Wednesday, March 9, 2011

Alahai.....


Pagi buta macam sekarang, otak aku rasa masih segar lagi walaupun badan aku cakap mahu tidur. Lepas tengok Liga Juara-Juara, lepas ini aku akan mengikuti perkembangan pasukan Barcelona pula. Barcelona merupakan pasukan yang aku minati selepas Arsenal. Faktor yang aku suka pasukan Barcelona sebab dahulu adanya Thierry Henry dan Ronaldinho. Kemudian munculnya Lionel Messi, minat aku pada Barcelona tidak setakat itu sahaja.

Tapi kekalahan Arsenal pada pagi ini, agak mengecewakan aku. Walaupun permainan di kuasai oleh Barca, aku lihat si Almunia menunjukkan prestasinya yang agak baik. Banyak cubaan di setiap penjuru dapat dikekang dengan kemas. Yang menjadi masalah sekarang adalah barisan pertahanan yang agak lemah dan masih kurang pengalaman. Aku lihat Koscielny (betul ke aku eja namanya?) adalah lubuk untuk para pemain lawan membolosi dengan mudah ke gawang gol.

Selain itu, di sayap pertahanan kiri aku rasakan itu kawasan yang agak longgar. Kerana kebanyakan pemain bertumpu di hadapan kotak penalti, kekadang ramai yang tidak sedar ada ruang untuk serangnya. Akibatnya mudah bagi Barca untuk membawa sehingga ke hadapan gawang gol.

Permainan di tengah padang tidak menjadi pada perlawanan ini. Memang benar, terdapat counter attack yang dilakukan tetapi sayangnya tiada penghabisan yang menarik. Di sini kredit harus diberikan kepada Samir Nasri yang banyak kali peluang menyerang dari bahagian sayap kanan. Berbanding Rosicky, kehadiran sebagai pengganti Theo Walcott tidak memberi impak kepada pasukan. Pendek kata tidak berfungsi. Begitu juga dengan Fabergas yang tidak menjadi penghubung yang baik antara pertahanan dan serangan. Mungkin disebabkan baru pulih dari kecederaan, maka sedikit sebanyak rentak permainannya agak terjejas.

Pada mulanya aku rasa seronok bila Van Persie dapat diturunkan pada pagi ini. Tapi malangnya tuah tidak menyebelahi dirinya. Beliau cuba bekerja keras untuk mencari peluang. Bertindak sebagai penyerang tunggal amat sukar untuk menyempurnakan gol. Malang untuk dirinya kerana dikenakan kad merah gara-gara menyepak selepas wisel offside ditiup. Perbuatan tidak sengaja bukan salah V.Persie. Bunyi riuh Nou Camp menenggelamkan tiupan pengadil.

Kini, perjuangan Arsenal hanyalah perebutan takhta BPL serta piala FA. Arsene Wenger harus berbuat sesuatu untuk mengakhiri kemarau ini. Memang bagus jika ingin menggunakan produk sendiri (akademi) untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap. Seharusnya Wenger harus memperkuatkan jentera pertahanan dan serangan dengan membeli pemain-pemain yang terbaik supaya Arsenal tidak ketandusan pengganti dalam menghadapi sesuatu perlawanan yang besar dan penting.

Inilah pendapat orang luar macam aku dalam permainan bola sepak.

Tuesday, March 8, 2011

Terengganu


Empat hari di luar Shah Alam, dan makan angin di Terengganu. Memang menyeronokkan. Sudah lama aku tidak merasa percutian sebegini. Kalau dulu outstation pun semuanya atas urusan kerja. Bawa report tebal naik bas, pusing ronda dalam bandar sebentar kemudian cabut balik ke KL bila sudah hantar ke pejabat yang ingin dituju. Kerap juga aku ke Terengganu tapi kali ini lebih menarik dan menyeronokkan.

Tempat yang kami lawati agak menarik juga. Misalnya Terra Puri, Muzium Negeri, Pura Tanjung Sabtu dan Taman Tamadun Islam. Mungkin inilah peluang yang sebaiknya untuk melihat secara dekat apa yang ada disebaliknya. Kerana sesetengah tempat yang dilawati adalah kawasan persendirian dan tidak mampu untuk orang macam aku menikmati keindahannya pasal harga yang amat berpatutan.

Secara kasarnya, identiti dan budaya negeri Terengganu memang terserlah dan kuat. Sebut sahaja pasal Terengganu, pasti boleh terbayang keropok lekor, ikan, sotong CT, songket, bumbung tebar layar, laut, perahu dan macam-macam lagi yang boleh disenaraikan. Perkara-perkara sebegini perlu dipelihara sebaik mungkin. Walaupun perlunya pembangunan, seharusnya keseimbangan dan kemampanan harus diambilkira supaya dapat identiti yang ada sekarang tidak di telan arus kemodenan.

Mahu cerita pasal makan angin memang tidak akan habis. Bukalah Facebook aku. Banyak gambar sudah di'upload'. Semoga satu hari nanti, kenangan dan pengalaman di sana menjadi memori terindah. Kerana apa yang ada pada waktu sekarang tidak mungkin akan sama pada 10 tahun akan datang.


Sunday, February 27, 2011


Aku rasa lega sikit minggu ini. Tiada kerja atau assignment perlu dikejarkan 'deadline. Hujung minggu ini agak lapang kiranya. Cadang mahu ke KL tapi bila ada orang jemput makan di rumahnya, tidak bolehlah kita menolak rezeki. Terima kasih kepada Faizat kerana masakan nasi ayam dijamu pada tengahari semalam. Aku andaikan dia sudah lulus dan sedia untuk berkahwin. Masakannya boleh dikatakan kalau buka kedai, mesti laku sampai licin habis.

Tidur lewat lagi aku pagi ini. Apa hendak jadi entahlah. Makin menjadi pula tidak tidur malam. Akhirnya memakan diri. Masuk kelas lambat, pergi keja mengantuk dan macam-macam lagi perkara yang tidak boleh dielakkan berlaku. Aku mahu taip cepat-cepat posting ini dan terus rebah ke katil. Banyak benda yang dirancang pada siang kelak.

Lepas balik dari studio, singgah lepak minum di Khulafa. Bersembang, bergurau, bercerita dan berkongsi segala apa yang ingin diperkatakan. Dari cerita futsal sampailah ke kickboxing. Tambah membosankan bila tiada perlawanan bola sepak EPL yang dapat menarik perhatian aku pada pagi ini. Yang aku tahu malam nanti Carling Cup Final. Arsenal vs Birmingham. Harap menang trofi kali ini walaupun pemain-pemain utama seperti Walcott dan Fabregas tidak dapat diturunkan kerana kecederaan.

Kadang-kadang hendak menaip hendak menceritakan seseorang rasanya berat juga. Silap-silap seperti meludah ke langit, akhirnya jatuh ke muka sendiri. Ada macam-macam jenis orang aku jumpa. Semuanya ada kisah tersendiri dan sesetengahnya mungkin menarik untuk berkongsi dengan lain. Baik atau buruk itulah jadi batasan. Aku rasa hendak tanya pendapat, patutkah aku bercerita dalam blog atau bukukan saja dalam hati agar tidak mengganggu sensitiviti orang lain. Mana tahu satu hari, ada kisah menarik untuk diceritakan.

Setakat ini sahaja penulisan aku kali ini. Kalau ada cadangan atau komen yang boleh mempertingkatkan laman ini, aku ucapkan terima kasih banyak-banyak.

Friday, February 18, 2011

360 darjah.....


Semester ini aku jadi terpusing 360darjah. Adakah ini semua rentetan kisah pahit aku? Aku jadi serba tidak kena. Bukan aku seorang sahaja yang terkena tempias. Seolah benda yang aku lalui orang lain terasa. Aduhai, susah juga kalau macam ini.

Aku jadi kurang bersemangat. Hidup tidak tersusun. Pada luaran nampak OK tapi dalaman semacam kusut masai dan tidak teratur. Mereka cuba nasihatkan supaya aku lupakan segala kisah sedih aku tapi masih tidak dapatku hilangkan buat masa kini. Aku cuba gembirakan hati ini dengan melakukan perkara yang aku suka (bersukan) tapi tiada juga perubahan. Mula aku terasa tekanan secara senyap.

Kadang-kadang aku terasa dan terpaksa berpura-pura. Walaupun mereka masih disamping aku, kadang-kadang aku rasa kena berlakon di hadapan mereka untuk pastikan mereka tidak mengulangi ayat yang sama - "Tak payahlah dok ingat lagi". Apa boleh buat, masing-masing punya cara untuk pastikan aku ceria seperti dulu.

Keadaan aku sekarang adalah hilang tumpuan, tidak minat, tidak bersemangat dan seolah-olah rasa diri terpaksa dan dipaksa untuk melakukan sesuatu. Entahlah, parah ke tidak, Tuhan saja yang tahu.

Silap-silap aku boleh rosak semester ini. Aduhai..................

Wednesday, February 16, 2011

Suatu masa di RPLC



Tinggal kenangan (L to R): Mr.J.O, Masrul, EJ, Boy, Sarah, Fina, Kak Leha, Ajehar dan Aku.

Gambar ini diambil semasa makan angin ke Jakarta Bandung pada cuti tahun baru Imlek 2009. Aku paling seronok dan beruntung kerana dapat bawa bersama kamera. Kini gambar ini tinggal kenangan bersama sebab majoriti dalam gambar semua tidak dalam RPLC lagi. Masing-masing bawa haluan. Ini yang tajuk post aku kali ini......

Selain Ajehar, EJ, K.Leha & Mr J.O, yang lain sudah membawa diri masing-masing. Aku anggap mereka antara tenaga muda yang berkerja di bawah RPLC. Purata umur bawah 30tahun. Mula-mula sekali adalah Masrul. Belum sempat dijadikan staff tetap, dia dapat tawaran kerja sebagai Technical Assistant di DBKL. Kiranya dekat 6 bulan dalam RPLC. Elok saja balik dari trip Bandung, terus keluar.

Kemudian yang seterusnya keluar adalah Fina. Dia dapat tawaran kerja sebagai PTD. Yang tambah untungnya lagi, dapat kerja dan terus berkahwin lepas putus hubungan dengan rakan sekelas merangkap teman sepejabat yang terdahulu. Seorang guru suaminya dan kini sudah ada seorang anak.

Setelah itu, Boy mengikut jejak langkah si Fina. Dapat tawaran kerja yang lebih elok. Kalau tidak salah, Navtech nama syarikat tempat kerja baru dia. Untungnya kerja macam dia adalah dapat pusing satu Malaysia. Aku rasa satu ASEAN pun dia sudah merantau.

Sarah juga agak lama dalam RPLC. Kalau tidak silap, dia pun dapat tempat kerja sama dengan Boy 6 bulan lepas itu. Kesian juga melihat Sarah masa itu sebab tinggal dia seorang sahaja Planner yang ada dalam department sebelum Ayumi dan Che Wan masuk. Nyaris-nyaris dia mahu resign lebih awal.

Kalau ikutkan, ada beberapa orang lagi yang tidak aku ceritakan lagi dalam post ini. Nantilah kalau ada mood untuk menaip. Tapi apapun, suka atau tidak mereka adalah sebahagian yang hadir dan wujud depan mata aku suatu ketika di RPLC. Dengan mereka, aku anggap mereka sebagai kawan untuk bergurau, tempat untuk bertanya dan berkongsi apa yang sepatutnya walaupun masing-masing ada hala tuju yang berlainan.

SELAMAT BERJAYA AKU UCAPKAN......