Wednesday, February 16, 2011

Makan secara berhemah

Tidak sia-sia mereka mengosongkan perut sejak siang

Tarikh: 13 Feb 2011
Lokasi: Sungai Way
Jam: 8.00mlm - 11.00mlm

Kalau ikutkan, sudah lama aku tidak makan steamboat ala celup-celup. Kali terakhir makan pun, hampir 2 tahun lalu di Restoran Nelayan, Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur bersama Aboy, Aur, Mimi, Ika dan Fadh. Kalau hendak teringin makan pun aku pergi cari yang sudah cucuk ala Yong Tau Foo. Mula-mula aku tidak mahu pergi pasal selesaikan kerja ArcGIS yang agak 'kuchalana'. Tetapi setelah diajak si Aiman setelah semua kempunan mahu makan cendol, akhirnya terpaksa ikut juga mereka pergi ke Sungai Way.

Dalam perjalanan, memang hujan turun lebat. Sampai saja depan restoran, memang tidak tahu mahu cakap apa. Ramai orang datang. Siap kena tunggu giliran. Sementara tunggu giliran kami, sempatlah aku pusing kawasan situ. Sunyi dan kurang selamat walaupun ada McD dan Domino's Pizza. Senang cakap, berisiko tinggi untuk berlakunya jenayah. Sudah habis ronda, terus naik atas.

Kedai restoran ini memang boleh aku anggap Satu Malaysia. Melayu, Cina dan India semua datang makan sini. Mahu makan macam-macam memang ada. Dari seafood sampai ayam sayur semua disajikan. Yang paling mantap adalah Ayam Perap Kicap (aku tidak tahu nama special). Mantap. Kalah ayam untuk masakan Nasi Ayam.

Tapi kali ini punya makan, aku sudah pesan untuk Makan Secara Berhemah. Jangan tamak dan jangan gelojoh. Sebab aku teringat dulu masa makan di Restoran Nelayan. Ambil banyak-banyak dan penghabisannya aku yang kena. Jadi, aku ambil yang mahu dirasa dahulu.

Selesai makan, terus ke kaunter untuk bayar. RM138.00. Maknanya lebih kurang RM25.00 seorang. Boleh tahanlah. Lagipun aku tidak kisah sebab yang belanjanya adalah Along dan Aiman. Apa-apa pun, terima kasih sebab belanja aku makan.

Ayam kicap yang menjilat jari

Pilihan banyak tapi jangan tamak...

dan layankan saja telatah mereka ini......

Oh yeah.....

Sunday, February 13, 2011

2011


Sudah lama aku tidak berblogging. Kali terakhir pada bulan Disember. Sudah dua kali raya orang cakap (Raya Haji & Raya Cina). Aku terawang-awangan dengan hal hidup sendiri. Dengan benda-benda macam inilah, aku ambil sikap berdiam diri. Kalau buka mulut sekalipun, aku cerita benda yang lain.

Aku sedar masuk tahun baru ini, lain macam aku jadinya. Tidak seperti semester lepas, bersemangat tinggi. Orang lain bilang sama aku pasal hal. Entah bagaimana aku hendak rumuskan keadaan aku sekarang. Hilang tumpuan. Adakah ini disebabkan sikap sendiri atau pengaruh anasir-anasir luar? Kepada mereka yang ambil berat pasal diri ini, aku hargai sangat-sangat keprihatinan anda. Yang rasa suka tengok aku jatuh, terpulang kepada anda. Aku anggap sebagai insan yang tidak ada kepentingan dalam hidup.

Secara terang-terangan, aku mahu beritahu hubungan cinta sayang kasih dengan awek aku sudah tiada lagi. Hubungan selama 5 - 6 tahun ini terputus tanpa kata ucap selamat tinggal. Jiwa kacau juga aku jadinya. Tiada makna aku hendak paksa hubungan ini untuk terus tersimpul. Kalau sudah tiada jodoh dan inilah takdir, aku terima sahaja. Memang aku sayang dia tapi................ . Seandainya dia sedang membaca post ini, aku hendak beritahu yang aku hendak minta maaf dekat dia, aku sayang dia, seikhlasnya aku cakap yang aku tiada simpan dendam, dengki dan aku hargai saat-saat bersama-sama.

Friday, December 3, 2010

Sebulan....



Kalau diikutkan secara tidak rasmi, sudah sebulan aku ber'cuti' semester. Mulanya selesai submission projek akhir dan presesntation, boleh dianggap mula musim rehat. Tetapi dalam sebulan pertama, masih tiada apa yang belum digerakkan lagi. Balik kampung seminggu pun terperap, datang Shah Alam semula sama sahaja. Duit sudah nipis tapi masih tiada usaha untuk menebalkan semula. InsyaAllah, mungkin mulai minggu hadapan, aku akan mula bekerja.

Sengaja aku menulis blog pada malam ini. Terasa sudah jadi macam diari yang kesepian pula. Kalau dulu, berjela-jela pembaca memberi komen. Sekarang mahu dapat satu pun tidak kesampaian. Mungkin penulisan aku yang membosankan membuatkan malas mereka hendak membaca sampai akhirnya. Kesilapan mungkin juga datang diri sendiri. Tiada kemaskini serta tarikan membuatkan orang terasa bosan. Sampai masa aku kena fikirkan cara untuk membuatkan blog yang sudah berusia hampir 3tahun ini tampak begitu menarik.

Tipikal, stereotaip, tidak dinamik dan membosankan - bahasa yang mungkin dapat disimpulkan di sini....

Kalau sesiapa ada komen cadangan untuk penambahbaikan, dialu-alukan untuk aku mempertimbangkan. Ribuan terima kasih aku ucapkan kepada anda semua.

Friday, November 19, 2010

CUKUP dan MULA

CUKUP dan MULA

Pukul 2.45pagi, 19 November 2010…..

Hujan masih lebat turun diluar sana. Kalau diikutkan, badan macam rasa letih tapi mata macam tidak mengantuk lagi. Rasanya selesai satu post ini, baru aku rebahkan badan. Biarlah disini aku mencoret sambil melayan koleksi lagu-lagu yang ada dalam PC ini. Tangkap syahdu pun ada bila mendengar lagu.

Tidak ku sangka sudah masuk hari Jumaat. Maknanya esok adalah hari terakhirku berada di tempat asalku. Cepat terasa masa berlalu. Rasa tidak puas berada di rumah biarpun seminggu. Entah entah mak abah pun tidak puas melihat kepulanganku ke pangkuan mereka. Cara mereka bertanya pada aku bila balik sana kadang-kadang lain macam bunyinya. Serba salah aku dibuatnya. Kalau dulu, urusan kerja bolehlah jadi alasan kukuh untuk bergegas pulang dengan segera. Tetapi sekarang bila sudah sambung belajar, tidak tahu aku hendak ungkapkan pada mereka.

Setelah beberapa hari aku pulang ke Penang, baru malam ini berkesempatan untuk berjumpa kawan-kawan aku sejak mengaji di PFS. Macam biasa, bersembang, minum, lepak bercerita hal masing-masing – duit, belajar, kerja dan kahwin. Topik ini tidak boleh dipisahkan bila berjumpa sekali sekala. Walaupun sudah lebih 10 tahun kami bersama, aku bersyukur mempunyai kawan, teman dan rakan seperti mereka. Semoga aku persahabatan aku dengan mereka terus kekal sampai bila-bila. InsyaAllah.

Sempat juga aku berkaraoke dengan kawan-kawan aku ini. Ketika karaoke, terasa seolah zaman bujang aku untuk berhibur seperti begini sudah sampai disini. Walaupun umur aku baru menginjak angka 24 tahun, seolah-olah aku sudah diambang untuk memikirkan tanggungjawab yang harus pikul dengan lebih serius. Sering bermain di kepala otak minda aku apakan terjadi pada 10, 15, 20 dan 25 tahun akan datang. Kadang-kadang dalam naluri sering bersuara ‘CUKUP’ untuk diriku menikmati dunia bujang yang penuh suka duka dan ‘MULA’ untuk fikir tentang komitmen yang lebih BESAR lagi.

Bukan aku tidak mahu mengambilnya, tapi adakah aku bersedia sepenuhnya untuk dipertanggungjawabkan terhadap komitmen yang bakal digalas. Galak bermain di fikiran setiap masa. Melihatkan rakan-rakan meninggalkan zaman bujang satu persatu, jadi satu persoalan besar untuk aku jawab – MAMPUKAH AKU MENGHARUNGINYA? Semoga ada panduan untuk aku menemukan jawapan yang sebenarnya.


Wednesday, November 10, 2010

Agak-agaklah.....

Sekarang sudah masuk cuti semester. Maka selesailah segala tugasan sebagai siswa. Aku pula masih terperap di kampus ataupun Shah Alam. Sejak jadi perantau, memang susah sikit hendak balik kampung. Tapi, apa-apa pun InsyaAllah hujung minggu ini sampailah aku ke desa yang tercinta.

Kejap tadi sempatlah aku pergi menerjah KL Sentral. Sambil sambil menunggu kedatangan *ehem-ehem, singgahlah aku membeli tiket keretapi. Nampak gayanya banyak yang sudah "fully-boarded". Mungkin sebab banjir sudah surut sebelah Utara, maka ramai-ramai pakat balik kampung. Tambahan pula, Hari Raya Haji pun menjelang, inilah peluang bukan sahaja balik beraya tapi gotong-royong bersih rumah lepas banjir.

Syukurlah banjir di Utara sudah surut tetapi di Jawa pun lebih kurang sama. Apa yang dipanjatkan di sini adalah kepada Tuhan supaya dijauhi bencana malapetaka yang buruk dan dijadikan iktibar peringatan kepada kita.

Semasa dalam perjalanan pulang, aku tersangkut di Plaza Tol Jalan Duta. Tidak disangka-sangka teknologi yang mempermudahkan kadang-kadang boleh menjadi satu bebanan atau kepayahan.
Contohnya SmartTag digunakan untuk mengurangkan kesesakan di Plaza Tol tapi sudah terbalik pula. Pengguna SmartTag pula jadi lembab semacam beratur untuk melintasi berbanding sistem tiket yang luncur mengalir laju. Menjadi lumrah dan fitrah alam, apa yang dihasilkan manusia tidak dapat menandingi kesempurnaan sesuatu ciptaanNya. Sebagus mana sekalipun dikeluarkan, masih terdapat cacat cela dan kekurangan.

Setakat ini sahaja mukaddimah yang ingin aku coretkan dahulu.......