Tuesday, June 29, 2010

Kembali Normal...............

Hampir sebulan aku menanti saat-saat itu. Tapi harapan yang tinggi menggunung jatuh berderai lagi berkecai. Itulah kiasan yang aku mulakan dalam post kali ini. Kiasan itu simbolik kepada kekecewaan aku setelah menolak tawaran ke UTM dan rayuan ke UiTM di tolak. Memang besar risikonya aku bertindak sedemikian. Kalau nak fikirkan kekesalan, tidak sampai 5 peratus yang ada dalam diriku. Bagi yang cakap aku sedang menyesal dengan tindakan yang diambil kali ini, maaf anda tersilap mencongak. Ini kerana apa yang aku usahakan selama berada pada landasan yang betul dan aku tidak sesekali akan menerima alasan apa yang terjadi adalah datang dari kesilapanku sendiri sepertimana diperkatakan sesetengah pihak.

Aku di sini sebagai orang biasa pada hari ini, tanpa banyak cakap yang manis di bibir atau tidak serupa bikin mahu berusaha untuk mendapatkan semula hak untuk menuntut ilmu secara formal pada masa hadapan. Aku rela melupakan apa yang terjadi hari lepas namun sentiasa beringat agar tidak berlaku 'pisang berbuah dua kali'.

Kepada yang membantu secara langsung atau tidak, aku mahu ucap terima kasih atas sokongan, dorongan, cadangan dan nasihat. Tidak lupa juga yang meng'kondem', memburukkan, mengutuk dan mengata demi melihat aku jatuh, lantaklah mulut hangpa hendak cakap apa pun pasal aku. Cermin diri sendiri sebelum mengata orang. Jangan fikir anda seorang yang hebat dan boleh buat sesuka hati untuk kepuasan sendiri.

Sesungguhnya, dalam tempoh 6 bulan mendatang, aku ingin hidup seperti biasa. Kembali normal. Bangun pagi, menyelit sana sini, fikir itu, berangan ini, makan gaji dan macam-macam lagi sepertimana yang aku lalui 3 tahun yang lalu. Tapi impian demi segulung ijazah masih tersemat di dadaku dan tidak sesekali putus asa ketika ini.

Kita hanya mampu merancang, Tuhan juga yang menentukan.

Thursday, June 10, 2010

Penat

Itu yang aku dapat cakap sekarang. 2 minggu tanpa rehat yang cukup. Siang di KL, malam di Sunway. Serabut juga fikir pasal kerja. Kerja-kerja yang ada sekarang satu pun tidak mula lagi walhal esok ada mesyuaratlah, jumpa klienlah.

Tumpuan aku pada kerja yang mahu dilangsaikan belum ada lagi. Penat. Sejak balik dari Penang, aku mencuba nasib untuk melakukan part time. Rasanya penat pergi Kuantan pun tidak habis lagi. Sudahlah lewat bertolak ke sana, siap boleh tidur lagi masa mesyuarat. Memang aku fikir lantaklah apa mahu jadi. Pergi balik hampir sepenuh perjalanan aku yang pandu kereta. Nasib baik masa singgah Temerloh, aku bertukar tempat. Dapatlah membuta sekejap biarpun kepala lentok sana sini akibat jalan bengkang bengkok melalui Karak - Genting Sempah.

Sudah masuk minggu kedua aku buat kerja dengan kontraktor. Cara percakapan bukan macam orang kita. Tapi setakat ini kira ok la untuk aku cakap pasal dia. Murah rezeki. Banyak projek banglo, pengubahsuaian tapi sayang dia ketiadaan kakitangan. Hendak harapkan yang seorang itu, ada kelulusan tapi indah khabar dari rupa. Yang lagi seorang, baru sehari kerja, minta RM50 dan terus tidak datang kerja lagi. Pada mulanya aku tabik spring sama dia. Umur 28, berkahwin dan anak seorang. Walau berbekalkan kelulusan SPM sekalipun sudah tahu guna SketchUp, AutoCAD. Aku mula garu kepala apabila tidak sampai 5 minit aku sambung kerja, dia datang tanya aku bagaimana hendak menukar ukuran architectural kepada metrik.

Kesian. Itu yang aku boleh cakap sekarang. Terpaksa aku bekerja dua kali teruk gara-gara dua orang insan tersebut. Ingatkan boleh membantu tetapi membantutkan. Sekurang-kurangnya bila aku tidak dapat buat kerja pada masa yang ditetapkan, boleh diharapkan kepada staff lain. Sebaliknya, aku pula yang kena buat kerja orang lain.

Memang aku penat. Maaflah kalau posting kali ini aku taip macam orang tiada semangat. Semoga dipermudahkan urusan seharian dan dimurahkan rezeki.




Monday, May 24, 2010

Inspirasi Galant


Tatkala Mitsubishi Galant Model 1978 bernombor plat KK 2321 lancar melintasi persimpangan Jalan Kampung Gajah dan Jalan Telaga Air, abah berkata kepada aku,

"Aku ni ada diploma saja. Aku mahu hang lebih daripada aku. Aku tak mau hang jadi macam aku"

Itulah bait-bait pesan abah yang aku ingat sampai sekarang. Peristiwa itu kalau tidak silap aku terjadi 7 atau 6 tahun yang lalu. Mungkin masa zaman sekolah aku atau lepas SPM. Tapi apa yang abah pesan itu memang aku pegang sampai sekarang.

Hari ini 24 Mei 2010, detik penuh bermakna buat kawan-kawan aku. Kawan-kawan studio masa diploma. Konvokesyen dan sebahagian daripada mereka menerima skrol masing-masing. Bersengkang mata, memerah tenaga dan otak. Akhirnya mereka berjaya mengharunginya. Alhamdulillah.

Tidak lama lagi, kawan aku yang seorang lagi di Melbourne pun akan tamat pengajian. Pejam celik pejam celik cepat terasa masa berlalu dan dia pun hampir mengecapinya.

Minggu lepas aku menerima SMS daripada seorang rakan yang sama bidang. Baru selesai final project. Dalam mesej itu, dia berkata yang dirinya ditawarkan untuk kursus Sarjana @ Master. Dia tidak pasti lagi samada untuk meneruskan atau sebaliknya. Sebagai kawan, aku menggalakkan dia mengambil peluang ini dan fikir sebaik-baiknya. Bukan senang untuk dapatkan tawaran yang datang bergolek seperti ini.

Cemburu. Itulah yang aku boleh ungkapkan di sini. Cemburu melihat kejayaan kawan-kawan aku yang dulu pernah jadi tempat berjenaka, bergurau, mengutuk, bertekak dan bergaduh. Mereka sudah melangkah ke hadapan meninggalkan aku. Walau aku sudah punya pekerjaan tetapi kalau sekadar ada pengalaman tiada kelulusan yang tinggi pun tidak memadai. Biarpun aku ada bertahun-tahun pengalaman, mungkin itu belum cukup meyakinkan untuk mengorak lebih jauh.

Tapi cemburu aku bersifat positif dan bukan dengki. Malah dalam agama pun diboleh kan mencemburui sesuatu yang dapat memberi kebaikan kepada kita dan orang lain. Aku tidak seharusnya marahkan diri sendiri kerana ini pilihan sendiri. Aku tidak boleh selalu mengeluh dan berkata "Kalau dulu aku buat elok-elok, mesti bukan di sini tempatku sekarang." Yang pasti, inilah qada' dan qadar Tuhan telah tentukan untuk aku. Aku tidak boleh terus mengaitkan semata-mata ke atas takdir dengan apa yang aku lalui. Dalam firmanNya telah menyatakan bahawa Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan mereka sendiri yang mengubahnya.

Harapan aku adalah tidak terus dibuai mimpi-mimpi kosong dan berangan tidak bertempat. Biarlah cemburu tersebut jadi pembakar semangat dan pesanan abah dalam Galantnya jadi inspirasi aku untuk mengorak maju ke depan. InsyaAllah.

p/s: Teringat Pak Tam panggil Galant Kuda dan kereta KK2321 telah dijual pada tahun 2005. Tidak sempat untuk memandunya.

Kepada yang berkonvo pada hari ini, tahniah dan selamat maju jaya aku ucapkan. Maaf kerana tidak dapat menghadiri acara hangpa semua.


Bookmark and Share

Friday, May 21, 2010

You want be a pilot, you must know to speak English


Hujan masih turun melencun ibukota semasa aku balik ke rumah tadi. Aku tidak kisah kerana GIVI sentiasa bersiap ke mana sahaja aku pergi. Dalam kepala otak asyik terfikir apa yang hendak dibuat dengan rebung yang mak kirim tempoh hari. Cadang hendak buat Masak Lemak tapi melihat status kewangan, baik aku cuba Rebung Goreng Pedas. Nasib baik sempat belek-belek resipi secara online.

Aku melalui kawasan perumahan Taman Koperasi Polis. Nampaknya sesi penggambaran drama yang dijalankan sebelah surau dekat rumah masih tidak selesai lagi semenjak tengahari tadi. Mungkin hujan yang tadi membantutkan sesi penggambaran. Aku alih pandangan ke gerai pisang goreng Pak Din yang terletak bersebelahan rumah sewa. Jangkaan aku memang tepat. Hanya tinggal bekas kosong sahaja dan harapan untuk merasa karipap atau cekodok berkecai. Aku terus masuk parking motor dan tiba-tiba ada seuatu yang tidak kena telah berlaku hadapan gerai Pak Din.

Rupa-rupanya ada seorang mamat jatuh tersungkur ke tanah. Hairan aku dibuatnya. Tiada bising, kecoh, kelam kabut tapi ada orang jatuh macam cedera kemalangan. Segera aku ke depan gerai dengan GIVI yang masih belum ditanggalkan. Sampai di situ, Pak Din cuba mengangkat mamat tersebut ke tepi. Mamun semacam pula aku tengok mamat ini. Blur serta dalam keadaan bingung. Tiba-tiba mamat itu cuba meronta-ronta dilepaskan. Agaknya kena sampuk pasal senja-senja macam ini.

Aku cuba memegang dia serta membawa untuk duduk di dalam. Masih blur dan bingung serta tidak memberi respons kepada kecederaan yang dialami. Tiba-tiba tanpa bersuara, dia bangkit untuk mendapatkan basikalnya semula. Aku cuba menghalangnya dan pengalaman sebagai pemain ragbi tidak disia-siakan. Seperti pepatah ‘Aim High, Tackle Low’, aku peluk pinggangnya untuk sekat daripada pergi . Meronta kuat juga tapi akhirnya aku terpaksa mengilas tangan untuk bawanya duduk sementara menunggu saudaranya datang. Risau aku sekiranya dia jadi agresif tapi memang terpaksa gunakan sedikit kekerasan dan kekasaran untuk mengelakkan perkara yang lebih teruk terjadi.

Selang beberapa minit kemudian, mula mamat tu bersuara. Kami cuba memujuknya dan menghalangnya pulang ke rumah secara sendirian. Tiba-tiba dia cakap, “ Saya akan dengar cakap Mak saya, Ayah saya dan Nenek saya sahaja, sekarang ni saya dah OK. Saya nak balik rumah.” Kemudian kami cuba pujuknya lagi dan dia cakap, “Saya dah OK bang. Jangan risau. Benda ni selalu jadi dekat saya. Tahun 1998, 2001…….(aku tidak tahu apa yang dimerepek).Lepas seminit saya dah OK.” Mamat itu tiba-tiba menghulurkan salinan IC kepada aku. Aku pula yang jadi bingung. Ingatkan mahu hulurkan kad pengesahan perubatan atau nota tentang symptom yang dialami tapi aku buat layan sahajalah. Akhirnya kami mengalah dengan syarat Pak Din mengikut kebelakang. Kemudian dengan selamba, dia bangun sambil ber’speaking’ Inggeris dengan aku.

You want be a pilot, you must know to speak English. Don’t think you have big salary, you can speak very well.” Terbakar juga mendengar tapi aku bersabar dan berdiam diri. Kemudian dia berspeaking lagi, “I want to be a pilot, and I can speak English.” Layan sahajalah kami mendengar dia melalut, malas hendak panjang cerita. Kemudian berlalu pergi mamat itu sambil Pak Din mengikutnya dari belakang dengan motor.

Sambil melihat mereka sayup pergi, aku bertanya kepada bini Pak Din tentang mamat tadi. Rupa-rupanya mamat ini pernah koma 3 bulan kemudian pulih semula. Kalau diikutkan dia seorang yang cerdik tapi sayangnya keadaan sebegini membuatkan persekolahannya setakat tingkatan dua sahaja. Selama ini, bila dia keluar mesti akan ada saudara akan teman tetapi tidak sangka dia berseorangan petang ini. Patutlah dia lancar ber’speaking’ dengan aku biarpun nada macam dalam kekecewaan. Rasa kasihan dan simpati. Kemudian aku beransur untuk masuk ke rumah lepas mendengar cerita pasal dia.

Mati-mati aku ingat mamat itu dirasuk, kena sampuk, kena sawan atau bertukar menjadi second person (orang yang mempunyai kecelaruan identiti).

Sambil menaip post ini, aku berfikir alangkah patutnya kita bersyukur kerana dikurniakan otak yang sihat, akal yang waras agar kita dapat memikir serta mampu membantu mereka yang kekurangan seperti di atas. Kejadian seperti ini mengingatkan kita tentang tanggungjawab untuk menjaga antara satu sama lain tidak kira samada kita kenal atau tidak. Mengabaikan tanggungjawab sebegini sudah pasti akan mengundang perkara yang lebih buruk seperti lari dari rumah, di samun, langgar lari, kemalangan serta lain-lain kejadian yang tidak diingini. Yang lebih malang serta membahayakan apabila seseorang itu akan bertindak luar kawalan serta agresif malah mampu memberi kecederaan kepada diri sendiri atau orang lain. Jangan dibiarkan seseorang sebegini bergerak bebas tanpa pengawasan orang yang dikenali serta tidak pula terlampau mengongkong kerana ini akan membuatkan seseorang penghidap memberontak kerana disekat untuk melakukan sesuatu. Akibatnya, kita akan dipersalahkan akibat lalai serta cuai dalam memikul tanggungjawab tersebut.

Selain itu suka untuk aku ingatkan bahawa pastikan seseorang penghidap apa segala jenis penyakit membawa dokumen penting. Bukan sekadar Mykad sahaja malah dokumen berkaitan penyakit yang dihidap misalnya kad perubatan, maklumat tentang orang yang perlu dihubungi serta tindakan awal yang perlu diambil untuk menyelamatkan keadaan. Kalau bagi aku MyKad pun tiada makna juga jika tiada informasi yang perlukan untuk menyelamatkan dari menjadi lebih buruk.

Apa yang aku ceritakan disini bukan berniat hendak mengaibkan atau menjatuhkan maruah mamat itu. Ini adalah secebis pengalaman yang aku kutip dalam kehidupan seharian. Apa yang di lalui sedikit sebanyak dapat memberi pengajaran dan tauladan kepada kita semua. Mungkin hari ini, aku telah menghadapinya. Esok lusa mana tahu, salah seorang akan melalui situasi sama yang mana mungkin lebih dahsyat daripada apa yang aku ceritakan. Yang pasti, bersedia menghadapi segala kemungkinan atau ‘Expect The Unexpexted’.

p/s: Teringatkan zaman mewakili negeri Pulau Pinang untuk Perkhemahan Tahunan Kor Kadet Polis 2002 peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur. Ramai betul kena rasuk dan sampuk dengan ‘penghuni’ Taman Rimba Kiara.


Bookmark and Share


Monday, May 17, 2010

Rendang Ayam Katik, Rebung, Daun Limau Purut, Nangka dan Road Tax.......


Tiga bulan tidak balik kampung membuat aku rindu sangat sama keluarga aku. Dalam otak aku, selalu fikir Mak, Abah, Nana, Amir Hamzah, Dikwan dan Nuha. Alhamdulillah, ada peluang aku hendak balik sana hujung bulan ini pasal ada jemputan kahwin dari kawan sekolah aku, Emy. Ada orang panggil dia Lik Lau pasal dia asal dari Balik Pulau. Sekali sekala kami panggil dia 'Repek' pasal dialah pembekal utama kerepek segala jenis ke sekolah. Yang syoknya pasal dia, kalau Tahun Baru saja mesti bagi cuti kepada semua orang sempena hari jadi dia.

Hari Jumaat lepas, aku dapat panggilan dari abah. Mungkin sebab dua minggu aku tidak telefon mereka tapi meleset jangkaan aku. Rupa-rupanya, abah hendak turun sini. Katanya ada mesyuarat di Kuala Lumpur. Terus aku terbayangkan rumah dan bilik yang kurang kemas. Tapi nasib baik cakap yang dia akan menginap di hotel. Kalau tidak, operasi besar-besaran hujung minggu semalam.

Malam tadi, bila Abah sudah sampai sini terus aku ke Chow Kit. Hujan memang tidak berhenti turun dari Maghrib. Lewat tengah baru kami jumpa. Banyak juga lauk Mak kirimkan kepada aku. Aku rasa boleh jadi stok sampai hujung bulan. Rendang ayam katik, rendang daging, rebung, daun limau purut serta isi nangka. Aku tidak terus balik tapi pergi lepak minum di kedai sebelah hotel.

Kalau sembang dengan abah, aku sudah dapat agak topik yang diperkatakan. Semuanya lebih berkisarkan tentang masa depan aku. Memang topik utama. Bagi aku yang ada depan dia, lebih baik bersifat defensif biarpun apa yang dibuat mengikut perancangan sendiri. Maklumlah, setiap individu punya perancangan tersendiri. Cuma terpulang kepada yang lain samada untuk menerima atau tidak. Aku lebih berdiam diri, banyak mendengar serta menguatkan hati agar dapat kawal emosi masa itu. Mungkin perancangan aku tidak selari dengan kehendaknya. Jadi aku pasrah sajalah.

Sebenarnya abah aku tidak marahkan bila sebut pasal hendak sambung belajar tapi dia mahu aku mengikut pengajian separuh masa supaya tidak perlu berhenti kerja. Ada orang juga menyarankan langkah sebegitu dan terima kasih atas saranan anda. Yang jelas, aku ada perancangan masa depan. Janji aku bila selesai pengajian diploma dulu yang masih dipegang sampai sekarang, aku akan sambung mengaji bila sudah cukup tempoh tiga tahun. Apa yang aku hendak pastikan sekarang 'I want everything on the track'. Mungkin aspek kewangan akan menjadi beban tapi aku harap perkara itu akan berada nombor 2 atau 3. Penting sekarang, ku mahu ada segulung ijazah, aku mahu capai impian seperti mana orang lain dapat lakukan. Apa yang aku harapkan benda ni bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Perbincangan kami anak - beranak berakhir hampir jam satu pagi. Kadang-kadang aku terasa macam tiada titik noktah dan penghujungnya. Selagi aku tidak selesai pengajian, selama itu benda ini akan berulang. Melainkan ada tawaran yang mungkin dapat menarik nafas lega abah. Sebelum aku balik, abah tanya aku samada ada duit poket atau tidak. Dengan berdalih aku cakap masih ada lagi padahal tinggal beberapa ringgit saja lagi. Lalu, sambil menghulurkan sedikit wang kepada aku, abah cakap antara aku dengan dia, jangan hendak malu minta selagi mampu. Segan aku hendak meminta sebenarnya pada masa itu kerana sepatutnya yang kena hulurkan adalah aku sebagai anak. Aku bergerak pergi meninggalkan kawasan Chow Kit dengan harapan dipermudahkan segala urusan untuk menghadapi hari-hari mendatang.