Saturday, March 24, 2012

Tanpa Tajuk

Sudah masuk tiga minggu praktikal. Macam biasa kerja dalam pejabat konsultan, buat 3D, buat design, dan macam-macam yang patut. Benda yang aku buat berterusan sampai bulan Julai. Alhamdulillah setakat ini tiada masalah yang ku hadapi. Cuma harapkan aku dapat selesaikan praktikal dengan baik serta penuh jaya. 

Aku bersyukur kerana tempat yang aku sertai memang sedia maklum dengan cara kerjaku. Setakat ini pun, aku selesa dengan cara kerja, suasana dan mereka yang bekerja di situ. Tiada punch card yang perlu dikejar, waktu makan yang agak berbeza dengan tempat yang lain dan hospitaliti yang diberikan. Aku menghargai penerimaan mereka. Moga aku dapat berikan yang terbaik serta memenuhi kehendak dan keperluan mereka yang sepatutnya. 

Cuma kekadang aku agak terkilan apa yang dihadapi oleh rakan sepelajar yang lain. Ada yang sebahagian daripada mereka mengalahkan orang yang bekerja tetap. Keluar rumah pukul 8, pulang tengah malam. Kalau seminggu, tidak mengapa. Tetapi berminggu-minggu bikin aku tertanya-tanya adakah bos mereka sengaja mahu ambil kesempatan atau eksploitasi kehadiran pelajar praktikal?

Sebenarnya banyak kekurangan lagi yang perlu kita semua kaji untuk memberi pengalaman kerja kepada bakal-bakal graduan L.A.. Sepatutnya aku tidak perlu menimbulkan hal ini kerana sedikit sebanyak pengaruh terhadap semester akhir aku kelak. Secara hakikatnya, pihak pentadbir harus sedar tentang perkara ini demi memastikan hasil graduan adalah berkualiti dan menepati keperluan pasaran.

Aku tinggalkan cerita dunia L.A. dahulu. 

Dalam blog ini, jarang aku bercerita tentang hal hati. Aku dalam keterbukaan yang ada, masih ada yang terpendam dan belum terbongkar. Hinggakan aku terasa sendiri dan tertanya perlukah berkongsi kisah hati yang sebenar. Manusia kekadang ini umpama sesumpah. Kadang-kadang baik, kadang-kadang buruk. Aku sendiri pun belum cukup baik. Secara serius aku kata biarlah sebahagian tentang cerita hati perasaan ini tersemat rapi dalam diri. 

Sejak kewujudan di atas muka bumi, kawan yang aku punya sentiasa ada dan silih berganti. Macam-macam perangai aku sudah jumpa. Ada yang aku rapat, ada yang aku 'gitu-gitu' sahaja. Ada masa aku lebih suka bersendirian bilamana ingin melakukan sesuatu yang orang lain  mungkin tidak suka. Sebaik mana sekalipun kita baik dengan seseorang, tidak semestinya akan menjadi sekepala. Tuhan jadikan manusia pelbagai ragam, sifat, perangai dan rupa supaya kita dapat kenali dan pelajari antara satu sama lain. 

Pesanku - Walaupun lengkap tidak semestinya sempurna dan walaupun sempurna tidak semestinya lengkap. Yang punya kedua-keduanya hanyalah Tuhan Yang Esa.




Tuesday, February 21, 2012

Kesempurnaan (Perfectionism)

Aku bersembang dengan seorang kawan aku. Bercerita sana sini tentang hal masing-masing dan sekeliling. Tiba-tiba dia berkongsi tentang cerita dia bergaul yang dianggap sebagai golongan konon dianggap 'hebat' dan suka memperlekehkan orang lain. Golongan itu bukan sahaja begitu tapi kadang-kadang mempertikaikan usaha yang dilakukan orang lain tanpa memikirkan penat lelah jerih. Yang teruknya hanya mahu nama dijulang tanpa satu usahasama dan kerjasama dengan orang lain. Yang penting bagi golongan ini adalah kesempurnaan untuk mengejar kepuasan diri sendiri dan mengipas golongan-golongan tertentu. 

Disini aku hendak menghuraikan tentang kesempurnaan (perfectionism). Sebenarnya aku naik rimas dengan golongan yang 'perfectionist'. Yang lagi teruk, 'perfectionist' tidak bertempat. Pengalaman aku bekerja bertahun dahulu mengajar aku bahawasanya masih ada orang tidak boleh menerima realiti tentang erti kekurangan atau berpada-pada. Yang penting untuk dirinya - asalkan lepas bahagiaanya tanpa disedari bahawa sebenarnya perkara tersebut tidak perlu. 

Aku menganggap bahawa orang-orang yang semacam ini lebih takut melakukan kesilapan daripada golongan manusia yang berani gagal. Golongan ini juga kekadang dianggap kurang keyakinan terhadap diri sendiri dan orang lain. Aku berani cakap kerana benda-benda sebeginilah penyebab berlaku terlampau banyak birokrasi dan integriti diperjudikan dalam urustadbir negara. Akibatnya berleluasalah rasuah. 

Aku malas hendak melalut tapi elok sangatlah bersederhana dalam sesuatu perkara. Jangan terlampau menurut kehendak hati dan nafsu. Silap-silap yang dikejar tak dapat, yang dikendong tercicir, yang diikat terlerai, yang dihambat terlepas.....


Friday, February 17, 2012

Botol Untuk Air Yasin

Dalam hal-hal berkait dengan Islam, aku masih terasa ada kekosongan yang belum terisi dalam hati, minda dan jiwa ini. Cuma apa yang aku hendak kongsikan pengalaman yang aku alami pada hari ini. Aku hendak kongsikan  benda ini untuk jadikan renungan dan pengajaran untuk diriku dan semua yang membacanya pada masa depan. Kepada siapa hendak kita tudingkan kesalahan itu, wallahualam. Tepuk dada tanya selera iman.

Pengalaman tadi terjadi semasa aku singgah bersolat Maghrib di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah @ Masjid Shah Alam. Semasa aku sampai berlangsungnya bacaan Surah Yassin dan tahlil. Tambahan pula ini malam Jumaat, maka disedekahkan pahala tersebut kepada arwah-arwah yang sudah tiada. Innalillah.

Aku tidak mengikut serta kerana ada temujanji dengan kawan. Selesai solat dan hendak keluar dari masjid, datang seorang hamba Allah yang terpinga-pinga memanggil aku. Lalu, aku pergi mendekatinya.

Penampilannya amat 'ringkas' sekali. Pakai 'body shirt' yang ketat nampak lengan, berseluar 'thigh' sendat dan bertudung shawl untuk menutup kepala dan rambutnya. Memang 'sopan'lah jawabnya kalau datang ke masjid sebegitu. Kemudian bermula perbualan ringkas antara aku dengan si wanita ini.

"Encik, boleh minta tolong tak ? Sebab saya sekarang tengah datang bulan," tanya wanita itu.

"Minta tolong apa?" Tanya balas daripada aku.

"Saya nak minta encik hantar botol-botol air untuk dibuat sebagai air Yasin," jawab wanita itu.

"Laa...cik. Orang kat atas sana dah selesai baca Yasin. Macamana cik tahu kat sini ada majlis bacaan Yasin?"

"Saya tahu sebab ada orang announce nama-nama orang tadi," rujuknya kepada arwah-arwah yang disebut pada awal bacaan tadi.

Sambungnya lagi, "Boleh encik tolong tinggalkan untuk saya? Esok hari saya datang ambillah." 

Aku membalas, "Kalau saya tinggalkan kat sini, nanti siapa yang nak tolong awak ambilkan? Saya pun tidak pernah datang baca Yasin di sini." 

"Apa kata, awak cuba tanya orang lain atau awak cari surau yang berdekatan. Mungkin dapat menolong,"tambah aku lagi. 

Sampai situ, aku berpisah dengan wanita itu sebab ada temujanji dengan orang lain. Serba salah aku melihat dia juga. Lalu semasa berlalu, banyak persoalan yang bermain di dalam kepala aku ini :

Adakah dia tahu adab-adab berpakaian ketika berada di kawasan masjid walaupun dalam keadaan datang bulan @ haid?

Jika dirinya sendiri tidak suci, kenapa tidak minta tolong dari saudara lelaki atau kawan lelaki untuk bawakan botol-botol air tersebut ke masjid?

Jika dirinya tidak suci, kenapakah tidak mahu minta orang yang terdekat samada kawan atau saudara bacakan bersama surah Yasin? 

Adakah dengan pergi ke masjid serta minta tolong dibuatkan air Yasin akan selesai hal? 

Adakah usaha itu mencukupi dengan sekadar mengharap bantuan orang lain tanpa melibatkan diri sendiri? 

Aku tidak tahulah persoalan yang ditimbulkan relevan atau sebaliknya. Tapi apa yang aku lalui tadi mungkin secebis saja. 

Sebenarnya tidak disangka masih ada manusia yang cetek, jahil tentang hal dalam agama Islam walaupun sudah besar panjang malah memiliki segulung ijazah. Sesetengah mereka hanya tahu hukum hakam agama bila hal berkaitan nikah kahwin, cerai berai dan kematian. Nama artis atau politikus lebih dikenali berbanding nama-nama Nabi.

Adakah ini ujian yang Tuhan turunkan untuk kita tanpa siapa sedari? 

Aku risau juga satu hari nanti bila ibu bapa meninggal nanti, siapa yang mensolatkan mereka? Atau bagaimana kita dijemput nanti siapa pula yang akan menyembahyangkan kita? Kekadang itu tidak jadi persoalan siapa yang akan jadi imam kelak. Tapi ini persoalan yang kita sama-sama fikir :

Adakah kita melaksanakan pesanan ibu bapa supaya melakukan apa yang disuruh agama terutamanya solat?

Adakah kita sudah bersedia dari aspek dunia dan akhirat dalam mendidik anak-anak yang bakal dilahirkan kelak?

Kekadang aku sendiri terabai untuk melaksanakannya. 

Memang hebat kalau diri ini punya segala kemahiran dan kepandaian dalam ilmu duniawi. Tapi apalah gunanya ilmu tersebut kalau sebagai seorang Muslim andainya terdapat batu pemisah antara ilmu-ilmu Islam.

Fikirkan dan renungkan.

Sempena hari yang baik, mari sama-sama kita berdoa memohon agar dilembutkan hati, diberi rahmat dan keampunan dari-Nya. Aku memohon dijauhkan dari segala perasaan riak, takbur dan kufur semasa cerita ini ditaip. Apa yang aku usahakan bukanlah untuk mengaibkan sesiapa sebaliknya sekadar berkongsi apa yang dialami. 

Salam Jumaat Untuk Semua


Tuesday, December 13, 2011

Bangangnya orang yang tak pakai otak

Memang tajuk entri kali ini bunyinya macam kasar sikit tapi itulah hakikat bila tidak belajar ilmu Alam atau Geografi. Yang lagi teruk bila ada GPS atau smartphone tapi tidak manafaatkan penggunaan aplikasi map. Beli mahal mahal ataupun download secara percuma apps sekadar hendak bagi penuh skrin telefon. Kalau macam itu punya perangai, campakkan saja telefon pintar dalam air banjir. Pakai telefon 'chokia' saja kalau beli sekadar untuk berFB, bertwitter atau main Angry Bird.

Aku jadi ada mood hendak menulis berdasarkan trending Twitter petang tadi. SMART Tunnel. Aku baca timeline dan sesetengahnya menyalahkan terowong SMART bila banjir hadapan Perpustakaan Negara, Pusrawi dan IJN. Memang aku rasakan itu antara orang-orang yang ada ilmu tapi tidak gunakannya. Yang teruknya mesti ada kononnya kata itu 'bukan hal aku, kenapa perlu ambil peduli? Janji hidup aku lancar'. Aku rasa itulah manusia yang paling tidak bersyukur dan ambil sedar hikmah kejadian ini.

Elok benar rasanya aku kongsi secara ringkas pengetahuan yang ada. Memang asalnya Sungai Bunus ini merupakan salah satu cabang dari Sungai Klang. Apabila arus pembangunan mengambil tempat, maka Sungai Bunus sudah jadi macam longkang untuk campak sampah dan buang anak. Berdasarkan dalam Google Map, aku sendiri tengok yang Sungai Bunus ini seolah sudah terputus kualanya dengan Sungai Klang.

Jadi ke mana air itu hendak pergi? Apabila Sungai Bunus yang menjadi longkang kecil tidak menampung kapisiti air hujan, maka melimpah keluarlah menenggelamkan kawasan yang rendah. 

Yang menghairankan aku adalah bila sesetengah tempat di KL banjir, terowong SMART selalu dipersalahkan. Itulah mentaliti orang kita sebenarnya, tidak tahu pucuk pangkal. Sedangkan kita sendiri kena sedar apabila pembangunan yang dibuat tidak ambil kira sensitiviti lain termasuk alam sekitar, maka sesekali jangan menyalahkan apa yang terjadi pada masa hadapan. Kita kena ingat alam ini sebahagian daripada hidup kita. 

Pasal mentaliti suka menuduh atau meletakkan kesalahan tanpa usul periksa pun sudah jadi penyakit dalam segelintir masyarakat kita. Boleh jadi teruk jatuh fitnah. Takkanlah terus hendak menyalahkan apa yang terjadi. Andainya sudah ditakdirkan mahu banjir kilat sebegitu, haruskah kita lemparkan kesalahan itu pada terowong besar? Inilah sikap manusia yang lupa daratan dan hakikat sebenarnya. Janganlah kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar. 

Kita kena sedar bahawa apa yang terjadi itu adalah ketentuan Tuhan. Kita kena terima sebaik mungkin. Setiap kejadian itu ada hikmahnya. Ada satu quotes yang aku nak kongsi dengan semua pembaca.

If we extremely blame on Nature, we explicitly put blame on God.

Wednesday, December 7, 2011

Konsep jaring sosial

Sudah lama aku tidak berblogging. Alhamdulillah, Tuhan masih bagi peluang menaip. Tiba-tiba aku ada idea untuk bermadah pagi pagi buta ini. Sesiapa yang terasa bila membaca ini, jangan marah aku pasal benda ini. Gunakan hak untuk berfikir dan bertindak sebaik mungkin. Kerana apa yang aku panjangkan di sini bukan niat untuk melebarkan di realiti sebenar. Apa yang aku nak luahkan adalah konsep  pasal jaringan sosial atau social network pada perspektif aku.

Secara asasnya aku deactivate Facebook. Alasan berbuat demikian adalah macam-macam. Hanya mereka yang betul-betul sahaja mengenali mengetahuinya. Aku beralih arah menggunakan Twitter untuk berhubung dan mengetahui sesuatu yang aku minat. Masa aku sertai, hanya segelintir sahaja yang menggunakan aplikasi ini.

Terima kasih kepada teknologi dan peredaran masa. Semakin ramai yang mula membuka akaun Twitter dan memohon jadi follower aku. Aku benarkan. Tapi sebahagiannya aku memang tidak mengikuti mereka. Tidak menjadi permasalahan sekiranya tidak berkawan dalam secara maya. Jadi kemusykilan, adakah aku yang tidak faham atau merekakah yang kurang jelas dengan konsep pasal jaringan social network. 

Aku secara terang-terangan pernah ikut satu akaun twitter seorang minah yang agak popular. Tapi bila timeline  aku penuh dengan tweet dia, terus unfollow . Jadi sejak dari hari itu aku berpegang konsep tak-suka-boleh-tinggal. Masing-masing ada hak untuk menggunakan ruangan yang ada untuk berekspresi dan berkata-kata.

Pagi buta ini, memang aku gila sikit kononnya. Lagu-lagu yang aku dengar, liriknya di'tweet'kan. Penuh panjang berjela kira timeline. Maka, mulalah ada yang kurang senang atas kebanjiran TL benda macam ini. Untuk memecahkan kebuntuan, aku menyatakan sedemikian.


Mungkin ini kali pertama aku terpaksa nyatakan sedemikian atas kebebasan hak masing-masing. Bukan seperti dalam Facebook, boleh tapis postwall sesiapa yang kita tidak suka atau suka. Konsep Twitter berbeza dengan Facebook. 

Mungkin apa yang aku buat pagi ini benda yang lagho, merapu, meraban atau merepek. Aku sedar tapi apa hak anda untuk halang orang sedangkan alternatif lain mengelakkan benda ini. Jadi, kalau sudah jadi 'pengikut' maka suka atau tidak kena terima apa yang dinyatakan. Biarlah beribu kali orang ber'tweet' sekalipun, tidak semestinya kita perlu ambil kisah apa yang dikatakan. 

Secara terus terang, aku tidak kisah kalau kawan aku seperti @miogy, @pali7x dan lain-lain tidak menjadi pengikut atau ber'kawan' secara maya atau online. Mereka ada sebab dan hak untuk menentukannya. Yang lebih penting adalah perhubungan dalam dunia realiti, bersua semuka berbicara dengan jelas lagi nyata. 

Secara berterus terang, biarlah aku ringkaskan.
  • Apabila anda hendak mengikut sesuatu akaun atau jadi follower, maka anda perlu terima apa yang dikatakan
  • Selagi tidak menyalahi undang-undang, mengganggu sensitiviti atau tidak memberi ancaman dalam bentuk penghinaan atau maruah, kita tidak boleh menghalang apa yang dilakukan oleh seseorang. 
  • Apa yang dinyatakan secara online, tidak boleh sebulat bulatnya dibawa ke dunia sebenar. Benda ini sebenarnya lebih parah jika tiada orang yang tahu bezakan antara realiti dan maya.
  • Jika tidak suka apa yang dikatakan atau meluat, hak ada pada diri sendiri untuk tidak mengikuti secara maya. Jangan kerana 'konon-mahu-jaga-hati-kawan', kita jadi kurang cerdik bila membuat keputusan. 

Biarlah orang kata aku terasa, sensitif atau sentap tapi benda yang diceritakan adalah pada prinsip yang betul. 

Senang cerita, keputusan di hujung jari anda. Anda sendiri yang menentukan.