Sunday, May 6, 2012

Lupakah kita pada prinsip kelima Rukunegara?

Terlebih dahulu hendak beritahu awal-awal yang aku ini adalah liberal dalam politik. Tidak menyebelahi mana-mana pihak. Aku gunakan masa yang ada untuk berkongsi pasal apa yang telah terjadi dalam hujung minggu.

Di kesempatan hujung minggu ini, aku sempat tengok beberapa video yang berkaitan dengan perhimpunan Bersih. Dan aku tengok video antara pihak yang pro dan anti. Secara mudah aku simpulkan, kedua-dua pihak yang terlibat dalam perhimpunan itu lupa pada prinsip kelima pada Rukunegara - Kesopanan dan Kesusilaan. Tidak kira samada yang sokong BERSIH belasah polis, yang polis pun tumpang hentam orang awam sekali, semua hendak tunjuk hebat. Akta ke mana, S.O.P ke mana. Ada yang jadi lebih haiwan daripada manusia. Aku pasti akan ada provokasi yang akhirnya mewujudkan manipulasi antara satu sama lain. Kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang ?

Tinggalkan cerita BERSIH yang kotor. Aku hendak cerita pasal pihak media yang main kotor juga. Aku kecewa dengan akhbar UTUSAN dan KOSMO pada 2 Mei 2012. 

Aku masih teringat saat pagi 2 Mei 2012. Ketika turun beli makanan di bawah pejabat, aku menjengah di kedai runcit mamak untuk menatap apa berita sensasi yang ingin dikongsi dalam akhbar.

Kalau siapa hendak download, silalah. Mana tahu satu hari gambar ini dah tiada.

Aku terus kecewa sebab selama 8 tahun aku menetap di Lembah Klang, dari aku jadi siswa, masuk alam bekerja dan sambung belajar semula, akhbar KOSMO dianggap kontemporari serta memenuhi keperluan warga kota metropolitan. Malangnya KOSMO pun mula jadi lidah pengarang kepada pihak parti kerajaan.

Akhbar Utusan tidak payah hendak ceritalah. Dari sekolah rendah memang aku sudah baca. Dulu lapan kupang saja. Sekarang, aku pun tidak tahu berapa harga sekarang. Memang sudah lama tidak beli sendiri.

Sambil-sambil menjenguk, ada seorang apek Cina menyampuk sama aku. Dia pun cakap ada ke patut Utusan buat macam ini (sanggup tayang gambar di atas). Dia sendiri cakap buat malu orang Islam saja. Aku tidak tahu sejauh mana dalam pengetahuan dia tentang agama Islam tetapi bila dia cakap macam mesti tahu serba sedikit pasal agama.

Memang serius, akhbar Utusan dan KOSMO pun sudah lupa tentang prinsip kelima dalam Rukunegara - Kesopanan dan Kesusilaan. Kalau benarlah mereka menyokong kebebasan media sekalipun, dimana letaknya etika dan rasa hormat kepada seseorang? Dia pun manusia juga. Takkanlah cerita peribadi dan moral orang hendak dikorek sampai ke lubang cacing. Kalau teruk sekalipun orang itu, takkan dibongkar habis-habisan? 

Aku bukan hendak bela orang atau mangsa yang ada dalam gambar tersebut tetapi hendak mempersoalkan sejauh mana kebebasan media dari belenggu politik? Aku hendak mempersoalkan integriti pihak Kementerian Dalam Negeri dalam isu ini? Aku pun pelik wujud 'double-standard' dalam media komunikasi sekarang. 

Mereka sanggup paparkan benda macam ini dalam akhbar. Kemudian yang tukang baca pula bukan orang dewasa sahaja bahkan budak-budak sekolah. Siapa yang tidak pening kepala kalau budak-budak itu tengok dan bertanya. Yang teruk lagi, ada yang meniru gaya aksi seperti ditunjukkan di atas.

Sejak terpapar berita tersebut, sehingga hari ini (6 Mei 2012) aku tidak buka lagi akhbar Utusan dan KOSMO. Laman web Utusan pun aku tidak singgah. Aku boikot mereka kerana etika dalam bidang kewartawanan sudah hilang. Palsu atau benar, bersih atau kotor semua mereka sapu kerana mahu pastikan fikiran rakyat dapat dipengaruhi oleh sebelah pihak sahaja.

Lebih baik layan twitter sebab dalam sepuluh berita yang pantas sampai, mungkin ada satu yang betul dan boleh dipakai.

Kepada Kementerian Dalam Negeri, jangan jadi 'DOUBLE STANDARD'. Utusan dan Kosmo ini pesan aku - Jangan lupa kepada KESOPANAN dan KESUSILAAN. Jangan lupa tengok sekali tentang kedudukan Islam dalam Perlembagaan Negara kita.  





Sunday, April 29, 2012

Sumpah!!! Aku meluat dengan Bersih .

Hari ini, memang diluar aku nampak macam relaks sahaja. Tapi dalam hati, aku rasa marah sangat. Marah aku pasal ada asas. Marah pasal perhimpunan BERSIH 3.0. Kecewa, marah dan terkilan pun ada. Yang polis pukul orang biasalah aku dengar. Tapi aku nak petik baca artikel pasal wartawan kena pukul semasa hendak selamatkan seorang anggota Polis. 


Tapi aku tidak tahu samada cerita ini betul ataupun tidak. Macam-macam versi aku baca. Ada yang cakap kereta polis itu langgar peserta sampai mati dan pelbagai lagi. Banyak persoalan yang timbul dari apa yang terjadi.

Kenapa wartawan itu turut sama dipukul sedangkan dia sedang menyelamatkan seorang yang seagama, sebangsa dan sewarganegara? 

Kenapa marah sangat dengan anggota Polis sedangkan kita ada undang-undang? Adakah mereka lupa tentang hukum Tuhan?

Ada tak tertulis dalam undang-undang untuk orang awam dibenarkan memukul orang yang telah melakukan kesalahan atau jenayah?

Seandainya anggota Polis yang kena pukul meninggal dunia mempunyai tanggungan atau keluarga yang perlu dijaga, siapakah yang akan membantu dan menampung kehidupan keluarga beliau? 

Seandainya anggota polis dan petugas yang kena pukul tiba-tiba hilang keupayaan atau jadi cacat, puas hatikah para demostran atau peserta tengok orang tersebut menderita? 

Banyak persoalan yang bakal timbul dalam benak hati dan minda aku. Aku kecewa bila ada kawan aku sendiri yang pergi dan terlibat buat benda yang kononnya satu perjuangan. Kalau dia tengah baca sekarang, minta maaf sebab aku terpaksa luahkan dekat sini. Bagi aku, tidak payah bangga kalau dapat sertai benda bodoh macam ini. Kau mungkin mengecewakan orang lain. 

Bagi aku, kalau dia tidak mahu kawan dengan aku pun tidak mengapa pasal sebab yang dikatakan adalah pendirian peribadi aku. 

Kita kena ingatlah anggota polis dan petugas media itupun manusia juga dan hamba Allah. Memanglah mereka bekerja dengan kerajaan tapi perlukah dilayan dan dilanyak macam binatang? Mereka sendiri tertakluk hak asasi manusia.


Banyak cara lagi hendak tunjukkan ketidakpuasanhati kepada sistem yang ada sekarang. Cuma kesabaran dan ketabahan sahaja yang jadi penguat diri kita. 

Sedangkan Nabi SAW pun ambil masa bertahun-bertahun untuk berdakwah dengan cara diplomatik, mahabbah dan penuh kesabaran. 

Memang benar, ada masa Nabi berdakwah melalui jihad perang tapi tidaklah kita sendiri hendak gunakan cara kekerasan ke atas saudara seagama dan sebangsa?

Adakah ini ujian Allah keatas bangsa kita? Adakah kita sebagai umatnya mampu hadapi dugaan yang diberikan olehNya?


Banyak-banyaklah baca surah Al-Asr. Fahamilah dan ketahuilah di sebalik surah itu. 

Pesan : Jangan marah dan pukul aku. Aku liberal dalam hal politik. Tidak menyebelah mana-mana pihak. Jauh sekali hendak taksub kepada parti mana-mana.  Apa yang terjadi diluar, akan mempengaruhi undi aku yang satu nanti. Tentukanlah cara sendiri untuk tarik undi aku.


Saturday, March 24, 2012

Tanpa Tajuk

Sudah masuk tiga minggu praktikal. Macam biasa kerja dalam pejabat konsultan, buat 3D, buat design, dan macam-macam yang patut. Benda yang aku buat berterusan sampai bulan Julai. Alhamdulillah setakat ini tiada masalah yang ku hadapi. Cuma harapkan aku dapat selesaikan praktikal dengan baik serta penuh jaya. 

Aku bersyukur kerana tempat yang aku sertai memang sedia maklum dengan cara kerjaku. Setakat ini pun, aku selesa dengan cara kerja, suasana dan mereka yang bekerja di situ. Tiada punch card yang perlu dikejar, waktu makan yang agak berbeza dengan tempat yang lain dan hospitaliti yang diberikan. Aku menghargai penerimaan mereka. Moga aku dapat berikan yang terbaik serta memenuhi kehendak dan keperluan mereka yang sepatutnya. 

Cuma kekadang aku agak terkilan apa yang dihadapi oleh rakan sepelajar yang lain. Ada yang sebahagian daripada mereka mengalahkan orang yang bekerja tetap. Keluar rumah pukul 8, pulang tengah malam. Kalau seminggu, tidak mengapa. Tetapi berminggu-minggu bikin aku tertanya-tanya adakah bos mereka sengaja mahu ambil kesempatan atau eksploitasi kehadiran pelajar praktikal?

Sebenarnya banyak kekurangan lagi yang perlu kita semua kaji untuk memberi pengalaman kerja kepada bakal-bakal graduan L.A.. Sepatutnya aku tidak perlu menimbulkan hal ini kerana sedikit sebanyak pengaruh terhadap semester akhir aku kelak. Secara hakikatnya, pihak pentadbir harus sedar tentang perkara ini demi memastikan hasil graduan adalah berkualiti dan menepati keperluan pasaran.

Aku tinggalkan cerita dunia L.A. dahulu. 

Dalam blog ini, jarang aku bercerita tentang hal hati. Aku dalam keterbukaan yang ada, masih ada yang terpendam dan belum terbongkar. Hinggakan aku terasa sendiri dan tertanya perlukah berkongsi kisah hati yang sebenar. Manusia kekadang ini umpama sesumpah. Kadang-kadang baik, kadang-kadang buruk. Aku sendiri pun belum cukup baik. Secara serius aku kata biarlah sebahagian tentang cerita hati perasaan ini tersemat rapi dalam diri. 

Sejak kewujudan di atas muka bumi, kawan yang aku punya sentiasa ada dan silih berganti. Macam-macam perangai aku sudah jumpa. Ada yang aku rapat, ada yang aku 'gitu-gitu' sahaja. Ada masa aku lebih suka bersendirian bilamana ingin melakukan sesuatu yang orang lain  mungkin tidak suka. Sebaik mana sekalipun kita baik dengan seseorang, tidak semestinya akan menjadi sekepala. Tuhan jadikan manusia pelbagai ragam, sifat, perangai dan rupa supaya kita dapat kenali dan pelajari antara satu sama lain. 

Pesanku - Walaupun lengkap tidak semestinya sempurna dan walaupun sempurna tidak semestinya lengkap. Yang punya kedua-keduanya hanyalah Tuhan Yang Esa.




Tuesday, February 21, 2012

Kesempurnaan (Perfectionism)

Aku bersembang dengan seorang kawan aku. Bercerita sana sini tentang hal masing-masing dan sekeliling. Tiba-tiba dia berkongsi tentang cerita dia bergaul yang dianggap sebagai golongan konon dianggap 'hebat' dan suka memperlekehkan orang lain. Golongan itu bukan sahaja begitu tapi kadang-kadang mempertikaikan usaha yang dilakukan orang lain tanpa memikirkan penat lelah jerih. Yang teruknya hanya mahu nama dijulang tanpa satu usahasama dan kerjasama dengan orang lain. Yang penting bagi golongan ini adalah kesempurnaan untuk mengejar kepuasan diri sendiri dan mengipas golongan-golongan tertentu. 

Disini aku hendak menghuraikan tentang kesempurnaan (perfectionism). Sebenarnya aku naik rimas dengan golongan yang 'perfectionist'. Yang lagi teruk, 'perfectionist' tidak bertempat. Pengalaman aku bekerja bertahun dahulu mengajar aku bahawasanya masih ada orang tidak boleh menerima realiti tentang erti kekurangan atau berpada-pada. Yang penting untuk dirinya - asalkan lepas bahagiaanya tanpa disedari bahawa sebenarnya perkara tersebut tidak perlu. 

Aku menganggap bahawa orang-orang yang semacam ini lebih takut melakukan kesilapan daripada golongan manusia yang berani gagal. Golongan ini juga kekadang dianggap kurang keyakinan terhadap diri sendiri dan orang lain. Aku berani cakap kerana benda-benda sebeginilah penyebab berlaku terlampau banyak birokrasi dan integriti diperjudikan dalam urustadbir negara. Akibatnya berleluasalah rasuah. 

Aku malas hendak melalut tapi elok sangatlah bersederhana dalam sesuatu perkara. Jangan terlampau menurut kehendak hati dan nafsu. Silap-silap yang dikejar tak dapat, yang dikendong tercicir, yang diikat terlerai, yang dihambat terlepas.....


Friday, February 17, 2012

Botol Untuk Air Yasin

Dalam hal-hal berkait dengan Islam, aku masih terasa ada kekosongan yang belum terisi dalam hati, minda dan jiwa ini. Cuma apa yang aku hendak kongsikan pengalaman yang aku alami pada hari ini. Aku hendak kongsikan  benda ini untuk jadikan renungan dan pengajaran untuk diriku dan semua yang membacanya pada masa depan. Kepada siapa hendak kita tudingkan kesalahan itu, wallahualam. Tepuk dada tanya selera iman.

Pengalaman tadi terjadi semasa aku singgah bersolat Maghrib di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah @ Masjid Shah Alam. Semasa aku sampai berlangsungnya bacaan Surah Yassin dan tahlil. Tambahan pula ini malam Jumaat, maka disedekahkan pahala tersebut kepada arwah-arwah yang sudah tiada. Innalillah.

Aku tidak mengikut serta kerana ada temujanji dengan kawan. Selesai solat dan hendak keluar dari masjid, datang seorang hamba Allah yang terpinga-pinga memanggil aku. Lalu, aku pergi mendekatinya.

Penampilannya amat 'ringkas' sekali. Pakai 'body shirt' yang ketat nampak lengan, berseluar 'thigh' sendat dan bertudung shawl untuk menutup kepala dan rambutnya. Memang 'sopan'lah jawabnya kalau datang ke masjid sebegitu. Kemudian bermula perbualan ringkas antara aku dengan si wanita ini.

"Encik, boleh minta tolong tak ? Sebab saya sekarang tengah datang bulan," tanya wanita itu.

"Minta tolong apa?" Tanya balas daripada aku.

"Saya nak minta encik hantar botol-botol air untuk dibuat sebagai air Yasin," jawab wanita itu.

"Laa...cik. Orang kat atas sana dah selesai baca Yasin. Macamana cik tahu kat sini ada majlis bacaan Yasin?"

"Saya tahu sebab ada orang announce nama-nama orang tadi," rujuknya kepada arwah-arwah yang disebut pada awal bacaan tadi.

Sambungnya lagi, "Boleh encik tolong tinggalkan untuk saya? Esok hari saya datang ambillah." 

Aku membalas, "Kalau saya tinggalkan kat sini, nanti siapa yang nak tolong awak ambilkan? Saya pun tidak pernah datang baca Yasin di sini." 

"Apa kata, awak cuba tanya orang lain atau awak cari surau yang berdekatan. Mungkin dapat menolong,"tambah aku lagi. 

Sampai situ, aku berpisah dengan wanita itu sebab ada temujanji dengan orang lain. Serba salah aku melihat dia juga. Lalu semasa berlalu, banyak persoalan yang bermain di dalam kepala aku ini :

Adakah dia tahu adab-adab berpakaian ketika berada di kawasan masjid walaupun dalam keadaan datang bulan @ haid?

Jika dirinya sendiri tidak suci, kenapa tidak minta tolong dari saudara lelaki atau kawan lelaki untuk bawakan botol-botol air tersebut ke masjid?

Jika dirinya tidak suci, kenapakah tidak mahu minta orang yang terdekat samada kawan atau saudara bacakan bersama surah Yasin? 

Adakah dengan pergi ke masjid serta minta tolong dibuatkan air Yasin akan selesai hal? 

Adakah usaha itu mencukupi dengan sekadar mengharap bantuan orang lain tanpa melibatkan diri sendiri? 

Aku tidak tahulah persoalan yang ditimbulkan relevan atau sebaliknya. Tapi apa yang aku lalui tadi mungkin secebis saja. 

Sebenarnya tidak disangka masih ada manusia yang cetek, jahil tentang hal dalam agama Islam walaupun sudah besar panjang malah memiliki segulung ijazah. Sesetengah mereka hanya tahu hukum hakam agama bila hal berkaitan nikah kahwin, cerai berai dan kematian. Nama artis atau politikus lebih dikenali berbanding nama-nama Nabi.

Adakah ini ujian yang Tuhan turunkan untuk kita tanpa siapa sedari? 

Aku risau juga satu hari nanti bila ibu bapa meninggal nanti, siapa yang mensolatkan mereka? Atau bagaimana kita dijemput nanti siapa pula yang akan menyembahyangkan kita? Kekadang itu tidak jadi persoalan siapa yang akan jadi imam kelak. Tapi ini persoalan yang kita sama-sama fikir :

Adakah kita melaksanakan pesanan ibu bapa supaya melakukan apa yang disuruh agama terutamanya solat?

Adakah kita sudah bersedia dari aspek dunia dan akhirat dalam mendidik anak-anak yang bakal dilahirkan kelak?

Kekadang aku sendiri terabai untuk melaksanakannya. 

Memang hebat kalau diri ini punya segala kemahiran dan kepandaian dalam ilmu duniawi. Tapi apalah gunanya ilmu tersebut kalau sebagai seorang Muslim andainya terdapat batu pemisah antara ilmu-ilmu Islam.

Fikirkan dan renungkan.

Sempena hari yang baik, mari sama-sama kita berdoa memohon agar dilembutkan hati, diberi rahmat dan keampunan dari-Nya. Aku memohon dijauhkan dari segala perasaan riak, takbur dan kufur semasa cerita ini ditaip. Apa yang aku usahakan bukanlah untuk mengaibkan sesiapa sebaliknya sekadar berkongsi apa yang dialami. 

Salam Jumaat Untuk Semua