Wednesday, July 6, 2011

Insomnia......

Sejak kebelakangan ini, kalau tidur malam sahaja aku akan terjaga kira-kira pukul 3 pagi. Mungkin silap sendiri yang tidur lewat. Atau kekadang lupa baca doa atau basuh kaki. Boleh jadi kalau banyak fikir sangat. Astagafirullah. Harap-harap selalu dalam hati aku ini sebelum tidur serah bulat-bulat kepada Allah Taala. Mana tahu, kita terus lena selama-lamanya.

Aku tidak tahu ini adakah kesan sampingan akibat tabiat tidur lewat atau selalu berjaga malam? Faham-faham sajalah kalau nama pun budak studio-based, malam atau siang sama saja. Kalau mengantuk baru tidur. Setakat ini kalau masa di pejabat, kekadang terasa mengantuk juga. Kalau terasa sangat, aku bangun dari kerusi dan mundar mandir ke tempat orang lain. Tidak pun lepak di bilik mesyuarat, bancuh air sambil ligat otak fikir itu ini.

Sekarang aku harap dapat berjaga sampai azan subuh. Niat aku hari ini semoga Allah bagi peluang untuk berjemaah di surau. Jarang sangat dapat turun ke surau waktu subuh. Sasaran aku sebolehnya kerap pergi ke surau.

Semoga kita semua dimurahkan rezeki pada hari ini. InsyaAllah.

Aku fikir sendiri apa disebalik bangun awal murah rezeki. Siang tadi aku tweet seseorang dan tanyakan pukul berapa dia gerak ke tempat kerja. Dia jawab pukul 6.20pagi. Aku cakap sama dia moga-moga murah rezeki selalu. Ada maksud tersirat murah rezeki bila bangun awal.

Biar aku cakap dari perspektif zaman moden. Pada pandangan aku, dunia semakin lama, semakin maju. Makin maju makin cepatlah jawabnya. Kalau sebaliknya maknanya makin terbelakanglah jawabnya. Kalau mahu dikaitkan murah rezeki, aku ambil contoh mudah :

Kita bangun pagi, sembahyang subuh, siap untuk keluar pejabat. Andaikata tinggal luar KL misalnya Shah Alam atau Gombak, benda yang mesti selalu orang berfikir adalah mahu elak sangkut dalam kesesakan. Maka orang akan keluar awal, pasal tidak banyak lagi kereta atas jalan waktu tersebut. Sudah pastinya minyak kereta tidak bazirkan begitu sahaja. Tidak perlu banyak wang untuk dibelanja. Sebaliknya kalau sangkut, maknanya minyak mesti kena kerap isi selalu pasal sah-sah kereta dihidupkan lebih lama.

Balik pada cerita aku semula

Aku cuba latih diri ini supaya bangun awal macam dulu. Bukan tidak biasa, kerap juga tergelincir. Masa aku sekolah rendah, sudah diajar bangun awal setiap pagi. Masa cuti, ikut Tok aku pergi pasar untuk beli barangan dapur untuk kedai makan. Sekolah menengah pula, duduk asrama lagilah kena displin sikit. Kekadang cuti, balik tolong mak dengan abah bungkus kuih dengan nasi lemak untuk jual di pejabat.

Aku cuba usaha supaya diri ini tidak mahu tercicir lagi. Biar buat masa ini untung tidak seberapa tapi jangan rugi selalu. Harap sementara ada peluang untuk berubah, aku tidak mahu cakap kosong saja. Banyak sangat benda aku tertinggal. Semoga Allah terangkan hati aku dan tanamkan sifat-sifat yang baik dalam diri aku.

Tuesday, July 5, 2011

CPU baru....

Alhamdulillah, dapat juga balik awal sikit berbanding minggu-minggu lepas. Kalau tidak, balik nampak bulan dan bintang sajalah. Selalu lepas Isyak baru turun dari pejabat.

Kelmarin lewat juga aku pergi rumah Mak Long di Batu Belah. Hantar CPU dia. Dekat 2 bulan dia minta tolong. Akhirnya dapat juga diperbaiki. Tapi yang hampa, monitor dia buat perangai. Bahana beli LCD 2nd. Tapi kira oklah sebab dah pakai setahun lebih. Beli masa hari itu dengan harga RM150. Saiz 16 inci. CPU dia pun dah tua. Bayangkan masih pakai Pentium 4 sebagai processor. Teknologi 5 tahun. Tak rosak apa sangat pun. Cuma CMOS saja sudah gelong. Bayangkan kalau sesiapa yang serba kemaskini, update sana sini tapi masih guna teknologi lima tahun dahulu, sah-sah jadi tertekan dek lembapnya ia bekerja. Dengan kemunculan teknologi yang makin lama makin canggih, sudah pasti diri kita sendiri kekadang tidak terikut dengan perubahan kemajuan ini.

Sebut pasal CPU, aku rasa cemburu juga bila ada kawan sepejabat aku laburkan duit untuk CPU baru. Dia pasang dalam pejabat CPU baru petang semalam. Memang geram aku tengoklah jadi. Baru habiskan sampai RM1400. Rasa macam senang saja dia keluarkan duit sejumlah itu. Hahaha. Tapi bagi aku, mungkin berbaloi kalau sesiapa yang terlibat bidang teknikal dan rekabentuk membelanjakan sejumlah besar wang demi hasil kerja grafik yang menarik dan berkualiti. Memadailah kiranya kalau setakat lepas buat 3D, AutoCAD, superimposing guna Photoshop dan rendering. Kalau pelaburan RM3000 dan ke atas, itu sudah dianggap super professional. Kalau siapa yang kerjanya sampai mahu kena buat animation kemudian hasilkan produk macam cerita Transformers, elok sangat siap duit banyak untuk build up CPU yang 'high end' spesifikasinya.

Aku pun cadang mahu buat satu CPU baru. Set yang aku ada sekarang masih boleh guna lagi. Cuma aku mahu upgrade supaya memudahkan aku untuk buat kerja dengan cepat. Tambahan pula graphic card ATI2600XT yang aku warisi dari encik Pali sudah kurang cekap atau tidak efisien lagi. Asyik sangkut kalau tengah render atau main game. PC aku ni pun sudah berusia hampir 2 tahun. Boleh dianggap sudah masuk usia senja.

Tapi aku jadi dalam dilema pulak sekarang. Aku cerita benda ni sama Pali. Tiba-tiba dia nak tolak Dell Optiplex330 kepunyaannya. Ok juga harga yang dia tawarkan kepada aku. Jimat beratus dan boleh buat belanja makan steamboat. Dia kata CPU yang dia pakai sekarang tidak boleh masuk OS. Mula-mula aku macam mahu angkat tapi bila-bila tengok kawan punya CPU yang baru buat aku berubah fikiran.

Isk....nampaknya aku kena fikir dulu, bincang dengan yang expert-expert....

Sunday, July 3, 2011

Aku Menulis Bukan Kerana Nama...

Sudah lama aku berblogging. Penghujung 2007 aku sudah mula buat posting. Alhamdulillah, masih wujud lagi blog Berita Dari Rantau aku ini. Nama ini aku inspirasikan dari lagu Alleycats - Berita Dari Rantau. Memang sesuai dengan aku. Seorang manusia yang berada di perantauan bumi Tuhan. Sampai sekarang masih wujud lagi dan harap kekal sampai aku mati nanti.

Kewujudan blog ini lebih lama berbanding akaun Facebook dan Twitter aku. Sebelum ada 2 akaun itu, blog ini tempat aku berekspresi, berkongsi cerita dan perasaan secara alam maya. Mungkin ada bagus juga blog ini untuk orang seperti aku. Aku ini kurang berpetah bercakap. Dalam kepala otak aku, banyak aku suka berfikir, imaginasi dan berangan. Mungkin dengan posting yang ada, aku harap orang akan faham apa yang ingin aku sampaikan.

Yang pastinya aku tidak jadikan blog aku ini sebagai untuk menjana dan mencari wang. Untuk iklan buat masa ini pun jauh sekali. Blog aku sendiri amat ringkas. Biar orang yang lawat blog aku ini nampak tiada apa-apa tapi yang penting adalah apa yang ingin katakan. Back to basic.

Asal kata blog ada Weblog. Maknanya boleh di'google' dalam Wikipedia. Maka, aku anggap blog ini umpama sebuah diari atau logbook. Terpulang kepada cara masing-masing untuk hidupkan blog. Tapi aku cuba berpegang pada prinsip 'Menulis Bukan Kerana Nama'. Aku cuba memahami prinsip itu dan menterjemahkan dari perspektif aku sendiri.


Saturday, July 2, 2011

Julai yang lalu


Alhamdulillah, Tuhan bagi aku umur panjang lagi. Dapat kaki aku jejak atas bumi Shah Alam. Tenang dan damai. Itulah yang aku dapat cakap. Suasana macam ini, mungkin susah hendak dapat di tempat lain.

Sudah setahun aku tinggal di Shah Alam. Memang aku akui, kos hidup sini lebih mahal sikit berbanding di Kuala Lumpur. Kalau sini ada RM5, cukup-cukup dapat nasi, sayur atau ikan. Kalau KL, mungkin aku masih beruntung dan bernasib baik. Silap2 RM5 boleh dapat dengan air manis sekali. Barangkali baki lima kupang pun boleh dapat.

Tapi penghijrahan aku sebenarnya adalah untuk sambung belajar. Bagi aku bulan tujuh atau Julai agak signifikan dalam hidup aku ini. Tujuh tahun lalu, bermulalah saat aku hidup jauh dari keluarga. Mula babak aku jadi anak rantau. Aku dapat masuk belajar di UiTM Shah Alam. Masa itu orang lain sudah sebulan mendaftar dan belajar. Aku dapat tawaran lepas buat rayuan untuk minta masuk. Kalau tidak salah, bukan aku seorang sahaja. Ada beberapa kawan aku yang daftar lewat. Akhmar, ET, Fit, Wawan, Udenkt, Hanisah, Yan dan Ira. Yang paling pasti adalah siapa yang masuk lewat nombor matrix dia bermula dengan 200468xxxx.

Bulan Julai yang signifikan. Tiga tahun kemudian (2007), aku dapat kerja. Masa aku sudah tekad. Mahu berehat dari belajar. Aku lalui semester akhir diploma dengan penuh dramatik. Kawan diploma aku yang lain masuk belajar, aku masuk pejabat. Jadilah aku sebagai seorang Pembantu Teknikal Landskap. Kecil habis gaji aku masa mula-mula, RM800. Bayangkanlah macamana mahu hidup dengan pendapatan sekecil itu. Pernah sekali aku tunggang bawa dan terlanggar bumper kereta. Tidak pasal-pasal RM300 aku terbang. Duit yang patut jadi belanja raya bukan rezeki aku. Memang perit juga.

Setahun yang lalu, juga memang meninggalkan kenangan dalam hidup aku juga. Terjadi dalam bulan Julai juga. Setelah 3 tahun bekerja, memang dalam perancangan aku mahu sambung belajar. Nampak semuanya lancar tetapi Tuhan mahu uji aku. Mula-mula sekali, aku tidak ditawarkan ke UiTM, sebaliknya dapat tawaran UTM. Masa itu, rasa kecewa habis. Sebabnya dalam lapan-lapan pilihan, UiTM pilihan pertama dan UTM pilihan kelapan. Pelik jugalah sebab yang terakhir itu yang aku dapat. Dari situ, turun naik aku dari Kuala Lumpur ke Shah Alam. Cuti tapi gaji selama 3 hari.

Tidak cukup dengan itu, aku terpaksa ke Skudai gara-gara bantuan pihak UTM Jalan Semarak yang tidak seberapa. Memang betul-betul aku diuji. Naik keretapi tiba-tiba sangkut dekat Labis jam 4 pagi. Masa sangkut, aku ada rasa give up. Bayangkan 8 jam menunggu tren ke Johor Bahru. Sudahlah terbuang masa di Stesen Labis hampir 4jam.

Inilah Stesen Labis. Bayangkan jam pukul 4 pagi kalau sangkut di sini....

Akhirnya keretapi dapat bertolak dari Stesen Kluang jam 12.oo tengahari. Jam 2.oo petang 29hb Jun 2010, baru sampai stesen Johor Bahru setelah masa terbuang hampir 14jam gara-gara masalah keretapi.

Aku pergi ke Skudai bukan suka-suka. Tapi kerana hanya sekeping surat pengesahan penolakan tawaran ke UTM. Bukan aku tidak mahu ke UTM tapi banyak benda aku perlu ambilkira. Kalau aku kena pindah, barang-barang rumah mahu letak di mana? Kemudian dengan kewangan yang tidak mencukupi, sudah pasti aku tidak mampu tanggung kos semasa belajar di UTM.

Selesai urusan rayuan dibuat, aku serah bulat-bulat. Aku sudah berusaha sebaik mungkin. Maka aku masuk pejabat balik. Bos naik angin dengan aku. Marah pasal aku ambil cuti emergency tiga hari berterusan. Panas telinga jawabnya.

Masa itu aku ada fikir perancangan lain. Aku cadang mahu berhijrah ke selatan tanahair. Mahu cuba rasa hidup disana.

Pada satu malam pada hari Khamis (1 Julai 2010) di pejabat, tinggal aku dengan kawan pejabat. Dengan jiwa hati tidak stabil, kena buat overtime. Sambil-sambil sedang buat printing, tiba-tiba gatal tangan masuk website UPU. Mahu check result. Alhamdulillah, menjerit aku seorang diri. Aku gembira ditawarkan tempat ke UiTM. Memang semua orang aku mesej malam tu. Seronok habis malam itu.

Keesokan hari Jumaat, jadilah hari terakhir aku bekerja di RPLC. Kalau siapa yang pernah kerja situ, faham-faham sajalah. There is no happy ending at the beginning, so do I. Di'psycho'nya aku pasal mahu saman aku gara-gara tindakan yang aku buat - cuti kecemasan dan resignation. Tapi aku buat keras hati dan pekak telinga pasal sudah jadi lumrah bila staff mahu cabut. Aku serah surat letak jawatan aku.

Ada sebab aku tidak mahu beritahu bos aku. Aku tidak mahu dia masuk campur segala urusan peribadi aku. Memang mulut senang cakap tapi perbuatan dia kekadang tidak boleh orang terima.

Maka, pada 2 Julai 2010, itulah hari terakhir bekerja secara professional setelah tiga tahun menjadi Pembantu Arkitek Landskap.

Secara senyap tanpa pemberitahuan dalam Facebook, aku datang rumah Ali, Akmal, Khairil, Chak dan Lo di komersial Seksyen 7. Depa pun tidak sangka aku sambung masuk belajar di UiTM. Aku tumpang rumah depa sebelum pergi masuk mendaftar pada pagi 3 Julai 2010 hari Sabtu. Masa hari mendaftar, aku pergi bersama Aiman, Faridrul dengan Mazawarni.

Akhirnya setahun sudah berlalu. Semoga aku dapat berjumpa Julai yang akan datang. InsyaAllah. Tidak aku sangka kebanyakan bulan Julai yang aku rasai penuh debaran dan cerita.





Tuesday, May 24, 2011

Penulisan Awal Pagi....

Saja aku menulis awal pagi ini. Dah banyak hari aku tidak taip posting. Berkejar dengan kerja. Ada posting memang hendakkan taipkan tapi semua cerita sekerat jalan.

Semoga hari ini jadi hari yang lebih baik dari semalam. Biarlah kekecewaan yang aku lalui diganti dengan kegembiraan yang setimpal. Malas aku hendak berkonfrontasi dengan orang yang letak akal di kepala lutut. Buat sakit hati aku dan orang sekeliling.

Kalau boleh jangan menyusahkan orang lain. Kalau diri sendiri senang atas kesusahan orang lain, zalim namanya. Memang dosalah jawabnya.