan seronok. Sah-sah stadium dipenuhi segenap lapisan masyarakat.

Aku bukan minta benda sebegini disubsidi. Cuma ini salah satu insiatif untuk menarik ramai orang menonton di stadium. Kalau tidak, sampai bila-bila orang tengok perlawanan bola menerusi TV dan internet sahaja. Baru pasukan lawan terasa gerun dengan kehadiran 'pemain kedua belas'.

Kalau kita mahu adaptasi cara pengurusan stadium dan keselamatan di Eropah, janganlah melibatkan hal berkaitan harga tiket. Kelab luar negara terpaksa lakukan sedemikian kerana jumlah penyokong mereka ramai dan pelosok dunia. Kapisiti stadium yang tidak dapat memuat kesemua penyokong menyebabkan mereka terpaksa mengawal jumlahnya. Penjualan harga tiket yang mahal atau bermusim merupakan langkah yang diambil untuk mengatasi isu ini.

Jangan fikirkan untung cepat, harga tiket lambung tinggi. Sepatutnya mereka FAM dan menteri yang berkaitan  perlu fikir kaedah terbaik untuk perkara sebegini. Memang harga tiket antara penyumbang kepada kantung kewangan badan induk bola sepak ini tetapi bukankah semakin ramai menyokong semakin besar habuan yang  mereka dapat?




Saturday, July 23, 2011

Yossi Benayoun - Persona Non Grata di Malaysia


Kepada penyokong-penyokong Chelsea, jangan marah kalau apa yang aku tulis buat panas telinga. Aku pun minat sukan. Aku sendiri bermain ragbi dan futsal sebagai suatu riadah. Sukan memang sukan juga tapi kita ada maruah dan nama. Jangan kerana hendak mendukung liberalisasi atau kesamarataan, kita letak tepi segala kesengsaraan dan keperitan orang lain. 

Sepanjang umur aku hidup, ini pertama kali aku dengar pemain Chelsea dari Israel yang namanya Yossi Benayoun masuk Malaysia. Kira pecah rekodlah si mamat tersebut. Tidak pernah ada orang Israel yang jejak kaki lagi ke tanahair. 

Aku ada baca pasal orang tweeting Benayoun ini kena ejek semasa perlawanan menentang Malaysia malam tadi.  Elok sangatlah dia kena macam itu. Tidak kira jersi apa samada Chelsea atau Liverpool dipakai, dirinya sendiri sedia maklum berasal dari negara haram Yahudi. Aku anggap bila semua orang boo sama dia, itu sebagai simbolik bahawasanya dirinya adalah Persona Non Grata dan tidak disenangi oleh sesetengah pihak khususnya umat Islam. 

Perlukah kita dilabel sebagai racist bila insiden ini terjadi? Bagi aku tidak. Memang patut dia kena sebegitu. Biar dia sendiri tahu ekspresi orang kita tentang apa negara haram asalnya telah lakukan ke atas Palestin. Walau dia datang sebagai wakil kelab, sah-sah dia dalam jiwa masih ada semangat Zionisme negaranya. Kalau tiada nasionalisme dan patriotisme, mustahil dia tidak terpilih untuk mewakili pasukan kebangsaannya di perlawanan antarabangsa. 

Kalau FIFA mahu bertindak ke atas insiden, jangan melulu dan kena kaji selidik dulu. Mereka sepatutnya kena ambil kira hal dari pelbagai aspek. Jangan fikirkan sukan semata-mata, tapi mengabaikan perkara yang melibatkan isu sensitiviti dan diplomatik antarabangsa. Mereka seharusnya kena merangka peraturan berkaitan pemain atau pegawai yang dilarang memasuki sesebuah negara. FIFA mesti kena hormat pada dasar atau polisi sesebuah negara. Seandainya kalau ada apa-apa yang terjadi pada si Benayoun, jangan menekan negara kita untuk dipertanggungjawabkan kerana secara rasminya MALAYSIA TIADA HUBUNGAN DIPLOMATIK DENGAN NEGARA ISRAEL. Hormat dan toleransi secara menyeluruh dapat meningkatkan tahap kredibiliti badan induk sukan bola sepak ini.

Disini aku hendak menegur kepada pihak kerajaan. Jangan jadi talam dua muka. Kerana ingin memenuhi kehendak sesetengah pihak, dasar dan polisi kerajaan ditolak ketepi. Mudahnya kita lupa suatu masa orang berdemonstrasi kerana tidak bersetuju dengan kedatangan pasukan kriket dari negara Yahudi. Orang kita beremosi bila Avram Grant yang juga asalnya dari Israel mungkin datang semasa jelajah mereka pada tahun 2008. Tapi semua menarik nafas lega apabila yang datang adalah Felippe Scolari dari Brazil yang menggantikan Avram Grant sebagai pengurus baru Chelsea. 

Kepada pihak kerajaan, jangan kerana mahu seronok sangat, jiwa-jiwa mereka yang berjuang untuk Palestin dikecewakan. Sepatutnya sebelum mereka memasuki negara kita, kerajaan khususnya melalui menteri berkenaan supaya duduk berbincang dengan pengurusan Chelsea. Kerajaan harus menerangkan situasi, dasar-dasar dan kedudukan diplomatik negara secara jelas kepada sesiapa yang ingin berkunjung ke negara terlebih dahulu. Kalau pihak Israel boleh halau mereka yang dianggap sebagai ancaman, kita juga boleh lakukan perkara sedemikian kepada sesiapa yang punya kaitan secara langsung dengan Israel walau tiada ancaman. Anggaplah ini sebagai cara kita mengutuk perbuatan kejam yang dilakukan Zionis

Kita punya ramai penduduk beragama Islam. Dunia sedang melihat kekejaman Israel ke Palestin. Dunia juga memerhatikan Malaysia antara negara yang lantang menentang kezaliman yang dilakukan negara Yahudi tersebut. Rekod negara kita sedikit tercalar kerana insiden. Walaupun kita tidak dapat membendung secara keseluruhan kehadiran produk-produk yang ada kaitan Yahudi tapi janganlah sampai orangnya pula khususnya daripada Israel juga kita benarkan masuk. 

Tiada apa yang hendak dimalukan seandainya pemain yang bernama Yossi Benayoun diejek oleh penonton kita.  Sepatutnya kita patut malu bila pihak kerajaan 'melepaskan' dia untuk memasuki negara ini semata-mata atas nama semangat kesukanan. Pesan aku - jangan pandang sebelah mata dan jadi talam dua muka. 

Hormati dan hargai mereka yang bertungkus lumus, bergolok gadai masa, tenaga dan nyawa berjuang untuk Gaza dengan tidak membiarkan insiden ini berulang lagi pada masa hadapan. Sia-sia sahaja pemergian dan perjuangan mereka kalau pihak pemerintahan kita sendiri merelakan kedatangan 'tetamu' yang diundang.

Dari Siswa kepada Siswa....

Baru balik dari Sri Andalas, Klang. Berjumpa Angah aku di rumah dia. Lama juga aku tidak pergi menjenguknya. Jadi aku ambil peluang sementara ada kesempatan. Langkah kanan aku hari ini.

Sebelum aku layan tulis entri malam ini, tersingkap entri artikel pasal 500 orang yang pelajar dipercayai mahasiswa IPTA disenaraikan menyertai perhimpunan Bersih 2.0 tempoh hari. Aku kekadang rasa simpati pun ada, mahu marah pun ada. Nasib baiklah cuti semester 4 bulan. Kalaulah tengah dalam semester, 1000 orang mesti ada yang ikut serta demo tersebut. Kita semua maklum bahawa ada sebahagian hak kita dinafikan atau terhad. Tapi ada cara tersendiri untuk nyatakan kemahuan kita - menerusi pilihanraya. Apa yang susahnya, samada telus atau kotor pergi daftar jadi pengundi. Sampai masa pangkah yang mana disukai dan disenangi. Pilihlah yang mana amanah dan boleh buat kerja.

Apa yang aku mahu ulas pasal mahasiswa yang satu jenis. Yang aku paling kecewa sekali ada yang masuk ke menara gading bukan hendak belajar. Sesetengah ada yang lebih minat cenderung ke arah aktiviti luar akademik. Ada yang bersemangat hendak menunjuk hebat kepimpinan masing-masing. Tapi hampehnya setiap semester mesti ada kantoi subjek. Hebat sangatkah kalau pandai bersuara tetapi belajar tidak ke mana? Silap haribulan diri sendiri yang rugi kalau asyik orang lain yang lulus 'pergi' di atas perjuangan yang kadang-kadang tidak relevan. Untung atas angin?

Dalam entri kali ini, aku tidak boleh sesuka hentam samada pihak mahasiswa atau IPTA. Memandang aku ini masih terikat dengan pengajian, maknanya ada undang-undang yang harus ikut walau tidak sepenuhnya aku patuhi. Dalam situasi sebegini, berkecuali dalam sesetengah perkara merupakan langkah terbaik daripada menyesali di kemudian hari. Anggaplah ini salah satu cara menghormati mereka yang bertungkus lumus untuk menyediakan dan menjadikan kita insan yang boleh berguna pada masa depan terutamanya pensyarah.

Kepada yang taksub kepada politik samada luar atau dalam kampus, hentikanlah untuk menjadi terlampau fanatik sangat untuk memperjuangkan itu ini. Memang kekadang terasa macam masuk sekolah sebab tiada kebebasan serba serbi. Itu tidak dikira beban dan kos yang kena ditanggung. Tapi kita kena ingat IPTA bukan medan politik. IPTA adalah gedung ilmu untuk kita hayati, pelajari dan kaji. Sebelum mahu buat benda di luar batasan, fikirkan mak abah kita, orang yang tiada peluang sambung belajar dan duit PTPTN yang ribu riban kita pinjam. Sudahlah tinggi kadar bayaran balik, kalau kena buang siapa yang hendak tolong bayarkan? Adakah pemimpin yang diagung dan disanjung selama ini akan langsaikan? Jawabnya pandai guna pandai gantilah.

Macam macam lagi kita boleh ketengahkan apa yang diperjuangkan. Kalau rasa tidak puas hati juga, elok juga isi borang berhenti belajar. Jadilah ahli politik diluar sana, juangkan apa kekurangan dan kelemahan sana sini tapi jangan kacau ganggu mereka yang ingin menuntut ilmu. Biarlah yang ingin belajar berjaya terlebih dahulu sebelum mereka semua itu dapat memimpin kita semua ke arah dunia aman dan makmur.

Ajarlah diri kita semua untuk rasa bersyukur dan bersederhana. Bertuahnya kita dapati nikmati keselesaan berbanding mahasiswa zaman dahulu. Mereka lebih cekal dan tabah kerana tidak semua yang ada sekarang disediakan pada masa dahulu. Tanyalah mereka yang pernah mengaji di menara gading. Manafaatkan sebaik mungkin pengalaman mereka supaya dapat menjadi panduan dan pedoman pada kita semua.